Rabu, Disember 17, 2008

Saasatul Ibaad - Pelaku Siasah

.


Saasatul Ibaad
Judul : Saasatul Ibaad
Harga : RM25.00
Pengarang : Faisal Tehrani
Penerbit : Aberdeen Books World
Genre : Novel
Mukasurat :266
Cetakan Pertama : 2008
ISBN : 9789834215248
Dibeli di www.ujanailmu.com


`Setelah 1515 dan Tuhan Manusia tidak syak lagi Saasatul Ibaad adalah karya Faisal Tehrani yang paling bercita-cita besar, dan provokatif. Membaca Saasatul Ibaad ke halaman akhir adalah sebuah pengalaman sejarah yang pasti tidak akan dapat dilupakan.’

Begitulah secebis tulisan di belakang buku Saasatul Ibaad tulisan Faisal Tehrani ini. Setelah habis membaca buku ini saya bersetuju dengan kenyataan itu. Buku ini memang provokatif kerana menyingkap kembali peristiwa Sultan Mahmud Mangkat dijulang. Sultan Mahmud seperti yang kita tahu digambarkan sebagai seorang kejam yang telah membunuh isteri Laksaman Bentan hanya kerana kerana mengidam makan nangka milik sultan.

Apa yang mungkin jarang didengar, Sultan Mahmud juga adalah seorang penggemar seks songsang, seorang sodomis yang pantang melihat lelaki berdahi licin. Penulis telah mengambil sumber dari sejarah yang jarang diketengahkan dan telah memberi gambaran yang dramatik bagaimana sebuah kerajaan feudal telah digulingkan oleh rakyat jelata.

Peristiwa Sultan Mahmud mangkat dijulang adalah kemuncak kemarahan rakyat kepada sebuah pemerintahan yang zalim. Rakyat sudah muak dengan tingkah laku pemerintah yang mengenepikan kepentingan rakyat jelata tetapi sibuk memuaskan nafsu serakah diri dan membesarkan tembolok sendiri.

Peristiwa bersejarah yang berlaku pada tahun 1699 ini jarang diangkat dan dibincang oleh dari sudut sosial dan politik. Faisal Tehrani mencetuskan provokasi baru bila menyebut peristiwa ini sebagai satu revolusi dan cuba membandingkannya dengan Revolusi Perancis yang berlaku seratus tahun kemudian pada tahun 1799.

Revolusi Peranchis (1789-1789) adalah satu tempoh peralihan politik dan sosial dalam sejarah Perancis apabila pemerintahan monarki berjaya digulingkan. Revolusi Perancis adalah kemuncak perjuangan pemikir zaman pencerahan yang memperjuangkan prinsip-prinsip kesamarataan, kebebasan dan hak asasi. Kepada pengkagum fahaman barat, Revolusi Perancis menjadi kayu ukur dan satu tempoh yang sering dilihat sebagai satu peristiwa bersejarah dalam sejarah kemanusiaan.

Tokoh-tokoh pemikir zaman pencerahan seperti Jean Jacques Rousseau, d’Alembert, Charles de Montesquieu, Denis Diderot dan Voltaire telah menjadi antara penyumbang besar berlakunya Revoulsi Perancis.

Novel ini memang bercita-cita besar kerana membentangkan suatu sejarah bahawa orang Melayu berani menggulingkan raja jauh lebih dahulu dari barat. Kepada pengkagum barat, kenyataan bahwa orang Melayu mendahului barat adalah sesuatu yang hampir mustahil. Apa sahaja yang berkaitan dengan Melayu, samada seni, budaya, adat resam, bahasa dan malah pegangan agama sering dianggap sebagai ketinggalan zaman, kuno dan menjadi hambatan untuk mengejar kemajuan. Sesetengah orang Melayu sudah hilang jiwa Melayunya kerana menjadi pemuja budaya dan peradaban barat. Nama Melayu tetapi tingkah laku, tutur kata, tulisan dan adat-sopan sudah begitu pelik dan hodoh sehingga tidak kelihatan sifat-sifat Melayunya.

Novel ini sepatutnya mencetuskan perbahasan dan kajian lanjut tentang peristiwa Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Orang Melayu telah berani memberontak menggulingkan seorang raja dan secara sebulat suara menggantikannya dengan seorang bendahara. Rentetan peristiwa yang membawa kepada peristiwa berdarah itu perlu dikaji. Ketika orang lain berbincang tentag prinsip keadilan, reformasi, dan perubahan yang diambil contoh dari sejarah barat, peristiwa ini bagai terlepas pandang oleh semua.

Tiada siapa yang mahu mengkaji mengapa rakyat Kerajaan Johor lama yang hidup makmur dan mengecapi kepesatan ekonomi berani memberontak. Orang Melayu tidak menghadapi krisis makanan seperti di Perancis seratus tahun kemudian. Apakah yang menjadi pendorong kepada orang Melayu sehingga begitu berani membuat perubahan?

Pemikir Melayu kini, malangnya tidak mengambil kesempatan dari isu yang disentuh dalam novel ini. Pemimpin Melayu memang tidak tahu memilih keutamaan. Tidak nampak kekuatan diri dan tidak cerdik dalam tindakan. Suka bertindak dengan emosi, melatah bila dicuit tetapi diam bila ditikam. Sudah hilang jiwa dan deria rasa.

Mungkin juga pemimpin Melayu tidak membaca novel Melayu. Mereka lebih gemar membaca akhbar dan tabloid yang menghidangkan kisah politik yang ditambah bumbu perisa secukup rasa.

Saasatul Ibaad yang bermaksud `political players’ merupakan himpunan surat Dato Mahadi Hasan yang ditulis sebagai pesanan kepada Sultan Abdul Jalil yang penuh dengan pesanan-pesanan yang sangat berani dan mengejutkan. Jika teks Saasatul Ibaad versi 1894 ini benar-benar wujud dan diikuti oleh Raja-Raja Melayu ketika itu, sudah tentu akan lahir Saasatul Ibaad yang hebat dan berjaya mengangkat martabat bangsa dana agama ke kedudukan yang lebih tinggi.

Rabu, Oktober 29, 2008

Business Stripped Bare : Richard Branson

.



Business Stripped Bare: Adventures of a Global Entrepreneur
Penulis : Richard Branson
Penerbit: Virgin Books
Tarikh diterbitkan : 25 September, 2008
ISBN: 0753515024
Format: Paperback
Halaman : 342
Harga :RM 71.92 selepas diskaun 20%

Saya sebenarnya bukanlah gemar sangat dengan penulis buku ini, Richard Branson. Penampilan wajah dan watak beliau di dalam media yang kelihatan berlebih-lebihan tidak menarik hati saya. Buku ini saya beli setelah beberapa kali belek dan melihat senyuman beliau di rak-rak buku terbaru. Saya beli buku ini di MPH, Ipoh kerana tergoda dengan stiker diskaun yang tertampal di muka depan buku ini. Sebagai pemegang kad MPH, saya layak mendapat diskaun 20% yang agak banyak juga bagi buku berharga RM89.90.

Richard Branson adalah tokoh bisnes yang menerajui kumpulan Virgin. Bermula dari sebuah syarikat kecil yang menjual album lagu melalui pos dan kini menjadi pemilik bisnes yang sudah berkembang maju meliputi berbagai sektor industri seperti penerbangan, telekomunikasi, muzik, pelancongan, penerbitan dan kewangan. Kini Virgin sudah jadi satu jenama yang dikenali dan dikagumi ramai.

Membaca sejarah latarbelakang hidup Richard Branson sangat menarik. Richard tidak sempat menamatkan pelajaran perimgkat menengah. Meninggalkan dunia persekolahan sewaktu berumur 16 tahun. Berjaya mengusahakan majalah berjudul Student ketika berumur 17 pada tahun 1970. Beliau mula menjual rekod secara dari but kereta, kemudian menjual secara pos dan melahirkan Virgin Records. Dari sebuah syarikat kecil Virgin Records menjadi antara syarikat rakaman album terbesar dunia. Tahun 1982, Richard Branson menjual Virgin Records kepada EMI dengan nilai 1 bilion dolar.

Saya belum membaca dua buku terdahulu yang telah ditulis oleh Richard Branson. Beliu menulis sebuah memoir Losing My Virginity : The Autobiography dan Screw It, Let’s Do It: Lessons in Life and Business. Buku yang saya baca ini adalah buku ketiga beliau yang baru sahaja dilancarkan pada 18 September, 2008. Membaca tajuknya sahaja sudah menarik hati pembaca. Buku ini mendedahkan rahsia perniagaan Richard Branson, beliau telah berkongsi rahsia kejayaan dan kisah kegagalan sepanjang dalam bisnes. Banyak insiden dan cerita yang menarik bagaimana beliau membuat keputusan penting dalam bisnes.

Stail pengurusan beliau di Virgin sangat berbeza dengan syarikat korporat yang lain. Ceria, berseronok dan bergembira, tiada formaliti, kandid dan nakal, selain kerjakeras menjadi budaya kerja syarikat Virgin. Banyak keputusan penting syarikat dibuat di tempat yang tidak konvensional; di luar bilik mesyuarat. Ada keputusan yang dibuat sambil minum-minum selepas waktu pejabat.

Richard Branson juga sering membuat penampilan umum dengan gimik yang mengejutkan. Wajah beliau sudah dianggap bagi selebriti bisnes yang sering mewarnai media dunia. Watak beliau sangat berlainan dengan kebanyakan tokoh bisnes yang lain yang malu berhadapan dengan kamera. Mungkin latarbelakang dunia rakaman album membuatkan beliau selesa dengan publisiti.

Membaca kisah Richard Branson dan Virgin, terasa seperti banyak persamaan latar belakang dengan Tony Fernandes dan Air Asia. Kedua-duanya memulakan perniagaan dengan menceburi bidang industri muzik. Tony sebenarnya pernah mendapat pendedahan kerja di dunia rakaman dengan syarikat rakaman Virgin. Pendekatan mereka dalam bisnes juga banyak persamaan. Richard Branson mengemudi Virgin dengan pendekatan berseronok dan ceria, begitulah juga yang saya dengar tentang Air Asia dan Tony Fernandes.

Kejayaan bagi Richard Branson adalah samada anda berjaya menghasilkan sesuatu yang yang boleh dibanggakan. Di helaian terakhir buku ini Richard berpesan bahawa keuntungan bukan segala-galanya. Kita tidak akan diganti kerana membuat banyak duit, samada kita mati dengan wang berbilion dolar di dalam akaun bank atau wang berbaki 20 dolar. Kita akan diingati dengan apa yang telah kita lakukan yang memberi kesan kepada hidup orang lain.

Kata-kata Richard itu beliau buktikan dengan menyumbang berjuta dolar ke arah usaha pemuliharaan alam sekitar dan usaha kemanusiaan di seluruh dunia. Usaha beliau untuk melahirkan The Elders yang mengumpulkan tokoh terkemuka dunia untuk memikirkan dan cuba menyelesaikan masalah dunia. Kumpulan pemikir ini berjaya dilahirkan dengan dianggotai tokoh seperti Nelson Mandela, Jimmy Carter, Muhammad Yunus, Kofi Annan dan Desmond Tutu.

Walaupun di awal tadi saya sebut yang saya tidak gemarkan watak Richard Branson, tanggapan saya mungkin berubah sedikit setelah selesai membaca buku ini. Buku ini tidak rugi untuk dibaca. Banyak pesanan bisnes yang boleh dipelajari. Benarlah kata orang, sebuah buku tidak akan pernah mengecewakan, jika kita bijak memilih mutiara di celah butiran pasir.

Selasa, Oktober 28, 2008

Jiwa Hamba - terbaru dari Azizi Abdullah

Jiwa Hamba

Buku Baru:
Sudah Terbit Sebuah lagi Tulisan Azizi Abdullah, Terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Sebuah Buku Kritikan Adat Di Antara Yang Menyebabkan orang Melayu Mundur.

Pedas! Berani! Berterus Terang!

Nama Buku : JIWA HAMBA
Penulis : Azizi Hj. Abdullah
Penerbit : Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Tebal : 168 muka
Harga : RM15.00 (Termasuk pos)

(Pesan kepada Azizi Hj Abdullah, 424 Taman Bersatu, 09000 Kulim Kedah, HP 012 4396060. E-Mail: tukya_azizi1426@yahoo.com.my.)

Bayaran mestilah dijelaskan melalui Kiriman Wang atas nama Azizi bin Abdullah.


Selasa, Oktober 07, 2008

Dari Jauh Kau Pohon Maaf...Haron Abdulmajid

Boomp3.com

Lagu nyanyian Allahyarham Sudirman ini antara lagu raya yang saya minati. Lagu yang memang boleh meruntun jiwa. Lagu ini dicipta oleh S Atan dan liriknya oleh Haron Abdulmajid.

Saya sudah lama mengenali Haron Abdulmajid sebagai seorang rakan siber yang agak akrab. Kami sering berbual di Yahoo Messenger. Beliau juga sering meninggalkan pesan tentang sebarang aktiviti terbaru. Kali terakhir beliau telah berjaya menghasilkan novel bertajuk Ombak Jadi Saksi. Kami pernah berbual mengenai penghasilan novel itu dan saya berjanji untuk mendapatkan novel tersebut.

Kami sering berbalas kunjungan ke blog. Blog beliau di Siluet Aksara antara yang paling awal saya kunjungi. Kami berkongsi harapan yang sama, mahu melihat bahasa Melayu dipandang tinggi dan dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan. Beliau banyak menulis di blog tentang kekecewaan beliau terhadap orang Melayu yang meminggirkan bahasa Melayu.



Sudirman & Haron Abdulmajid 1982

Haron Abdulmajid adalah sebuah nama besar dalam penciptaan lirik lagu Melayu. Mula menulis lirik tahun 70-an dan sudah menulis lebih 800 lirik lagu yang dinyanyikan oleh artis Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei. Beliau menulis lirik untuk artis seperti Sudirman, Black Dog Bone dan Carefree. Saya sebenarnya membesar dengan lagu-lagu yang liriknya dicipta oleh Haron.

Saya terkejut besar bila menonton rancangan Melodi TV3 dan mendapat tahu beliau mengalami pendarahan otak dan tidak sedarkan diri setelah menjalani pembedahan mengeluarkan ketumbuhan sebesar telur ayam dari kepala. Dalam hati saya berdoa supaya beliau diberikan kekuatan untuk kembali sembuh.

Namun, takdir Tuhan mengatasi segalanya. Haron Abdulmajid pergi meninggalkan kita pada jam 9 pagi 1 Syawal bersamaan 1 Oktober, 2008. Ketika kita bergembira di pagi raya sambil mendengar dan menghayati lirik lagu ciptaan beliau, seperti lagu Cahaya di Aidil Fiti dan Dari Jauh KuPohon Maaf, beliau pergi.

Saya akan rindukan seorang sahabat siber yang saya tidak sempat bersua muka. ID `Ronn' di yahoo messenger saya tidak akan online lagi...buat selama-lamanya. Hanya karya peninggalan beliau yang akan jadi teman. Tanpa sedar airmata saya bergenang bila menghayati lirik lagu beliau, Dari Jauh Ku Pohon Maaf.



Dari Jauh Kupohon Maaf

Dalam dingin subuh hatiku terusik
Kenang nasib diri di rantauan
Bergema takbir raya menitis air mata
Terbayang suasana permai desa

Rindu hati ini inginku kembali
Pada ayah bonda dan saudara
Tetapi aku harus mencari rezeki
Membela nasib kita bersama

Hanya ku sampaikan doa dan kiriman tulus ikhlas
Dari jauh kupohonkan ampun maaf
Jangan sedih pagi ini tak dapat kita bersama
Meraikan aidil fitri yang mulia

Restu ayah bonda kuharap selalu
Hingga aku pulang kepadamu

Restu ayah bonda kuharap selalu
Demi anakmu yang kini jauh

Artis : Sudirman
Lagu : S Atan
Lirik : Haron Abdulmajid


Selamat Jalan, Ronn.




Pemergian Haron Abdulmajid Satu Kehilangan besar

Selasa, September 30, 2008

Salam Aidil Fitri



Tahun ini seperti kebiasaan, kami akan beraya di Sg Siput dan di Padang Rengas. Balik kampung di Hari Raya tidak pernah jadi masalah kerana jarak antara Sg Siput dan Padang Rengas hanyalah lebih sedikit setengah jam.

Jemputlah berziarah ke rumah. Tahun ini, kalau ada rezeki kami bakar lemang di Padang Rengas.



Kepada semua rakan-rakan yang berkunjung ke laman blog ini, ampun dan maaf saya pinta jika ada tersalah tersilap, jika terkurangnya budi kala berbicara.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin.

Rabu, September 24, 2008

Islamic State

.


Penulis : Abdelwahab El-Affendi,
Kata Pengantar oleh Ziauddin Sardar.
Penerbit : Malaysia Think Tank London 2008
200 mukasurat

Istilah negara Islam boleh menyebabkan ramai yang tak senang duduk. Ramai yang takutkan istilah negara Islam seperti takutkan hantu. Boleh cerita berjela-jela tentang hantu, tetapi, bila ditanya, rupanya tak pernah nampak pun bayang hantu. Bila bercerita, naik bulu roma kita mendengarnya.

Begitulah nasib istilah negara Islam. Ramai yang bercakap macam faham benar dengan makna negara Islam. Ramai yang boleh bertekak bila mendengar istilah tersebut. Yang mendokong istilah itu sanggup mati syahid jika ada yang menentang negara Islam. Mereka yang menentang negara Islam mungkin dianggap mengkhianati Islam.

Mereka yang menentang negara Islam pula sanggup mati bila ada puak yamg mahu menegakkan negara Islam. Ada yang seumur hidupnya digunakan untuk menentang sebarang usaha ke arah menubuhkan negara Islam. Hatta yang lumpuh pun boleh bangkit dari kerusi roda bila mendengar ada yang mahu menegakkan negara Islam.

Apa yang saya musykilkan, adakah pihak yang menyokong dan menentang itu telah bersetuju takrif negara Islam yang mana satu yang mereka perdebatkan? Yang menentang tidak mahukan negara Islam yang berasaskan prinsip teokrasi sedangkan yang mahukan negara Islam menyangkal dan menegaskan bahawa negara Islam yang diinginkan menjunjung prinsip demokrasi dan keadilan.

Istilah negara Islam sebenarnya adalah istilah baru yang mula popular setelah kejatuhan Khilafah Usmaniah Turki pada tahun 1924. Jatuhnya Khalifah yang terakhir membuatkan umat Islam hilang simbol penyatuan umat. Bermulalah gerakan-gerakan Islam yang mahu mengembalikan pemerintahan Islam. Idea mengembalikan kedaulatan khilafah bermula dengan tokoh-tokoh seperti Jamaludin Al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh dan Rashid Redha. Ini dituruti dengan Hasan Al-Banna yang menjadi pelopor kepada Ikhwanul Muslimin di Mesir, Gerakan Islam Jamaati Islam di benua India dan lain-lain gerakan Islam di seluruh dunia. Di sebelah Nusantara, gerkan Islam dipelopori oleh Masyumi di Indonesia dan kemudiannya diteruskan oleh PAS di Malaysia.

Tahun 70-an menyaksikan semaraknya perjuangan ke arah berdaulatnya syariah dan hukum Islam dalam kehidupan masyarakat. Kemenangan Mujahidin di Afghanistan melawan Soviet dan juga tercetusnya Revolusi Islam di Iran telah membangkitkan semangat anak muda untuk kembali mengamalkan Islam sebagai adden atau cara hidup.

Senario inilah yang mempopularkan istilah negara Islam yang membawa maksud mahu mengamalkan Islam secara keseluruhannya termasuk dalam bagaimana mengurus negara. Pendokong gerakan Islam berpendapat Islam secara keseluruhannya tidak dapat dilaksanakan tanpa wujudnya negara dan kekuasaan.

Buku berjudul `Who Needs an Islamic State’ ini adalah tulisan Dr Abdelwahab El-Affendi, Pensyarah kanan di the Centre for the Study of Democracy, University of Westminster, London. Buku ini ditulis pada tahun 1991 tetapi telah diterbitkan semula oleh Malaysian Think Tank Of London.

Buku ini menarik untuk dibaca kerana ianya membawa wacana yang segar tentang bagaimana konsep negara Islam boleh dilaksanakan dalam negara moden yang mengamalkan prinsip demokrasi. Penulis berpendapat negara Islam mestilah mengamalkan prinsip syura dan konsultansi dalam melaksanakan sebarang hukum. Penulis menolak konsep paksaan dalam melaksanakan Syariah. Perlaksanaan Syariah perlu dilakukan melalui dialog dan perbincangan dan perlu diterima secara sukarela. Beliau telah menyingkap sejarah silam di mana ramai pemimipin Islam yang bila dilantik menjadi telah menggunakan kuasa untuk melaksanakan hukum secara autokratik dan mengenepikan prinsip syura dan muafakat. Lebih buruk lagi bila menggunakan alasan agama.

Sebenarnya inilah juga yang ditakuti oleh para penentang konspep negara Islam dewasa ini. Mereka bimbang apabila para pendokong gerakan Islam mendapat kuasa melalui demokrasi, akan merubah prinsip demokrasi dan melaksanakan hukum agama yang mungkin bertentangan dengan jiwa mereka yang mahukan kebebasan.

Inilah sebenarnya cabaran sebenar pendokong gerakan Islam dalam menyampaikan dakwah dan pesanan kemurniaan Islam kepada semua, termasuk kepada mereka yang menentang konsep negara Islam. Jika benarpun mahu menentang, biarlah selepas jelas dengan maksud dan istilah negara Islam. Biar kita bersetuju untuk tidak bersetuju atas makna yang sama. Saya berharap kelahiran semula buku ini akan merancakkan perbincangan tentang negara Islam di dunia modern. Mungkin ada yang tidak akan setuju dengan sesetengah idea di dalam buku ini, tetapi ianya tetap menarik untuk dikaji dan dibincang oleh pendokong dan penentang konsep negara Islam.


Selasa, September 02, 2008

Salam Ramadhan

.Salam Ramadhan. Foto di atas diambil tak jauh dari rumah saya. Suasana pagi di Bandar Perda, dalam kawasan Permatang Pauh. Begitu tenangnya suasana pagi di sini. Berbeza sungguh dengan suasana di tempat yang sama minggu lepas. Sudah hilang riuh-rendah, sesak, hiruk dan pikuk. Nyaman sungguh udara pagi Ramadhan.

Harapan saya, kedatangan Ramadhan akan menenangkan jiwa-jiwa yang resah dan bergelora. Biar jiwa-jiwa yang kosong dapat diisi dengan kemanisan beribadah di bulan Ramadhan. Biar bulan Ramadhan kali ini benar-benar jadi medan untuk koreksi diri, merenung jauh ke ruang-ruang hati, membersih jiwa, meneguhkan pegangan diri dan membetulkan simpul-simpul yang membelenggu diri.

Kadang-kadang terasa dunia ini sudah terlampau sendat dengan kebisingan, penuh sorak-sorai dan hingar bingar. Kadang-kadang terasa sungguh rimas dan gelisah kerana ramai sunguh yang berlumba mahu membuka mulut, walaupun tiada mutiara berharga yang mahu dikeluarkan. Hanya memuntahkan lendir-lendir yang menambah busuk yang sedia ada. Sukar sungguh mencari kata seindah mutiara, yang ada hanya sorak-sorai yang membingitkan telinga.

Saya berharap sungguh, kedatangan Ramadhan membawa bersama ketenangan jiwa. Mungkin ini waktunya untuk berhenti bercakap, biar kita lebih mendengar dari bersuara. Mungkin ini masa untuk kita sedar sekuat manapun kita berteriak menuntut hak, jasad inipun bukan kita yang berhak. Sekuat manapun kita berteriak mengangkat diri, kita akhirnya akan kembali ke tanah juga. Malang sungguh jika kita tahu akan kembali tetapi tidak menyediakan bekalan yang mencukupi.


Moga. Moga. Moga Ramadhan ini membersihkan segala kekotoran dan kehodohan. Mengangkat yang indah meruntuhkan yang batil.

Salam Ramadhan

Rabu, Ogos 13, 2008

Malam Pesta Jiwa

Rakan saya Lantera Jiwa mengirim pesan tentang program ini. Di sekitar Ipoh memang sukar mencari aktiviti seni dan budaya lebih-lebih lagi yang berjiwa rakyat. Sesiapa yang berkelapangan bolehlah ke program ini.




Tarikh :
22 Ogos 2008 / 20 Syaaban 1429H / Jumaat

Masa :
9.00 malam

Tempat :
Rumah Yayasan Kesenian Perak (YKP)
No. 32, Laluan Tasek Timur 12, Taman Seri Dermawan,
31400 Ipoh, Perak.

Masuk :
Percuma

Program MALAM PESTA JIWA diadakan adalah bertujuan untuk memartabatkan nilai seni dan budaya sastera ke suatu arah yang positif dengan misi yang merakyat. Program kesenian yang bersifat indipendent (indie) ini lebih mengutamakan kualiti seni yang tulen, mengutamakan isi berbanding kulit dan bersifat menghibur di samping mendidik pendengar dan masyarakat ke arah satu visi yang lebih menyegarkan aroma dan rasa. Program yang diilhamkan oleh Saudara Meor Khairol Nizam dan Saudara Meor Saiful Nazli ini dibantu oleh Saudara Adha Effendy, Saudara Syed Muhammad Sharif, Saudara Meor Yusof Aziddin Meor Hassan dan Yayasan Kesenian Perak.


Maklumat lanjut di Lantera Jiwa

Khamis, Julai 31, 2008

Selamat jalan ...SN S Othman Kelantan

.
Salam Takziah untuk keluarga almarhum S Othman Kelantan. Moga roh beliau digolongkan dalam golongan orang yang mendapat rahmat dari Yang Maha Esa.

S Othman Kelantan adalah penerima Anugerah Sastera Negara 2003. Beliau adalah Sasterawan Negara yang ke sembilan. Hari ini kita kehilangan seorang lagi Sasterawan Negara. Negara punya sembilan orang Sasterawan Negara tetapi kita sudah kehilangan tiga orang dari mereka. SN Keris Mas, SN Usman Awang dan hari ini SN Othman Kelantan.

Penerima anugerah Sasterawan Negara (SN)
1. Keris Mas (1981)
2. Shahnon Ahmad (1982)
3. Usman Awang (1983)
4. A. Samad Said (1985)
5. Arena Wati (1987)
6. Muhammad Haji Salleh (1991)
7. Nordin Hassan (1993)
8. Abdullah Hussain (1996)
9. S. Othman Kelantan (2003)


Sasterawan Negara yang ada juga sudah ramai yang uzur, kudrat yang ada tidak memungkinkan mereka aktif berkarya seperti dahulu. Alangkah malangnya jika kita tidak mengambil manfaat dari kekayaan ilmu dan pengalaman mereka, sewaktu ada. Sasterawan Negara perlu diberi anugerah dengan membeli, membaca, mengkaji dan membincangkan karya mereka. Karya mereka perlu diterjemahkan ke berbagai bahasa dunia, setaraf dengan Anugerah Sastera Negara yang dikurniakan kepada mereka.

Jangan pula kita layan mereka seperti bunga raya yang kita angkat sebagai bunga kebangsaan. Nama sahaja bunga kebangsaan, tetapi hidupnya masih di pinggir-pinggir, di ceruk -ceruk kampung. Kalau dapat menumpang di sudut hujung banglo kita pun sudah mujur namanya. Sekali-sekala munkin muncul diselit dan ditunjuk-tunjuk semasa majlis rasmi.

Atau seperti kita layan Sasterawan Negara seperti melayan bahasa kebangsaan, yang tidak layak untuk anak-anak kita gunakan bila belajar sains dan teknologi. Tidak layak juga untuk kita gunakan dalam majlis-majlis besar. Bahasa yang hanya layak kita guna untuk beli ikan dan sayur di pasar dengan menggunakan bahasa pasar .

Ternyata nasib Sasterawan Negara tidak sebaik Angkasawan Negara yang diusung dan dihurung ke merata ceruk, dijulang dan disebut namanya di seluruh negara. Nasib berbeza walau kedua-duanya sama-sama bertaraf negara.

Moga kita sedar dan mengiktiraf jasa dan sumbangan Sasterawan Negara sesuai dengan Anugerah yang kita berikan kepada mereka.

Selamat jalan SN S Othman Kelantan.

Selasa, Julai 29, 2008

kesibukan baru...

Terima kasih kerana meninggalkan pesanan di entri sebelum ini. Saya sangat menghargai semua pesanan dan ingatan. Saya anggap pesanan itu sebagia kat-kata ikhlas dari sahabta baik. Insya Allah saya akan terus menulis di sini di celah-celah kesibukan. Saya memang ada kesibukan baru selain dari kesibukan membaca.


1. Hari ini genap setahun usia puteri kami Ayshah Nur Jiwa. Semalam, kami raikan dengan berkunjung ke Lost World of Tambun. Walaupun lokasinya berdekatan dengan bandar Ipoh, itulah kali pertama kami menjejak kaki ke sana. Saya sudah kurang selera untuk bermandi-mandi di taman tema. Yang menarik hati saya di sini mungkin kolam air panasnya. Yang lebih seronok bila melihat Ayshah gembira sungguh melihat harimau, dan bermain air. Ayshah sudah pandai bertatih, sudah pandai merajuk bila saya tinggalkan dia setiap pagi Isnin dan pulang ke BM dan berjumpa semula di hujung minggu. Inilah kesibukan baru saya selain buku.


2. Saya jarang menulis tentang kerja hakiki di blog. Ini mungkin kali pertama saya menulis tentang kesibukan saya yang terbaru. Saya sibuk memastikan bagaimana bangunan ini tersergam seperti hari ini. Saya terlibat langsung menyaksikan perancangan bangunan ini dari sebuah tanah kosong tidak sampai dua tahun lepas, dan kini menunggu bila-bila sahaja untuk disiapkan dan menunggu kami masuk.

Saya belajar bagaimana susahnya untuk mendirikan sebuah bangunan yang perlukan kerjasama dan bantuan banyak pihak. Banyak aspek yang perlu dipelajari. Banyak juga buku-buku dan majalah tentang rekabentuk bangunan, yang saya beli untuk mendalami bidang rekabentuk bangunan, hiasan dalaman dan juga hiasan laman. Begitu juga buku tentang pengurusan, sumber manusia, juga buku mengenai alatan dan teknologi. (selain daripada buku-buku kegemaran saya yang berebut-rebut menunggu giliran untuk dibaca..)

Jika membina bangunan itu sudah susah, lebih susah lagi untuk mengisi bangunan yang sudah siap. Mengisi bangunan dengan modal insan juga memastikan sistem berjalan lancar lebih lagi rumit. Macam-macam kerenah bila menemuduga calon dan bukan mudah memilih mutiara di celah butiran pasir. Memilih dan membeli alatan sudah rumit tetapi lebih rumit lagi mahu memastikan alatan yang dibeli dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kegunaan pelanggan.

Inilah kesibukan saya yang satu lagi. Banyak ilmu baru yang saya pelajari. Moga segalanya berjalan lancar untuk kami bertemu pelanggan selepas raya nanti.

Ahad, Jun 22, 2008

Empat





Empat bukanlah nombor yang diminati oleh ramai orang. Rakan-rakan bangsa tionghua kalau boleh mahu mengelak dari menggunakan nombor empat. Ada sesetengah hotel sebagai contoh secara sengaja telah menukar bilik nombor empat kepada nombor lain. Empat atau disebut `sei’ juga bermakna mati. Itu sebab, ramai yang mengelak dari nombor empat.

Saya tidak sedar yang blog ini juga sudah melangkaui nombor empat. Empat tahun maksud saya. Saya mulakan blog ini dengan menulis entri pertama pada 22 Jun, 2004. Saya juga tidak sedar yang blog ini akhirnya menulis tentang buku-buku yang saya beli dan baca juga tentang dunia perbukuan.

Setelah empat tahun juga, saya mendapat kepuasan dengan berkongsi pengalaman bersama buku dengan ramai pelayar di internet. Ramai juga akhirnya menjadi rakan akrab yang berkongsi minat yang sama. Melalui tulisan saya di blog juga saya diberi penghormatan dengan dijemput berkongsi pengalaman di berbagai majlis dan acara.

Setelah empat tahun nama jiwarasa yang mulanya hanya saya reka sewaktu mencipta alamat email, telah menjadi nama yang dikenali di dunia blog lebih dari nama sebenar saya yang memang sudah `terkenal’.

Saya bukan percaya kepada tahyul angka 4 tetapi saya rasa usia blog ini seolah mengekang minat saya untuk terus menulis di blog. Keseronokan menulis di blog sudah tidak seperti dahulu. Melihat statistik pengunjung ke blog ini pernah jadi motivasi untuk saya menulis. Saya jadi terangsang bila melihat pengunjung yang datang mencari berbagai sumber dan meletakkan pautan di blog masing-masing.

Mungkinkah kesibukan tugas hakiki menyebabkan saya rasa malas. Rasa bosan juga melanda bila membaca akhbar perdana. Membaca keletah dan gelagat tokoh politik negara menambah rasa `cemuih’ dan `getek’ saya. Sangat sukar mencari permata dalam ucapan para pemimpin. Yang ada hanya buih-buih yang akhirnya akan hilang begitu sahaja.

Saya tidak percaya kepada tahyul angka empat, tetapi saya perlukan bukti bahawa blog ini perlu melangkaui angka 4...

Selasa, Jun 17, 2008

Dewangga Sakti & Mabok Kepayang




Judul Album : Mabok Kepayang
Band: Dewangga Sakti
Genre: Tradisional/Etnik/Malay Folk/Eksperimental
Penerbit : Penerbitan Lewat Senja
Harga: RM15


Saya masih sibuk dengan urusan kerja bila Zul menghantar pesanan ringkas. Zul bertanya bila boleh bertemu. Dua hari sebelumnya Zul menghantar pesanan ringkas bertanyakan alamat. Mahu mengirim Cd baru, katanya. Saya sedang mesyuarat di Titiwangsa, KL tetapi tidak sempat untuk bertemu.

Jam sudah melangkau 6 petang, petang jumaat itu, ketika saya selesai tugas di PNB Sime Darby Park. Kami lalu berjanji untuk bertemu di Restoran Lotus yang terletak berdekatan.

Zulkifli Ramli adalah rakan akrab saya di blog. Kami berkongsi banyak kegemaran yang sama. Sama-sama minat buku, mengumpul dan membaca. Kami juga minat muzik yang sama. Saya meminati muzik tradisional dan suka membaca dan mengkaji susur galur alat muzik dan seni budaya bangsa. Jika ada kesempatan berbual, masa terasa berlalu terlalu cepat kerana begitu banyak yang ingin dikongsi. Selain minat, kami juga berkongsi universiti yang sama. Zaman saya dahulu di PJ dan sebelum berpindah ke Gombak, tempat Zul dan rakan-rakan Dewangga Sakti mula bertemu.

Kelibat Zul muncul akhirnya. Jauh juga beliau berjalan dari KLCC. Selepas memesan minuman, Zul menghulurkan CD yang sekian lama saya tunggu. Kulit depannya gambar grafik wajah seorang wanita. Macam Maya Karin, kata saya. Itulah album pertama Dewangga Sakti.

Zulkifli Ramli adalah pemain gambus kumpulan Dewangga Sakti. Zulkifli pernah mendapat pengalaman berharga menuntut ilmu bermain gambus dari arwah Fadzil Ahmad.

Dewangga Sakti sudah lama ditubuhkan. Mereka sudah mula bermain muzik seawal tahun 2000. Sebelum itu mereka ini adalah penuntut UIA yang pernah jadi penggiat kumpulan gamelan di kampus. Seingat saya, tidak ramai pemain gambus dalam negara kita, lebih-lebih lagi yang bermain muzik tradisional dengan nuansa kontemporari. Seorang lagi pemain gambus yang saya ingat ialah Farid Ali yang juga saya milik albumnya.

Itu yang buat saya hormat kepada Zul dan Dewangga Sakti. Anak-anak muda ini bermain muzik bukan sekadar untuk mencari makan. Mereka masing-masing punya kerjaya tetap. Mereka bermain muzik kerana minat dan keinginan untuk menghidupkan dan menyegarkan semula lagu irama tradisional. Zul boleh bercerita tentang sejarah alat muzik dan hubung kait dengan budaya Melayu dan Islam.

Sejarah telah membuktikan bahawa alat muzik kini sebenarnya telah diilhamkan oleh orang Islam. Sejarah perkembangan Islam di Nusantara terbukti turut diwarnai oleh penggiat seni yang berdakwah melalui lagu.

Sunan Bonang dan anak muridnya, Sunan Kalijaga tercatat dalam sejarah, menyebarkan Islam melalui wadah seni. Beliau giat berdakwah melalui gamelan dan pentas wayang. Masyarakat masa itu yang kuat dengan pengaruh Hindu telah beliau dakwahkan dengan memasukkan unsur Islam dalam persembahan seni.

Begitu juga irama Zapin Melayu yang dikatakan dibawa ke Tanah Melayu oleh pendakwah Arab dan Hadramaut sebagi wahana dakwah.

Album pertama Dewangga Sakti ini berbentuk EP atau mini album. Ada 5 trek lagu yang kesemuanya lebih kurang 20 minit. Oleh kerana ini hanyalah album pertama yang diusahakan sendiri oleh Zul dan rakan-rakan Dewangga Sakti saya tidak meletakkan harapan yang tinggi, walaupun memang terpaut bila pertama kali melihat kulit album.

Saya pasang dan dengar lagu ini di dalam kereta sepanjang perjalanan pulang dari KL ke Ipoh. Saya benar-benar terkejut apabila mendengar kualiti lagu di dalam album ini. Album ini benar-benar bermutu tinggi! Kualiti rakamannya sangat bagus! Saya boleh mendengar dengan jelas setiap instrumen yang dimainkan. Sungguh asyik mendengar petikan gambus, gitar dan gesekan biola. Alatan perkusi juga dimainkan secukupnya dengan tidak mengambil-alih peranan alat muzik lain. Petikan gambus memang mengasyikkan.

Lagu-lagu dalam album ini terdengar segar, terasa mendengar album new age atau world music buatan Malaysia yang berteraskan irama tradisional.

Prelude dan Selembar Kaseh sudah menambat hati saya dan sesuai sebagai lagu pemula. Lagu yang dicipta Zulkifli dan senikata oleh Mohsen ini dinyanyikan oleh Mohsen, vokal kumpulan Dewangga Sakti. Liriknya puitis dan menyentuh.

Lagu Belayar ke Pulau Jauh (Untuk Mencipta Rekod Dunia) memang sesuai dengan tajuknya. Lagu yang seakan menggambarkan suasana bergembira dan pesta-pestaan masyarakat Melayu. Budaya kenduri-kendara, sorak-sorai tetapi isinya kosong. Biar menang bersorak, tetapi kampung tergadai.

Lagu Kembali Menchari membuai perasaan saya dengan vokal Mohsen yang menyanyi dengan begitu santai. Sekali dengar seperti vokal kumpulan Dlyod, dua kali dengar macam Ebiet G Ade. Lagu ini diserikan dengan irama keroncong melalui petikan gitar. Liriknya perlu diamati yang membawa pesan berguna agar kembali ke asal. Asal yang mana?

Lagu Tertinggal Kapal Angkasa pula sarat dengan permainan instrumen yang diterajui oleh alat akordian dan biola. Lagu instrumental ini mengisahkan tentang Pak Abdul yang tertinggal kapal angkasa kerana tertidur pada hari pelancaran.

Kesimpulannya album ini patut dimiliki. Mutu album jauh lebih tinggi dari harga pasaran RM15. Saya letakkan album ini setanding dengan mutu album Mohar. Saya sangat berharap ada pihak yang dapat mengesan bakat anak-anak muda Dewangga Sakti ini supaya lekas terbit album penuh.

Album ini boleh dimiliki melalui Zulkifli Ramli di www.dewanggasakti.blogspot.com

Khamis, Mei 15, 2008

Buku Lagi

.

Sedar tak sedar kita sudah menghampiri pertengahan tahun 2008. Begitu cepat masa berlalu! Kesibukan tugas hingga tidak sedar masa berlalu terlalu pantas.

Saya sedang membaca buku di atas. Sudah selesai yang warna merah dan sedang baca yang dua lagi serentak. Membaca dua buku Rustam A Sani meninggalkan kesan yang berbagai. Buku yang bagus tetapi rasa sedih pilu kerana tidak akan dapat membaca tulisan beliau lagi selepas ini.

Saya juga baru sudah membaca Bedar Sukma Bisu karya Faisal Tehrani dan Biografi Usman Awang tulisan SN Muhammad Hj Salleh. Dua buah buku yang sangat bagus. Jika ada kesempatan akan saya kongsikan pengalaman membaca saya kemudian nanti. Tunggulah bila lapang sedikit nanti.

Buat masa ini, saya sibuk dengan tugas hakiki. :)

Jumaat, Mei 02, 2008

Kassim Ahmad Mencari Jalan Pulang...

.

Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam
Penulis: Kassim Ahmad
Penerbit: ZI Publications Sdn Bhd
Tahun: 2008
Halaman: 243
Harga: RM35.00



Saya beli buku ini kerana sudah agak lama tidak mengikuti perkembangan Kassim Ahmad. Tajuk bukunya yang mahu mencari jalan pulang sangat menarik saya untuk membeli bukunya. Benarkah Kassim mahu mencari jalan pulang? Sudah bertemukah beliau jalan pulang?

Semenjak kecil, nama Kassim Ahmad sudah saya kenali sebagai seorang tokoh ternama dalam negara. Kassim Ahmad adalah seorang tokoh pemikir, penulis, dan ahli politik yang terkenal negara.

Saya mula meminati politik semasa sekolah rendah. Saya membaca akhbar Bumi, Watan, majalah Sarina milik Abah. Kassim Ahmad adalah antara nama yang sering saya baca dalam akhbar dan majalah politk semasa itu. Kassim memimpin Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM). Kassim Ahmad pernah menjadi pendokong Rashad Khalifa yang heboh dengan KOD 19 semasa itu.

Kassim Ahmad kemudiannya mengejutkan negara dengan kenyataannya yang mempertikaikan hadith. Buku beliau Hadith Satu Penilaian Semula telah menggemparkan negara. Polemik tentang anti hadith bercambah di dalam media. Saya masih ingat mengikuti dengan minat debat antara Kassim Ahmad dan A Ghani Ismail di dalam akhbar arus perdana.

Semenjak itu Kassim Ahmad mula dikenali sebagai pelopor gerakan anti hadith di Malaysia. Sebenarnya, untuk berlaku adil, Kassim bukanlah menolak hadith secara total. Kassim mempertikaikan sebilangan hadith yang beliau anggap bertentangan dengan Al Qur’an. Hadith yang beliau anggap selari dengan ruh Al-Qur’an tidak beliau pertikaikan.

Inilah sebenarnya kesalahan besar Kassim Ahmad. Beliau mungkin menafikan menolak hadith, tetapi kenyataan dan tulisan beliau telah menimbulkan keraguan dan was-was masyarakat umum terhadap institusi Hadith. Itulah sumbangan besar Kassim Ahmad. Tulisan Kassim Ahmad tidak secara langsung telah melahirkan tokoh-tokoh lain yang mula mempertikaikan keaslian hadith. Individu yang tidak punya latarbelakang pengajian Islam, apa lagi pengajian hadith mula bercakap mempertikaikan hadith dan hukum-hukum Islam seolah-olah ulamak besar.

Kassim kemudiannya mengasaskan Jamaah Al-Qur’an yang seperti ada persamaan dengan Sister In Islam. Amina Wadud yang mendorong penubuhan Sister In Islam pernah jadi pensyarah saya dan memeranjatkan kami dengan keberanian menafsirkan Al-Qur’an menggunakan akal semata-mata. Kami terkejut dengan kedangkalan ilmu-ilmu asas Islam beliau tetapi berani berlagak macam pandai.

Sayang sekali Kassim tidak mencari tokoh ulamak hadith, sebelum berhajat menilai semula hadith. Negara kita tidak kekurangan ulamak hadith yang boleh menerangkan bagimana menentukan keaslian hadith dan menentukan taraf hadith samada sahih, hassan, daif atau palsu. Sudah banyak kitab-kitab yang ditulis yang menghimpunkan hadith palsu. Pengajian hadith ada disiplinnya, bukan boleh diterjah mengikut logik akal semata-mata.

Benarkah Kassim Ahmad sudah berjumpa jalan pulang? Saya tidak bertemu jawapan kepada soalan itu di dalam buku ini. Saya hanya berharap Kassim Ahmad akan terus mencari jalan pulang. Moga berjumpa jalan pulang dan moga jalan itu nanti jalan yang diberkati dan mendapat rahmat keampunan Allah.

Sabtu, April 26, 2008

Rahsia Bisnes Mamak

.


Rahsia Bisnes Mamak
Pengarang : Mohammad Faisal Sharbudin, Zamri Mohamad
Penerbit : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Harga ; RM 23.00
ISBN : 978-983-3586-75-2;



Buku ini saya beli di gerai buku PTS di Pesta Buku KL 2008. Saya sebenarnya sudah memesan dari penulis buku Faisal Sharbudin yang juga dikenali sebagai elmaaniq. Beliau antara penulis blog yang sudah lama menulis dan sering berhubung di alam siber. Saya beli buku ini di Pesta Buku setelah terserempak dengan penulis Zamri Mohamad.

Tajuk buku ini sahaja sudah menarik perhatian pembaca. Rahsia Bisnes Mamak. Penulis menggunakan perkataan Mamak bukan India Muslim. Mamak memang perkataan yang sering kita guna dan rasanya sudah jadi mesra dengan budaya setempat.

Buku ini menjadi istimewa kerana rasa saya ini adalah usaha ulung untuk berkongsi resepi perniagaan golongan India Muslim di negara kita. Saya memang sudah lama tertarik dengan perniagaan India Muslim yang mempunyai ciri-ciri perniagaan yang menarik. Keramahan tauke kedai misalnya, perlu dicontohi. Pesanan pelanggan yang biasa datang ke kedai, sudah dihadam dan diingati.

Penulis mengambil pendekatan menulis bab-bab pendek . Ada 63 bab pendek yang menyentuh berbagai aspek tentang bisnes mamak. Ada bab yang menarik perhatian saya, ada yang tidak. Ada yang benar-benar unik tentang bisnes mamak, ada juga rahsia perniagaan yang rasanya asas-asas perniagaan yang sudah diterima semua. Walau apa jenis perniagaan, asas-asasnya tetap sama, mesti ada strategi pemasaran, mesti ada 4P (Product, Price, Place, Promotion).

Penulis telah menulis tentang perniagaan India Muslim di dalam negara. Sangka saya hanya perniagaan restoran, kerana istilah kedai mamak selalunya dikaitkan dengan restoran India Muslim. Penulis telah mendedahkan perniagaan India Muslim dalam bidang-bidang lain seperti perniagaan runcit, emas dan sebagainya.

Saya tertarik dengan bab-bab awal, tenatng sejarah perkataan `mamak’ juag sejarah kedatangan India Muslim ke Tanah Melayu dan bagaimana mereka memulakan perniagaan. Buku ini menjadi lebih menarik kerana penulisnya sendiri dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga India Muslim yang menjalankan perniagaan. Banyak cerita dalam buku ini berdasarkan pengalaman peribadi penulis menolong perniagaan milik keluarga.

Buku ini mungkin buku pertama tentang perniagaan India Muslim oleh penulis. Harapan saya penulis akan terus membuat kajian untuk memperbaiki dan memantapkan lagi kandungan buku ini dalam edisi berikutnya. Mungkin akan ada lagi buku-buku yang lain mengenai bisnes mamak dari penulisnya.

Isnin, April 21, 2008

Cerita Forum di Alor Star

Saya terasa lebih muda bila menghadiri Forum Sastera Siber di Perpustakaan Awam Negeri Kedah di Alor Setar. Kesungguhan dan komitmen ahli ASASI yang akan bermesyuarat agung dan datang lebih awal ke forum tersebut sangat mengkagumkan saya.

Ini kali pertama saya digandingkan bersama drirwan dan Azizi Hj Abdullah di atas pentas yang sama. Saya sudah beberapa kali bertemu drirwan, pengasas dan orang kuat esastera.com begitu juga Azizi Abdullah yang sering berhubung dan bertemu di Bukit Mertajam.

Saya terpegun melihat Auditorium Perpustakaan Negeri Kedah yang luas dan sangat selesa. Merah warna kerusi dan latarpentas sangat menyerlah.

Majlis bermula dengan bacaan doa dan ucapan aluan oleh Ketua 1 ASASI, Sdr Shaidun Shaari. Majlis disempurnakan oleh Pengarah Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kedah, Encik Kasim Mahmud yang membacakan teks yang sangat menarik, walaupun saya kurang beri tumpuan.

Penyair Zaidin Abadi menjadi pengerusi forum pagi itu. Beliau berjaya mengawal majlis dengan bergaya. Saya jadi terkedu bila forum dijalankan secara soal-jawab. Saya sangkakan panel diberi masa untuk berucap dan kemudian baru dibuka sesi soal-jawab. Apa yang sudah saya aturkan di dalam kepala jadi berterabur. Mujur pengerusi bijak bertanya soalan yang bagus untuk dijawab panel.

Saya sebenarnya risau bila diperkenalkan sebagai seorang blogger. Risau orang tidak faham maksud sebenar blog. Blog bukan hanya untuk kritik kerajaan. Blog satu medium bebas yang boleh diguna untuk sebarang tujuan. Saya hanya seorang peminat buku yang kebetulan mempunyai sebuah blog. Saya mencatat pengalaman saya bersama buku. Saya kongsi keseronokan mencari buku dan bertemu peminat buku.

Forum Sastera Siber pagi itu menjadi panas bila Azizi Abdullah membuat kenyataan provokatif yang bersetuju bahawa sastera siber memang menjadi virus kepada sastera konvensional. Sastera di internet menurut beliau penuh dengan karya tidak bermutu yang beiau anggap sebagai sampah.

Berbagai pendapat menyokong dan menentang dikemukakan ahli panel juga para peserta forum yang sangat menarik. Kesempatan diambil oleh drirwan untuk menerangkan tentang esastera.com yang telah berjaya menjadi penggiat utama sastera siber.

Saya berharap para peserta dapat memahami kepentingan dunia internet kepada penggiat sastera. Internet tidak mungkin dapat menggantikan karya cetak. Buku dan kertas memang lebih intim dengan pembaca. Tidak ada keseronokan yang lain bagi peminat buku selain dapat membelai helaian kertas dan mencium kesegaran bau buku yang baru dibeli. Peminat buku akan jadi seperti kanak-kanak kecil yang mendapat permainan baru, apabila dapat ke kedai buku.

Namun, penguasaan internet adalah senjata baru masakini yang perlu dipelajari. Senjata di hujung tangan ini, begitu tajam sehingga boleh menikam penguasa yang dulunya kebal. Dunia Internet adalah dunia demokrasi di mana hujah berlawan hujah tanpa idea bebas disebarkan tanpa sekatan. Menang dan kalah bukan lagi berdasarkan kekuatan fizikal, tetapi kekuatan ilmu dan kecepatan menyampaikan maklumat.

Blog adalah medan yang sangat berguna dan berkesan untuk memperkukuhkan karya sastera. Sayang sekali jika penggiat sastera memusuhi penulis blog yang menulis secara percuma dan mensia-siakan peluang dan medan yang terbuka luas!

Terima kasih orang Alor Star atas layanan mesra. Enaknya hidangan pulut nyior dan ikan tamban!


Sabtu, April 19, 2008

Forum: Sastera Siber: Virus Dalam Sastera Malaysia?

Salam Sejahtera

Sdr dijemput ke;

Forum: SASTERA SIBER: VIRUS DALAM SASTERA MALAYSIA?

Panel:

Prof Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas (eSastera),
Sasterawan Azizi Hj Abdullah,
Penulis/Blogger Jiwarasa.

Pengerusi forum: Penyair Zaidin Abadi.

Tempat : Dewan Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.
Tarikh : 19 April 2008
Jam : 9.00 pagi

Anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah dan ASASI

Maklumat lanjut sila hubungi sdr brirasa (017-4336374)

Isnin, April 14, 2008

Nak Beli Buku Lagi?

----- Forwarded Message ----
From: Fajar Ilmu Baru Enterprise
To: Jiwa Rasa
Sent: Saturday, April 5, 2008 14:24:40
Subject: Promosi Sempena Pesta Buku Antarabangsa Malaysia 2008

Assalamu'alaikum

Kepada semua pelanggan kami yang budiman, Fajar Ilmu Baru Enterprise memberi diskaun sebanyak 20% sempena Pesta Buku Antarabangsa Malaysia 2008. Oleh yang demikian, diskaun 20% adalah terhad kepada buku-buku terbitan Indonesia sahaja. Promosi ini berlangsung dari 4 April 2008 hingga 30 April 2008.

Sekian. Terima kasih.

Wassalam.

Fajar Ilmu Baru Enterprise
A2, Tkt 2, Wisma Yakin,
Jalan Masjid India
50100 Kuala Lumpur

Jumaat, April 11, 2008

50 Tahun Politik Orang Melayu

.

50 Tahun Politik Orang Melayu – Apa Yang Kita Cari?

Penulis : Razali Endun
Penerbit : Badan Penulis dan Karyawan Kreatif (PIKIR)
ISBN 978-983-41118-4-7
Cetakan Pertama 2008
178 mukasurat
RM20.00

Pertama kali saya bertemu dengan Pak Razali Endun ialah semasa program Kata-Suara 3 di RA Fine Gallery 15 Mac yang lalu. Saya membacakan petikan tulisan SN Shahnon Ahmad dalam buku Semarak Angin Semarak Api. SN Shahnon menyebut dalam buku itu, Patriach merupakan karya yang lebih `ganas’ dan `bengis’ berbanding novel Shit. Pak Razali bersuara dan berkata, Shit sebuah karya yang hebat kerana telah berjaya menimbulkan rasa marah dan benci dan meluat pembaca.

Pak Razali Endun adalah tokoh penulis yang prolifik dan mula saya minati dan baca tulisan beliau semasa era reformasi. Beliau komited mengusahakan beberapa akhbar tabloid dan majalah politik. Beliau rajin menulis esei politik juga karya sastera yang jelas dan sarat dengan mesej politik.

Penulis buku ini telah cuba untuk melihat kembali perjalanan politik orang Melayu selama 50 tahun yang lepas. Buku ini yang ditulis sebelum pilihanraya umum yang ke 12 saya rasakan sebuah buku yang seimbang dan memadai dalam melihat sejarah politik orang Melayu.

Buku ini dimulai dengan menyusuri sejarah asal usul orang melayu. Beberapa pendapat dikemukakan. Analisa DNA Mitokrondia mengatakan orang Melyu berasal dari Austronesian atau selatan Monggoliad iaitu daerah Fujian atau Zhejian kira-kira 4,000 ke 6,000 tahun dahulu. Dikemukakan juga Teori Yunan yang mengatakan Orang Melayu berasal dari Asia Tengah.

Buku ini menyentuh sejarah nasionalisme Melayu yang bermula lama sebelum penubuhan UMNO. Perjuangan menentang Belanda di Indonesia dihimbau, yang menjadi inspirasi kemunculan KMM di Tanah Melayu.

DEB yang tiba-tiba popular baru-baru ini juga telah disentuh oleh penulis. Dasar yang bermula baik boleh tergelincir dari landasan bila para pemimpin mula lupa sejarah, lupa peranan, lupa roh dan semangat perjuangan yang asal.

Buku ini mengulas tentang perjuangan dan pegangan parti-parti politik tanahair yang berteraskan bangsa Melayu. Sumbangan dan komitmen parti-parti seperti UMNO, PAS dan PKR terhadap perjuangan kepentingan bangsa Melayu telah dibincang dengan sangat menarik.

Rujukan dibuat terhadap perjuangan parti politik parti kaum lain khususnya parti berasaskan orang Cina. Strategi politik yang mementingkan kepentingan bahasa dan bangsa dan melangkaui kepentingan politik kepartaian menarik untuk diperbandingkan.

Buku ini ditulis sebelum lanskap politik negara berubah. Ia ditulis sebelum keputusan pilihanraya diumumkan. Walaupun kandungan buku ini tidaklah sepenuhnya bersifat ilmiah tetapi usaha penulis untuk menyentuh isu yang penting untuk kepentingan bangsa dan bahasa patut dipuji. Usaha mempertingkatkan bangsa dan bahasa dengan cara yang betul, tidak menzalimi orang lain, tidak menindas kaum lain bukanlah sesuatu yang keji. Ianya suatu yang natural dan memang dituntut.

Menjelang pilihanraya, saya mencari suara-suara yang mahu berjuang tentang kepentingan bahasa, seni, budaya dan bangsa Melayu. Hampir tiada. Yang ada hanya mereka yang mahu memenangkan parti masing-masing dengan mempergunakan agenda Melayu sebagai alasan untuk memancing undi. Lebih hodoh lagi, yang gunakan parti, untuk kepentingan diri, walaupun mulut beratib konon mahu memperjuangkan kepentingan Melayu.

Kini, bila pilihanraya berlalu, barulah mula kedengaran suara golongan yang mahu memperjuangkan kepentingan Melayu. Tiba-tiba mahu berkumpul, berkongres, mahu bincang tentang perjuangan dan masadepan Melayu. Tiba-tiba muncul NGO Melayu. Sebelum ini entah di mana mereka bertapa.

Penulis buku ini antara segelintir yang menulis tentang perjuangan bangsa Melayu sebelum pilihanraya. Razali Endun ini berjaya menyingkap sejarah perjuangan bangsa Melayu sepanjang 50 tahun dengan begitu baik sekali. Terima kasih Pak Razali.

Isnin, April 07, 2008

Seronoknya di Pesta Buku!

Kami tiba hampir jam 11 pagi dari Ipoh dan parkir sudah penuh. Hari Sabtu bukan hari yang sesuai ke Pesta Buku jika anda inginkan suasana aman dan tenteram. Dewan Pameran Utama penuh sesak terutama oleh pelajar-pelajar yang datang dengan rombongan sekolah.

Pesta Buku kali ini saya rasakan banyak peningkatan dari tahun sebelumnya. Banyak buku-buku baru yang dilancarkan sempena Pesta Buku. Gerai Institut Terjemahan Negara sebagai contoh mengejutkan saya dengan mempamerkan banyak judul-judul buku yang diterjemahkan ke bahasa Melayu. Jauh beza dengan tahun lepas. Buku Mortimer J Adler dan Malik Bennabi sudah diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Banyak yang saya berkenan tetapi sesak sangat dengan pengunjung.

Saya lebih gemar dewan di seberang sungai kerana kurang sesak dengan orang. Lagipun gerai yang saya cari-cari ada di sana iaitu, gerai penerbit universiti-universiti juga gerai IKAPI. Gerai pengedar buku Indonesia atau IKAPI mengecewakan saya kali ini, kurang buku dan harganya mahal. Mungkin buku baru belum sampai untuk dipamerkan.

Gerai PTS di sini memang jadi tumpuan. Saya suka konsep sudut meja taman di mana para penulis PTS sibuk mempromosi buku mereka. Saya lihat Mat Jan sibuk mengacarakan sesi bersama penulis sains fiksyen. Firdaus , Vovin, Zaki Zainol dan rakan-rakan.

Saya beli 3 buku baru di gerai PTS. Buku Rahsia Bisnes Mamak tulisan rakan blogger Elmaaniq dan penulis Zamri Mohamad.

Saya beli buku Buat Duit Dengan Terbit Buku Sendiri tulisan Nazrul Samsudin. Buku ini beliau terbitkan sendiri. Saya sangat suka dengan kulit bukunya.

Tokoh yang kontroversi Kassim Ahmad juga telah mengeluarkan memoir beliau yang terbaru bertajuk Mencari Jalan Pulang - Daripada Sosialisme Kepada Islam. Ini buku terbaru beliau yang tak sabar mahu saya baca.

Gerai Wira Bukit juga terletak di dewan pameran yang sama. Helmy Samad kelihatan sibuk melayan pengunjung. Jika ada hadiah untuk dekorasi gerai saya rasa gerai Wira Bukit patut dapat hadiah. Ada sofa selesa berlatarbelakangkan gambar pemandangan. SN Pak Samad mesra melayan para peminat beliau kecil besar tua dan muda. Saya beli buku 68 Soneta Pohon Ginkgo dan Keledang. Kedua-duanya bertandatangan SN Pak Samad.

Saya diperkenalkan oleh Helmy dengan Lina Usman Awang, anak SN Usman Awang yang gigih menerbitkan karya SN Usman Awang. Saya beli buku Turunnya Sebuah Bendera dan Tulang2 Berserakan.

Saya tertarik dengan sebuah gerai menjual buku dari Turki. Banyak buku Sufi dijual di sini. Saya beli buku Rumi's Thought tulisan Sefik Can.

Sebelum pulang saya ke gerai Ameen. Bertemu Faisal Tehrani dan Nisah Haron. Beli buku mereka berdua yang bagaikan kembar seiras. Tajuk dan desain buku hampir sama. Buku Karya Nan Indah dan Karya Kita Hak Kita.

Walaupun sekejap, ramai yang saya jumpa di Pesta Buku Kali ini. Terima kasih rakan-rakan yang menyapa. Bayan dan Ode, juga Azree Afriffin :)

Bertemu beberapa rakan sekampus yang lama tak berjumpa.

Terima kasih Iskandar yang hadiahkan CD-CD keroncong yang hebat! Sudah dengar dan terpesona dengan ketiga-tiga CD itu.

Bertemu Raja Ahmad Aminullah yang sudah memborong banyak buku. Terkilan tidak dapat menunggu untuk hadir ke Kata-Suara keesokan harinya.

Di The Mall terserempak dengan Haris Zalkapli. Rupanya kita senasib!

Sebelum pulang ke Midvalley. Terserempak pula dengan Peter Tan, rakan blogger yang gigih menulis tentang kisah OKU di Malaysia.

Kami pulang dan tiba ke rumah di Ipoh jam satu pagi. Banyak ratus juga habis dan susah hati mana nak letak buku yang baru dibeli! Macam kena beli rak buku baru!

Hari yang penat tetapi seronok!

Sabtu, April 05, 2008

Pesta Buku Antarabangsa KL 2008

.foto papan iklan berhampiran Plaza Low Yatt


Pesta Buku Antarabangsa KL datang lagi. Bagi peminat buku, ini adalah acara yang ditunggu-tunggu saban tahun.

Walaupun mutu buku-buku yang dipamrkan masih belum memenuhi kehendak peminat buku, ianya tetap jadi tumpuan untuk para peminat buku mendapatkan buku-buku terbaru di pasaran juga peluang bertemu penulis dan mendapatkan buku dengan harga yang murah.


Saya dan SuriJiwa akan ke Pesta Buku hari Sabtu ini, 5hb April, 2008, bersama puteri kami Ayshah Nur Jiwa yang pertama kali mengikut ke Pesta Buku.

Buku yang saya cari dan minati selalunya tidak ada di Pesta Buku Antarabangsa KL. Namun itu tidak menjadi sebab untuk tidak hadir. Saya datang bukan semata-mata mahu mencari buku, tetapi mahu bersama-sama dalam suasana yang penuh dengan buku dan peminat buku. Sama-sama merasa keseronokan melihat gelagat dan telatah peminat buku dan mereka yang cintakan buku. Mahu berkongsi nikmat berada bersama-sama para pencinta buku di tengah-tengah himpunan ribuan buku dan menghirup udara berbau aroma kertas-kertas dari buku-buku baru yang dipamerkan.

Berada di tengah-tengah timbunan buku akan memberi semangat baru buat peminat buku seperti saya. Andai dapat bertemu pula peminat buku yang lain, itu sudah bonus.

Jika anda ke sana Sabtu ini, boleh kita berjumpa dan berkongsi cerita buku yang dibeli!


Sabtu, Mac 29, 2008

Sekitar Majlis Diskusi di DBP

.

Saya agak berat hati mulanya, untuk menjadi panel dalam program diskusi di DBP ini. Pertamanya kerana saya bukanlah penulis mapan yang pernah menulis di DBP. Nama dan wajah DBP itu sendiri sudah begitu besar dan saya pandang tinggi semenjak kecil.

Keduanya, saya juga bukanlah blogger yang terbaik atau paling popular dalam dunia blog di negara kita. Saya tidak menulis isu popular di blog. Saya bukan blogger politik. Saya hanya menulis tentang buku dan dunia buku.

Namun, permintaan tidak akan saya tolak bila ianya menyangkut tentang buku dan dunia buku. Majlis Diskusi Penulis & Blog : Trend Masa Kini di DBP dianjurkan oleh Pusat Dokumentasi Melayu(PDM) sebagai satu siri aktiviti Gerakan Membaca. PDM dulunya dikenali sebagai Perpustakaan DBP menyimpan hasarat untuk memperoleh dan memulihara kepustakaan Melayu selengkap mungkin dengan pengkhususan kepada bidang bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu. PDM juga berhasrat menjadi pusat rujukan kepustakaan Melayu yang cemerlang yang mudah diakses melalui teknologi maklumat terkini.

Saya diminta untuk berkongsi pengalaman menulis di blog sebagai seorang pembaca dan peminat buku. Saya menulis tentang buku yang saya baca yang sebahagian besarnya adalah dalam bahasa Melayu dan kebanyakannya bukan tergolong dalam buku popular. Ramai orang lain yang membaca buku, malah jauh lebih banyak dari saya, tetapi mereka tidak menulis tentang apa yang mereka baca. Saya membaca dan saya tulis di blog. Tulisan saya nampak bagus, hanya kerana orang lain yang lebih bagus dan pandai, tidak menulis di blog.

Saya berbesar hati dengan kehadiran ramai rakan-rakan blogger di majlis diskusi tersebut, walaupun saya sendiri berasa apa yang saya bentangkan mungkin lebih sesuai untuk khalayak umum yang masih belum mempunyai blog. Memang niat saya untuk menarik seramai mungkin pendokong bahasa di DBP untuk memulakan blog. Saya berharap, majlis diskusi itu dapat membuka mata para penulis, penggiat dan pejuang bahasa tentang kepentingan dunia internet dan medium blog khusunya. Saya berharap para penulis mapan boleh berkongsi ilmu dan pengalaman mereka di blog. Saya bermimpi suatu hari nanti dapat membaca blog Ketua Pengarah DBP atau blog Ahli Lembaga Pengelola DBP, juga blog rakan-rakan anggota pekerja di DBP yang lain.

Saya berharap para pejuang bahasa yang heboh mahu mengusung keranda 152 supaya berpencak di medan yang sebenarnya. Zaman menghunus keris dan mengusung keranda mungkin sudah berlalu. Kini zaman kita berpencak melalui percambahan ilmu dan pemikiran, berhujah dan bertukar pendapat. Siapa yang lebih kuat bukan lagi ditentukan oleh kekuatan fizikal, tetapi oleh kekuatan dan kepakaran menyampaikan pandangan dan mempengaruhi khalayak dengan cara yang pantas, kreatif dan berkesan.

Apa lagi medum yang lebih baik untuk mencapai hasrat ini daripada blog!

Sabtu, Mac 22, 2008

Majlis Diskusi di DBP

.

Majlis Diskusi 'Penulis dan Blog: Trend Masa Kini'

ASTAKA MINDA
Siri Aktiviti Gerakan Membaca DBP

Sabtu, 22 Mac 2008
9.00 pagi
Dewan Seminar, Aras 2
Menara Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur


Penulis dan Blog: Trend Masa Kini

Pengerusi: Puan Rohani Rustam
Mantan Pengarah Penerbitan DBP

Panel:
Nisah Haron
http://annyss.blogspot.com
JiwaRasa
http://jiwarasa.blogspot.com



Semua dijemput hadir.

Hubungi :
Encik Nik Aman Nik Yusoff (03-21481045)/
Encik Hiezam Hashim (03-21483540)
khidmat1@dbp.gov.my



Jumaat, Mac 07, 2008

Selamat mengundi

.
Saya akan mengundi untuk kali yang keempat. Calon yang bertanding macam tak berkenan di hati. Namun, saya akan tetap mengundi dan memilih calon yang terbaik. Kriteria pilihan saya ialah calon yang menjunjung Islam sebagai agama persekutuan juga menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti tercatat dalam Perkara 152 perlembagaan persekutuan. Jika masih tak tahu berbahasa Melayu, minta maaflah, anda tak layak jadi wakil rakyat di negara Malaysia ini.


Selamat mengundi. Tunaikan kewajiban dengan memilih calon yang terbaik.

Jumaat, Februari 29, 2008

Membaca di musim pilihanraya

.
Mortimer J Adler & Charles Van Voren dalam bukunya yang hebat bertajuk `How To Read A Book’ menyebut ada banyak tahap dan berbagai cara dalam membaca. Adler menyarankan supaya digunakan pendekatan yang berbagai untuk membaca teks yang berlainan. Membaca majalah dan suratkhabar sebagai contoh tidak sama dengan membaca buku teks yang memerlukan penelitian dan bacaan berulangkali. Membaca buku teks juga perlu silang rujuk sumber-sumber yang lain untuk kita lebih memahami subjek yang kita kaji. Buku Adler ini saya anggap sebagai `buku teks wajib’ buat peminat buku.

Musim pilihanraya ini pada pendapat saya adalah masa yang paling sesuai untuk menggunakan teknik-teknik yang disebut oleh Adler. Membaca majalah dan suratkhabar dalam musim pilihanraya, tidak boleh lagi dibaca secara santai. Kita perlu menggunakan teknik seperti membaca buku rujukan. Apa yang kita lihat dan baca tidak semestinya menggambarkan yang sebetul-betulnya tentang sesuatu subjek. Bacaan dalam musim pilihanraya perlu dikupas lapis demi lapis seperti mengupas lapisan bawang.

Tulisan dalam akhbar seminggu dua ini, penuh dengan propaganda, memujuk dan menggoda pembaca untuk memilih parti yang dikempenkan. Tokoh yang buruk sekalipun akan digambarkan dengan sebegitu cantik, sehingga tidak kelihatan langsung kehodohan tingkah dan perangainya. Tokoh yang baik pula akan dicari sehingga sekecil-kecil keburukan dan dibesar-besarkan sebagai cara untuk menjatuhkan beliau dalam pilihanraya. Pemikiran politik dalam negara kita pula yang sedihnya masih lagi politik negara mundur, tidak setaraf dengan perkembangan fizikal negara. Politik kepartaian yang menyokong melulu sebuah parti. Sebahagian besar dari pengundi menyokong parti tertentu secara melulu, walau siapa pun yang diletak sebagai calon. Hatta jika diletak orang utan sekalipun, pasti orang utan itu akan menang.

Walaupun ada aspek manifesto parti lawan yang bagus, tetapi ianya tidak akan diakui, malah akan dicari jalan untuk memburuk-burukkannya. Akan ditutup mata melihat kebaikan yang ada pada manifesto parti lawan.

Kempen politik dalam negara kita ini lebih kepada memainkan emosi daripada berdebat dan berbahas tentang pemikiran dan polisi yang ingin dibawa oleh parti yang bertanding. Isu seorang calon enggan bersalam sebagai contoh, dipulas, ditambah dan disesuaikan supaya menjadi isu negara yang maha besar.

Walaupun ada tokoh akademik dan pemikir yang memasuki politik, mereka ini hilang nilai akademiknya bila memasuki parti politik. Sudah sering kali kita lihat ahli politik yang punya kelulusan PhD tetapi berbicara dan bersikap seperti hanya lulusan PMR. Hilang ilmu akademiknya, dikorbankan kebenaran dan keadilan demi kepentingan politik parti yang didokong.

Orang yang rajin membaca pun akan tertipu jika tidak bijak `membaca politik' apalagi mereka yang malas membaca. Moga kita bijak membaca, berfikir dan memahami apa yang dipaparkan dan disogokkan kepada kita. Bijak memilih agar tidak sesal kemudian hari.

Jumaat, Februari 22, 2008

Iskandar - Pencinta Buku Hebat!

. iskandar @drbubbles,
seorang pencinta buku
yang juga seorang `bedside clown' berbakat



Bila bercerita tentang usah memupuk budaya membaca, macam-macam pendapat yang kita dengar. Berbagai pandangan dan pendapat yang kita dengar. Selalunya kita akan menuding jari kepada semua orang lain, melainkan diri sendiri. Pemimpin salah. Orang politik salah. Dasar pendidikan tak bagus. Ibu bapa juga kita persalahkan, kerana tidak mahu mendidik anak-anak supaya mahu membaca

Jarang sekali kita ingin mengambil inisiatif peribadi untuk mengajak orang lain membaca. Jika ada usaha persendirian, sekecil manapun ianya, patut diberi pujian dan galakan sewajarnya.

Untuk itulah entri kali ini saya mahu berkongsi kisah seorang rakan yang telah mengambil inisiatif sendiri untuk mendirkan peprustakaan untuk anak yatim.

Iskandar yang juga dikenal sebagai drbubbles adalah tokoh yang kita maksudkan. Iskandar adalah antara blogger yang terawal saya bertemu secara bersemuka. Kami bertemu buat pertama kali di Pesta Buku KL tahun 2005. Semenjak tarikh itu kami jadi sahabat baik. Kami sering bertukar info tentang buku yang kami minati. Kadang-kadang bagai `berlumba' mencari buku-buku yang langka.

Iskandar yang memang seorang peminat buku yang hebat, telah mengambil inisiatif sendiri untuk mengumpul dana bagi membeli buku untuk rumah anak yatim. Tanpa menunggu majlis besar-besar, tanpa menunggu wakil rakyat menghulur duit, atas dasar cintakan buku dan kanak-kanak, beliau menghantar sms kepada rakan-rakan untuk meminta sumbangan kewangan. Iskandar turun naik tangga mencari sumbangan kewangan dari orang perseorangan dan organisasi. Iskandar berkunjung ke kedai buku dan penerbit buku mencari dan membeli buku-buku. Ada penerbit buku yang berbesar hati samada menyumbang buku ataupun memberi potongan harga yang bagus.

Ini bukan projek Iskandar yang pertama. Beliau mula mengusahakan projek ini untuk Rumah Anak Yatim Bait Al Amin, di Parit Perak.

Yang menarik, projek buku untuk anak yatim kali ini beliau lancarkan sempena menyambut harilahir beliau bulan Januari lepas. Beliau tidak meletakkan matlamat tinggi, hanya RM2,000 supaya beliau boleh membeli 250 buah buku untuk anak yatim. Namun, mungkin rezeki anak yatim, beliau berjaya menghimpun melebihi RM9,000!

Usaha Iskandar ini bukan untuk memancing undi atau mahu memujuk supaya diri dicalonkan sebagai calon pilihanraya. Ia hanya sebahagian dari kerja sukarela yang beliau lakukan demi cinta kepada buku. Kerja ini boleh dilakukan oleh wakil rakyat, tetapi tidak ramai yang mahu buat. Tokoh bahasa yang pernah jadi wakil rakyat dan pernah pegang kuasa di institusi berkaitan buku juga tidak buat. Mungkin tidak sempat, atau banyak lagi prioriti lain, seperti menuding jari ke orang lain. Malang, kerana peluang membuat perubahan bukan datang selalu dan peluang itu tertutup bila tersingkir menjadi calon.

Esok, Sabtu 23hb Februari, Iskandar mengajak pengunjung blog beliau ke Rumah Nurul Hidayah, Kg Cheh, Bukit Gantang, Perak.

Saya, Surijiwa dan adik kami, Aida akan ke sana. Selepas kerja saya akan bertolak dari Bukit Mertajam, singgah di Padang Rengas dan harapnya akan sampai ke sana sebelum Asar.

Jika anda tidak sibuk sebagai calon pilihanraya, atau wakil calon untuk hari penamaan hari Ahad nanti, marilah ikut bersama kami!

Sabtu, Februari 16, 2008

Kuras-Kuras Kreatif - Azizi Abdullah

.
Kuras-Kuras Kreatif
Azizi Hj.Abdullah
Dewan Bahasa dan Pustaka 2007
RM14.00
146 halaman


Saya sedang sarapan pagi di Ipoh apabila telefon sel saya berbunyi. Ustaz Azizi Abdullah. Beliau ingin ketemu di pejabat.

Saya lambat sampai ke Bukit Mertajam pagi itu. Ustaz Azizi Abdullah sudah menunggu di lobi. Dua buah buku diunjuk kepada saya. Buku Kuras-Kuras Kreatif dan Mustadh'afin yang tertindas. Hadiah dari saya, kata beliau.

Hanya peminat buku yang tahu betapa gembiranya hati menerima hadiah buku! Apa lagi bila yang menghadiahkannya ialah penulis buku terkenal yang memang saya kagumi dari kecil. Azizi Abdullah yang pernah menjadi penerima Sea Write Award. Penulis novel Seorang Tua di Kaki Gunung.

Kuras-Kuras Kreatif saya mula baca petang itu juga. Helaian pertama tertulis nama saya, dengan ingatan ikhlas dari penulisnya. Buku ini memang dalam senarai yang akan saya beli. Azizi Abdullah menceritakan pengalaman beliau menulis dan berkarya. Segala rahsia beliau berkarya dikongsi di dalam buku ini. Bagaimana pengalaman beliau dan keluarga menjadi bahan utama dalam tulisan beliau. Saya dapat merasakan betapa kuatnya pengaruh seorang Ayah dalam hidup beliau. Pengalaman hidup beliau semasa kecil yang begitu dekat dan mesra dengan alam telah menghasilkan karya yang diingati pembaca. Laut dan sungai, sawah, padi dan lumpur; juga bukit, hutan dan pokok bagi sudah sebati dengan hidup penulis. UNsur-unsur alam inilah yang menjadi inspirasi Azizi yang digarap dengan begitu baik sekali dalam karya-karya beliau.

Menariknya buku ini, Azizi menulis dengan penuh jujur dan tidak berselindung, sehingga rahsia-rahsia yang mungkin dianggap peribadi juga diceritakan. Kisah beliau yang rajin mengunjungi tempat maksiat untuk mencari ilham menulis, kisah perempuan-perempuan yang pernah singgah dalam hidup beliau, juga kisah beliau semasa kecil, sangat-sangat menarik hati saya. Begitu juga tabiat dan kegemaran beliau semasa berkarya.

Buku ini selesai saya baca hari yang sama, bermula selepas Asar dan selesai sebelum Isyak. Buku ini saya syorkan kepada sesiapa yang mahu menulis. Mereka yang pernah membaca karya Azizi Abdullah juga akan lebih menghargainya apabila membaca pengalaman kreatif beliau menulis.

Terima kasih, Tuk Ya!


kuras - helaian kertas yg digunakan dlm percetakan buku dan dilipat-lipat serta dikerat menjadi beberapa muka (Kamus Dewan Edisi Ketiga 2002)

Rabu, Februari 13, 2008

Bubar...



Akhirnya, setelah begitu banyak masa terhabis berbincang kosong, berteori dan bertekak, tentang tarikh pembubaran parlimen, hari ini parlimen betul-betul bubar. Ada yang bersorak, macam terpilih jadi calon, bila tarikh yang mereka jangka itu menjadi kenyataan. Jangan menang sorak kampung tergadai, sudahlah.

Ada juga yang tidak boleh tidur malam, sehingga hari penamaan calon, menunggu nama tercalon atau tidak. Bermimpi samada punya peluang untuk duduk di kerusi dewan yang baru bubar, atau tidak.

Mengikut laman web rasmi Parlimen Malaysia,
kelayakan menjadi ahli Dewan Rakyat adalah seperti berikut:-

1.warga negara Malaysia
2.tidak kurang dari 21 tahun
3.waras fikiran
4.bukan seorang muflis
5.tidak mempunyai rekod jenayah

Saya suka syarat yang nombor tiga. Harap-harap yang terpilih nanti, biarlah betul-betul waras. Tak tahulah bagaimana mahu diuji nanti kewarasan fikiran calon. Ramai yang kurang waras tetapi berlagak waras.

Moga kita juga waras dalam memilih yang batu kaca atau permata. Jangan pula kita yang mengaku waras tetapi membuat pilihan yang tidak waras.

Selamat menjalankan tanggungjawab dengan waras!

Jumaat, Februari 08, 2008

Gestapu & Bung Karno

.


Kumpulan Pernyataan Bung Karno tentang Gerakan 30 September,
Benarkah Gerakan 30 September Didalangi Bung Karno
Media Pressindo
Cetakan Pertama,March, 2006
Harga RM15


Buku ini memuatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Indonesia, Bapak Soekarno mengenai Peristiwa 30 September, 1965. Tarikh itu menjadi satu sejarah bagi warga Indonesia, apabila berlakunya satu peristiwa berdarah di mana enam orang jeneral-jeneral besar Tentera Indonesia telah mati dibunuh di sebuah tempat bernama Lubang Buaya.

Peristiwa Gerakan 30 September, yang juga dikenali sebagi G-30-S atau Gestapu itu meninggalkan persoalan besar, siapakah dalang disebalik peristiwa itu. Siapakah yang berani membunuh pemimpin tertinggi Tentera Indonesia?

Sumber yang popular mengatakan bahawa peristiwa itu dilakukan oleh Parti Komunis Indonesia yang cuba untuk mempengaruhi pemerintahan Soekarno. Peritiwa 30 September ini sebenarnya sangat berkait dengan Malaysia kerana ianya berlaku tidak lama selepas Malaysia ditubuhkan pada 16 September, 1963. Penubuhan Malaysia tidak disenangi oleh Soekarno yang mendakwa ianya didalangi oleh imperialisme barat dan hanya melahirkan negara boneka British. Soekarno, mungkin dihasut oleh pemimpin Parti Komunis Indonesia telah melancarkan Ganyang Malaysia, yang menyaksikan penyusupan tentera Indonesia berfahaman komunis ke Malaysia.

Kempen Ganyang Malaysia ini khabarnya berlarutan sehinggalah berlakunya Peristiwa Gestapu yang khabarnya mendapat reaksi berbelah-bagi dari tentera Indonesia. Pemimpin tertinggi tentera Indonesia yang diketuai oleh Jeneral Nasution tidak begitu bersetuju dengan kempen ini. Mereka berpendapat tindakan menyerang Malaysia mungkin akan merugikan, kerana British mempunyai kekuatan dan kelengkapan tentera yang hebat. Tokoh PKI yang marah dengan sikap itu telah mengambil tindakan nekad menggulingkan dan membunuh jeneral-jeneral tersebut.

Peritiwa Gestapu ini juga menyaksikan bermulanya Jeneral Soeharto muncul dalam politik kepimpinan Indoensia. Pada 11 Mac, 1966, lima bulan selepas peristiwa Gestapu, Sukarno telah memberikan kuasa yang tak terbatas melalui Surat Perintah Sebelas Maret, yang dipanggil Supersemar. Naiknya Soeharto bersama Orde baru dan bermulalalah pencarina dan pembunuhna beribu-ribu orang ahli dan pendokong komunis.

Peristiwa Gerakan 30 September masih menjadi misteri sehingga kini. Banyak persoalan yang masih belum terjawab tentang siapakah sebenarnya dalang di sebalik peristiwa ini. Adakah ianya didalangi Soekarno, dalam usaha beliau untuk memastikan Indonesia kekal sebagai sebuah negara sosialis setelah beliau tiada? Mungkinkah ianya didalang oleh Soeharto untuk merebut jawatan Presiden dari Soekarno? Mungkinkah ianya diarahkan oleh CIA dalam rangka memastikan kekuasaan imperialisme barat di sebelah Asia Timur?

Buku ini tidak memberikan jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut. Ia hanya mengumpulkan kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Soekarno, buat renungan dan mungkin boleh dibuat rumusan sendiri oleh pembaca.

Hari ini, pelakon-pelakon peristiwa itu sudah ramai yang tiada, termasuklah mantan Presiden Soekarno dan Jeneral Nasution yang terlepas dari terbunuh dalam peristiwa berdarah itu. Kini, Presiden Soeharto pula meninggalkan dunia, dan terus meninggalkan persoalan Peristiwa 30 September tidak terjawab.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails