Khamis, November 25, 2004

Islam di Andalus


Islam in Andalus
Ahmad Thomson
Muhammad `Ata'ur-Rahim
Ta-Ha Publication Ltd, London
ISBN 1 89794052 1
Diedarkan oleh Saba Islamic Media
RM45.50



Buku ini saya beli di sebuah kedai kecil yang terletak di lobby PWTC. Kebetulan, saya menghadiri MIA Conference di PWTC dua hari sebelum Ramadan. Mulanya, hanya ingin membeli akhbar hari itu, tapi maklumlah, kalau berjumpa kedai buku, pasti mahu membelek buku-buku yang ada di situ. Alangkah terkejut dan gembiranya saya bila menatap buku ini. Islam In Andalus!

Lama sudah saya mencari dan mengumpul buku berkenaan Andalus. Saya meminati apa juga yang berkait dengan Andalus, samada kebudayaan, sejarah, muzik, senibina, apa sahaja.

Saya telah membaca buku Sejarah Bani Umayah di Andalus tulisan Maruwiyah Ahmat, juga buku Perang Salib ditulis oleh Muhammad Al-Arusiy Al Matwiy yang ada menyentuh tentang kerajaan Islam di Andalus.

Saya masih mencari buku Tales of Al-Hambra tulisan Washington Irving yang menceritakan tentang kehebatan Al-Hambra di Granada. Saya juga belum berjumpa dengan buku Moorish Spain, tulisan Stanley Lane Poole.

Buku Islam in Andalus ini ditulis oleh Ahmad Thomson dan Muhammad `Ata 'Ur-Rahim. Saya mula membaca keseluruhan buku ini di dalam bulan Ramadan dan isi kandungannya benar-benar menimbulkan kesan yang mendalam kepada diri saya.

Bahagian awal buku ini menceritakan tentang kedatangan Islam ke Semenanjung Iberia yang dipimpin oleh Tariq bin Ziad pada tahun 712 dan kemudiannya dibantu oleh Musa bin Nusair. Kagum saya bila membaca bagaimana keadilan pemerintahan Islam telah mewujudkan nilai toleransi yang tinggi kepada penduduk Andalus yang berbilang bangsa, Islam Kristian dan Yahudi. Rasa takjub bila membaca tentang ketinggian ilmu pengetahuan masyarakat zaman itu yang sangat menghargai ilmu. Andalus telah berjaya menjadi gedung ilmu pengetahuan bagi penduduk dunia.

Bahagian kedua buku ini menceritakan tentang saat kejatuhan Islam di Andalus. Ianya bermula bila kerajaan Islam berpecah kepada beberapa kelompok kecil dan ada yang telah belot dan berpakat dengan Kerajaan Kristian. Bibit-bibit kejatuhan telah bermula di utara Spain seawal tahun 1212 dan berakhir dengan jatuhnya Granada pada tahun 1492.

Bahagian akhir ini telah menceritakan babak terakhir yang menyayatkan hati dari tahun 1492 hingga ke tahun 1609 apabila saki baki rakyat Islam telah dihalau dari bumi Andalus. Ada yang memberi anggaran seramai 600,000 hingga ke 3,000,000 orang telah dihambat keluar dari Spain dan ramai dari mereka yang tidak sempat sampai ke destinasi.

Buku ini selesai saya baca di penghujung Ramadan. Entah mengapa jiwa rasa sedih dan sebak. Adakah sedih meninggalkan Ramadan? Atau sedih dan sebak bila membaca kisah orang Islam disiksa, dibunuh, dihalau atau dipaksa meninggalkan agama Islam melalui gerakan Spanish Inquisition.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails