Selasa, September 21, 2004

Merindui Buku

.


Menyelak lembaran Dewan Sastera, Ogos, 2004, saya terjumpa sajak nukilan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said. Sebuah sajak bertajuk `Merindui Buku' menggambarkan rasa sayangnya beliau kepada buku. Di majalah tersebut juga beliau menulis tentang dua orang bekas guru beliau yang telah mengenalkan beliau kepada dunia buku dan penulisan.

Buku adalah gedung ilmu. Bangsa yang bertamadun akan menghargai buku dan penulisnya. Menghargai penulisan dan orang yang menulisnya. Buku juga akan menjadi khazanah sesuatu bangsa. Ucapan tokoh dan pemimpin akan hilang ditelan zaman, tetapi tulisan mereka akan kekal di lembaran kertas untuk di warisi dan dikaji oleh generasi akan datang.

Adakah anda juga merindui buku?



Merindui buku

Inilah denai jejak seni ke hati,
puncak fikir yang indah sekali,
tanpa himpunan ilmu di kalbu buku
kita tak sempat sampai ke mercu itu.

Di sini diri sentiasa di taman
menikmati unggas dan puspa menawan;
di sinilah vista buku saraf seni,
meranum akal mematang peribadi.

Kita wajar berpesta di kalbu buku
menghayati nikmatnya seindah syahdu
dalam tenang waktu khusyuk di pustaka
lebih cepat kita terasuh dewasa.

Buku adalah denyut nadi utama
penting bagi minda waras manusia;
dan buku juga gema fakir yang sakti,
nyaman dan mesranya sebuah simfoni.

Kita memupuk insan yang luhur budi
melalui tapisan hikmat berseni;
dan buku memang tasik aneka ilmu
yang perlu diselami sejujur kalbu.

Buku mengasuh diri sasa bersuara;
membaca menjadi jambatan bertuah
kita merindu buku dan ghairah baca
agar sentiasa canggih dan berhemah.

A Samad Said
7 Mac 2004
Dewan Sastera Ogos 2004 ms 50

1 ulasan:

Iskandar aka DR Bubbles berkata...

Puisi ini diabadikan di dinding dua buah perpustakaan rumah anak yatim di Perak.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails