Rabu, September 24, 2008

Islamic State

.


Penulis : Abdelwahab El-Affendi,
Kata Pengantar oleh Ziauddin Sardar.
Penerbit : Malaysia Think Tank London 2008
200 mukasurat

Istilah negara Islam boleh menyebabkan ramai yang tak senang duduk. Ramai yang takutkan istilah negara Islam seperti takutkan hantu. Boleh cerita berjela-jela tentang hantu, tetapi, bila ditanya, rupanya tak pernah nampak pun bayang hantu. Bila bercerita, naik bulu roma kita mendengarnya.

Begitulah nasib istilah negara Islam. Ramai yang bercakap macam faham benar dengan makna negara Islam. Ramai yang boleh bertekak bila mendengar istilah tersebut. Yang mendokong istilah itu sanggup mati syahid jika ada yang menentang negara Islam. Mereka yang menentang negara Islam mungkin dianggap mengkhianati Islam.

Mereka yang menentang negara Islam pula sanggup mati bila ada puak yamg mahu menegakkan negara Islam. Ada yang seumur hidupnya digunakan untuk menentang sebarang usaha ke arah menubuhkan negara Islam. Hatta yang lumpuh pun boleh bangkit dari kerusi roda bila mendengar ada yang mahu menegakkan negara Islam.

Apa yang saya musykilkan, adakah pihak yang menyokong dan menentang itu telah bersetuju takrif negara Islam yang mana satu yang mereka perdebatkan? Yang menentang tidak mahukan negara Islam yang berasaskan prinsip teokrasi sedangkan yang mahukan negara Islam menyangkal dan menegaskan bahawa negara Islam yang diinginkan menjunjung prinsip demokrasi dan keadilan.

Istilah negara Islam sebenarnya adalah istilah baru yang mula popular setelah kejatuhan Khilafah Usmaniah Turki pada tahun 1924. Jatuhnya Khalifah yang terakhir membuatkan umat Islam hilang simbol penyatuan umat. Bermulalah gerakan-gerakan Islam yang mahu mengembalikan pemerintahan Islam. Idea mengembalikan kedaulatan khilafah bermula dengan tokoh-tokoh seperti Jamaludin Al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh dan Rashid Redha. Ini dituruti dengan Hasan Al-Banna yang menjadi pelopor kepada Ikhwanul Muslimin di Mesir, Gerakan Islam Jamaati Islam di benua India dan lain-lain gerakan Islam di seluruh dunia. Di sebelah Nusantara, gerkan Islam dipelopori oleh Masyumi di Indonesia dan kemudiannya diteruskan oleh PAS di Malaysia.

Tahun 70-an menyaksikan semaraknya perjuangan ke arah berdaulatnya syariah dan hukum Islam dalam kehidupan masyarakat. Kemenangan Mujahidin di Afghanistan melawan Soviet dan juga tercetusnya Revolusi Islam di Iran telah membangkitkan semangat anak muda untuk kembali mengamalkan Islam sebagai adden atau cara hidup.

Senario inilah yang mempopularkan istilah negara Islam yang membawa maksud mahu mengamalkan Islam secara keseluruhannya termasuk dalam bagaimana mengurus negara. Pendokong gerakan Islam berpendapat Islam secara keseluruhannya tidak dapat dilaksanakan tanpa wujudnya negara dan kekuasaan.

Buku berjudul `Who Needs an Islamic State’ ini adalah tulisan Dr Abdelwahab El-Affendi, Pensyarah kanan di the Centre for the Study of Democracy, University of Westminster, London. Buku ini ditulis pada tahun 1991 tetapi telah diterbitkan semula oleh Malaysian Think Tank Of London.

Buku ini menarik untuk dibaca kerana ianya membawa wacana yang segar tentang bagaimana konsep negara Islam boleh dilaksanakan dalam negara moden yang mengamalkan prinsip demokrasi. Penulis berpendapat negara Islam mestilah mengamalkan prinsip syura dan konsultansi dalam melaksanakan sebarang hukum. Penulis menolak konsep paksaan dalam melaksanakan Syariah. Perlaksanaan Syariah perlu dilakukan melalui dialog dan perbincangan dan perlu diterima secara sukarela. Beliau telah menyingkap sejarah silam di mana ramai pemimipin Islam yang bila dilantik menjadi telah menggunakan kuasa untuk melaksanakan hukum secara autokratik dan mengenepikan prinsip syura dan muafakat. Lebih buruk lagi bila menggunakan alasan agama.

Sebenarnya inilah juga yang ditakuti oleh para penentang konspep negara Islam dewasa ini. Mereka bimbang apabila para pendokong gerakan Islam mendapat kuasa melalui demokrasi, akan merubah prinsip demokrasi dan melaksanakan hukum agama yang mungkin bertentangan dengan jiwa mereka yang mahukan kebebasan.

Inilah sebenarnya cabaran sebenar pendokong gerakan Islam dalam menyampaikan dakwah dan pesanan kemurniaan Islam kepada semua, termasuk kepada mereka yang menentang konsep negara Islam. Jika benarpun mahu menentang, biarlah selepas jelas dengan maksud dan istilah negara Islam. Biar kita bersetuju untuk tidak bersetuju atas makna yang sama. Saya berharap kelahiran semula buku ini akan merancakkan perbincangan tentang negara Islam di dunia modern. Mungkin ada yang tidak akan setuju dengan sesetengah idea di dalam buku ini, tetapi ianya tetap menarik untuk dikaji dan dibincang oleh pendokong dan penentang konsep negara Islam.


2 ulasan:

Note berkata...

Buku yang sngat menarik. Adakah orang-orang yang disebutkan didalam buku di atas iaitu orang yang menolak kewujudan negara islam wujud dalam kalangan pemimpin politik di Malaysia.Pendapat tuan.?

Unknown berkata...

apple,

Seperti yang saya catat, penentang kewujudan negara islam ada di mana-mana termasuk di Malaysia. Namun, isu utamanya ialah negara islam jenis mana yang ditentang? Pendokong negara Islam sendiri tidak memberikan takrif yang terperinci tentang negara Islam yang mereka inginkan. Adakah negara Islam seperti Arab Saudi atau Iran? Adakah negara Islam menerima demokrasi atau ianya bersifat teokrasi?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails