Jumaat, Februari 29, 2008

Membaca di musim pilihanraya

.
Mortimer J Adler & Charles Van Voren dalam bukunya yang hebat bertajuk `How To Read A Book’ menyebut ada banyak tahap dan berbagai cara dalam membaca. Adler menyarankan supaya digunakan pendekatan yang berbagai untuk membaca teks yang berlainan. Membaca majalah dan suratkhabar sebagai contoh tidak sama dengan membaca buku teks yang memerlukan penelitian dan bacaan berulangkali. Membaca buku teks juga perlu silang rujuk sumber-sumber yang lain untuk kita lebih memahami subjek yang kita kaji. Buku Adler ini saya anggap sebagai `buku teks wajib’ buat peminat buku.

Musim pilihanraya ini pada pendapat saya adalah masa yang paling sesuai untuk menggunakan teknik-teknik yang disebut oleh Adler. Membaca majalah dan suratkhabar dalam musim pilihanraya, tidak boleh lagi dibaca secara santai. Kita perlu menggunakan teknik seperti membaca buku rujukan. Apa yang kita lihat dan baca tidak semestinya menggambarkan yang sebetul-betulnya tentang sesuatu subjek. Bacaan dalam musim pilihanraya perlu dikupas lapis demi lapis seperti mengupas lapisan bawang.

Tulisan dalam akhbar seminggu dua ini, penuh dengan propaganda, memujuk dan menggoda pembaca untuk memilih parti yang dikempenkan. Tokoh yang buruk sekalipun akan digambarkan dengan sebegitu cantik, sehingga tidak kelihatan langsung kehodohan tingkah dan perangainya. Tokoh yang baik pula akan dicari sehingga sekecil-kecil keburukan dan dibesar-besarkan sebagai cara untuk menjatuhkan beliau dalam pilihanraya. Pemikiran politik dalam negara kita pula yang sedihnya masih lagi politik negara mundur, tidak setaraf dengan perkembangan fizikal negara. Politik kepartaian yang menyokong melulu sebuah parti. Sebahagian besar dari pengundi menyokong parti tertentu secara melulu, walau siapa pun yang diletak sebagai calon. Hatta jika diletak orang utan sekalipun, pasti orang utan itu akan menang.

Walaupun ada aspek manifesto parti lawan yang bagus, tetapi ianya tidak akan diakui, malah akan dicari jalan untuk memburuk-burukkannya. Akan ditutup mata melihat kebaikan yang ada pada manifesto parti lawan.

Kempen politik dalam negara kita ini lebih kepada memainkan emosi daripada berdebat dan berbahas tentang pemikiran dan polisi yang ingin dibawa oleh parti yang bertanding. Isu seorang calon enggan bersalam sebagai contoh, dipulas, ditambah dan disesuaikan supaya menjadi isu negara yang maha besar.

Walaupun ada tokoh akademik dan pemikir yang memasuki politik, mereka ini hilang nilai akademiknya bila memasuki parti politik. Sudah sering kali kita lihat ahli politik yang punya kelulusan PhD tetapi berbicara dan bersikap seperti hanya lulusan PMR. Hilang ilmu akademiknya, dikorbankan kebenaran dan keadilan demi kepentingan politik parti yang didokong.

Orang yang rajin membaca pun akan tertipu jika tidak bijak `membaca politik' apalagi mereka yang malas membaca. Moga kita bijak membaca, berfikir dan memahami apa yang dipaparkan dan disogokkan kepada kita. Bijak memilih agar tidak sesal kemudian hari.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails