Sabtu, September 18, 2004

Mengenang Pendita Za'ba

Mungkin ramai yang tahu 16 September, 1963 adalah hari penubuhan Malaysia. Namun, mungkin ramai yang tidak tahu 16 September juga adalah satu tarikh yang penting kepada dunia persuratan Melayu. 16 September 1895 adalah tarikh kelahiran cendiakawan dan pujangga Melayu, Zainal Abidin bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendita Za’ba.

Pendita Za’ba dilahirkan pada 16 September, 1895 di Kampung Kerdas, Jempol, Batu Kikir, Negeri Sembilan. Beliau juga telah melanjutkan pelajaran ke Universitiy of London pada tahun 1953 dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera.

Sepanjang kerjaya beliau, Pendita Za’ba telah bergiat aktif dalam bidang penulisan, kegiatan sosial dan juga politik. Sesungguhnya Za’ba telah menghambakan dirinya dalam perjuangan menegakkan bahasa Melayu .

Kebetulan, pada hari Ahad lepas, saya telah ke KLIA menghantar orang tua. Setelah selesai urusan, terdetik pula saya untuk singgah di Putrajaya dan menjenguk Alamanda. Terfikir untuk menjenguk kedai buku MPH di situ. Sebelum ini saya biasa berkunjung gemar ke Kedai Buku MPH di Anjung. Saya suka dengan koleksi bukunya yang `berjiwa Malaysia’. Di sini buku tulisan penulis buku Malaysia, diberi penghoramatan selayaknya. Sebahagian besar koleksi buku di sini adalah tulisan anak Malaysia. Koleksi buku penulis Sri Diah dan penulis novel lain, umpamanya tersusun kemas di rak utama.

Mungkin ada yang akan marah jika saya katakan sesetengah kedai buku tersohor di Negara kita melayan buku tulisan anak Malaysia bagaikan pendatang asing di Negara sendiri. Susah untuk kita melihat buku tulisan rakyat Malaysia di rak utama, apalagi kalau buku berbahasa kebangsaan.

Di sinilah saya terjumpa buku tulisan Za’ba yang telah lama saya cari iaitu Ilmu Mengarang Melayu. Buku ini merupakan salah satu karya agung Za’ba selain buku Pelita Bahasa Melayu. Buku ini diterbitkan pada tahun 1934 dalam tulisan Jawi dan telah enam kali diulang cetak sehingga tahun 1956. Buku di tangan saya ini adalah versi tahun 2002 yang menggunakan ejaan rumi baharu , diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasa UPSI sempena sambutan 80 tahun UPSI. Di UPSI jugalah Za’ba telah menulis karya agungnya Pelita Bahasa Melayu dan juga buku ini.




Menyelak lembaran buku ini menimbulkan rasa kagum dan hormat kepada insan yang bergelar Pendita ini. Walaupun telah ditulis 70 tahun lepas, tetapi isi kandungannya masih terus relevan dan amat berguna sebagai panduan kepada mereka yang ingin menulis dalam Bahasa Melayu. Termuat di dalam buku ini panduan asas menulis dan bagaimana untuk menghasilkan tulisan yang baik dengan menggunakan bunga bahasa, peribahasa, bahasa sindiran dan sebagainya.

Puasnya rasa hati bila hajat tercapai dan dapat memiliki buku tulisan Za’ba, pendita bahasa yang telah banyak menyumbang untuk kedaulatan bangsa dan bahasa. Pendita Za’ba telah menyelesaikan tugas beliau dengan meninggalkan koleksi berharga kepada anak bangsanya.

Persoalannya, sudah terhentikah tugas itu dengan pemergian beliau. Adakah anak bangsa yang ditinggalkan akan menyambung tugas menjaga dan memupuk khazanah bangsa, bagai menatang minyak yang penuh? Adakah anak bangsa yang mewarisi tugas Za’ba akan terus memugar dan mempertahankan khazanah ini sepertimana mereka mempertahankan maruah diri? Atau maruah juga sudah tidak mempunyai apa-apa makna?


1 ulasan:

Unknown berkata...

Sy nk beli..jikalau masih ada..kami para pelajar amat memerlukn buku ini utk d hadam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails