Ramainya orang di Pesta Buku hari Ahad itu. Kami sampai di PWTC hampir pukul 12 tengah hari. Nak cari parking pun susah.
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur memang menjadi tumpuan peminat buku dari seluruh negara setiap tahun. Ianya menjadi tempat pencinta buku mencari buku dengan harga yang menarik. Antara gerai yang paling meriah setiap tahun adalah gerai Karangkraf dan Creative Enterprise. Kedua-duanya mendapat sambutan hangat kerana peminat buku ingin membeli novel-novel popular di pasaran.
Saya juga bertuah dapat berjumpa dengan rakan blogger yang juga peminat buku iaitu Iskandar. Baik dan peramah orangnya, banyak benda yang kami sembangkan. Moga kita jumpa lagi dan sambung cerita di lain kali.
Saya ke gerai Penerbitan UKM untuk mencari buku memoir tokoh-tokoh golongan kiri. Alangkah terkejutnya bila saya diberitahu yang buku-buku yang saya cari itu telah tidak dibenarkan untuk dijual di pasaran. Menyesal pula rasanya kerana tidak membeli memoir tersebut lebih awal.
Hajat hati sebenarnya tidak mahu membeli buku, kerana mengenangkan susah jika nak bawa berpindah nanti, tapi biasalah peminat buku mana boleh tengok tanpa membeli. Akhirnya saya beli juga buku berikut;
Risalah untuk Kaum Muslimin tulisan Prof Naquib Al-Attas dari ISTAC.
Memoir Ahmad Boestamam dari Penerbitan UKM
Membujur Lalu tulisan Tan Sri Ali Hashim dari Penerbitan Utusan
Petang itu, kami naik monorel dari depan tempat penginapan kami di Pekeliling ke Stesen Imbi. Kali pertama naik monorel. Beruntung betul orang sekarang, dah ada monorel, senang nak pergi kerja. Zaman saya bekerja di Jalan Raja Chulan 10 tahun lepas, pengangkutan paling canggih ialah Bas Mini warna merah jambu. Kalau nak ke Bukit Bintang, saya selalunya berjalan kaki dari pejabat di Jalan Raja Chulan.
Rupanya, Stesen Imbi terletak betul di depan pintu Berjaya Times Square. Walaupun kompleks ini sangat besar, tiada yang menarik hati saya melainkan ingin melihat kedai buku terbaru di Malaysia iaitu Borders. Kedai Buku Borders di Kuala Lumpur adalah cawangan yang kedua di Asia selepas Singapura. Ia merupakan cawangan Borders terbesar di dunia dengan keluasan 60,000 kaki persegi.
Ia memang lebih luas dari kedai buku yang lain. Borders ternyata mengutamakan keselesaan pelanggan kerana jarak antara raknya yang luas, banyak tempat kosong yang membolehkan pembaca duduk di lantai.
Saya tertarik dengan sudut bargain corner yang menjual buku dengan harga yang murah, saya beli sebuah buku 100 puisi tekenal yang dijual hanya dengan harga RM17.90
Koleksi buku sejarah dan falsafah juga sangat banyak. Ianya disusun dengan meletakkan tanda sub-tajuk seperti Sejarah Eropah, Sejarah Amerika, agar memudahkan pembaca mencari buku yang diingini.
Saya cuma kecewa melihat koleksi buku mengenai Islam yang tak sampai pun satu rak. Banyak lagi koleksi buku agama lain. Koleksi buku Bahasa Melayu memang mengecewakan dan tidak langsung menarik minat saya.
Bagaimanapun saya suka dengan konsep Borders yang mesra pembaca. Pengunjung dibenarkan membaca buku di situ juga membawa buku itu ke Starbuck di dalam Bordes tanpa perlu membayar dahulu. Sofa yang selesa juga disediakan jika anda ingin membaca sepanjang hari. Saya pulang dengan dua buah buku, 101 Best-Loved Poems dan sebuah buku tulisan pemenang Hadiah Pulitzer, Jared Diamond, iaitu Guns, Germs, and Steel: the Fates of Human Societies.
Kami pulang ke hotel hampir pukul 10 malam. Nasib baik, kalau tidak melepaslah episod akhir, siri kegemaran The Apprentice.
menghimpun cetusan rasa, tulus dari jiwa. Jiwa hidup dengan deria rasa. Dari Jiwa Rasa.
Selasa, April 26, 2005
Pesta Buku KL & Borders
.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan