Selasa, November 02, 2004

17 Ramadan dan Badar Al-Kubra






Semalam 17 Ramadan adalah hari Nuzul Qur’an yang merupakan hari cuti umum di Perak. Kalau tidak kerana cuti, mungkin ada yang tidak tahu signifikan tarikh tersebut, iaitu hari wahyu pertama diturunkan di Gua Hira’.

Di samping Nuzul Qur’an, 17 Ramadan juga adalah tarikh berlakunya peristiwa penting yang telah merubah sejarah dan nasib umat Islam iaitu Perang Badar Al-Kubra. Badar Al-Kubra telah berlaku pada pagi hari Jumaat 17 Ramadan, tahun kedua Hijrah.

Peristiwa agung ini menyaksikan peristiwa ajaib di mana tentera Muslim seramai 313 orang telah berjaya mengalahkan tentera musyrikin seramai 1000 orang. Tentera Islam yang serba kekurangan telah mengalahkan tentera Abu Jahal yang tiga kali ganda lebih ramai dan lengkap dengan kelengkapan tentera. Logik akal mungkin tidak dapat menerima bagaimana kumpulan yang lemah, malah tidak makan kerana sedang berpuasa ini boleh mengalahkan musuh mereka.

Kemenangan tentera Islam, selain daripada kebijaksanaan Rasulullah dan para sahabat merancang strategi perang, adalah kerana keyakinan dan iman mereka yang tinggi terhadap Islam dan pertolongan Allah.

Ketika menghampiri perang, Rasulullah telah berdoa kepada Allah sambil bermunajat:

“Ya Allah! Ya Tuhanku! Perkenankan apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah! Ya Tuhanku! Jika jemaah Islam ini binasa, maka tidak akan ada lagi orang yang akan menyembah-Mu di bumi ini.”

Doa Rasulullah kemudiannya telah dimakbulkan, sebagaimana disebut di dalam Al-Qur'an yang bermaksud:

“(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Allah perkenankan permohonan kamu (dengan firman-Nya): Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) daripada malaikat yang datang berturut-turut.” Surah al-Anfal, ayat 9)

Peristiwa Badar merupakan motivasi yang amat penting bagi umat Islam. Badar Al-Kubra telah membuktikan yang golongan yang kecil dan minoriti dapat mengalahkan golongan yang besar dan kuat. Inilah motivasi utama para pejuang dan pendakwah Islam seluruh dunia dalam meneruskan tugas dakwah. Ketika umat Islam dihina dan diperlakukan semaunya di setiap pelusuk dunia, peritiwa Badar akan sentiasa menjadi ingatan dan pegangan kita. Ingatan bahawa kita bukan umat hina, kita ada Allah tempat mengadu dan kita harus terus berjuang meneruskan hidup dan berjihad untuk memartabatkan agama di muka bumi ini. Umat Islam harus terus berjihad melalui tulisan, ucapan, ekonomi, pendidikan dan segala bidang kehidupan. Kita harus berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan upaya diri dan mengangkat umat dari belenggu kejahilan dan kemaksiatan.

Badar juga telah mengajar kita bahawa bagaimana sukar sekalipun cabaran yang diterima, akhirnya kebenaran dan hak akan tetap terserlah, manakala kebatilan dan kepalsuan akan musnah ditimpa kehinaan.

Doa adalah senjata mukmin. Badar mengajar kita, selepas sempurna perancangan dan usaha, kita harus tidak jemu menadah tangan berdoa kepada Allah dalam apa jua keadaan, susah ataupun senang. Ingatlah pertolongan Allah akan datang pada hambanya yang beriman dan yakin akan Rahmat Nya.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails