Sabtu, Jun 30, 2007

Kisah Datuk Hamid Budak Kolej

.
.


Confessions of an Old Boy: The Dato' Hamid Adventures
Kam Raslan
272 halaman
Penerbit : Marshall Cavendish Editions;
Cetakan Pertama February 25, 2007
Harga : RM32.00


Tajuk dan ilustrasi buku ini hampir menipu saya. Sudah beberapa kali saya belek buku ini tetapi tidak sikit pun timbul keinginan untuk saya memilikinya. Pertamanya kerana saya menyangka buku ini adalah memoir seorang bernama Datuk Hamid, nama yang saya tidak kenal. Siapa pula Datuk Hamid ini, kata saya. Kalau ini adalah memoir Hamid Othman atau Hamid Zainal Abidin, saya tak minat nak baca. Saya sangkakan Datuk Hamid itu mungkin bapa atau saudara penulis dan mungkin buku ini mengisahkan sejarah hidup beliau yang juga bekas budak Kolej Melayu Kuala Kangsar. Pada saya, apa yang menarik sangat kisah seorang bekas budak Kolej?

Keduanya, kulit buku ini juga tidak langsung menarik minat saya. Macam buku kanak-kanak. Jika anda jenis yang suka mengadili buku dengan memandang kulit, buku ini sudah tentu awal-awal lagi tewas.

Namun, bagaimana mahu dikekang naluri ingin tahu, apabila membaca banyak komen tentang buku ini di media juga di blog. Ulasan yang menarik di blog Sharon Bakar telah memberikan gambaran sebenar tentang buku ini. Akhirnya saya capai dan beli buku ini di Kedai Buku Popular, Megamall Penang. Tambahan pula membeli buku ini di Popular, saya dapat diskaun yang bagus, juga kerana ingin mencukupkan bilangan buku yang ingin dibeli.

Seingat saya Kam Raslan tidak pernah menulis buku. Saya ingat memang pernah membaca buku tulisan abang beliau iaitu Karim Raslan yang telah menulis siri buku Ceritalah... yang memang menarik

Rupa-rupanya buku ini adalah sebuah karya fiksyen, dan fiksyen tempatan yang bagus. Ianya mengandung beberapa cerita pendek dan panjang yang berkisah pada watak Datuk Abdul Hamid bin Datuk Sidek. Datuk Hamid adalah seorang bekas pegawai tinggi kerajaan yang jika masih hidup, sudah di usia senja. Datuk Hamid lahir dan dibesarkan di zaman British. Dididik oleh British melalui Kolej Melayu dan bangga menjadi budak Kolej. Beliau bangga dan memuja British. Segala-gala tentang British adalah bagus. Pencapaian tertinggi dalam hidup bagi orang seperti Datuk Hamid ini ialah jika dapat berkahwin dengan perempuan Inggeris. Setiap tahun mereka akan berziarah ke London membeli-belah.

Ada 7 cerita pendek dalam buku ini. Yang pertama lebih berupa pengenalan diri Datuk Hamid tentang kisah pengembaraan yang akan diceritakan seterusnya dalam buku ini. Ianya diikuti dengan dua cerita pendek iaitu Bikers dan Datuk In Love. Cerita The Beat Generation lebih panjang sedikit, tetapi dua cerita seterusnya adalah yang paling panjang dan yang paling menarik. Keseluruhannya, saya sangat tertarik dengan cerita Ariff and Capitalism dan Murder in Chindai.

Kisah dalam buku ini penuh dengan humour dan kelucuan. Watak di dalamnya rasa seperti benar-benar wujud dan seperti biasa kita jumpa dalam negara. Cerita Ariff and Capitalism paling saya suka. Macam biasa dengar.

Cerita Murder in Chindai seperti membaca cerita Sherlock Holmes. Kisah penyiasatan sebuah pembunuhan misteri dalam sebuah keluarga yang juga penuh misteri. Buku ini diakhiri dengan kisah The Malayans, dialog watak yang lahir zaman Malaya bercerita tentang harapan dan idealisme mereka terhadap sebuah Negara yang sudah jadi Malaysia.

Saya terhibur baca buku ini.


Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails