Memaparkan catatan dengan label blogger. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label blogger. Papar semua catatan

Sabtu, April 19, 2008

Forum: Sastera Siber: Virus Dalam Sastera Malaysia?

Salam Sejahtera

Sdr dijemput ke;

Forum: SASTERA SIBER: VIRUS DALAM SASTERA MALAYSIA?

Panel:

Prof Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas (eSastera),
Sasterawan Azizi Hj Abdullah,
Penulis/Blogger Jiwarasa.

Pengerusi forum: Penyair Zaidin Abadi.

Tempat : Dewan Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.
Tarikh : 19 April 2008
Jam : 9.00 pagi

Anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah dan ASASI

Maklumat lanjut sila hubungi sdr brirasa (017-4336374)

Isnin, April 07, 2008

Seronoknya di Pesta Buku!

Kami tiba hampir jam 11 pagi dari Ipoh dan parkir sudah penuh. Hari Sabtu bukan hari yang sesuai ke Pesta Buku jika anda inginkan suasana aman dan tenteram. Dewan Pameran Utama penuh sesak terutama oleh pelajar-pelajar yang datang dengan rombongan sekolah.

Pesta Buku kali ini saya rasakan banyak peningkatan dari tahun sebelumnya. Banyak buku-buku baru yang dilancarkan sempena Pesta Buku. Gerai Institut Terjemahan Negara sebagai contoh mengejutkan saya dengan mempamerkan banyak judul-judul buku yang diterjemahkan ke bahasa Melayu. Jauh beza dengan tahun lepas. Buku Mortimer J Adler dan Malik Bennabi sudah diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Banyak yang saya berkenan tetapi sesak sangat dengan pengunjung.

Saya lebih gemar dewan di seberang sungai kerana kurang sesak dengan orang. Lagipun gerai yang saya cari-cari ada di sana iaitu, gerai penerbit universiti-universiti juga gerai IKAPI. Gerai pengedar buku Indonesia atau IKAPI mengecewakan saya kali ini, kurang buku dan harganya mahal. Mungkin buku baru belum sampai untuk dipamerkan.

Gerai PTS di sini memang jadi tumpuan. Saya suka konsep sudut meja taman di mana para penulis PTS sibuk mempromosi buku mereka. Saya lihat Mat Jan sibuk mengacarakan sesi bersama penulis sains fiksyen. Firdaus , Vovin, Zaki Zainol dan rakan-rakan.

Saya beli 3 buku baru di gerai PTS. Buku Rahsia Bisnes Mamak tulisan rakan blogger Elmaaniq dan penulis Zamri Mohamad.

Saya beli buku Buat Duit Dengan Terbit Buku Sendiri tulisan Nazrul Samsudin. Buku ini beliau terbitkan sendiri. Saya sangat suka dengan kulit bukunya.

Tokoh yang kontroversi Kassim Ahmad juga telah mengeluarkan memoir beliau yang terbaru bertajuk Mencari Jalan Pulang - Daripada Sosialisme Kepada Islam. Ini buku terbaru beliau yang tak sabar mahu saya baca.

Gerai Wira Bukit juga terletak di dewan pameran yang sama. Helmy Samad kelihatan sibuk melayan pengunjung. Jika ada hadiah untuk dekorasi gerai saya rasa gerai Wira Bukit patut dapat hadiah. Ada sofa selesa berlatarbelakangkan gambar pemandangan. SN Pak Samad mesra melayan para peminat beliau kecil besar tua dan muda. Saya beli buku 68 Soneta Pohon Ginkgo dan Keledang. Kedua-duanya bertandatangan SN Pak Samad.

Saya diperkenalkan oleh Helmy dengan Lina Usman Awang, anak SN Usman Awang yang gigih menerbitkan karya SN Usman Awang. Saya beli buku Turunnya Sebuah Bendera dan Tulang2 Berserakan.

Saya tertarik dengan sebuah gerai menjual buku dari Turki. Banyak buku Sufi dijual di sini. Saya beli buku Rumi's Thought tulisan Sefik Can.

Sebelum pulang saya ke gerai Ameen. Bertemu Faisal Tehrani dan Nisah Haron. Beli buku mereka berdua yang bagaikan kembar seiras. Tajuk dan desain buku hampir sama. Buku Karya Nan Indah dan Karya Kita Hak Kita.

Walaupun sekejap, ramai yang saya jumpa di Pesta Buku Kali ini. Terima kasih rakan-rakan yang menyapa. Bayan dan Ode, juga Azree Afriffin :)

Bertemu beberapa rakan sekampus yang lama tak berjumpa.

Terima kasih Iskandar yang hadiahkan CD-CD keroncong yang hebat! Sudah dengar dan terpesona dengan ketiga-tiga CD itu.

Bertemu Raja Ahmad Aminullah yang sudah memborong banyak buku. Terkilan tidak dapat menunggu untuk hadir ke Kata-Suara keesokan harinya.

Di The Mall terserempak dengan Haris Zalkapli. Rupanya kita senasib!

Sebelum pulang ke Midvalley. Terserempak pula dengan Peter Tan, rakan blogger yang gigih menulis tentang kisah OKU di Malaysia.

Kami pulang dan tiba ke rumah di Ipoh jam satu pagi. Banyak ratus juga habis dan susah hati mana nak letak buku yang baru dibeli! Macam kena beli rak buku baru!

Hari yang penat tetapi seronok!

Sabtu, Mac 29, 2008

Sekitar Majlis Diskusi di DBP

.

Saya agak berat hati mulanya, untuk menjadi panel dalam program diskusi di DBP ini. Pertamanya kerana saya bukanlah penulis mapan yang pernah menulis di DBP. Nama dan wajah DBP itu sendiri sudah begitu besar dan saya pandang tinggi semenjak kecil.

Keduanya, saya juga bukanlah blogger yang terbaik atau paling popular dalam dunia blog di negara kita. Saya tidak menulis isu popular di blog. Saya bukan blogger politik. Saya hanya menulis tentang buku dan dunia buku.

Namun, permintaan tidak akan saya tolak bila ianya menyangkut tentang buku dan dunia buku. Majlis Diskusi Penulis & Blog : Trend Masa Kini di DBP dianjurkan oleh Pusat Dokumentasi Melayu(PDM) sebagai satu siri aktiviti Gerakan Membaca. PDM dulunya dikenali sebagai Perpustakaan DBP menyimpan hasarat untuk memperoleh dan memulihara kepustakaan Melayu selengkap mungkin dengan pengkhususan kepada bidang bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu. PDM juga berhasrat menjadi pusat rujukan kepustakaan Melayu yang cemerlang yang mudah diakses melalui teknologi maklumat terkini.

Saya diminta untuk berkongsi pengalaman menulis di blog sebagai seorang pembaca dan peminat buku. Saya menulis tentang buku yang saya baca yang sebahagian besarnya adalah dalam bahasa Melayu dan kebanyakannya bukan tergolong dalam buku popular. Ramai orang lain yang membaca buku, malah jauh lebih banyak dari saya, tetapi mereka tidak menulis tentang apa yang mereka baca. Saya membaca dan saya tulis di blog. Tulisan saya nampak bagus, hanya kerana orang lain yang lebih bagus dan pandai, tidak menulis di blog.

Saya berbesar hati dengan kehadiran ramai rakan-rakan blogger di majlis diskusi tersebut, walaupun saya sendiri berasa apa yang saya bentangkan mungkin lebih sesuai untuk khalayak umum yang masih belum mempunyai blog. Memang niat saya untuk menarik seramai mungkin pendokong bahasa di DBP untuk memulakan blog. Saya berharap, majlis diskusi itu dapat membuka mata para penulis, penggiat dan pejuang bahasa tentang kepentingan dunia internet dan medium blog khusunya. Saya berharap para penulis mapan boleh berkongsi ilmu dan pengalaman mereka di blog. Saya bermimpi suatu hari nanti dapat membaca blog Ketua Pengarah DBP atau blog Ahli Lembaga Pengelola DBP, juga blog rakan-rakan anggota pekerja di DBP yang lain.

Saya berharap para pejuang bahasa yang heboh mahu mengusung keranda 152 supaya berpencak di medan yang sebenarnya. Zaman menghunus keris dan mengusung keranda mungkin sudah berlalu. Kini zaman kita berpencak melalui percambahan ilmu dan pemikiran, berhujah dan bertukar pendapat. Siapa yang lebih kuat bukan lagi ditentukan oleh kekuatan fizikal, tetapi oleh kekuatan dan kepakaran menyampaikan pandangan dan mempengaruhi khalayak dengan cara yang pantas, kreatif dan berkesan.

Apa lagi medum yang lebih baik untuk mencapai hasrat ini daripada blog!

Sabtu, Mac 22, 2008

Majlis Diskusi di DBP

.

Majlis Diskusi 'Penulis dan Blog: Trend Masa Kini'

ASTAKA MINDA
Siri Aktiviti Gerakan Membaca DBP

Sabtu, 22 Mac 2008
9.00 pagi
Dewan Seminar, Aras 2
Menara Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur


Penulis dan Blog: Trend Masa Kini

Pengerusi: Puan Rohani Rustam
Mantan Pengarah Penerbitan DBP

Panel:
Nisah Haron
http://annyss.blogspot.com
JiwaRasa
http://jiwarasa.blogspot.com



Semua dijemput hadir.

Hubungi :
Encik Nik Aman Nik Yusoff (03-21481045)/
Encik Hiezam Hashim (03-21483540)
khidmat1@dbp.gov.my



Jumaat, Disember 14, 2007

Kejutan Khamis 13 Disember 2007

.


Pernahkah anda mengalami keadaan di mana anda berharapkan sesuatu tetapi mendapat lebih dari apa yang diharapkan? Bukan selalu bernasib baik mendapat apa yang dihajat, apalagi beroleh lebih dari itu.

Itulah yang terjadi pada saya. Hari ini Khamis 13 Disember tercatat sebagai satu hari yang mengejutkan dan sangat menggembirakan saya. Siapa sangka hari yang biasa boleh jadi luar biasa. Hari paling produktif. Banyak yang saya buat dan dapat dalam masa yang singkat.

Hari Khamis, saya ke Kuala Lumpur kerana menghadiri Malam Anugerah Nafma di Hotel Mandarin Oriental. Saya pergi tanpa memasang harapan yang tinggi untuk menang kerana syarikat-syarikat yang menyertai kali ini bukan calang-calang.

Lalu, perjalanan ke KL kali ini, fikir saya, lebih sekadar menghadirkan diri memberi sokongan. Lalu,seperti biasa saya sudah merancang mahu singgah ke kedai buku dan mungkin berjumpa seorang dua rakan sebelum majlis makan malam nanti.

Saya merancang bertemu Pak Adib di KLCC. Kami sudah lama berhubung di dunia siber, tetapi belum bertemu di dunia nyata. Pak Adib merupakan antara penulis blog yang telah menjadi inspirasi untuk memulakan blog sendiri.

Tidak pula saya sangka akan bertemu dengan blogger lain yang tak pernah saya mimpi untuk bertemu. Saya berada di Pustaka Antara bila Pak Adib telefon mengajak minum dan bertemu Awang Goneng di KLCC. Wah, ini sudah bonus, fikir saya. Bukan mudah bertemu Awang Goneng yang telah membukukan tulisan beliau yang sangat menarik dan eksotik tentang kisah hidup beliau di Terengganu. Buku Awang Goneng Growing Up in Terengganu sudah jadi best sellers di kedai buku tempatan. Awang Goneng dan Kak Teh yang menetap di UK pulang bercuti ke Malaysia sambil melancarkan buku ini di sini.

Sebelum meninggalkan Pustaka Antara, sempat saya capai buku Jejak Langkah dan Rumah Kaca tulisan Pramoedya Ananta Toer yang melengkapkan koleksi Kuartet Buru yang sudah lama saya idamkan.

Setiba saya di Dome, KLCC terus mencari kelibat Pak Adib dan Awang Goneng. Alangkah terkejutnya saya rupanya bukan Pak Adib dan Awang Goneng sahaja di situ. Saya berjumpa buat pertama kali, Pak Adib, Pak Idrus, Awang Goneng dan Kak Teh. Juga berjumpa Helmi ATRCO dan Honeytar yang sudah lama jadi sahabat saya di alam siber. Pok Ku turut datang bersama Mimi. Selama ini kami sudah lama kenal di laman sembang Pokku. Saya juga gembira bertemu Ruby Ahmad.

Berjumpa nama besar dalam dunia blog memang satu kejutan hari ini. Bukan seorang tapi ramai! Kami berbual hingga hampir jam lima petang tanpa sedar. Entah bila saya dapat peluang berjumpa semula seperti ini.

Saya juga sempat bertemu Iskandar drbubbles dan Zulkifli Dewangga Sakti di café Kinokuniya. Banyak yang kami bincangkan. Maklumlah, kami berkongsi minat yang sama. Tak sedar waktu berlalu cepat. Dua jam kami berbual.

Saya bergegas untuk majlis makan malam di hotel bersebelahan. Saya dapat satu lagi kejutan untuk hari ini. Nama syarikat disebut dan saya naik ke pentas untuk menerima salah satu anugerah. Terkejut dan rasa bangga bila tersenarai sebagai sepuluh syarikat terbaik, apalagi bila bersaing dengan syarikat gergasi negara.

Selesai majlis saya terus pulang ke Ipoh dan tiba jam dua pagi. Badan letih, tetapi gembira. Banyak sungguh kejutan hari ini. Kejutan yang seronok!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails