Jumaat, September 24, 2004

Hari Jantung Sedunia



Setiap hari Ahad terakhir bulan September, telah diisytiharkan sebagai Hari Jantung Sedunia. Pada tahun ini Hari Jantung Sedunia telah jatuh pada hari Ahad, 26 September, 2004. Berbagai program diadakan di seluruh dunia untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat tentang peri pentingnya menjalani hidup sihat dan menjaga pemakanan.

Kempen Hari Jantung Sedunia bagi tahun ini memberi penekanan kepada kanak-kanak dan remaja agar menjalani kehidupan yang sihat. Kempen mengajak mengamalkan cara hidup sihat, pemakanan seimbang, senaman dan hentikan tabiat merokok yang merupakan punca utama penyakit jantung.

Hari jantung Sedunia mula disambut pada tahun 1999, dengan matlamat untuk menyebarkan maklumat dan kefahaman mengenai kesihatan jantung.



Fakta mengenai penyakit jantung

  • Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa penyakit kardiovaskular terutama Penyakit Jantung Iskemia dan Angin Ahmar (Stroke) adalah merupakan penyebab utama kematian di seluruh dunia pada masa ini dengan setiap satu daripada tiga kematian adalah disebabkan olehnya. Adalah dianggarkan ia menyumbang kepada 17 juta kematian setahun iaitu 20 kali lebih tinggi daripada kematian yang disebabkan oleh peperangan dan keganasan.

  • Laporan WHO tahun 2002 menyatakan lebih 8.5 juta wanita mati disebabkan oleh penyakit kardiovaskular setiap tahun, iaitu mewakili satu pertiga dari jumlah kematian di kalangan wanita di seluruh dunia. Di negara yang sedang membangun, separuh daripada kematian di kalangan wanita berumur 50 tahun ke atas adalah disebabkan oleh penyakit jantung dan strok.

  • Fakta kajian menunjukkan bahawa 80% kes kejadian serangan penyakit jantung koronari atau ”premature coronary heart disease” adalah berpunca dari kombinasi faktor-faktor amalan pemakanan yang tidak sihat, kurang melakukan aktiviti fizikal dan tabiat merokok. Kajian di kalangan wanita selama 20 tahun di Britain menunjukkan bahawa risiko mendapat serangan penyakit jantung adalah 4 hingga 7 kali lebih tinggi di kalangan mereka yang merokok. Sementara kejadian strok lebih banyak terjadi di kalangan wanita yang merokok berbanding lelaki.

  • Senaman 30 minit setiap hari boleh mengurangkan risiko penyakit jantung koronari, strok dan diabetis, di samping mengurangkan berat badan dan paras kolesterol serta mencegah dan mengawal darah tinggi. Begitu juga, memakan ikan, buah-buahan dan sayur-sayuran dengan kerap boleh mengurangkan kejadian sakit jantung dan strok.

Penyakit jantung kini, tidak lagi mengenal umur dan bangsa. Saya biasa bertemu dengan pesakit jantung yang berumur dalam lingkungan umur tigapuluhan. Pengalaman bertemu dengan pesakit –pesakit adalah menyedihkan, apalagi jika pembedahan tidak berjaya dan menyebabkan kehilangan orang yang tersayang. Itu belum dikira lagi beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh pesakit jantung. Pembedahan pintasan koronari di pusat perubatan swasta memerlukan kos rawatan dalam lingkungan RM30,000. Bukan calang-calang orang yang mampu mengeluarkan wang sebanyak itu, dan dari pengalaman saya, tidak ramai yang bersedia dan tidak ramai juga yang menabung untuk kos rawatan.

Pesanan saya, jagalah kesihatan sementara masih sihat, dan bersedialah dari segi kewangan untuk menghadapi kemungkinan musibah yang kita tidak pinta.


Jika anda kebetulan berada di Ipoh pada hari Ahad ini, jemputlah ke Polo Ground untuk meraikan Sambutan Hari Jantung Sedunia yang bermula dari pukul 7.00 pagi dan berakhir pada pukul 12.00 tengahari. Berbagai aktiviti akan diadakan, termasuklah senamrobik, line dance, pertandingan mewarna, pemeriksaan kesihatan secara percuma dan juga kempen derma darah.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails