Jumaat, Ogos 27, 2004

Sakura Mengorak Kelopak



Buku Sakura Mengorak Kelopak yang
saya beli di Kinokuniya, KLCC
berharga RM59.90



Akhirnya saya selesai membaca buku Sakura Mengorak Kelopak karangan Sasterawan Negara Arena Wati. Dah lama sebenarnya saya mencari buku ini, kerana banyak komen yang telah saya dengar mengenai buku ini. Isteri saya tersenyum melihat saya membeli buku ini. Dia kata tak sesuai untuk kanak-kanak. Baru saya faham kenapa. Kerana dia membaca buku ini sewaktu di zaman persekolahan, ketika berumur belasan tahun. Sudah tentu, sudut pandangan seorang pelajar sekolah akan berlainan jika dia membaca sekali lagi setelah dewasa.

Saya mula mengenali karya penulis Melayu sewaktu di sekolah rendah. Karya Hamka adalah antara yang paling menarik perhatian. Saya mula meninggalkan zaman membaca buku fiksyen Melayu sewaktu di sekolah menengah dan mula berjinak-jinak membaca buku non-fiction dan mula beralih memilih buku berbahasa inggeris sebagai bahan bacaan.

Hanya setelah memasuki alam pekerjaan, saya merasa terdorong untuk kembali membaca karya agung sasterawan negara kita. Rasa bagai banyak yang telah saya terlepas. Lebih malang lagi, banyak karya agung penulis Melayu, amat sukar untuk didapati di pasaran. Kalau bernasib baik mungkin boleh dijumpai tersorok di salah sebuah kedai DBP.

Sakura Mengorak Kelopak adalah satu buku yang sangat menarik. Menceritakan tentang watak Michiko, seorang wanita Jepun yang kematian suami dan ingin melepaskan diri dari adat lama yang banyak menyebelahi lelaki. Beliau berkahwin dengan Atan, seorang sarjana Melayu yang juga kehilangan isteri. Ia kisah perjuangan seorang wanita, dan terselit juga kisah dua keluarga besar berperang dan merosakkan sebahagian besar bandar Tokyo.

Penulis amat bijak mengambil latarbelakang bangsa Jepun untuk menceritakan perjuangan sesuatu bangsa, yang sudah tentu amat relevan dengan bangsa Melayu yang masih tenggelam punca, mencari arah tuju dan mencari jati diri.

Buku ini cetakan terbaru oleh
Rhythm Consolidated Berhad dengan usahasama DBP yang berusaha untuk `mengabadikan karya abad ke- 20 yang bermutu tinggi dan mempunyai nilai klasik supaya tidak hilang ditelan zaman’. Sebanyak 42 buah buku yang pernah diterbitkan dari tahun 1925 hingga tahun 1996 telah diterbitkan semula.

5 ulasan:

mirachantek berkata...

Ibu saya beri saya pinjam buku ini. baru mula baca. sudah sampai bab 4.

komen2 positif buat saya mahu yerus membaca.

Muhamad Hafizuddin bin Ali berkata...

Sakura Mengorak Kelopak adalah sebuah karya yang mengagumkan. Terasa benar duduk dalam masyarakat Jepun. Penulis juga bijak mengharmonikan poligami. Menarik sekali apabila Michiko yang mencari haknya sebagai wanita meredhai poligami sepenuh hati...

awanbadai berkata...

Karya yang memang hebat, setelah berpuluh tahun membacanya, saya masih dapat mengingati beberapa kata2 hikmatnya yang amat berkesan di hati spt. "terpelihara dalam tangan yang kasih", perbalahan besar antara 2 kuasa di Jepun Sasaki Kyori dan Hideo Migoro, dan suasana gambaran masyarakat yang ditulisnya sungguh menepati dgn suasana masyrakat Jepun pada amnya.
Karya yang amat menyentuh rasa.

hasnizam berkata...

Saya baca masa umur 10 tahun...hahaha mmg beri kesan dlm hidup...

Idanoraini berkata...

Saya baca masa umur 12 tahun tapi dah tak ingat jalan cerita hahaha

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails