Selasa, Oktober 02, 2007

Nama Beta Sultan Alauddin

.


Nama Beta Sultan Alauddin
Faisal Tehrani
Aberdeen Books World
2007
RM13.50
147 mukasurat

Bilakah kali terakhir anda membaca buku yang wataknya adalah hero tempatan? Ingat lagi bagaimana perasaan kita bila membaca Hikayat Hang Tuah semasa kecil dahulu? Berapa ramai kanak-kanak yang teruja dan menjadikan Hang Tuah sumber inspirasi dan berangan-angan menjadi wira segagah Hang Tuah?

Rasanya sudah agak lama, kita tidak punya watak tempatan yang boleh dijadikan wira dan tokoh ikutan kanak-kanak.

Itulah sebab agaknya penulis buku ini menghasilkan buku bertajuk Nama Beta Sultan Alaudin ini. Novel ini sebenarnya didasarkan dari cerpen-cerpen penulis yang pernah disiarkan dalam berbagai media. Ianya diolah dan diceritakan semula dalam bentuk penceritaan seorang datuk kepada tiga orang cucunya.

Saya yakin ramai yang masih ingat cerita tentang ketokohan Sultan Alauddin Riayat Shah, Sultan Melaka yang menangkap pencuri di waktu malam. Keperibadian baginda itu mengingatkan kita akan ketokohan Khalifah Umar Al-Khattab yang berjalan malam melihat nasib rakyatnya.

Sultan Alauddin dalam novel ini bukan sahaja ditonjolkan sifat keberaniannnya, malah beliau juga disifatkan sebagai seorang yang warak dan kuat beragama. Sultan Alauddin malah pernah belajar tasauf dan ilmu agama dari seorang guru bernama Nuh Ha Mim.

Buku ini menceritakan sejarah hidup Sultan Alauddin dari awal kelahiran hinggalah ke detik-detik terakhir. Seorang Sultan yang warak dan ikhlas, jujur dan berani sudah tentu bnayk mengundang musuh. Akhirnya baginda mangkat dengan cara yang sangat misterius .Itulah detik bermulanya zaman kejatuhan Melaka, bila munculnya anasir yang mengadu domba dan memain peranan untuk mencari pengaruh dan kuasa di istana.

Banyak juga fakta yang saya tidak tahu tentang Sultan Alauddin dan saya jumpa dalam novel ini. Cerita ini menimbulkan rasa kagum, hormat dan bangga saya kepada peribadi seorang Sultan Alauddin Riayat Shah. Saya harap kesan yang sama akan dirasai oleh semua pembaca, terutamanya para remaja.

Novel ini memperkuatkan lagi hujah Faisal Tehrani tentang teori sejarah dalam Islam. Yang perlu diambil dari sejarah bukan hanya fakta tarikh dan nombor. Yang lebih utama ialah mengambil peljaran dan pengajaran, iktibar dan teladan. Sejarah diulang cerita buat pedoman, jadi peringatan dan pengajaran. Yang baik jadi azimat pengukuh jiwa, yang buruk jadi sempadan penghalang derita.

Belilah novel ini untuka anak-anak kita, adik atau saudara kita dan jangan lupa baca juga kerana ianya sesuai untukbacaan semua.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails