.
Rimba Harapan
Kamaludin Muhammad@Keris Mas 1922-1992
Siri Novel Malaysia Pilihan Abad 20
Penerbitan bersama DBP dan Rhythm Consolidated Berhad
ISBN 983-137-844-X
266 ms
RM42.90 Kinokuniya
Seingat saya, Rimba Harapan adalah novel pertama SN Keris Mas yangpernah saya baca. Saya memang sangat meminati cerpen tulisan beliau. Keris Mas adalah merupakan pelopor Asas 50 yang menganggap bahasa dan sastera adalah senjata berkesan untuk perjuangan menuntut kemerdekaan dan keadilan. Saya masih ingat, setiap kali ke perpustakaan di sekolah, saya akan mencari antologi cerpen penulis ASAS 50, kerana saya boleh menghabiskan beberapa cerpen pada sesuatu masa.
Tulisan SN Keris Mas banyak mempersoalkan tentang ketidakadilan sosial dalam masyarakat. Membaca cerpen-cerpen beliau di zaman persekolahan telah banyak membentuk pemikiran dan tanggapan saya terhadap hidup dan perjuangan. Kisah suka-duka menuntut kemerdekaan juga keadilan banyak disajikan dalam cerpen-cerpen beliau.
Rimba Harapan mengisahkan kisah hidup penduduk di Ketari, Bentong dan Janda Baik dalam dekad 1920-an dan 1930-an. Ia kisah penghijrahan orang Melayu ke kampung baru, akibat dasar penjajah yang memaksa peluasan perladangan getah dan industri perlombongan di Tanah Melayu. Penjajah telah berjaya mempengaruhi dan memusnahkan kehidupan penduduk kampung lalu memaksa mereka lari meneroka hutan untuk membina hidup baru.
Oleh kerana bencana alam dan juga dasar penjajah British, orang Melayu lari ke Janda Baik dan meneroka hutan untuk memulakan hidup baru. Kisah kesusahan meneroka tanah baru memang begitu memberi kesan mendalam kepada yang membaca. Buku ini menceritakan tentang perubahan sosial yang dihadapi oleh masyarakat Melayu di tanah air mereka sendiri akibat dari pemodenan hidup. Bagaimana orang Melayu harus menyesuaikan diri untuk menghadapi perubahan sosial yang berlaku. Ini terseli di dalm dialog seperti antara Pak Kia dan anaknya Karim sewaktu mereke bersama-sama menerang tanah, meneroka hutan untuk dijadikan kampung halaman baru.
"Bila kau besar nanti ingatlah betapa susahnya mendirikan kampung halaman. Jangan sekali-kali mahu jadi macam sekarang ini, datang orang kaya-kaya, datang orang pandai-pandai kita dihalaunya dengan wang ringgit dan tipu muslihat...ingatlah kepada anak cucu supaya jangan mahu menjual kampung halaman. Jangan mahu terbuang sekali lagi."(ms 162 -163)
Pengarang juga menyelitkan tentang amalan orang Melayu yang percaya kepada pawang dan bomoh dalam urusan hidup. Pawang dianggap seorang yang begitu berpengaruh dalam masyarakat. Turut diselitkan tentang pengaruh Kaum Muda dalam masyarakat.
Seingat saya juga, SN Keris Mas tidak banyak menulis novel. Namun, Rimba Harapan dianggap antara novel yang terbaik beliau selain novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur. Tidak hairanlah jika buku ini telah terpilih di antara 42 buah novel sepanjang zaman yang diterbitkan semula oleh Rhythm dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Usaha sama ini telah mengumpul kembali semua novel yang pernah diterbitkan dari tahun 1925 ke tahun1996 dan diterbitkan semula dalam edisi istimewa berkulit tebal. 42 buah novel ini dianggap sebagai karya terbaik pengarang Malaysia di abad ke 20.
2 ulasan:
salam, saya asraf duk kat bentong. saya tak penah kenal keris mas, sampai la saya bace buku ni pada 2009. tersentuh saya. mcm mane die cite pasal bentong , janda baik. buka kampung. hijrah ke tempat baru. mmg best
Catat Ulasan