Sabtu, Jun 23, 2007

Dah Tiga Dah

Mengikut rekod, entri pertama di blog ini ditulis pada 22 Jun 2004. Sedar tak sedar sudah genap tiga tahun saya menulis di sini. Saya bertuah kerana blog ini menemukan saya dengan ramai rakan baru yang kemudiannya menjadi sahabat di dunia maya. Kepada semua yang pernah singgah di sini, terima kasih banyak-banyak di atas perhatian, moga ada manfaat yang boleh kita kongsi bersama.

Mengapa saya menulis di blog? Susah nak jawab. Saya turunkan cebisan kertas kerja yang pernah dibentangkan dalam Seminar Pencinta Buku 2007.

Mengapa saya memblog.

Blog Dari Jiwa Rasa bermula secara tak sengaja. dari keasyikan membaca blog-blog orang lain. Kemudiannya timbul keinginan untuk mempunyai blog sendiri.

Blog Dari Jiwa Rasa sebenarnya bukan bermula sebagai blog buku. Pada awalnya catatan blog saya banyak berkisar kepada aktiviti harian, pengalaman, perjalanan dan hobi saya tentang muzik, buku dan filem.

Secara tidak sedar, blog ini lebih banyak memuatkan tulisan kontot saya tentang buku dan pengalaman mencari buku.

Ia bermula sebagai satu cara untuk mengingati buku yang sudah dibaca. Apabila ditulis, saya sekurang-kurangnya akan ingat apa yang telah dibaca. Komen-komen yang ditinggalkan oleh rakan-rakan di blog ini pula, menambahkan pengetahuan dan menjadi pendorong kepada saya untuk terus mencatat buku yang dibaca. Sehingga hari ini saya sudah mencatatkan lebih dari 100 tulisan kontot tentang buku di blog. Lebih menarik lagi, kini telah wujud komuniti blog buku yang sering bertukar-tukar maklumat tentang buku. Blog-blog buku ini kemudiannya saya linkkan di blog.

Minat membaca yang tinggi telah mendorong saya melayari internet untuk mendapatkan informasi dan ulasan buku. Antara laman web yang saya layari untuk mencari buku pada masa itu adalah Forum Buku di Geng Jurnal, Forum Buku di cari.com, blog Adib The Reader, Blog Bicara Buku dan Gedung Buku Hasyun Hashim.

Saya akan mencari maklumat yang boleh membantu saya membuat pilihan samada hendak membeli atau tidak sesebuah buku itu. Malangnya saya sering kecewa apabila melayari internet. Banyak kali saya hampa apabila memasukkan katakunci nama buku berbahasa Melayu atau buku tulisan orang Malaysia. Saya tidak berjumpa apa yang ingin dicari. Lebih mengecewakan bila saya juga sukar untuk mencari maklumat berkenaan karya–karya penulis mapan seperti karya Sasterawan Negara.

Kesukaran ini menimbulkan kesedaran kepada saya yang kita sangat kekurangan data dan maklumat mengenai buku dalam Bahasa Melayu di internet. Kekecewaan tersebut memberi dorongan kepada saya untuk menulis catatan pendek tentang buku di blog. Saya rasa bertanggungjawab untuk memulakan satu usaha kecil menulis dalam Bahasa Melayu. Perasaan ini saya rakamkan dalam salah satu posting saya seperti di sini.



Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails