menghimpun cetusan rasa, tulus dari jiwa. Jiwa hidup dengan deria rasa. Dari Jiwa Rasa.
Khamis, September 16, 2004
Malaysia : Selamat Ulangtahun ke 41
Hari ini 16 September 2004, berakhirlah sudah sebulan perayaan hari kemerdekaan yang telah dilancarkan pada 17 September, 2004 di Ipoh, Perak dan akan disempurnakan penutupannya malam ini di Kuching Sarawak.
Apa istimewanya tarikh 16 September?
16 September, 1963 adalah tarikh bersejarah tertubuhnya Malaysia. Malaysia tertubuh pada 16 September, 1963 setelah Persekutuan Tanah Melayu bergabung dengan koloni British yang lain iaitu Singapura, Sabah dan Sarawak. Majlis penutupan bulan merdeka diadakan di Sabah atau Sarawak sebagai simbolik mengenang peristiwa kemasukan Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia.
Jalan ke arah penubuhan Malaysia penuh berliku. Ianya mendapat tentangan yang hebat dari negara jiran, terutamanya Indonesia, yang telah melancarkan konfrontasi membantah penubuhan Malaysia. Presiden Soekarno menganggap penubuhan Malaysia adalah satu usaha untuk meneruskan kolonialisme dan imperialisme British di kepulauan Melayu. Soekarno menganggap penubuhan Malaysia ditaja oleh British untuk meneruskan penguasaan mereka terhadap sumber ekonomi Tanah Melayu.
Filipina dan Indonesia menentang hebat hasrat penubuhan Malaysia. Sukarelawan Indonesia menceroboh Sarawak dan Sabah dan melancarkan sabotaj dan propaganda. Soekarno pula telah melancarkan Ganyang Malaysia pada July 27, 1963.
Penubuhan Malaysia terpaksa ditangguhkan hingga satu referendum terpaksa diadakan di Sabah dan Sarawak untuk meminta persetujuan rakyat untuk menyertai Malaysia. Keputusan referendum nyata menunjukkan rakyat Sabah dan Sarawak menyokong hasrat menyertai Malaysia, sementara Brunei pula menarik diri.
Akhirnya pada tanggal 16 september, 1963, tertubuhlah Malaysia. (walaupun Brunei menarik diri dan Singapura pula keluar pada tahun 1965) Soekarano, bagaimanapun tetap menentang hasrat tersebut dan bertindak membantah keputusan PBB dan mengambil keputusan menarik diri daripada menjadi ahli Majlis Keselamatan PBB pada tahun 1965.
Pengumuman tersebut di sambut dengan 1000 orang merusuh di Kedutaan British di Jakarta. Rusuhan juga berlaku di Singapura. Rusuhan yang sama berlaku di kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur. Kerajaan Filipina juga telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.
Pada tahun 1964, tentera sukarela Indonesia mendarat di beberapa tempatan di Semenanjung Malaysia, seperti di Pontian dan Labis, Johor untuk melancarkan gerakan gerila.
Pada tahun 1965, Indonesia meningkatkan gerakan dengan menghantar tentera ke Malaysia. Gerakan ini berjaya dibendung walaupun tidak dapat dihentikan, dengan kehadiran tentera British dari negara Komanwel. Konfrontasi hanya dapat dihentikan setelah Soekarno digulingkan oleh Jeneral Soeharto pada bulan September, 1965.
Hari ini, genaplah 41 tahun penubuhan Malaysia, Negara yang di buminya kita lahir, dan di situlah juga akan kita habiskan sisa hidup kita . Baik buruknya Malaysia, itulah tanahair kita. Inilah sahaja khazanah yang masih ada. Kita tidak ada tanah lain yang boleh kita gelar tanahair.
Kini, persoalan samada penubuhan Malaysia adalah satu agenda British sudah tidak lagi menjadi soal. Perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan. Pilihlah haluan yang hendak dituju. Mau ke hilir atau ke hulu. Bersama mengayuh dengan harmoni. Kalau ada bocor di perahu, pakat-pakatlah dibaiki. Jangan dibiar perahu karam kerana tak mahu membaiki kebocoran di dinding perahu.
Berpakatlah bersama untuk kebaikan anak bangsa. Pertahankanlah maruah dan kedaulatannya.
Selamat ulang tahun Malaysia, tanahairku yang tercinta.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan