Memaparkan catatan dengan label sastera. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sastera. Papar semua catatan

Isnin, April 21, 2008

Cerita Forum di Alor Star

Saya terasa lebih muda bila menghadiri Forum Sastera Siber di Perpustakaan Awam Negeri Kedah di Alor Setar. Kesungguhan dan komitmen ahli ASASI yang akan bermesyuarat agung dan datang lebih awal ke forum tersebut sangat mengkagumkan saya.

Ini kali pertama saya digandingkan bersama drirwan dan Azizi Hj Abdullah di atas pentas yang sama. Saya sudah beberapa kali bertemu drirwan, pengasas dan orang kuat esastera.com begitu juga Azizi Abdullah yang sering berhubung dan bertemu di Bukit Mertajam.

Saya terpegun melihat Auditorium Perpustakaan Negeri Kedah yang luas dan sangat selesa. Merah warna kerusi dan latarpentas sangat menyerlah.

Majlis bermula dengan bacaan doa dan ucapan aluan oleh Ketua 1 ASASI, Sdr Shaidun Shaari. Majlis disempurnakan oleh Pengarah Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kedah, Encik Kasim Mahmud yang membacakan teks yang sangat menarik, walaupun saya kurang beri tumpuan.

Penyair Zaidin Abadi menjadi pengerusi forum pagi itu. Beliau berjaya mengawal majlis dengan bergaya. Saya jadi terkedu bila forum dijalankan secara soal-jawab. Saya sangkakan panel diberi masa untuk berucap dan kemudian baru dibuka sesi soal-jawab. Apa yang sudah saya aturkan di dalam kepala jadi berterabur. Mujur pengerusi bijak bertanya soalan yang bagus untuk dijawab panel.

Saya sebenarnya risau bila diperkenalkan sebagai seorang blogger. Risau orang tidak faham maksud sebenar blog. Blog bukan hanya untuk kritik kerajaan. Blog satu medium bebas yang boleh diguna untuk sebarang tujuan. Saya hanya seorang peminat buku yang kebetulan mempunyai sebuah blog. Saya mencatat pengalaman saya bersama buku. Saya kongsi keseronokan mencari buku dan bertemu peminat buku.

Forum Sastera Siber pagi itu menjadi panas bila Azizi Abdullah membuat kenyataan provokatif yang bersetuju bahawa sastera siber memang menjadi virus kepada sastera konvensional. Sastera di internet menurut beliau penuh dengan karya tidak bermutu yang beiau anggap sebagai sampah.

Berbagai pendapat menyokong dan menentang dikemukakan ahli panel juga para peserta forum yang sangat menarik. Kesempatan diambil oleh drirwan untuk menerangkan tentang esastera.com yang telah berjaya menjadi penggiat utama sastera siber.

Saya berharap para peserta dapat memahami kepentingan dunia internet kepada penggiat sastera. Internet tidak mungkin dapat menggantikan karya cetak. Buku dan kertas memang lebih intim dengan pembaca. Tidak ada keseronokan yang lain bagi peminat buku selain dapat membelai helaian kertas dan mencium kesegaran bau buku yang baru dibeli. Peminat buku akan jadi seperti kanak-kanak kecil yang mendapat permainan baru, apabila dapat ke kedai buku.

Namun, penguasaan internet adalah senjata baru masakini yang perlu dipelajari. Senjata di hujung tangan ini, begitu tajam sehingga boleh menikam penguasa yang dulunya kebal. Dunia Internet adalah dunia demokrasi di mana hujah berlawan hujah tanpa idea bebas disebarkan tanpa sekatan. Menang dan kalah bukan lagi berdasarkan kekuatan fizikal, tetapi kekuatan ilmu dan kecepatan menyampaikan maklumat.

Blog adalah medan yang sangat berguna dan berkesan untuk memperkukuhkan karya sastera. Sayang sekali jika penggiat sastera memusuhi penulis blog yang menulis secara percuma dan mensia-siakan peluang dan medan yang terbuka luas!

Terima kasih orang Alor Star atas layanan mesra. Enaknya hidangan pulut nyior dan ikan tamban!


Sabtu, April 19, 2008

Forum: Sastera Siber: Virus Dalam Sastera Malaysia?

Salam Sejahtera

Sdr dijemput ke;

Forum: SASTERA SIBER: VIRUS DALAM SASTERA MALAYSIA?

Panel:

Prof Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas (eSastera),
Sasterawan Azizi Hj Abdullah,
Penulis/Blogger Jiwarasa.

Pengerusi forum: Penyair Zaidin Abadi.

Tempat : Dewan Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.
Tarikh : 19 April 2008
Jam : 9.00 pagi

Anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah dan ASASI

Maklumat lanjut sila hubungi sdr brirasa (017-4336374)

Sabtu, Februari 16, 2008

Kuras-Kuras Kreatif - Azizi Abdullah

.
Kuras-Kuras Kreatif
Azizi Hj.Abdullah
Dewan Bahasa dan Pustaka 2007
RM14.00
146 halaman


Saya sedang sarapan pagi di Ipoh apabila telefon sel saya berbunyi. Ustaz Azizi Abdullah. Beliau ingin ketemu di pejabat.

Saya lambat sampai ke Bukit Mertajam pagi itu. Ustaz Azizi Abdullah sudah menunggu di lobi. Dua buah buku diunjuk kepada saya. Buku Kuras-Kuras Kreatif dan Mustadh'afin yang tertindas. Hadiah dari saya, kata beliau.

Hanya peminat buku yang tahu betapa gembiranya hati menerima hadiah buku! Apa lagi bila yang menghadiahkannya ialah penulis buku terkenal yang memang saya kagumi dari kecil. Azizi Abdullah yang pernah menjadi penerima Sea Write Award. Penulis novel Seorang Tua di Kaki Gunung.

Kuras-Kuras Kreatif saya mula baca petang itu juga. Helaian pertama tertulis nama saya, dengan ingatan ikhlas dari penulisnya. Buku ini memang dalam senarai yang akan saya beli. Azizi Abdullah menceritakan pengalaman beliau menulis dan berkarya. Segala rahsia beliau berkarya dikongsi di dalam buku ini. Bagaimana pengalaman beliau dan keluarga menjadi bahan utama dalam tulisan beliau. Saya dapat merasakan betapa kuatnya pengaruh seorang Ayah dalam hidup beliau. Pengalaman hidup beliau semasa kecil yang begitu dekat dan mesra dengan alam telah menghasilkan karya yang diingati pembaca. Laut dan sungai, sawah, padi dan lumpur; juga bukit, hutan dan pokok bagi sudah sebati dengan hidup penulis. UNsur-unsur alam inilah yang menjadi inspirasi Azizi yang digarap dengan begitu baik sekali dalam karya-karya beliau.

Menariknya buku ini, Azizi menulis dengan penuh jujur dan tidak berselindung, sehingga rahsia-rahsia yang mungkin dianggap peribadi juga diceritakan. Kisah beliau yang rajin mengunjungi tempat maksiat untuk mencari ilham menulis, kisah perempuan-perempuan yang pernah singgah dalam hidup beliau, juga kisah beliau semasa kecil, sangat-sangat menarik hati saya. Begitu juga tabiat dan kegemaran beliau semasa berkarya.

Buku ini selesai saya baca hari yang sama, bermula selepas Asar dan selesai sebelum Isyak. Buku ini saya syorkan kepada sesiapa yang mahu menulis. Mereka yang pernah membaca karya Azizi Abdullah juga akan lebih menghargainya apabila membaca pengalaman kreatif beliau menulis.

Terima kasih, Tuk Ya!


kuras - helaian kertas yg digunakan dlm percetakan buku dan dilipat-lipat serta dikerat menjadi beberapa muka (Kamus Dewan Edisi Ketiga 2002)

Isnin, Mei 07, 2007

Aktiviti Sastera DBP Wilayah Utara

.
.



Saya terima email daripada Puan Khairiyah Ghazali, DBP Wilayah Utara, mengenai aktiviti di Pulau Pinang. Eloklah saya siarkan di sini buat rakan-rakan di kawasan utara yang berminat.


Bengkel Penulisan Puisi
11-12 Mei 2007
9.00 pagi-5.00 petang
Dewan JKK, Kongsi,
Balik Pulau



Program anjuran bersama DBP Wilayah Utara dan Pusat Khidmat KADUN Pulau Betong bertujuan untuk memberi pendedahan dan teknik penulisan puisi yang betul kepada para peserta. Bengkel akan dikendalikan oleh SN Datuk A. Samad Said dan Saudara Rahimidin Zahari. Peserta terdiri daripada guru-guru di Daerah Barat Daya, ahli Badan Kesenian dan Kebudayaan Balik Pulau serta orang persaorangan yang berminat dengan bidang penulisan puisi. Penyertaan terhad kepada 30 orang sahaja. Sila hubungi urus setia dengan segera untuk pengesahan penyertaan.



Perasmian Anjung Indah
&
Deklamasi Puisi Lidah Ibunda

11 Mei 2007

8.00 hingga 11.00 malam

Anjung Indah, Bukit Penara,
Jalan Tun Sardon, Balik Pulau


Merupakan program anjuran bersama DBP Wilayah Utara, Pejabat Daerah dan Tanah Balik Pulau dan Pusat Khidmat KADUN Pulau Betong. Perasmian Anjung Indah akan disempurnakan oleh T.Y.T Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Dato’ Seri Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas.

Majlis Deklamasi Puisi Lidah Ibunda merupakan acara baca puisi dalam dialek daerah dan negeri-negeri di Malaysia yang akan disampaikan oleh pemuisi-pemuisi undangan seperti SN Datuk A. Samad Said, Sdr. Khalid Salleh, Dr. Zakaria Ali, Dr Samad Salleh, Sdr. Rahimidin Zahari, YB Haji Muhamad Farid Saad, dan beberapa orang pemuisi undangan yang lain. T.Y.T. Tun akan turut mendeklamasikan puisi pada majlis berkenaan.

Semua dijemput hadir.


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Puan Khairiyah Ghazali, 04-5377242
e-mel kriyah@dbp.gov.my


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails