Ahad, Januari 31, 2010

Space Gambus Experiment


Bagaimana saya mahu mulakan catatan saya tentang album ini. Album ini memang lain dari yang lain. Ia sebuah karya eksperimen. Tiada genre yang sesuai untuk dgolongkan. Ianya merupakan himpunan bunyi-bunyian yang menimbulkan kesan kepada pendengarnya.
Space Gambus Experiment merupakan album instrumental usahasama dua ahli muzik, Kamal Sabran dan Zulkifli Ramli, pemain gambus Dewangga Sakti. Nama Kamal Sabran sudah lama saya dengar sewaktu saya bertugas di Ipoh. Walaupun belum pernah bertemu, nama beliau biasa disebut bila berbincang tentang aktiviti seni di Ipoh. Kamal Sabran dikenali sebagai seorang graduan Uitm yang aktif berkarya dalam bidang seni. Beliau pernah bertugas Agensi Angkasa pada tahun 2005. Kesempatan itu telah beliau ambil, Kamal Sabran telah merakamkan bunyi-bunyian dari planet Musytari. Gelombang bunyi dari planet Musytari itu telah beliau rakamkan dalam satu projek yang beliau namakan ` Sonic Cosmic Music From Outer Space.

Projek itu terhenti setakat itu sehinggalah Kamal Sabran bertemu Zulkifli Ramli, pemain gambus Dewangga Sakti. Perkenalan mereka di laman facebook telah membawa kepada jalinan kerjasama dalam menghasilkan 7 trak lagu dalam album Space Gambus ini. 3 lagu lain adalah usahasama Kamal bersama rakan-rakan luarnegara yang beliau kenali di internet.

Usahasama tersebut telah menghasilkan album Space Gambus Experiment ini. Apabila mendengar álbum ini sukar untuk digambarkan perasaan saya. Bunyi-bunyian yang pelik, rasa yang berbagai. Ada rasa kosong, sunyi dan sesekali menyeramkan juga terasa jauh amat dari dunia sebenar. Bagai benar-benar di ruang angkasa. Kekosongan itu bagaimanapun terisi dengan bunyi petikan gambus dari Zulkifli Ramli. Eksperimen yang memang ganjil tetapi seolah ada kerasian.

Saya menganggap eksperimen ini bagai mahu menggabungkan dunia masadepan dan juga sejarah. Menggabungkan dunia modern dan jatidiri asal usul diri. Saya bayangkan bagaimana seorang anak Malaysia meneroka ruang angkasa planet Musytari. Kekosongan, kesepian angkasa lepas mengingatkan diri tentang dunia yang jauh ditinggalkan. Petikan gambus itu adalah kita. Asal kita yang perlu kita ingat sampai bila-bila. Sejauh manapun kita terbang ke angkasa, kita perlu sedar hakikat yang kita berasal dari bumi yang nyata.

Album ini tidak akan masuk ke kedai-kedai CD tanahair. Pemilik kedai CD akan mengalami kesukaran untuk meletakkan CD ini di rak yang sesuai. Kalau adapun mungkin di rak `New Age’ tetapi mungkin pemilik kedai akan mengalami kesukaran untuk menjual album sebegini.

Jangan beli álbum ini jika anda mengharapkan akan mendengar muzik seperti Kenny G atau Richard Clayderman, kerana anda pasti kecewa. Beli álbum ini jika anda meminati petikan gambus, kerana tidak ramai pemain gambus dlam negara( yang saya kenali) selain Zulkifli Ramli dan Farid Ali. Yang lebih penting, belilah álbum ini jika anda peminat seni dan penyokong karya seni. Space Gambus Experiment perlu didakap sebagai sebuah karya seni yang patut kita hargai dan banggakan bersama.

Space Gambus Experiment boleh dibeli terus dari Kamal Sabaran di kamalsabran@gmail.com. Setiap CD berharga RM20. Maklumat lanjut di http://www.myspace.com/spacegambusexperiment. Petikan album dan video boleh dimuatturun di http://www.reverbnation.com/spacegambus¬experiment.

6 ulasan:

Adliff berkata...

Salam,

Pak Jiwa,

Menarik ni :). Rasanya mahu membeli. Saya memang gemarkan muzik gambus saudara Zulkifli.

Unknown berkata...

Aliff,

Tak teringin nak belajar main gambus? :)

Adliff berkata...

Salam,

Pak Jiwa,

Hu!Hu! Tak boleh rasanya, jemari saya keras.:)

Suka dengar irama gambus, merdu di telinga saya.

Dewangga Sakti berkata...

Terima kasih, JR
Ada masa bertemu lagi di KL atau mungkin Sarawak. :)

kamal sabran berkata...

terima kasih yang tak terhingga dari SGE. :)

kamal sabran
ipoh

Unknown berkata...

Dewangga Sakti & Kamal Sabran,
Terima kasih kembali dan teruskan berkarya!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails