Rabu, Ogos 11, 2004

Jiwa Melayu Tidak Luntur?




tepak sireh dari http://www.pnm.my/sirihpinang

Muka depan Berita Minggu Ahad 8 Ogos, 2004 yang lepas telah menyiarkan komen Datuk Seri Rafidah Aziz mengenai penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya di kalangan orang Melayu.

Petikan Berita Minggu Ahad, 8 Ogos, 2004

Jiwa Melayu tidak luntur

Kembali kuasai bahasa Inggeris peringkat global: Rafidah

Rakyat Malaysia terutama Melayu, tidak akan luntur kemelayuan dan kewarganegaraan mereka jika fasih berbahasa Inggeris, malah mereka boleh menjadi bangsa yang turut menyumbang ke arah kemajuan negara.

Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, orang Melayu boleh menjadi bangsa yang boleh dibanggakan jika mampu menguasai lebih daripada satu bahasa.

Rafidah, bagaimanapun berharap isu bahasa Inggeris tidak dipolitikkan kerana ia boleh memberi kesan jangkamasa panjang kepada negara.

Mengenai pihak yang mengkritik usaha mementingkan bahasa Inggeris, Rafidah berkata, mereka adalah golongan minoriti yang wajar memikirkan kesan kritikan mereka itu.

“Mereka perlu fikir semula. Saya rasa jika mereka sendiri tidak bercakap dalam bahasa Inggeris, mereka tidak akan sampai ke tahap di mana mereka berada sekarang,” katanya.


Saya sangat bersetuju dengan saranan supaya orang Melayu menguasai Bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris bukan sekadar bahasa kedua, malah ianya juga bahasa teknologi, bahasa ekonomi dan bahasa globalisasi. Kebolehan bertutur dan menulis yang baik dalam bahasa inggeris akan meningkatkan daya saing bangsa Melayu lebih-lebih lagi di peringkat antarabngsa.

Namun begitu, kedudukan Bahasa Melayu perlu juga dipertahankan, malah selayaknya dipertingkatkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan. Kedudukan Bahasa Melayu telah termaktub dalam Perlembagaan Negara. Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 pula menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Ini bermakna Bahasa Melayu mesti digunakan secara rasmi dalam segala urusan.

Kedudukan Bahasa Melayu dalam Perlembagaan adalah setaraf dengan kedudukan Raja-Raja juga kedudukan istimewa orang Melayu. Kedudukan Bahasa Melayu yang dijamin adalah hasil kontrak sosial yang dipersetujui oleh pelbagai kaum yang telah berikrar menerima Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Memang, jiwa Melayu tidak luntur jika menguasai bahasa Inggeris, dengan syarat kita terus mendaulatkan Bahasa Melayu dan menggunakan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi.

Tetapi jiwa Melayu akan musnah jika Bngsa Melayu tidak menyayangi dan menghormati bahasa sendiri. Jiwa Melayu akan terus utuh jika bangsa Melayu dapat menghilangkan rasa prejudis yang tebal terhadap keupayaan bahasa sendiri.

Mana jiwa Melayunya, jika sudah tidak boleh menulis Jawi? Tulisan yang telah mengobarkan semangat kemerdekaan menghalau penjajah dari tanahair tercinta.

Mana jiwa Melayunya jika malu dan rasa rendah diri bila berbahasa Melayu? Jika berbahasa Melayu sekalipun, bahasa Melayu rojak yang dalam 10 patah perkataan, hanya 2-3 patah Bahasa Melayu.

Mana jiwa Melayunya jika tidak mahu membaca dan malu membeli majalah Melayu. Berkuburnya majalah Massa dan akhbar harian Utusan Melayu jawi adalah petanda jiwa yang sudah luntur.

Mana jiwa Melayunya jika tidak mahu membaca dan memiliki karya Melayu dan karya sastera dari sasterawan Melayu? Di mana letaknya karya sastera Melayu di kedai buku di negara kita?

Seperti kata pakdi dalam blognya,
Persoalan di sini adalah, mereka (orang Melayu) sendiri tidak yakin dengan bahasa Melayu. Mentaliti mereka menganggap bahasa Melayu itu bahasa kelas kedua. Macam mereka berbangga membimbit akhbar The Star, NST, Sun lebih dari akhbar-akhbar Melayu lainnya.


Jiwa rasa pilu. Bilakah Bahasa Melayu akan kembali menjadi lingua franca?


Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails