.
Setiap hari Jumaat terakhir bulan Ramadan telah disytiharkan sebagai Hari Al Quds sebagai memperingati perjuangan menuntut pembebasan bumi Palestin. Semenjak tahun 1978, pemimpin Iran masa itu telah mengajak umat Islam seluruh dunia untuk mengenang akan kepayahan dan kejerihan hidup yang dihadapi oleh saudara seagama kita yang ditindas dengan zalim oleh rejim zionis. Perarakan secara aman diadakan di bandar besar dunia yang juga dihadiri oleh masyarakat berbagai kaum dan keturunan.
Tahun ini adalah tahun malang bagi perjuangan umat Islam Palestine. Perjuangan rakyat Palestin telah menerima cubaan yang hebat tahun ini. Hidup takyat Paletin jadi lebih tertekan dengan pembinaan tembok tinggi yang mengomgkong pergerakn mereka. Ditambah pula dengan berita sedih syahidnya Sheikh Ahmad Yassin, tokoh inspirasi perjuangan rakyat Palestine yang telah menghidupkan intifadah, yang telah dibunuh dengan kejam. Sementara tanah di pusara beliau masih lagi merah, dunia Islam digemparkan dengan pembunuhan seorang lagi tokoh HAMAS yang sepatutnya menggantikan beliau iaitu Abdul Aziz Rantisi.
Minggu ini, kita dikejutkan pula dengan berita tokoh PLO, Yasser Arafat yang terlantar sakit dan kini dikatakan sedang nazak. Yasser Arafat adalah seorang tokoh yang sangat tabah dan sabar dalam memperjuangkan kemerdekaaan negara Palestin. Bermula dengan menyertai sayap Fatah, akhirnya menjadi Presiden PLO sehingga sekarang. Begitu banyak rintangan dan halangan yang telah ditempuhi. Berapa kali diperdaya oleh rejim Zionis, rundingan demi rundingan yang berakhir dengan hak dan kepentingan rakyat Palestin semakin kecil. Ketika rakyat Paletine lainnya sudah muak dan bosan dengan tipu helah rejim Zionis, dan mengambil jalan untuk menentang dengan kekerasan, beliau tetap meneruskan perjuangan dengan cara aman melalui perundingan. Semoga Allah merahmati dan memberi kekuatan kepada beliau.
Tinggal beberapa hari sahaja lagi, umat Islam seluruh dunia akan merayakan Hari Raya Aidil Fitri. Hari yang dinanti-nantikan setiap yang berpuasa di bulan Ramadan. Ketika umat Islam di Negara kita sedang sibuk membuat persiapan hari raya, entah bagaimana agaknya nasib saudara kita di Palestine. Persiapan raya mungkin tak segah mana kerana kepayahan hidup, dan menghadapi ketidaktentuan hari esok. Entah ada makanan lagi atau tidak. Entah ada nyawa lagi atau tidak. Berziarah mereka bukan untuk mengutip duit raya tetapi berziarah kerana sedar akan kemungkinan tidak akan bersua lagi di Syawal yang akan datang.
Antara doa yang makbul ialah doa orang yang berpuasa sehingga beliau berbuka. Apatah lagi jika dilakukan di penghujung bulan yang mulia ini. Lalu, marilah kita titipkan doa buat saudara kita di Palestine, di Iraq, Kashmir, Chechnya, Selatan Thai dan di seluruh dunia yang menghadapi cubaan hidup yang sangat getir. Semoga saudara kita diberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan dan meneruskan hidup menempuh cabaran.
Lemahnya diri ini, sekadar doa yang mampu dikirim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan