Isnin, Mei 21, 2007

I Am Muslim - Dina Zaman

.
.






I am Muslim
ISBN: 978 983-3221-15-7
Penulis: Dina Zaman
Penerbit : Silverfishbooks
Harga : RM30.00
Halaman : 236


Ada blogger yang tak kenal Dina Zaman? Jika tak kenal, mungkin maknanya anda masih baru dalam dunia blog dan tidak sempat mengenali blog beliau. Bila saya mula berjinak-jinak dengan dunia blog di tahun 2004, blog Dina Zaman di Gong Kapas adalah antara yang sering saya ikuti. Malangnya blog itu sudah tiada lagi. Dina Zaman adalah seorang jurnalis yang sering menulis di akhbar NST juga di Malaysiakini.

Saya beli buku ini kerana saya sering membaca tulisan beliau sebelum ini. Saya suka dengan cara tulisan beliau yang jujur dan spontan. Ada masanya tulisan beliau mungkin tidak digemari sesetengah pihak, lebih-lebih lagi bila beliau bercerita tentang masalah dan dilema kaum wanita.

Buku ini adalah manfestasi dilema seorang perempuan Melayu beragama Islam yang juga mahu menbina kerjaya di dunia serba moden. Dilema seorang Melayu dalam memilih Islam bagaimana yang mahu dipilih. Jika tidak mengaji dan menuntut ilmu, ramai yang akan tergelincir dari landasan. Saya seakan membaca kisah perjalanan peribadi seorang insan dalam hidup, mencari erti bahagia, mencari makna Iman.

Buku ini bercerita tentang dilema seorang perempuan yang tidak bertudung, belum bertudung sebenarnya, dalam menghadapi tanggapan masyarakat. Dina menyebut sebab-sebab yang sering diberikan oleh perempuan yang masih belum bertudung. Saya sangat tertarik dengan alasan yang diberikan. Antaranya ialah mereka tidak mahu jadi seperti sesetengah perempuan yang bertudung tetapi memakai Baju T menunjuk lengan dan memakai pakaian ketat menampakkan bentuk badan yang menggiurkan. Menutup rambut, tetapi tidak menutup aurat.

Golongan ini, kata Dina, mahu menutup aurat dengan sempurna tetapi belum bersedia, takut-takut kemudian hari akan kembali mendedah aurat. Takut-takut, tutup kepala tetapi dedah aurat yang lain.

Dina Zaman juga menyingkap kisah hidup masyarakat yang mungkin jarang kita ketahui, kisah dilema manusia Islam yang terperangkap dalam cinta sejenis. Lelaki cinta lelaki dna perempuan cinta perempuan. Kisah rakan-rakan Dina sangat menarik hati saya. Dilema yang mereka hadapi berhadapan masyarakat di samping keinginan mereka untuk mendalami agama.

Buku ini menyelit kisah mengenai perception ataupun tanggapan. Bagaimana sesetengah dari kita memandang serong terhadap mereka yang kita anggap tidak mengamalkan Islam sepenuhnya. Begitulah juga tanggapan mereka yang belum mengamalkan Islam sepenuhnya yang menganggap semua orang menanggap serong terhadap mereka! Kadang-kadang kita cepat buat generalisation dan stereotyping. Kita suka melabel dan meletakkan orang dalam lingkungan label-label yang kita cipta. Selalunya, orang yang melabelkan itu sendiri tidak faham makna label yang diberikan pada orang lain. Orang yang dilabel itu pula ada kalanya tidak sebenarnya menganut label yang kita beri.

Dina Zaman juga tidak lupa berdakwah dalam buku ini bila menceritakan secara ringkas apa yang beliau faham tentang Islam, makna Islam, rukun Islam dan Rukun Iman.

Dina Zaman adalah manifestasi sebahagian besar dari kita. Sebahagian besar dari kita memeluk Islam dengan cuba sedaya mungkin mengikut ajaran Islam di masa yang sama masih mahukan hiburan. `Fenomena Mawi' menggambarkan bagaimana kita memandang hidup seorang Melayu dan Muslim. Kita suka seorang pemuda Melayu Islam yang boleh menyanyi tetapi pada masa yang sama juga boleh mengaji. Kita berusaha menunaikan solat, dan kita juga minat menyanyi karaoke. Kita mendengar nasyid dan kita juga mendengar lagu pop. Kita menonton Akademi Al-Qur'an dan kita juga menonton Akademi Fantasia.

Buku ini patut dimiliki untuk menyingkap pandangan sebahagian dari masyarakat yang mungkin berbeza dari sesetengah dari kita.





Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails