Khamis, Januari 26, 2012

Penyeberang Sempadan - SN Anwar Ridhwan



Penyeberang Sempadan


oleh SN
Paperback, 451 halaman
Penerbit  Utusan Publications & Distributors
ISBN139789676125460
Tahun 2012
dibeli di Popular City Square Johor Bharu.
Novel ini datang ke dakapan pembaca dengan harapan yang tinggi. Ditulis oleh seorang penulis yang baru diangkat sebagai seorang Sasterawan Negara. Lalu, novel ini perlulah memenuhi hasrat pembaca yang mahu membaca novel yang berkualiti dan bermutu tinggi.
Secara keseluruhan, novel ini ditulis dengan baik. Jika tidak, mana mungkin ianya memenangi tempat pertama Hadiah Sako bagi Novel Nasional 2011.  Ia mengambil latar masa dan tempat yang menarik. Zaman rusuh ketika melawan penjajah kolonial memang dekad yang penuh warna-warna. Hatta, karya sastera nasional, sepanjang sejarahnya, banyak yang berjaya merakamkan dekad tersebut dengan begitu berjaya sekali.

Walaupun tidak sehebat Naratif Ogonshoto, novel ini masih juga menarik dibaca. Seperti membaca sebuah travelog. Jika pernah membaca memoir tokoh Indonesia,Tan Malaka, Dari Penjara Ke Penjara, ada banyak persamaan. Tan Malaka melalui perjalanan yang hampir sama dan melewati zaman yang sama. Yang membezakannya, Tan Malaka tetap dengan prinsip perjuangan menentang kapitalisme dan kolonialisme barat hingga ke akhir hayat. Watak utama novel ini pula bagai seorang pejuang yang kebingungan mengikut arus. Pertengahan novel ini ada juga seakan-akan kisah perjalanan seperti travelog Enrique Mengundang jauh tulisan HM Tuah Iskandar yang mencari jati diri Melayu di benua Eropah.


Novel ini mungkin sesuai untuk mereka yang lahir di zaman pasca komunis. Satu pengenalan yang baik buat anak muda yang tidak faham dengan bahaya komunis dan tidak biasa dengan perintah darurat. Buat yang mereka yang sudah akrab dengan tulisan golongan kiri, terutama tulisan  para pejuang API dan Rejimen 10 PKM, data-data yang dikutip dan diceritakan di dalam novel ini mungkin tidak begitu memikat. Bagai tidak terlihat jiwa pejuangnya kerana senang benar bertukar pegangan. Penulis pula mencari jalan selamat dengan kelihatan cuba untuk tidak memihak atau menghukum ideologi yang bertentangan di zaman itu. 


Novel ini akan jadi lebih menarik jika lukisan gejolak jiwa seorang pejuang diberi warna yang lebih. Kenapa pejuang kiri dahulu memilih jalan gerila dan berganding dengan PKM sebenarnya sangat menarik untuk diceritakan, dicerekakan bahkan boleh dijadikan skrip filem yang menarik. Memoir golongan kiri seperti Memoir Ahmad Boestamam Merdeka dengan Darah dalam Api, Memoir Shamsiah Fakeh, Dari Awas ke Rejimen ke-10, Memoir Ibrahim Chik dan sebagainya boleh dirujuk.


Wacana tentang ideologi yang bertentangan juga tidak dihuraikan secara mendalam di dalam novel ini. Alangkah bagusnya jika penulis dapat mengembangkan wacana antara ideologi seperti yang telah digarap dengan baik oleh Faisal Tehrani dalam Tuhan Manusia. Alangkah bagus jika penulis dapat menjawab soalan mengapa kebanyakan Melayu yang menyertai perjuangan komunis di zaman itu dari latarbelakang agama yang kuat. Saya tidak fikir golongan kiri di zaman itu memilih komunisme kerana tertarik dengan ideologinya, sebagaimana kita melihat fahaman komunisme sekarang. Konteks dan latar politik dunia perlu dilihat untuk memberi gambaran adil dan saksama.


Konflik diri dan sindrom yang menghantui watak utama mengingatkan saya pada watak utama novel Hujan Pagi karya SN A Samad Said. Cubaan yang baik tetapi tidak boleh menandingi kehebatan Hujan Pagi dengan watak pengarang Lokman dan halusinasinya.


Perjalanan watak utama di hujung novel bagai membaca memoir Kassim Ahmad dalam Mencari Jalan Pulang. Watak utama novel ini mungkin lebih berjaya berbanding Kassim Ahmad yang masih mencari-cari jalan pulang, tapi masih belum berjumpa, kerana mencari di tempat yang salah.


Jika tidak kerana penghabisan novel ini yang melengkapkan pencarian watak utama, saya mungkin memberi tiga bintang sahaja untuk novel ini. Saya masih belum tertarik dengan buku ini sehinggalah di pertengahan novel. Di tengah-tengah novel saya sudah mula berprasangka mungkinkah novel ini akan mengikut jalur-jalur seperti yang sering dipaparkan dalam akhbar Utusan, yang kebetulan adalah penganjur sayembara ini. Kisah cereka di muka hadapan, yang kita tahu ke mana arah penamatnya, kerana skripnya sudah lama ditentukan di belakang tabir.

Mujur, penulis menamatkan novel ini dengan cara selamat dan saya beri 4 suku bintang untuk novel ini.

6 ulasan:

fadliahmad berkata...

menarik ulasannya.mungkin akan mencari bukunya nanti. saya perlukan ulasan-ulasan sebegini untuk tanam lebih semangat membaca kembali buku-buku melayu/ingeris yang ada di pasaran.kadang-kadang tenggelam dalam hidup rutin srhari-hari sibuk buku yang dulu pernah jadi teman yang baik saya pingirkan dalam kehidupan. Ulasan buku ini bikin saya mahu cari buku baru untuk dibaca.

U-HAH berkata...

Ulaslah lagi...

Unknown berkata...

assalamualaikum. saya pelajar pre-university dan saya berhasrat ingin mengkaji novel ini untuk mini-thesis saya. bolehkah sekiranya saya ingin meminjam buku daripada pihak tuan ? sebarang perhatian amat dihargai. terima kasih. email saya : aequoi@yahoo.com . sebarang maklum balas amat dihargai.

Unknown berkata...

assalamualaikum. saya pelajar pre-university dan saya berhasrat ingin mengkaji novel ini untuk mini-thesis saya. bolehkah sekiranya saya ingin meminjam buku daripada pihak tuan ? sebarang perhatian amat dihargai. terima kasih. email saya : aequoi@yahoo.com . sebarang maklum balas amat dihargai.

Unknown berkata...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami www.kumpulbagi.com atau www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

Dr R Dhanapal berkata...

Ulasan yang mantap

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails