Jumaat, Mei 02, 2008

Kassim Ahmad Mencari Jalan Pulang...

.

Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam
Penulis: Kassim Ahmad
Penerbit: ZI Publications Sdn Bhd
Tahun: 2008
Halaman: 243
Harga: RM35.00



Saya beli buku ini kerana sudah agak lama tidak mengikuti perkembangan Kassim Ahmad. Tajuk bukunya yang mahu mencari jalan pulang sangat menarik saya untuk membeli bukunya. Benarkah Kassim mahu mencari jalan pulang? Sudah bertemukah beliau jalan pulang?

Semenjak kecil, nama Kassim Ahmad sudah saya kenali sebagai seorang tokoh ternama dalam negara. Kassim Ahmad adalah seorang tokoh pemikir, penulis, dan ahli politik yang terkenal negara.

Saya mula meminati politik semasa sekolah rendah. Saya membaca akhbar Bumi, Watan, majalah Sarina milik Abah. Kassim Ahmad adalah antara nama yang sering saya baca dalam akhbar dan majalah politk semasa itu. Kassim memimpin Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM). Kassim Ahmad pernah menjadi pendokong Rashad Khalifa yang heboh dengan KOD 19 semasa itu.

Kassim Ahmad kemudiannya mengejutkan negara dengan kenyataannya yang mempertikaikan hadith. Buku beliau Hadith Satu Penilaian Semula telah menggemparkan negara. Polemik tentang anti hadith bercambah di dalam media. Saya masih ingat mengikuti dengan minat debat antara Kassim Ahmad dan A Ghani Ismail di dalam akhbar arus perdana.

Semenjak itu Kassim Ahmad mula dikenali sebagai pelopor gerakan anti hadith di Malaysia. Sebenarnya, untuk berlaku adil, Kassim bukanlah menolak hadith secara total. Kassim mempertikaikan sebilangan hadith yang beliau anggap bertentangan dengan Al Qur’an. Hadith yang beliau anggap selari dengan ruh Al-Qur’an tidak beliau pertikaikan.

Inilah sebenarnya kesalahan besar Kassim Ahmad. Beliau mungkin menafikan menolak hadith, tetapi kenyataan dan tulisan beliau telah menimbulkan keraguan dan was-was masyarakat umum terhadap institusi Hadith. Itulah sumbangan besar Kassim Ahmad. Tulisan Kassim Ahmad tidak secara langsung telah melahirkan tokoh-tokoh lain yang mula mempertikaikan keaslian hadith. Individu yang tidak punya latarbelakang pengajian Islam, apa lagi pengajian hadith mula bercakap mempertikaikan hadith dan hukum-hukum Islam seolah-olah ulamak besar.

Kassim kemudiannya mengasaskan Jamaah Al-Qur’an yang seperti ada persamaan dengan Sister In Islam. Amina Wadud yang mendorong penubuhan Sister In Islam pernah jadi pensyarah saya dan memeranjatkan kami dengan keberanian menafsirkan Al-Qur’an menggunakan akal semata-mata. Kami terkejut dengan kedangkalan ilmu-ilmu asas Islam beliau tetapi berani berlagak macam pandai.

Sayang sekali Kassim tidak mencari tokoh ulamak hadith, sebelum berhajat menilai semula hadith. Negara kita tidak kekurangan ulamak hadith yang boleh menerangkan bagimana menentukan keaslian hadith dan menentukan taraf hadith samada sahih, hassan, daif atau palsu. Sudah banyak kitab-kitab yang ditulis yang menghimpunkan hadith palsu. Pengajian hadith ada disiplinnya, bukan boleh diterjah mengikut logik akal semata-mata.

Benarkah Kassim Ahmad sudah berjumpa jalan pulang? Saya tidak bertemu jawapan kepada soalan itu di dalam buku ini. Saya hanya berharap Kassim Ahmad akan terus mencari jalan pulang. Moga berjumpa jalan pulang dan moga jalan itu nanti jalan yang diberkati dan mendapat rahmat keampunan Allah.

2 ulasan:

Unknown berkata...

Salam utk semua,

Allah SWT tdk akan melaknati org2 yg mengkaji, mempertahankan dan mempertinggikan kitab Al-Quran, malah mereka ini adalah manusia pilihan yg akan masuk syurga tanpa dihisab (35:32). Tetapi Allah SWT akan melaknati dan membawa azab yg pedih lagi menghina kepada sesiapa yg memperlekehkan AL-Quran dan mengadakan kitab2 baru utk bertanding dgn Al-Quran (34:38), kononnya Al-Quran itu tdk lengkap dan memerlukan kpd kitab2 lain.

Cuba tanya pada diri sendiri di manakah keimanan kita yg sebenarnya? Mahu percaya kpd Allah SWT atau percaya para alim ulama (tdk ramai ulama yg benar2 mengkaji Al-Quran, mereka hanya baca tafsir2 yg terdahulu maka sbb itu mereka sendiri tdk nampak kehebatan dan kekuatan Al-Quran)? Para ulama tdk nampak kehebatan Al-Quran sbb mereka baca Al-Quran seperti burung kakak tua, mereka tdk menggunakan akal fikiran mereka! Mereka tdk mengkajinya dgn mendalam dan bersungguh2.

Allah SWT mengatakan Al-Quran adalah kitab yg lengkap, sempurna, dan menjelaskan segala perkara. Al-Quran adalah lebih baik dari segala-gala kitab, Al-Quran mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya. Malah Allah SWT menyuruh Nabi Muhammad SAW berdakwah dgn Al-Quran bukannya Al-Hadith (percakapannya sendiri) (50:45) sbb Al-Quran adalah bukti yang paling jelas akan kewujudan, keesaan, dan keperkasaan Allah SWT.

Fikirkanlah siapa yg sesat dan siapa yg beriman? Adakah orang yang anti-hadith atau org yang anti-Quran? cubalah baca blog2 yg mgkaji Al-Quran seperti harunyahya.com atau http://kajian-quran.blogspot.com/ dan sbgnya. Adakah org2 yg memperjuangkan Al-Quran itu sesat atau para ulama yg tdk faham kehebatan dan kemukjizatan Al-Quran?

Unknown berkata...

Mana nak beli buku ini ya?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails