Memaparkan catatan dengan label melayu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label melayu. Papar semua catatan

Sabtu, Februari 26, 2011

Dah lagu tu. Nak lagu mana lagi!!











 Sampul album Phoenix Bangkit M Nasir. Lirik lagu Dah Lagu Tu! dan Lukisan Bayu Uomo Radjikin




Dah Lagu Tu !
(lagu dan lirik M Nasir)

Istanamu telah lama didakap debu
Serinya pula telah hilang
Aku datang tepat waktu
Tapi kau masih ragu kesan luka lalu

Raja-raja dulu telah fana dimakan zaman
Kini tinggal kau tanpa pilihan
Kecuali mahu membiarkan
Hidup di awang-awangan
Mengharapkan yang tak mungkin menjelma

Dah lagu tu nak lagu mana lagi
Biar bagaimanapun kau cuba menghindari
Aku berikan padamu kembang penawar luka
Tiada lagi hari sedihmu

Raja-raja dulu telah fana di makan zaman
Kini tinggal kau tanpa pilihan
Kecuali mahu membiarkan
Hidup di awang-awangan
Mengharapkan yang tak mungkin menjelma

Sanggupkah kau melepaskan cinta
Dan menantikannya untuk selamanya
Aku berikan padamu kuntum penawar luka
Tiada yang lebih dari itu

Dah lagu tu nak lagu mana lagi
Biar bagaimanapun kau cuba menghindari
Aku berikan padamu kembang penawar luka
Tiada hari seindah ini


Lama rasanya saya tak mendengar semula lagu-lagu M Nasir dan menghayati lirik-liriknya. Dahulu, lagu-lagu M Nasir menjadi antara sumber inspirasi saya untuk meneroka mencari maklumat dan ilmu. Lirik-lirik lagu nyanyian M Nasir, khasnya lagu-lagu dalam album Phoenix Bangkit membawa pendengar meneroka ke merata dunia dan merentas zaman. Kisah Jalaludin Rumi dan Mathnawi dilahirkan dalam lirik lagu Bila Rumi Menari. Kisah Pandawa dan Kurawa yang diangkat dari epik Mahabrata digubah dengan begitu indah dalam lagu Langgam Pak Dogo. Lagu Raikan Cinta menggali semula sejarah Siti Hajar dan Nabi Ismail. Lagu Masirah pula mengimbau kisah Muhammad ad Durrah, kanak-kanak berumur 12 tahun yang dibunuh Isarael.

Lagu Dah lagu tu! adalah antara lagu yang saya minati. Mendengar lagunya membuahkan rasa rindu pada leluhur. Rindu pada zaman dahulu. Zaman raja-raja dahulukala. Lagu ini sarat dengan pengaruh muzik Sunda. Tiupan seruling oleh Mohar bisa membuai rasa. Ditambah pula getar petikan kecapi Sunda oleh Zarul Al-Bakri yang berselang seli oleh ketukan gendang Sunda oleh Ramli Jawa.

Iramanya mendayu-dayu diperkemaskan lagi dengan lirik yang mempunyai kisah dan makna yang sangat menarik. Lagu ini terbit di awal tahun 2000 ketika suasana politik dalam negara masih panas bahangnya. Ia mengisahkan kisah seorang Maharaja yang sudah lama duduk di puncak kekuasaan. Lamanya di tampuk sehingga sukar mahu melepaskan takhta. Lebih menarik lagi, tajuk lagu itu `Dah Lagu tu' adalah dialek dari negeri sebelah utara. Mujurlah orang Melayu sudah ramai yang tidak memahami bahasa Melayu dan tidak memahami maksud yang tersirat di sebalik lirik lagu ini. Jika tidak, sudah tentu ada kelompok yang mahu menjerit mahu membakar album Phoenix Bangkit karya M Nasir ini.

Kini, putaran hidup bermula lagi. Pemimpin-pemimpin dunia di negara Arab sudah diminta turun dari puncak kuasa. Siapa sangka pemimpin yang pernah dijulang sebagai hero dan penyelamat bangsa boleh diturunkan dengan hina dan paksa. Bukan sedikit jasa dan budi mereka dahulu, lalu dijulang oleh rakyat ke tampuk kuasa. Namun, begitulah adat, bila sudah lama duduk di kerusi empuk, kadang-kadang lupa nasib  rakyat yang hidup berlantaikan tanah berbumikan langit. Lama sangat di tampuk, tidak sedar rupanya orang sudah tidak berkenan lagi.

Jangan cepat sangat bersorak melihat mereka diseret ke bawah oleh rakyat, tanpa mahu mengambil iktibar. Ini pesan untuk semua. Pemimpin besar dan kecil. Bukan raja-raja sahaja boleh jatuh. Pemimpin kecil juga boleh jatuh jika tidak menjunjung amanah. Memimpin itu amanah yang akan ditanya nanti. Harus diingat, yang menjawab nanti bukannya mulut kita, tetapi mulut mereka yang kita pimpin.

Rabu, Mac 11, 2009

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan

.


Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan sudah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 152 ini tidak boleh dipinda oleh parlimen. Ianya hanya boleh diubah dengan persetujuan Majlis Raja-Raja.

Sebarang usaha untuk menidakkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pelajaran adalah satu jenayah kepada perlembagaan dan negara.

Jika seminggu dua ini ada yang berarak mengikat kain kuning di kepala mahu mempertahankan kedaulatan Raja-Raja, mereka juga sepatutnya melakukan perkara yang sama terhadap kedaulatan bahasa Melayu. Jika selama ini ada pihak yang berteriak mahu mempertahankan kontrak sosial, status bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar juga perlu mereka pertahankan, kerana ianya juga sebahagian dari kontrak sosial.

Malangnya pihak yang sepatutnya berjuang, tidak berjuang, malah menentang usaha mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan. Organisasi dan pertubuhan yang ada nama Melayu di hujungnya tidak ambil peduli untuk mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah kebangsaan. Akhbar yang ada nama Melayu juga tidak ambil peduli malah kuat menentang pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu.

Mungkin sudah tiba masanya buat organisasi dan pertubuhan ini untuk melihat kembali fasal-fasal dan tujuan yang tertulis dalam perlembagaan pertubuhan masing-masing.

Lihat dan baca semula. Lihat semula frasa seperti `Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal' yang mungkin sudah tidak sesuai. Jika benar begitu, gugurkan sahaja dan lucutkan bersama nama Melayu yang melekat di hujung nama.


Perkara 152. Bahasa kebangsaan.

(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen:
Dengan syarat bahawa—
(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain
bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan
(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan
atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

(2) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari
Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, bahasa
Inggeris boleh digunakan di dalam kedua-dua Majlis Parlimen, di dalam Dewan
Undangan tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain.

(3) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari
Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, teks sahih—
(a) segala Rang Undang-Undang yang hendak dibawa atau pindaan kepadanya
yang hendak dicadangkan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen; dan
(b) segala Akta Parlimen dan segala perundangan subsidiari yang dikeluarkan
oleh Kerajaan Persekutuan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(4) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari
Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala
prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dalam bahasa Inggeris:
Dengan syarat bahawa, jika Mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak perlu diterjemahkan ke dalam atau direkodkan dalam bahasa Inggeris.

(5) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam mahkamah rendah, selain pengambilan keterangan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(6) Dalam Perkara ini, "maksud rasmi" ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.

Sabtu, Januari 31, 2009

Keranda 152 - Usman Awang

.

KERANDA 152

Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
Kita arak keranda 152
Ke tanah perkuburannya Parlimen

Sepuluh tanah nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi

Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu
Namamu telah diseru
Jawablah
Sebelum lidahmu jadi bisu


Usman Awang (1967)



Puisi tulisan Usman Awang ini akan diabadikan di atas kemeja T oleh rakan kita, lanterajiwa. Saya syorkan semua pengunjung blog ini supaya memesan kemeja T ini dari blog lanterajiwa.

3 Mac ini genaplah 42 tahun peristiwa mengusung Keranda 152 oleh pejuang bahasa Melayu di tahun 1967.

Saya ada menulis tentang peristiwa Keranda 152 ini di sini. Catatan itu boleh dibaca di banyak laman web dan blog walaupun tidak disebut sumber asalnya.

3 Mac 1967, Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967 diluluskan oleh Dewan Rakyat. Peristiwa itu akan dikenang dalam sejarah sebagai saat pengkhianatan kepada Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar utama. Pengkhianatan kepada sumpah dan janji menjelang kemerdekaan Tanah Melyu 10 tahun sebelumnya itu, dilakukan oleh ahli parlimen kerajaan Perikatan dari UMNO, MCA dan MIC. Bangkangan hebat dari PAS di dalam Dewan Rakyat telah tidak dilayan. Datuk Asri Muda, Yang DiPertua PAS telah memberi pidato bersejarah di Dewan Rakayat yang kemudiannya dikenali sebagai Rakyat Menggugat.

Saat rang undang-undang itu diluluskan di parlimen, saat itulah juga pejuang bahasa dari berbagai golongan, termasuk juga ahli UMNO yang tidak bersetuju, berhimpun di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai usaha terakhir menyuarakan penentangan terhadap pindaan itu. Peristiwa penuh emosi itu berakhir dengan kehampaan apabila suara orang Melayu telah diketepikan begitu sahaja dan dikecewakan oleh pemimpin Melayu sendiri.

Tahun 2001 menyaksikan apa yang disuarakan dan ditentang oleh pejuang bahasa di tahun 1967 menjadi kenyataan. Keranda 152 bagai sudah dipaku rapat dan sedia untuk dikambus apabila bahasa Melayu diketepikan sebagi bahasa ilmu dalam pengajaran Sains dan Matematik di sekolah.

Penghujung tahun 2008 mula kelihatan riak-riak pejuang bahasa sudah mula bersuara. Selama ini ramai tokoh bahasa Melayu yang tenggelam dalam dunia sendiri. Seronok sendiri berhimpun membaca puisi yang tidak didengar orang. Sibuk mencari Melayu di Afrika hingga lupakan nasib Melayu di tanah sendiri. Tambah seronok bila ada yang diberi gelar pendita, lalu khusyuk membilang biji tasbih dan lupa untuk mengambil peranan dalam masyarakat. Saat menjelang pilihanraya 2008 yang sepatutnya menjadi medan dan peluang paling penting untuk melobi sokongan kepada perjuangan mengangkat bahasa Melayu telah berlalu begitu sahaja.

Adakah tahun 2009 akan memahat sejarah sebagai titik perubahan ke arah usaha mengembalikan bahasa Melayu ke tempat asalnya?


Samad Said: Jika demo gagal, undi protes PPSMI

Himpunan bantah PPSMI di Sogo esok

Selasa, Oktober 28, 2008

Jiwa Hamba - terbaru dari Azizi Abdullah

Jiwa Hamba

Buku Baru:
Sudah Terbit Sebuah lagi Tulisan Azizi Abdullah, Terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Sebuah Buku Kritikan Adat Di Antara Yang Menyebabkan orang Melayu Mundur.

Pedas! Berani! Berterus Terang!

Nama Buku : JIWA HAMBA
Penulis : Azizi Hj. Abdullah
Penerbit : Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Tebal : 168 muka
Harga : RM15.00 (Termasuk pos)

(Pesan kepada Azizi Hj Abdullah, 424 Taman Bersatu, 09000 Kulim Kedah, HP 012 4396060. E-Mail: tukya_azizi1426@yahoo.com.my.)

Bayaran mestilah dijelaskan melalui Kiriman Wang atas nama Azizi bin Abdullah.


Jumaat, April 11, 2008

50 Tahun Politik Orang Melayu

.

50 Tahun Politik Orang Melayu – Apa Yang Kita Cari?

Penulis : Razali Endun
Penerbit : Badan Penulis dan Karyawan Kreatif (PIKIR)
ISBN 978-983-41118-4-7
Cetakan Pertama 2008
178 mukasurat
RM20.00

Pertama kali saya bertemu dengan Pak Razali Endun ialah semasa program Kata-Suara 3 di RA Fine Gallery 15 Mac yang lalu. Saya membacakan petikan tulisan SN Shahnon Ahmad dalam buku Semarak Angin Semarak Api. SN Shahnon menyebut dalam buku itu, Patriach merupakan karya yang lebih `ganas’ dan `bengis’ berbanding novel Shit. Pak Razali bersuara dan berkata, Shit sebuah karya yang hebat kerana telah berjaya menimbulkan rasa marah dan benci dan meluat pembaca.

Pak Razali Endun adalah tokoh penulis yang prolifik dan mula saya minati dan baca tulisan beliau semasa era reformasi. Beliau komited mengusahakan beberapa akhbar tabloid dan majalah politik. Beliau rajin menulis esei politik juga karya sastera yang jelas dan sarat dengan mesej politik.

Penulis buku ini telah cuba untuk melihat kembali perjalanan politik orang Melayu selama 50 tahun yang lepas. Buku ini yang ditulis sebelum pilihanraya umum yang ke 12 saya rasakan sebuah buku yang seimbang dan memadai dalam melihat sejarah politik orang Melayu.

Buku ini dimulai dengan menyusuri sejarah asal usul orang melayu. Beberapa pendapat dikemukakan. Analisa DNA Mitokrondia mengatakan orang Melyu berasal dari Austronesian atau selatan Monggoliad iaitu daerah Fujian atau Zhejian kira-kira 4,000 ke 6,000 tahun dahulu. Dikemukakan juga Teori Yunan yang mengatakan Orang Melayu berasal dari Asia Tengah.

Buku ini menyentuh sejarah nasionalisme Melayu yang bermula lama sebelum penubuhan UMNO. Perjuangan menentang Belanda di Indonesia dihimbau, yang menjadi inspirasi kemunculan KMM di Tanah Melayu.

DEB yang tiba-tiba popular baru-baru ini juga telah disentuh oleh penulis. Dasar yang bermula baik boleh tergelincir dari landasan bila para pemimpin mula lupa sejarah, lupa peranan, lupa roh dan semangat perjuangan yang asal.

Buku ini mengulas tentang perjuangan dan pegangan parti-parti politik tanahair yang berteraskan bangsa Melayu. Sumbangan dan komitmen parti-parti seperti UMNO, PAS dan PKR terhadap perjuangan kepentingan bangsa Melayu telah dibincang dengan sangat menarik.

Rujukan dibuat terhadap perjuangan parti politik parti kaum lain khususnya parti berasaskan orang Cina. Strategi politik yang mementingkan kepentingan bahasa dan bangsa dan melangkaui kepentingan politik kepartaian menarik untuk diperbandingkan.

Buku ini ditulis sebelum lanskap politik negara berubah. Ia ditulis sebelum keputusan pilihanraya diumumkan. Walaupun kandungan buku ini tidaklah sepenuhnya bersifat ilmiah tetapi usaha penulis untuk menyentuh isu yang penting untuk kepentingan bangsa dan bahasa patut dipuji. Usaha mempertingkatkan bangsa dan bahasa dengan cara yang betul, tidak menzalimi orang lain, tidak menindas kaum lain bukanlah sesuatu yang keji. Ianya suatu yang natural dan memang dituntut.

Menjelang pilihanraya, saya mencari suara-suara yang mahu berjuang tentang kepentingan bahasa, seni, budaya dan bangsa Melayu. Hampir tiada. Yang ada hanya mereka yang mahu memenangkan parti masing-masing dengan mempergunakan agenda Melayu sebagai alasan untuk memancing undi. Lebih hodoh lagi, yang gunakan parti, untuk kepentingan diri, walaupun mulut beratib konon mahu memperjuangkan kepentingan Melayu.

Kini, bila pilihanraya berlalu, barulah mula kedengaran suara golongan yang mahu memperjuangkan kepentingan Melayu. Tiba-tiba mahu berkumpul, berkongres, mahu bincang tentang perjuangan dan masadepan Melayu. Tiba-tiba muncul NGO Melayu. Sebelum ini entah di mana mereka bertapa.

Penulis buku ini antara segelintir yang menulis tentang perjuangan bangsa Melayu sebelum pilihanraya. Razali Endun ini berjaya menyingkap sejarah perjuangan bangsa Melayu sepanjang 50 tahun dengan begitu baik sekali. Terima kasih Pak Razali.

Khamis, Disember 06, 2007

Novel 50 Tahun DBP

.

Akhirnya buku-buku di atas jadi milik saya juga. Dah berjanggut saya menunggu. Entah sudah berapa kali saya melangkah ke Kedai Buku DBP Kawasan Utara. Sudah naik malu saya bertanya bila buku-buku ini akan mula dijual. Saya sudah merajuk bila kali terakhir ke sana dua minngu lepas dan pulang dengan hampa.

Novel-novel di atas bukan novel sebarangan. Novel pemenang utama Hadiah Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP. Ianya anjuran DBP sendiri. Ianya bukan sekadar hadiah peraduan menulis biasa. Novel-novel ini adalah pemenang Sayembara mengenang 50 tahun perjuangan sebuah badan yang diamanahkan untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan. Ianya meraikan perjuangan sebuah badan yang wujud untuk memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu, bahasa intelektual dan bangsa perpaduan.

Apabila DBP digelar dengan berbagai gelaran yang tak sedap didengar, memang timbul rasa kasihan. Macam-macam orang kata. Yang mengata tu pun kadang-kadang, bukannya banyak sangat sumbangannya pada pembangunan bahasa pun. Mengata DBP mandul minda, yang mengata itupun dua kali lima juga. Sama-sama mandul minda dan tindakan. Tapi, ialah. Mengata orang memang sedap dan murah. Bukannya payah keluar modal pun. Silap-silap beroleh pula keuntungan peribadi.

Namun, kadang-kadang terasa patut juga DBP digelar macam-macam, apabila projek dan karya yang diterbitkan untuk mengenang diri sendiri sebegini pun dibuat sambil lewa sahaja. Buat tugas hakiki seperti buat kerja sambilan. Sama taraf sahaja dengan blogger macam saya yang menulis secara main-main, sambil mengisi masa lapang.

Nasib saya juga baik hari ini bila terserempak dengan penulis Aziz Hj Abdullah di Kedai Buku DBP. Dapatlah buku bertandatangan bertulis nama Jiwarasa. Novel Sangeetha tulisan beliau baru memenangi Hadiah Sastera Asia Tenggara ( Hadiah Sastera Mastera ke 5) minggu lepas. Seronok berbual tentang pengalaman beliau berkarya. Terima kasih kerana saya dapat beli buku dengan harga murah.

Kalau ikutkan hati, saya mahu baca kesemua buku yang tersenarai di bawah, tetapi rasanya bukan kesemuanya ada terjual di sini. Cukuplah empat novel di atas buat masa ini. Itupun saya tak tahu nak mulakan novel yang mana dahulu. Ada cadangan?


Pemenang Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP

Novel

Hadiah Pertama (RM50,000) - Faisal Tehrani "Bedar Sukma Bisu"
Hadiah Kedua (RM40,000) - Azizi Haji Abdullah "Harga Sebuah Maruah"
Hadiah Ketiga (RM30,000) - SN Shahnon Ahmad "Mahabbah"

Hadiah Saguhati (RM10,000 setiap satu)
1. Mohamad Faizal Jamil "Anak Ruma' Kadang"
2. Zaharah Nawawi "Bulan dan Mentari"
3. Mohamad Khalid bin Hamzah "Kabus di Perbukitan"
4. Osman Ayob "Ombak Bukan Penghalang"
5. Noraini Osman "Kembali Sebutir Mutiara"
6. Muhd. Nasruddin Muhd. Dasuki "Langit Angsana"
7. Nasruddin Mohammed "Menara"



Novel Remaja

Hadiah Pertama (RM20,000) - Faisal Tehrani "Manikam Kalbu"
Hadiah Kedua (RM15,000) - Nurul Salwa Abdul Muluk "Epilog Sekeping Hati"
Hadiah Ketiga (RM10,000) - Fatimah Syarha Mohd Noordin "Seindah Mawar Berduri"

Hadiah Saguhati (RM5,000 setiap satu)
1. Osman Ayob "Gelombang Buana"
2. Ramlah Rashid "Jeriji Kasih"
3. Nada Haifaa Remlle "Khilaf"
4. Sarimah Othman "Rentak Galur"

Jumaat, September 21, 2007

The Reluctant Politician - Tun Dr Ismail

.



The Reluctant Politician
: Tun Dr. Ismail and his time
Harga : RM68.00
Penulis: Ooi Kee Beng
Penerbit: ISEAS
Tahun: 2007
Halaman: 311

Buku ini saya baca menjelang ulangtahun kemerdekaan Tanah Melayu yang ke 50. Saya tulis catatan ini beberapa hari selepas ulangtahun pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. Malaysia terbentuk dari gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Orang puteh tak reti nak sebut Tanah Melayu lalu disebut Malaya. Lahirnya Malaysia, hilanglah nama Malaya, dan hilanglah juga istilah Tanah Melayu.

Tun Dr Ismail adalah tokoh penting dalam pembentukan Negara Malaya dan Malaysia. Beliau diingati sebagai antara tokoh yang dihantar ke England untuk merayu pihak British supaya dianugerahkan kemerdekaan.

Ingatan saya tentang tokoh Tun Dr Ismail sebenarnya samar-samar. Saya baru berumur 3 tahun apabila beliau meninggal dunia tahun 1973. Saya ingat-ingat lupa. Mungkin juga kerana kami masih belum punya TV masa itu. Saya ingat kematian Tun Razak pada tahun 1974, kerana terbayang visual hitam putih di TV, peristiwa kematian tersebut.

Tun Dr Ismail juga merupakan antara anak Melayu yang awal melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran. Beliau merupakan anak Melayu pertama memperolehi ijazah doktor perubatan dari Universiti Melborne, Australia pada tahun 1945. Membaca surat beliau semasa melanjutkan pelajaran di Australia sangat menyentuh perasaan. Beliau menulis tentang kesunyian beliau duduk di rantauan.

Selepas Merdeka Tun Ismail menjadi di Duta pertama Malaya ke Amerika Syarikat, juga Duta ke Bangsa-Bersatu. Tun Dr Ismail menjawat jawatan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dari tahun 1960 hingga 1967. Beliau kemudian meletakkan jawatan atas sebab kesihatan.

Tahun 1969, terjadinya Peristiwa !3 Mei, beliau telah dipujuk oleh Tun Razak untuk menyertai kerajaan dalam Majlis Mageran pada 14 Mei, 1969. Tun Ismail menjadi tulang belakang Mageran apabila dilantik memegang Portfolio Menteri Dalam Negeri. Beliau adalah mastermind dalam membangunkan Malaysia.

Baru saya tahu rupanya, Keluarga Kuok, terutamnya Phlip Kuok dan Robert Kuok, jutawan gula adalah kenalan baik keluarga Tun Dr Ismail semenjak kecil.

Tun Dr Ismail sering kelihatan dengan paip. Beliau gemar menghisap tembakau menggunakan paip. Rupanya kegemaran itu dipengaruhi oleh minat Tun Dr Ismail kepada watak Sherlock Holmes dalam novel Arthur Conan Doyle, seorang penyiasat yang gemar menghisap paip tembakau.

Buku ini mendedahkan banyak perkara yang saya tidak tahu mengenai Tun Dr Ismail. Tun Dr Ismail antara Menteri yang dilantik dalam kabinet Tuanku Abdul Rahman. Beliau menjadi orang penting dan tonggak dalam pentadbiran Parti Perikatan. Selama ini ketokohan Tunku Abdul Rahman danTun Razak selalu diperbesar-besarkan. Sebenarnya ketokohan dan wibawa Tun Dr Ismail lah yang menyebabkan wibawa Tun Razak terserlah. Ini terbukti apabila Tun Dr Ismail dilantik oleh Tun Razak menjadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1970.

Tun Dr Ismail dan Tun Razak juga menyimpan satu rahsia besar, iaitu tentang keadaan kesihatan keduanya-duanya. Rupa-rupanya, kedua-duanya memang tahu yang Tun Razak menghidap leukemia.Tun Ismail menghidap ketumbuhan dan juga penyakit jantung. Kedua-duanya telah berikrar untuk tidak mendedahkan rahsia ini kepada sesiapa, malah keluarga terdekat. Mereka bimbang jika masalah ini diketahu ramai akan menimbulkan keresahan, dan kebimbangan rakyat kepada pemimpin dan kerajaan sebuah negara yang baru keluar dari penjajahan.

2 Ogos, 1973, Tun Ismail mengalami serangan jantung. Beliau meminta anak perempuan beliau memanggil doktor kerana katanya, dia `akan mati’. Tun Dr Ismail meninggal dunia ketika berumur 57 tahun. Tun RAzak sebagai Perdana Menteri ketika itu, berada di lura Negara, lalu Tun Dr Ismail telah memangku jawatan Perdana Menteri. Tun Dr Ismail meninggal sebagai pemangku Perdana Menteri Malaysia dan menjadi pemimpin negara pertama dikebumikan di Makam Pahlawan.

Pemimpin yang tidak berebut jawatan, malah tidak mahukan jawatan seperti Tun Dr Ismail sukar dicari ganti. Pemergiannya akan diingati generasi kini. Generasi akan datang, jika tidak mengkaji sejarah, mungkin hanya mengingati Tun Ismail sebagai nama sebuah taman perumahan di pinggir Petaling Jaya.

Jumaat, Ogos 24, 2007

Robohnya Kota Melaka

.




Seminggu lagi rakyat Malaysia akan merayakan ulangtahun kemerdekaan yang ke 50 (Kemerdekaan Tanah Melayu sebenarnya. Malaysia hanya lahir 16 September 1963)

Kita merdeka baru 50 tahun, tetapi kita terjajah lama. Kerajaan Melayu Melaka yang bermula tahun 1402 oleh Parameswara pernah menjadi sebuah empayar agung. Pelabuhan Melaka pernah jadi entreport, pusat dagangan bertaraf dunia. Tempat pedagang dari benua India dan China bertemu dan berdagang barangan dari pelusuk dunia. Kerajaan Melaka pernah membuat hubungan diplomatik dengan Kerajaan China, bahkan Raja Melaka pernah berkahwin dengan puteri Raja China, Puteri Hang Li Po

Kerajaan Melayu Melaka bertahan lebih 100 tahun sehingalah Kota Melaka jatuh ke tangan penjajah dalam tahun 1511.

Peristiwa kejatuhan Melaka itu patut dikenang buat iktibar semua. Semenjak tarikh itu, kita dijajah penjajah laknat selama hampir 450 tahun. Bermula Portugis selama 130 tahun dari 1511 hingga 1641, kemudian diserah kepada Belanda selama 183 tahun (1641- 1824). Tanah Melayu berganti pemilik kepada Inggeris, bertukar bagaikan barang dagangan. Inggeris menjajah dan menjarah hasil mahsul Tanah Melayu selama lebih 130 tahun. Habis hasil mahsul negara dibawa balik England. Tidak cukup dengan penduduk tempatan, kuli dari India dan China di bawa masuk untuk bekerja di estet getah dan lombong bijih.

Portugis mula datang ke Melaka pada tahun 1509 yang diketuai oleh Lopez de Sequirea. Kedatangan Portugis sebenarnya adalah sebagai manifestasi kebebasan dari kerjaan Islam dan membawa ruh Reconquista. Ia bermula pada tahun 1492, apabila kerajaan Islam terakhir di Andalusia ditumpaskan oleh Raja Ferdinand dan Permaisuri Isabella. Raja Abu Abdillah, yang dipanggil Boabdil menyerahkan Granada kubu terakhir kerajaan Islam di Granada iaitu Al Hambra dengan tangisan.

1492 bermulalah pengusiran dan pembunuhan orang Islam di Andalus. Orang Islam yang dipanggil Moors atau kemudiannya dipanggil Moriskos dihalau ke Morocco. Mereka yang tinggal dipaksa menukar agama ke agama Kristian. Berbagai hukuman keras dan kejam dilaksanakan kepada mereka yang enggan.

Atas semangat Reconquista inilah pelayar-pelayar dari Portugis dan Sepanyol keluar menjelajah ataupun menjajah dunia.

10 Ogos 1511, Alfonso d Albuquerqe telah datang menyerang Melaka. Setelah berlawan dan bertikam untuk mempertahankan Melaka, akhirnya pada 24 Ogos , 1511 jatuhlah Melaka ke tangan penjajah.

Bermulalah sejarah penjajahan yang panjang dan penuh derita.


Berjayanya Portugis laknat menjajah Melak dan kepulauan Melayu adalah kerana krisis dalaman kerajaan Melayu Melaka. Kerajaan Melayu Melaka melalui zaman gemilangnya di zaman Sultan Mansur Shah. Sultan Muzaffar Shah juga Sulatan Alaudin Riayat Shah. Ianya dibantu dengan kaliber seorang Bendahara iaitu Tun Perak. Selepas Tun Perak meninggal dunia tahun 1498, bermulalah berbagai masalah apabila Tun Mutahir, seorang Tamil Muslim mula menjadi Bendahara. Melaka mula menjadi lemah apabila Sultan Alauddin mangkat secara misteri di usia muda sejurus sebelum berangkat menunaikan haji di Mekah. Raja Munawar yang sepatutnya menggantikan baginda diketepikan dan dinaikkan Raja Mahmud sebagai Sultan. Sultan Mahmud di usia muda, banyak terpengaruh dengan Tun Mutahir dan senanglah pihak luar masuk memainkan peranan.

Jatuhnya Melaka juga akibat dari sikap khianat Nina Chattu dan Uthimutha yang menjual rahsia kota Melaka kerana termakan dengan janji manis Portugis.

Hari ini 24 Ogos, 1511 menjadi saksi robohnya Kota Melaka dan Tanah Melayu dijajah selama hampir 450 tahun. Menjelang ulangtahun kemerdekaan ke 50 ini moleklah kita merenung kembali sejarah perjuangan melawan penjajah sepanjang zaman. Perjuangan yang panjang menempuh derita penjajahan selama 450 tahun. Kita patut sedar dan belajar dari sejarah. Jangan lupa sejarah. Sedar diri. Jangan ulang kesilapan yang sama.

Kita harus benar-benar merdeka. Jiwa dan Rasa.

Selasa, Julai 17, 2007

Teater Keris bukan di Istana Budaya

Sabtu lepas saya ke Kuala Lumpur. Hajat hati mahu ke Alam Raya, kedai buku yang banyak menjual karya dari Indonesia. Kecewa kerana setelah beberapa kali putar, masih tidak dibuka.

Jiwa dan Suri ke Istana Budaya mahu membeli tiket Teater Keris. Malangnya TeaterKeris milik produksi Istana Budaya tidak dipentaskan di Istana Budaya. Ia tersingkir jauh ke Auditorium DBP. Saya mahu beli tiket di Istana Budaya juga tidak boleh. Perlu beli di DBP. Bukankah Teater Keris juga produksi Istana Budaya. Betul, tetapi pekerjanya sudah ke sana, kata yang menjaga kaunter.

Rupanya di Istana Budaya ada muzikal besar, The King and I. Sempat lagi kalau, nak masuk, jam tiga mula, kata yang menjaga. Saya nak tengok Teater keris, kata saya. Teater Keris tiada di sini, di Auditorium DBP. Pergi sahaja, tak payah tempah tiket. Tiket banyak. Kata yang menjaga.

Jiwa dan Suri tak tengok The King and I. Memang teringin. Bukan tak mampu kerana tiketnya harga beratus. Kami datang dari Ipoh kerana mahu menonton teater Keris, teater milik Istana Budaya tetapi tiada di Istana Budaya. Buntingnya ada di Istana Budaya, tetapi teaternya tiada. Tiketnya juga tiada di Istana Budaya. Keris sudah tak berguna, kerana Raja Siam sudah bertakhta di `Istana'.

Teater Keris mungkin tak cukup `budayanya' mahu dipentaskan di Istana Budaya. Mungkin Keris juga sudah hilang keramatnya hingga sudah tidak layak menghuni sebuah `Istana'.

Biar tidak menonton Raja Siam. Kami tetap mahu tengok Keris dan keramatnya. Selepas melabuh diri sebentar di Jalan Raja Laut, kami terus ke Jalan Syed Putra. Sempat melapik perut di Tupai-Tupai. Hilang selera apabila ditontonkan Malaysia dibuli Uzbekistan di TV.

Kami ke Panggung DBP. Memang betul, tiket masih banyak.


Teater Keris adalah produksi yang bagus. Karya Seniman Negara, Datuk Syed Alwi Syed Hassan. Teater moden dengan ciri bangsawan. Ada penglipurlara. Adunan muzik yang merdu oleh James Boyle. Irama joget, keroncong, zapin, gurindam dan syair silih berganti. Adegan silat dibimbing oleh guru silat Ku Ahmad Ku Mustaffa. Seni pentas dihias oleh seorang lagi Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Jamal.

Teater Keris adalah sebuah teater yang berkonsepkan teater campur muzikal campur bangsawan. Keris adalah senjata, simbol, azimat dan keramat.

Teater Keris berkisah tentang orang Melayu yang yang mempertahankan budayanya, toleransi dan keterbukaan menerima tetamu juga bagaimana mudahnya kita digula-gula dengan kesenangan sementara. Teater Keris berbicara tentang globalisasi dengan cara yang mudah dan menghibur.

Teater Keris dijayakan dengan barisan pelakon seperti Omar Abdullah, Nam Ron, Zulkifli Zain, Normala Omar, Zuhairi Ibrahim dan Edwin Sumun. Ada penglipurlara pelawak lakonan Sabri Yunus, Zaibo, P Jeganathan dan Angeline Tan.

Saya terhibur menonton Teter Keris seperti Teater Alang Rentak Seribu. Saya sempat bersalam dengan Datuk Syed Alwi dan ucap tahniah.

Jangan cari Teater Keris di DBP. Sudah Selesai 15 Julai lalu.

Keris keramat sudah disimpan. Untuk tontonan cucu-cicit akan datang. Biar mereka tahu Keris pernah jadi simbol identiti orang Melayu, suatu waktu dahulu.

Ahad, Julai 08, 2007

Bila Tuhan Berbicara

.

Judul : Bila Tuhan Berbicara
Pengarang : Faisal Tehrani
Penerbit : Al-Ameen Serve Sdn. Bhd.
Genre : Novel Drama
Mukasurat : 374 halaman
Cetakan Pertama : 2007
ISBN : 9833991235

Merata saya mencari buku ini. Akhirnya bertemu di Kinokuniya KLCC. Judul bukunya sahaja sudah menggugah jiwa untuk memiliki dan membacanya. Berbagai telahan saya buat tentang isi kandungan buku ini. Saya mula bertanya apa yang dimaksudkan dengan Tuhan Berbicara. Saya mula terbayang Al-Hallaj. Adakah penulisnya akan membawa pembaca ke arah itu? Mulanya saya menyangka buku ini tentang kisah sufi. Apa lagi bila nama Shams Tabriz dan Jalaludin Rumi disebut di awal buku. Mungkinkah ini buku pengembaraan mencari Tuhan? Mungkinkah pencarian itu digambarkan melalui keakraban guru dan sahabat seperti Shams Tabriz kepada Rumi?

Rupanya buku ini adalah sebuah kisah yang mengambil premis Ashabul Kahfi. Ianya kisah tiga orang berlainan latarbelakang yang terperangkap dalam sebuah gua…eh..bunker. Dunia ketika itu dibayangkan penulisnya telah dilanda gempa bumi, taufan dan letupan gunung berapi yang dahsyat. Seperti dalam kisah Ashabul Kahfi, mereka bertiga telah ditidurkan dan hidup semula beribu tahun kemudian di sebuah dunia baru.

Cubalah bayangkan apa akan berlaku bila tiga orang berlainan latarbelakag, pemikiran dan fahaman dikurung dalam sebuah tempat tanpa boleh keluar. Apakah yang akan mereka lakukan?

Itulah yang terjadi kepada tiga orang pemuda berlainan latarbelakang. Razlan,seorang ekstrimis agama yang yakin pengeboma berani mati adaalh satu kerja mulia. Sahlan seorang saintis yang mahu menukar jantina juga Mazlan seorang doktor yang lupa akhirat ditemukan dikurung dalam sebuah gua…eh…bunker.

Saya cuba bayangkan apa akan berlaku bila tokoh politik berlainan parti dalam Negara kita ini dikurung dalam sebuah gua…eh…bunker. Dalam waktu aman, mati hidup balik pun mereka tidak mahu duduk berbincang di meja untuk kepentingan agama, bangsa dan Negara. Apa yang akan mereka lakukan jika mereka tiada pilihan, terkurung bersama musuh politik yang selama ini dimusuhi?

Buku ini menjadi unik kerana ianya dipersembahkan dalam bentuk novel-drama. Ianya disusun berbentuk dialog dan monolog yang boleh dipersembahkan dalam bentuk drama pentas, walaupun saya rasa ada dialog dan monolog yang terlalu panjang untuk dihafal skripnya.

Ianya juga boleh dibaca seperti novel yang penuh dengan dialog dan monolog. Dialognya ada unsur falsafah yang dihidang dalam bentuk ringan dan diselit dengan kelucuan. Setiap kali membaca buku Faisal Tehrani, saya akan mendapat juga pengetahuan baru. Sesekali terasa seperti membaca sebuah buku ilmiah tentang gunung berapi. Saya juga mendapat pengetahuan baru tentang pengebom berani mati dan justifikasi mengapa mereka bersikap sedemikian. Mereka yang sering melabel Faisal Tehrani sebagai Syiah patut membaca bahagian ini, di mana Faisal Tehrani mencipta watak seorang ekstrimis agama bernama Razlan. Hujah panjang lebar diberikan oleh watak Razlan yang juga pakar pembuat bom, mengapa dia menjadi seorang teroris yang mengebom dan meletupkan diri.

Buku ini juga memuatkan tentang sastera Islam dan teater berunsur Islam melalui watak Tuan Pengarah yang sering muncul menyebok di tengah-tengah babak. Saya bayangkan jika novel ini dipentaskan, watak ini akan dipegang oleh Faisal Tehrani.

Buku ini patut dibaca semua. Ahli politik perlu baca, tokoh budayawan juga tokoh bahasa juga perlu baca. Mereka yang sering bergaduh di blog dan laman web dengan meninggalkan komen yang menyinggung dan mencemuh agama dan mengetepikan toleransi juga patut membaca buku ini. Moga mereka ini dipertemukan dlam gua..eh...bunker seperti dalam buku ini.

Khamis, Mei 31, 2007

Takrif Melayu

.
.


Perlembagaan Malaysia telah memberikan takrif yang jelas terhadap makna Orang Melayu. Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan telah menakrifkan orang Melayu sebagai;

  1. Seorang yang beragama Islam
  2. Bertutur Bahasa Melayu
  3. Mengamalkan Adat istiadat Melayu
  4. Lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau di Singapura atau pada hari merdeka, dia bermastautin di Persekutuan atau di Singapura.
Jika seorang Melayu mahu mencampakkan salah satu dari perkara di atas, adakah perlu direntap juga status Melayunya?

Khamis, Mei 10, 2007

Keranda 152


Keranda 152 Bahasa Kita Air Mata & Maruah Kita
Persatuan Linguistik Malaysia 2002
Cetakan Pertama 1968
108 mukasurat
dibeli dari ujanailmu 23 April, 2007

Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu telah melalui sejarah yang panjang. Pejuang bahasa sebelum merdeka adalah juga pejuang bangsa dan pejuang kemerdekaan. Keranda 152 adalah satu episod dari rantaian perjuangan meletakkan Bahasa Melayu di tempat yang selayaknya.

Buku Keranda 152, Bahasa kita, Air Mata & Maruah Kita, adalah sebuah buku yang sudah lama saya cari. Ianya merupakan buku yang diterbitkan semula oleh Persatuan Linguistik Malaysia pada tahun 2002. Buku asalnya berupa himpunan tulisan berbentuk stensilan pada tahun 1968. Ianya berupa cetusan hati untuk memperingati ulangtahun peristiwa penentangan terhadap Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan (1967). Buku ini menceritakan detik detik peristiwa penentangan yang berlaku pada 3 Mac, 1967 di Balai Budaya, Dewan Bahasa & Pustaka.

Apa sebenarnya Keranda 152? Ianya merujuk kepada Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan adalah salah satu dari kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama oleh rakyat berbilang bangsa.

Sewaktu detik mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, tuntutan rakyat untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai sesatunya Bhasa rasmi telah tidak dapat dipenuhi oleh parti yang memerintah. Alasannya kerana Bahasa Melayu belum benar-benar bersedia untuk mengambil-alih tugas Bahasa Inggeris yang telah digunakan oleh penjajah dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran negara. Atas sebab itu, Bahasa Inggeris masih dibenarkan penggunaannya, untuk tempoh masa 10 tahun lagi. Tempoh itu dirasakan manasabah untuk setiap rakyat Tanah Melayu mempelajari dan menguasai Bahasa Melayu.

Apa yang berlaku pada tahun 1967, Bahasa Inggeris masih diberi ruang yang besar sebagai bahasa rasmi. Badan NGO Melayu rasa terkejut dengan beberapa peruntukan dalam Rang Undang-Undang Bahasa 1967 yang masih mengekalkan Bahasa Inggeris dalam beberapa bidang terutama bidang kehakiman.

Apa gunanya merdeka, jika bahasa anak pribumi dianggap sebagai bahasa kelas ketiga dan tidak layak diguna di negara sendiri? Adakah tempoh 10 tahun masih tidak cukup untuk setiap rakyat memantapkan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan? Inilah yang diperjuangkan oleh pejuang bahasa dalam tahun 1967. Mereka berasa bagi dikhianati oleh para pemimpin yaang kononnya memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu.

Sekumpulan 9 orang peguam Melayu telah menghantar memorandum menyuarakan bantahan namun tidak dipedulikan oleh parti yang memerintah.

Kemarahan orang Melayu membuak-buak. Seramai 2,000 orang mewakili 120 pertubuhan orang Melayu telah berhimpun di Balai Budaya, DBP pada petang Jumaat 3 Mac, 1967.

Perhimpunan ini menyaksikan orang Melayu bersatu tanpa mengira fahaman politik. Peristiwa itu juga diingati dengan ucapan Tun Syed Nasir Ismail, Pengarah DBP yang menitiskan airmata mengenangkan nasib Bahasa Melayu;

"...saya menangis bukan kerana takut, tetapi air mata ini lahir daripada keharuan hati sanubari saya mengenangkan nasib bangsa saya. Saya tidak boleh buat apa-apa sekarang ini. Saya terikat..."

Kemarahan rakyat sudah tak terbendung menyaksikan sekumpulan aktivis bersedia mahu berarak ke Bangunan Parlimen. Mereka mahu mengusung Keranda 152 yang membawa jiwa bangsa yang sudah ditamatkan hayat oleh bangsanya sendiri.

Peristiwa Keranda 152 akan diingat sebagai satu episod dalam sejarah perjuangan Bahasa Melayu. Balai Budaya yang menjadi saksi peristiwa bersejarah itu, kini sudah ditukar nama kepada Balai Tun Syed Nasir. Peritiwa 13 Mei 1969, kemudiannya seakan menjadi penyelamat bila Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama dalam dasar pendidikan negara. Kemuncak perjuangan ini menyaksikan lahirnya Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970 yang menyaksikan buat kali pertama, Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai pengantar utama.

Tahun ini genap 4o tahun Peristiwa Keranda 152. Ramai yang mungkin lupa, tak tahu atau buat-buat lupa. 4o tahun Keranda 152 dan 50 tahun merdeka adalah saat yang mungkin sesuai untuk bermuhasabah dan menyoal diri...

Di manakah Bahasa Melayu?

Masih di dalam keranda?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails