Ahad, Mac 25, 2007

Kekasih Sam Po Bo

.
.

Judul : Kekasih Sam Po Bo
Pengarang : Faisal Tehrani
Penerbit : Aberdeen Books World
Genre : Kumpulan Cerpen
Mukasurat : 327 halaman
Cetakan Pertama : 2007
ISBN : 9834215207


Akhirnya buku Kekasih Sam Po Bo selamat ke haribaan saya hari Selasa lepas. Saya beli di Ujanailmu. Kekasih Sam Po Bo saya beli bersama dua buku Pak Samad iaitu Cinta Fansuri dan Dari Salina Ke Langit Petang. Saya habis RM108 untuk 3 buku itu. Tak mengapa. Berbaloi!. Nantilah saya cerita.

Kekasih Sam Po Bo, terus saya baca. Mulanya saya tidaklah excited sangat nak beli buku ini, kerana banyak cerpen di dalam buku ini sudah saya baca. Bila dah mula baca, tak mahu berhenti. Saya selesai baca dalam masa dua hari sahaja.

Kekasih Sam Po Bo adalah kumpulan cerpen terbaru Faisal Tehrani. Buku ini memuatkan 30 cerpen beliau. Seperti biasa, karya Faisal Tehrani jarang mengecewakan saya. Tulisan beliau selalunya dibuat dengan kajian mendalam. Cerpen di dalam buku ini disusun dengan secara rawak tanpa klasifikasi tertentu. Membacanya seperti membaca sebuah hikayat.Cerita yang beragam. Mesej yang pelbagai.Latar lokasi yang berbeza. Latar waktu juga berbeza.Watak yang pelbagai. Yang menarik lagi teknik dan gaya penceritaan penulis juga berlainan dalam setiap cerpen. Ada yang ayatnya meleret, ada ayat yang pendek dan tepat. Bagai tiada stail tertentu. Ada cerita yang serius, ada yang menyayat hati, ada cerita yang penuh humor. Setiap satu cerpen ini juga punya unsur yang membuat pembaca berfikir.

Saya suka kegemaran Faisal bercerita tentang kisah sejarah yang diadun dengan fiksyen. Kisah Kekasih Sam Po Bo sebagai contoh bercerita tentang kisah cinta Laksamana Cheng Ho dengan seorang gadis Melayu. Kisah Raja Alaudin dan Imam Muhaimin juga sangat menarik.

Kisah Puteri Gunug Ledang dalam Ratu Kosmetik membuat saya senyum seorang diri. Begitu juga cerpen Cik Siti Mustika.

Pembaca buku Kekasih Sam Po Bo dibawa mengembara ke seluruh dunia. Bermula dengan Sarawak di dalam Negara, dalam Irisan-Irisan Mimpi, pembaca di bawa ke New York dalam cerpen Opah. Saya terasa seperti menyusuri Masjid Biru di Turki, bila membaca cerpen Kucing Gemuk di Masjid Biru. Kita akan dibawa ke Kota Suci Mekah dan Madinah, juga ke Chiang Mai.

Pembaca juga diperkenalkan dengan tokoh-tokoh seperti Suleyman Hilmi Tunahan yang gigih berjuang agar Islam tetap diamalkan di negara sekular Turki.

Isu yang dibincang di dalam cerpen-cerpen juga menarik, Ada isu kenaikan harga minyak, Ada isu penafsiran sejarah, ada kisah Ashabul Kahfi, ada kisah gejolak jiwa berhadapan dengan rasuah., ada cerita sejarah,mencari jati diri, ada kisah melawan penindasan dan kezaliman. Pendek kata, macam-macam ada.!

Saya puas baca kumpulan cerpen ini. Saya suka kerawakan susunan cerpennya. Ia menimbulkan kejutan. Jika ditanya cerpen mana yang saya paling minat, secara jujur saya sukar memberi jawapan. Saya kesemua 30 cerpen. Tidak ada satu yang mengecewakan saya. Bukankah sudah saya katakan tadi. Berbaloi memiliki buku ini!


Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails