Jumaat, Februari 01, 2008

Perut kenyang

.
Saya suka baca komen-komen dalam entri saya sebelum ini. Saya suka yang tidak setuju dengan saya. Memang sepatutnya anda tidak setuju. Takkanlah hanya kerana `perut kenyang’ maka kita tidak mahu membaca dan berfikir. Takkan senang sangat! Saya sudah jangka ramai yang tidak setuju.

Takkanlah kerana perut kenyang orang tidak mahu membaca. Betullah jika anda membacanya secara explisit, secara betul bendul. Jika anda membaca secara implisit, `perut kenyang’ itu hanyalah metafora. Ianya bukan sekadar perut tetapi segala benda yang mengenyangkan nafsu.

`Perut kenyang’ bukanlah sekadar penyebab tetapi ianya sudah jadi matlamat hidup. Oleh kerana matlamat hidup seseorang itu adalah sekadar mahu `mengenyangkan perut’ dan nafsu-nafsu lainnya, maka setiap sesuatu yang tidak menuju ke arah itu akan diketepikan.

Lalu budaya membaca dan budaya berfikir juga akan hanya jadi penting jika ianya tidak menyanggahi matlamat mengenyangkan `perut’.

Membaca jadi penting, jika ianya keperluan untuk lulus peperiksaan, atau mahu naik pangkat. Anak-anak di sekolah juga belajar dan membaca kerana mahu `berjaya’ bila habis belajar. Kejayaan juga diukur sejauh mana kita dapat mengisi perut masing-masing. Kita belajar di sekolah bukan kerana mahukan ilmu, tetapi berharap ilmu itu boleh menjadikan kita hidup senang di dunia.

Saya mungkin tidak sepenuhnya betul, tetapi saya yakin saya juga tidak sepenuhnya salah. Saya juga tidak punya masalah jika anda tidak bersetuju. Lagipun ini bukannya kajian ilmiah. Ini hanya petikan sembang saya dan seorang rakan. Takkanlah tokoh yang bekerja di media ternama pun mengharapkan seorang penulis blog seperti saya membuat kajian dan analisa terperinci tentang tabiat membaca masyarakat. Tak ada `standard’lah orang media jika menunggu penulis blog yang menulis sekadar mengisi masa terluang seperti saya untuk buat kajian. Orang medialah sepatutnya buat kajian dan analisa terperinci kerana ini ada kena mengena dengan periuk nasi anda!

Saya membaca sebagi hobi, bukan untuk mengenyangkan perut. Saya puas membaca, walaupun tidak semestinya saya boleh hadam seratus peratus yang saya baca. Saya sudah boleh berpuashati jika dengan membaca, saya dapat dua tiga perkara baru. Saya tidak pernah mengaku pandai kerana membaca. Malah, selalunya, saya akan rasa lebih bodoh bila membaca buku baru. Lebih banyak kita baca, lebih banyak kita tahu yang banyak lagi benda yang kita tidak tahu. Malanglah jika dengan banyak membaca sesorang tu menjadi sombong dan bongkak dengan apa yang dia tahu.

Untuk pengetahuan, entri itu saya tulis spontan, sejurus setelah menonton pengakuan seorang `mantan sasterawan negara’ di youtube. Ditulis dengan rasa bercampur. Marah, geram, getek, hiba, masygul, pelik dan keliru. Yang pasti saya rasa sangat `letih’. Jika karya seorang yang bertaraf sasterawan negara boleh dipinggirkan atas alasan karya terlalu berat…saya garu kepala. Apa yang beratnya? Sudahlah malas membaca, anak-anak diajak bermalas sama. Kenapa tidak boleh memilih yang berat? Kerana yang ringan sudah cukup untuk `mengenyangkan perut’?


Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails