Isnin, Disember 31, 2007

Selamat Tinggal 2007 !

.


Selamat Tinggal Tahun 2007.

Sepanjang tahun 2007, saya berjaya membaca lebih dari 50 buah buku, jumlah yang masih sedikit jika dikira begitu banyak lagi buku-buku bermutu tinggi yang terdapat di pasaran dan tidak akan sempat saya baca kesemuanya.

Saya berjaya membaca dan menulis 33 entri tentang buku di blog ini seperti di bawah.
  1. Malaysian Politicians Say the Darndest Things - Amir Muhammad
  2. Confession of An Economic Hitman - John Perkins
  3. Bukan Pasar Malam - Pramoedya Ananta Toer
  4. Travelog Haji - Muhd Kamil Ibrahim
  5. Tuhan Manusia - Faisal Tehrani
  6. Seni Muzik Keroncong - Ariff Ahmad
  7. Nama Beta Sultan Alauddin - Faisal Tehrani
  8. Tun Dr Ismail : Reluctant Politiciant -
  9. Surat-Surat Perempuan Johor - Faisal Tehrani
  10. So Many Books - Gabriel Zaid
  11. Kisah Ayah - Khairuddin Arshad
  12. Sajak-Sajak Suci - Abdullahjones
  13. Bila Tuhan Berbicara - Faisal Tehrani
  14. Confessions of an Old Boy: The Dato' Hamid Adventures - Kam Raslan
  15. Malaysia – Road To Independence - Tunku Abdul Rahman Putra
  16. Siddhartha - Herman Hesse
  17. Berdakwah Dengan Efektif - Abdullah Hassan
  18. I Am Muslim - Dina Zaman
  19. Setitis Embun Semarak Api - Shahnon Ahmad
  20. Keranda 152 -
  21. Sangeetha - Azizi Hj Abdullah
  22. Dari Salina Ke Langit Petanag - A Samad Said
  23. Cinta Fansuri - A Samad Said
  24. Kekasih Sam Po Bo - Faisal Tehrani
  25. Anak Semua Bangsa - Pramoedya Ananta Toer
  26. Kitab Salahuddin - Tariq Ali
  27. Zapin Melayu di Nusantara - Mohd Anis Md Nor
  28. Dan Malam Apabila Ia Berlalu - Abdullah Hussain
  29. Ayat-Ayat Cinta - Habiburrahman El-Shirazy
  30. Pramoedya- Dari Dekat Sekali - Koesalah Soebagio Toer
  31. Bumi Manusia - Pramoedya Ananta Toer
  32. Masyarakat Islam Hadhari - Wan Mohd Nor Wan Daud
  33. Naratif Ogonshoto - Anwar Ridhwan


Berikut buku-buku yang berjaya saya baca sepanjang 2007 tetapi tidak sempat untuk saya catatkan. Mungkin ada beberapa buah buku lagi yang saya lupa untuk catatkan.

  1. Manikam Kalbu – Faisal tehrani
  2. Mahabbah –Shahnon Ahmad
  3. Biografi Prof Ahmad Ibrahim
  4. Marker - Robin Cook
  5. Mind Set - John Naisbitt
  6. Risalah Untuk Kaum Muslimin- Seyyed Muhammad Naquib Al-Attas
  7. Pembangunan Berteraskan Islam – Muhammad Syukri Salleh
  8. Syariah Marketing - Hermawan Kartajaya & M Syakir Sula
  9. Islam Progresif - Farish A Noor
  10. Islam Liberal: Sejarah, Konsepsi, Penyimpangan & Jawabannya - Adian Husaini
  11. The Blind Owl - Sadeq Hedayat
  12. Hermeunatika Tafsir - Hasan Hanafi
  13. Buku Saku Filsafat Islam -Haider Bagir
  14. Life of Pi - Yann Martel
  15. Antologi Cerpen 9! - Alumni MPR
  16. Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk – Hamka
  17. Pembangunan Iman & Kekuatan Peribadi – Amin Nordin Abdul Rahman
  18. Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas – Zamri Mohamad

Selamat Datang 2008. Moga saya akan berjaya membaca lebih banyak buku bermutu di tahun 2008!

Selamat Tahun Baru 2008!

Khamis, Disember 27, 2007

Dari Mulut Politikus...

.




Malaysian Politicians Say the Darndest Things
Dikumpul oleh Amir Muhammad
Ilustrasi oleh Shahril Nizam
Terbitan: Mata Hari
Tahun: 2007
Harga : RM30



Saya hampir terlupa memperkatakan tentang buku ini. Buku tulisan Amir Muhammad ini benar-benar telah membuatkan saya ketawa dan tersenyum sendirian. Buku yang saya beli dari MPH Kinta City, Ipoh ini memang sudah lama saya idamkan dan habis saya baca dalam masa hanya satu hari.

Amir Muhammad memang seorang tokoh yang saya kenal tulisannya lama sebelum beliau menjadi pengarah filem. Amir Muhammad pernah mempunyai ruangan tetap dalam NST bertajuk Perforated Sheet, yang sering saya baca di tahun 90-an. Tulisan beliau dalam majalah-majalah tempatan sering saya ikuti masa itu. Pada masa itu, seingat saya, ada beberapa nama penulis yang menulis dengan agak berani dan sedikit bebas. Nama seperti Amir Muhammad, Rehman Rashid dan Karim Raslan antara yang saya minati dan sering saya ikuti. Saya juga meminati tulisan rencana pengarang Johan Jaafar di Utusan, tulisan Rustam Sani di Berita Harian dan melanggan majalah Men's Review zaman Sheryll Stothard menjadi editor.

Amir Muhammad kini seorang pengarah filem. Saya kepingin menonton filem-filem beliau, malangnya, filem beliau lebih banyak yang haram dari yang halal.

Buku bertajuk Malaysian Politicians Say the Darndest Thing ini merakamkan petikan kata dari tokoh-tokoh politik tanahair. Lebih dari 100 petikan kata telah dikumpul oleh Amir Muhammad dan dipersembahkan dengan gaya yang sangat menghiburkan dengan ilustrasi menarik oleh Shahril Nizam.

Menariknya buku ini kerana kejayaan Amir Muhammad memilih petikan kata yang kelakar, lucu, sinis, kebodoh-bodohan, kontroversial dan yang sukar dipercayai ianya pernah disebut oleh seorang tokoh politik. Saya percaya, ada petikan kata di dalam buku ini yang mungkin pengucapnya sendiri tidak percaya ianya keluar dari mulut beliau. Walaupun tidak percaya, semua petikan yang dimuatkan dalam buk ini adalah yang pernah keluar di media perdana tanahair.

Itu sebabnya orang tua-tua pernah berkata, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, buruk padahnya. Dalam konteks buku ini, terlajak kata, ianya sudah dirakamkan dalam bentuk buku dan akan disimpan untuk koleksi dan diwariskan kepada generasi akan datang. Tak tahulah samada mereka akan ketawa atau berkerut dahi bila membaca buku ini.

Saya paling suka petikan kata Dr Mahathir Mohamad yang paling banyak dipetik dalam buku ini. Lebih menarik petikan kata dalam buku ini merentasi zaman, tahun 80-an hingga ke yang terkini. Petikan kata sewaktu Dr Mahathir awal-awal memegang teraju sangat menarik. Tiba-tiba saya rasa nostalgik, teringat zaman Tun Musa Hitam menjadi timbalan, zaman 2M. Saya terbayang semula tabloid Watan dan Bumi, juga buku politik Subki Latiff yang banyak mengajar saya belajar membaca politik tanahair.

Buku ini macam buku sejarah. Membaca petikan kata mengingatkan pada peristiwa yang berlaku pada zaman itu. Teringat zaman Semangat 46 dan juga tokoh-tokoh pemimpinnya masa itu. Saya bayangkan pula wajah sesetengah tokoh itu yang kini sudah berubah nada dan tindakan. Sungguh nostalgik dan lucu!

Kepada yang belum baca, buku ini saya syorkan sebagai buku yang sesuai dibaca sempena mood akhir tahun, biar kita dinginkan semula kepala-kepala yang panas. Jangan marah-marah. Mari kita baca ramai-ramai dan ketawakan diri sendiri, kerana petikan kata dalam buku ini adalah cerminan diri kita juga.

Kepada Amir Muhammad, saya menunggu siri-siri yang seterusnya!

Ahad, Disember 23, 2007

Selamat Hari Raya Qurban

.




Salam Aidil Adha.

Semua orang bercerita tentang korban dan pengorbanan. Yang tidak pernah berkorban dan paling kurang berkorbanlah yang paling kuat bersyarah tentang pengorbanan. Senang sungguh menyuruh orang berkorban, sambil tangan kanan mengorban dan menyembelih bahan korban. Yang sering berkorban akan terus terkorban, dikorbankan dan menjadi mangsa korban.

Selamat Hari Raya Qurban!


Saya masih dalam mood cuti. Bercuti sehingga Hari Natal. Esok pagi saya ke ibukota.


Jumaat, Disember 14, 2007

Kejutan Khamis 13 Disember 2007

.


Pernahkah anda mengalami keadaan di mana anda berharapkan sesuatu tetapi mendapat lebih dari apa yang diharapkan? Bukan selalu bernasib baik mendapat apa yang dihajat, apalagi beroleh lebih dari itu.

Itulah yang terjadi pada saya. Hari ini Khamis 13 Disember tercatat sebagai satu hari yang mengejutkan dan sangat menggembirakan saya. Siapa sangka hari yang biasa boleh jadi luar biasa. Hari paling produktif. Banyak yang saya buat dan dapat dalam masa yang singkat.

Hari Khamis, saya ke Kuala Lumpur kerana menghadiri Malam Anugerah Nafma di Hotel Mandarin Oriental. Saya pergi tanpa memasang harapan yang tinggi untuk menang kerana syarikat-syarikat yang menyertai kali ini bukan calang-calang.

Lalu, perjalanan ke KL kali ini, fikir saya, lebih sekadar menghadirkan diri memberi sokongan. Lalu,seperti biasa saya sudah merancang mahu singgah ke kedai buku dan mungkin berjumpa seorang dua rakan sebelum majlis makan malam nanti.

Saya merancang bertemu Pak Adib di KLCC. Kami sudah lama berhubung di dunia siber, tetapi belum bertemu di dunia nyata. Pak Adib merupakan antara penulis blog yang telah menjadi inspirasi untuk memulakan blog sendiri.

Tidak pula saya sangka akan bertemu dengan blogger lain yang tak pernah saya mimpi untuk bertemu. Saya berada di Pustaka Antara bila Pak Adib telefon mengajak minum dan bertemu Awang Goneng di KLCC. Wah, ini sudah bonus, fikir saya. Bukan mudah bertemu Awang Goneng yang telah membukukan tulisan beliau yang sangat menarik dan eksotik tentang kisah hidup beliau di Terengganu. Buku Awang Goneng Growing Up in Terengganu sudah jadi best sellers di kedai buku tempatan. Awang Goneng dan Kak Teh yang menetap di UK pulang bercuti ke Malaysia sambil melancarkan buku ini di sini.

Sebelum meninggalkan Pustaka Antara, sempat saya capai buku Jejak Langkah dan Rumah Kaca tulisan Pramoedya Ananta Toer yang melengkapkan koleksi Kuartet Buru yang sudah lama saya idamkan.

Setiba saya di Dome, KLCC terus mencari kelibat Pak Adib dan Awang Goneng. Alangkah terkejutnya saya rupanya bukan Pak Adib dan Awang Goneng sahaja di situ. Saya berjumpa buat pertama kali, Pak Adib, Pak Idrus, Awang Goneng dan Kak Teh. Juga berjumpa Helmi ATRCO dan Honeytar yang sudah lama jadi sahabat saya di alam siber. Pok Ku turut datang bersama Mimi. Selama ini kami sudah lama kenal di laman sembang Pokku. Saya juga gembira bertemu Ruby Ahmad.

Berjumpa nama besar dalam dunia blog memang satu kejutan hari ini. Bukan seorang tapi ramai! Kami berbual hingga hampir jam lima petang tanpa sedar. Entah bila saya dapat peluang berjumpa semula seperti ini.

Saya juga sempat bertemu Iskandar drbubbles dan Zulkifli Dewangga Sakti di café Kinokuniya. Banyak yang kami bincangkan. Maklumlah, kami berkongsi minat yang sama. Tak sedar waktu berlalu cepat. Dua jam kami berbual.

Saya bergegas untuk majlis makan malam di hotel bersebelahan. Saya dapat satu lagi kejutan untuk hari ini. Nama syarikat disebut dan saya naik ke pentas untuk menerima salah satu anugerah. Terkejut dan rasa bangga bila tersenarai sebagai sepuluh syarikat terbaik, apalagi bila bersaing dengan syarikat gergasi negara.

Selesai majlis saya terus pulang ke Ipoh dan tiba jam dua pagi. Badan letih, tetapi gembira. Banyak sungguh kejutan hari ini. Kejutan yang seronok!

Selasa, Disember 11, 2007

Syarahan ISDEV : Sheikh Imran N Hosein

Hari Khamis ini saya akan memandu ke Kuala Lumpur dan akan kembali semula ke Pulau Pinang hari berikutnya. Harap-harap saya sempat pulang semula dan hadir ke program ISDEV ini





14 Disember 2007, pukul 3.00 hingga 5.00 petang: Siri Syarahan ISDEV V di Dewan Persidangan Universiti.

Di Syarahan ini, Sheikh Imran Nazar Hosein dari Trinidad dan Tobago akan bercakap tentang "The Grand Design of Money Creation".

Syarahan ini akan diserikan lagi dengan jualan buku daripada Islamic Propagation Society International (IPSI) dan ISDEV serta pameran Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral.


Kehadhiran sdr/i sangatlah diharapkan dan didahului dengan ucapan terima kasih.

Wassalam,

Prof Muhammad Syukri Salleh
Pengarah ISDEV, USM

Khamis, Disember 06, 2007

Novel 50 Tahun DBP

.

Akhirnya buku-buku di atas jadi milik saya juga. Dah berjanggut saya menunggu. Entah sudah berapa kali saya melangkah ke Kedai Buku DBP Kawasan Utara. Sudah naik malu saya bertanya bila buku-buku ini akan mula dijual. Saya sudah merajuk bila kali terakhir ke sana dua minngu lepas dan pulang dengan hampa.

Novel-novel di atas bukan novel sebarangan. Novel pemenang utama Hadiah Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP. Ianya anjuran DBP sendiri. Ianya bukan sekadar hadiah peraduan menulis biasa. Novel-novel ini adalah pemenang Sayembara mengenang 50 tahun perjuangan sebuah badan yang diamanahkan untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan. Ianya meraikan perjuangan sebuah badan yang wujud untuk memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu, bahasa intelektual dan bangsa perpaduan.

Apabila DBP digelar dengan berbagai gelaran yang tak sedap didengar, memang timbul rasa kasihan. Macam-macam orang kata. Yang mengata tu pun kadang-kadang, bukannya banyak sangat sumbangannya pada pembangunan bahasa pun. Mengata DBP mandul minda, yang mengata itupun dua kali lima juga. Sama-sama mandul minda dan tindakan. Tapi, ialah. Mengata orang memang sedap dan murah. Bukannya payah keluar modal pun. Silap-silap beroleh pula keuntungan peribadi.

Namun, kadang-kadang terasa patut juga DBP digelar macam-macam, apabila projek dan karya yang diterbitkan untuk mengenang diri sendiri sebegini pun dibuat sambil lewa sahaja. Buat tugas hakiki seperti buat kerja sambilan. Sama taraf sahaja dengan blogger macam saya yang menulis secara main-main, sambil mengisi masa lapang.

Nasib saya juga baik hari ini bila terserempak dengan penulis Aziz Hj Abdullah di Kedai Buku DBP. Dapatlah buku bertandatangan bertulis nama Jiwarasa. Novel Sangeetha tulisan beliau baru memenangi Hadiah Sastera Asia Tenggara ( Hadiah Sastera Mastera ke 5) minggu lepas. Seronok berbual tentang pengalaman beliau berkarya. Terima kasih kerana saya dapat beli buku dengan harga murah.

Kalau ikutkan hati, saya mahu baca kesemua buku yang tersenarai di bawah, tetapi rasanya bukan kesemuanya ada terjual di sini. Cukuplah empat novel di atas buat masa ini. Itupun saya tak tahu nak mulakan novel yang mana dahulu. Ada cadangan?


Pemenang Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP

Novel

Hadiah Pertama (RM50,000) - Faisal Tehrani "Bedar Sukma Bisu"
Hadiah Kedua (RM40,000) - Azizi Haji Abdullah "Harga Sebuah Maruah"
Hadiah Ketiga (RM30,000) - SN Shahnon Ahmad "Mahabbah"

Hadiah Saguhati (RM10,000 setiap satu)
1. Mohamad Faizal Jamil "Anak Ruma' Kadang"
2. Zaharah Nawawi "Bulan dan Mentari"
3. Mohamad Khalid bin Hamzah "Kabus di Perbukitan"
4. Osman Ayob "Ombak Bukan Penghalang"
5. Noraini Osman "Kembali Sebutir Mutiara"
6. Muhd. Nasruddin Muhd. Dasuki "Langit Angsana"
7. Nasruddin Mohammed "Menara"



Novel Remaja

Hadiah Pertama (RM20,000) - Faisal Tehrani "Manikam Kalbu"
Hadiah Kedua (RM15,000) - Nurul Salwa Abdul Muluk "Epilog Sekeping Hati"
Hadiah Ketiga (RM10,000) - Fatimah Syarha Mohd Noordin "Seindah Mawar Berduri"

Hadiah Saguhati (RM5,000 setiap satu)
1. Osman Ayob "Gelombang Buana"
2. Ramlah Rashid "Jeriji Kasih"
3. Nada Haifaa Remlle "Khilaf"
4. Sarimah Othman "Rentak Galur"

Rabu, Disember 05, 2007

Belajar dari kedaifan

Seminggu dua ini, saya asyik terkenang memori perjalanan saya ke India dua tahun lepas. Saya bukan terkenang keindahan dan kemegahan Taj Mahal ataupun keseronokan membeli belah batu permata di Jaipur dan buku-buku di Janpath, Delhi . Saya teringat akan pemandangan hodoh yang saya sering lihat di sepanjang jalan.

Pemandangan yang jarang-jarang dapat kita lihat di filem-filem Bollywood. Kemiskinan dan kedaifan hidup ada di mana-mana. Rumah-rumah penduduk India sangat-sangat daif. Rumah tidak berpintu dan tidak berbumbung adalah pemandangan biasa dalam perjalanan dari Delhi ke Jaipur. Kata Vinith, pemandu pelancongan kami, rumah-rumah di sini memang biasanya tidak siap seperti itu. Ramai dari mereka bekerja betul-betul kais pagi makan pagi. Kais petang makan petang. Jika ada lebih dari kaisan hari tu, wang itulah yang digunakan untuk menyiapkan rumah. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana mereka boleh hidup dalam rumah yang tiada berpintu.

Di Jaipur, kami terkejut melihat ada segerombolan penduduk tempatan yang berhimpun dan seakan berebutkan sesuatu. Saya sangkakan ada demonstrasi atau mungkin ada kemalangan. Rupanya, mereka yang berhimpun itu datang untuk mencari kerja. Di situ, tuan-tuan tanah akan datang untuk memilih pekerja untuk bekerja di ladang-ladang dan perusahaan mereka. Tuan-tuan tanah hanya perlu menunjuk dan memilih dari ribuan yang berhimpun di situ setiap hari. Saya diberitahu itu adalah pemandangan biasa di India. Mereka datang setiap hari mencari kerja, dan setiap hari juga pulang ke rumah dengan hampa.

Di mana-mana pun kami berhenti, penjaja jalanan akan sentiasa memburu kami. Kebanyakannya anak-anak kecil. Ramainya pengemis jalanan sangat-sangat meresahkan kami. Memang terdetik rasa kasihan tetapi, terlalu ramai untuk ditolong.

Perjalanan ke India buat saya bersyukur dengan nikmat kemakmuran yang Allah kurniakan kepada diri. Saya mungkin tidak kaya raya, tetapi apa yang saya ada jauh sangat-sangat mewah berbanding apa yang saya lihat di India. Saya mungkin belum mendapat apa yang saya inginkan, tetapi saya sudah punya apa yang ribuan orang lain tidak mungkin akan punya.

Alangkah malangnya jika kita tidak bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails