Isnin, Februari 28, 2005

Sepet bukan halangan

.







Sepet adalah tajuk filem sulung di layar perak yang diarahkan oleh pengarah iklan terkenal, Yasmin Ahmad. Siapa yang tidak kenal dengan Yasmin Ahmad dan siapa yang tidak tersentuh bila melihat iklan Petronas beliau.

Sepet adalah kisah cinta dua insan berlainan bangsa dan bahasa dari dunia berlainan. Orked budak perempuan Melayu yang bercinta dengan budak lelaki Cina penjual VCD. Sebuah jalan cerita yang mudah tetapi menarik. Menonton Sepet bagai mengulang kaji subjek Organizational Behaviour, bagaimana manusia sering membuat generalisation dan stereotyping terhadap sesuatu kelompok atau bangsa. Ini terlihat dari kata-kata Keong 'bukan semua China penipu & bukan semua Melayu malas'.

Yasmin cuba berlaku terlalu jujur dengan filem ini. Banyak adegan dan dialog dalam filem ini berlaku dalam hidup tetapi kita tidak mahu mengaku, atau kita memilih untuk tidak mahu bercerita mengenainya. Ternyata Yasmin terlalu jujur berterus-terang dalam menterjemahkan melahirkan perasaan kasih dan sayang ke dalam adegan dalam filem ini. Mungkin ada yang berasa tidak selesa bila menonton beberapa adegan dalam filem ini. Begitu banyak adegan berkemban. Mungkin Yasmin ada sebab tersendiri mengapa beliau suka menonjolkan banyak adegan tersebut. Mungkin Yasmin pernah melihat pasangan yang suka berkemban kerana saya tidak pernah pula melihat emak abah saya berkemban di rumah. Kalau adapun adegan tersebut mungkin adegan dalam bilik tidur yang saya tak pernah lihat.

Mungkin itu yang jadi pertikaian. Sifat Melayu selalunya tidak berterus-terang, cakap berlapik, kata berkias. Tapi itu Melayu dulu. Melayu yang lemah lembut dan penuh sopan santun. Melayu dulu bila berbicara, kata disusun penuh teliti disulam dengan pantun dan seloka. Melayu sekarang, bahasanya mana yang sempat, rojak selalunya. Begitulah juga dalam filem ini yang bahasanya juga bahasa rojak, ada Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Hokkien dan Mandarin.

Satu perkara yang menarik mengenai filem ini, lokasi keseluruhannya diambil di sekitar Ipoh. Bandar Ipoh, Gunung Lang, Pasar Lokkin dan jalan yang saya lalu setiap pagi iaitu Tiger Lane dan Jalan Kelab Golf di sekitar Padang Polo.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails