Sabtu, Oktober 27, 2007

Seni Muzik Keroncong

.

.



Seni Muzik Keroncong
Ariff Ahmad.
ISBN 967-942-547-9
Penerbit UKM
RM40.00.

Saya peminat muzik keroncong. Muzik yang mungkin dianggap untuk orang tua. Entah mengapa ada sesuatu yang menarik tentang lagu dan muzik keroncong yang berjaya menambat hati saya. Petikan gitar, bass dan ukulele dalam muzik keroncong seakan membawa saya ke daerah dan suasana yang berlainan. Setiap kali mendengar muzik keroncong, saya rasa seakan terbuai dan dibawa hanyut ke zaman dahulu semasa kecil. Terbayang minum petang, di bawah pohon rendang atau di anjung rumah, menikmati teh jarang dan penganan dan kudap dimasak emak.

Saya ada teori tentang lagu keroncong yang mungkin ramai tidak setuju. Lagu keroncong dikatakan mempunyai pengaruh Poertugis yang pernah menjajah Melaka. Ianya mungkin dibawa ke Betawi apabila Portugis dikalahkan Belanda tahun 1624. Muzik keroncong asalnya dinyanyikan oleh tawanan perang Portugis yang ditawan oleh Belanda. Muzik keroncong ini kemudiannya berasimilasi dengan muzik tempatan lalu menjadi muzik Indonesia.

Saya punya teori yang muzik keroncong berasal dari zaman keagungan Islam Andalusia. Kerajaan Umayyah yang diasaskan oleh Khalifah Abd Rahman Al Dakhil di Cordova Sepanyol dan berjaya membangunkan satu tamadun yang hebat. Kerajaan Islam Umayyah berkembang dengan pesat di Andalus, Sepanyol, dan membangunkan tamaddun dalam bidang agama dan bukan agama. Cordova telah menjadi pusat ilmu pada kurun ke 10 Masehi dan bangsa Eropah belajar dari kaum muslimin bukan sahaja di Cordova tetapi di Seville, Toledo dan Granada.

Andalus telah melahirkan ramai tokoh-tokoh Islam dalam pelbagai bidang termasuklah dalam bidang muzik. Ibnu Firas dan Ibnu Ziryab adalah antara pelopor bidang muzik di masa itu.

Portugis dahulu adalah sebahagian dari Sepanyol. Apabila Kristian mengambil alih Andalus, ramai umat Islam yang dihalau dan dipaksa menukar agama. Ramai umat Islam yang berpura-pura menukar agama dengan cuba mengekalkan keIslaman mereka. Golongan ini dinamakan Morisko yang merujuk kepada kata asal Moors iaitu orang Islam yang berasal dari Maghribi.

Kini, lagu keroncong Morisko antara lagu keroncong popular di Indonesia. Mungkinkah ianya dicipta oleh seorang Portugis, yang datuk neneknya mungkin asal Islam yang dikerah menjadi tentera Portugis? Itu sebabnya muzik keroncong yang sudah diadun dengan muzik tempatan terasa begitu dekat dihati.

Buku Seni Muzik Keroncong ini adalah tulisan seorang tokoh penggiat muzik keroncong, Dr Ariff Ahmad yang merupakan karyawan tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Buku ini menceritakan tentang muzik keroncong di Malaysia, yang dipercayai diperkenalkan ke Tanah Melayu oleh pekerja buruh dari Indonesia yang berhijrah ke Malaysia untuk mencari pekerjaan. Penduduk dari Jawa berhijrah ke Malaysia untuk mencari pekerjaan. Seni muzik seperti gamelan, keroncong, kuda kepang, barongan, silat dan sebagainya dibawa bersama.

Tidak hairanlah banyak lagu keroncong Indonesia yang masyhur di Malaysia. Namun buku ini mendedahkan ramai tokoh Tanah Melayu yang mencipta lagu keroncong. Antara tokoh-tokoh yang terkenal masa itu ialah tokoh seperti Zubir Said, Ahmad Jaafar, P. Ramlee, Mohd. Wan Yet, Johar Bahar, Sudar Mohammad dan Zainal Ibrahim.

Lebih menarik buku ini memuatkan lirik lagu dan juga nota muzik lagu-lagu keroncong yang popular. Rupanya banyak sungguh lagu-lagu keroncong tulisan orang Malaysia tetapi mungkin tidak begitu diketahui ramai.

Minat sya kepada muzik keroncong juga telah memperkenalkan saya kepada para pendokong dan penggiat muzik keroncong di Indonesia. Saya telah dijemput bergabung ke keroncong@yahoogroups.com yang diusahakan oleh Adi Bangun. Saya jadi kerdil bila dibandingkan rakan-rakan di situ yang bermain muzik keroncong dan punya kumpulan muzik keroncong yang aktif bermain muzik keroncong. Saya jadi terkedu bila ditanya tentang muzik keroncong Malaysia. Saya hanya boleh menyebut nama seperti Kartina Dahari, Zubir Said dan M Nasir. Akhirnya buku ini sekurang-kurangnya memberitahu, Malaysia juga pernah punya karyawan keroncong yang berbakat.



Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails