Mukhsin sudah dua minggu di pawagam. Sungguh hebat sambutan dari penonton. Saya menonton dengan Suri hari Rabu malam, dua minggu lepas. Saya balik dari BM dan kami menonton di Ipoh. Terkejut saya. Panggung penuh sesak.
Saya minat keunikan filem arahan Yasmin. Saya mula minat setelah menonton Rabun di TV. Saya tonton Sepet dan Gubra. Saya suka Rabun . Saya suka Sepet walaupun ada beberapa adegan dalam filem itu yang saya tak suka. Saya suka sebab lokasi filem Sepet itu di Ipoh. Kesemua tempat di dalam filem Sepet itu sangat dekat dengan diri saya.
Gubra, saya kurang gemar. Saya dah tulis di blog ini. Tulisan saya tentang Gubra disebar merata-rata. Ada yang kata macam-macam pada tulisan itu. Apa nak buat. Memang saya tak suka.
Itu bukan bermakna saya tak suka sosok peribadi orangnya. Bukan saya tak suka kesemua karya beliau. Orang kita, kalau tak suka pemikiran seseorang, sudah tentu dianggap tak suka orangnya. Begitulah pemikiran Melayu lama. Sama macam orang politik. Kalau dah sokong satu parti politik, segala benda yang parti lawan buat akan dilawan, dikecam. Tak ada yang betul. Semuanya salah. Kalau betulpun akan dicari hujah untuk menghukum salah. Mereka menyokong membabi-buta sosok peribadi bukan idea dan pemikiran yang dibawa.
Walaupun saya tak suka Gubra, saya suka Mukhsin. Filem ini sangat sederhana. Sederhana dalam kekuatan. Dalam kesederhanaan itulah berjaya mengusik persasaan. Kisah biasa, seorang budak lelaki minat dekat seorang budak perempuan. Bukan kisah cinta pun. Cinta monyet, mungkin. Alaaa..cinta macam masa kita sekolah dulu. Zaman pecah kaca pecah gelas, lepas baca sila balas.
Kenangan terhimbau zaman dahulu, bila ramai kawan dan saudara yang duduk di kuarters kerajaan. Permainan yang diminati, galah panjang dan polis sentri. Budak perempuan main masak-masak dan main kahwin-kahwin. Main layang-layang, main guli.
Menonton Mukhsin, seakan melengkapkan kisah hidup Orkid. Penonton akan lebih faham akan keanehan keluarga ini, Keluarga ini memang aneh, berlainan dengan orang lain. Maka terimalah keanehan mereka sebagaimana dipamerkan.
Lagu di dalam filem Mukhsin membuai perasaan saya. Lagu keroncong Hujan, ciptaan ayah Yasmin Ahmad. Saya memang suka lagu keroncong. Banyak saya tulis tentang lagu keroncong di blog ini. Saya cipta teori tentang asal-usul lagu keroncong dari Portugis yang dulunya sebahagian dari kerajaan Islam Andalus. Itu sebab ada lagu Keroncong Morisko. Morisko adalah nama gelaran umat Islam Andalus yang dipaksa masuk Kristian dalam Reconquista.
Itu agaknya sebab saya suka cerita Mukhsin. Lagu keroncong Hujan nyanyian Adibah Nor itu sungguh menyentuh jiwa rasa. Mendengar lagu Hujan mengingatkan saya pada lagu keroncong Bengawan Solo ciptaan Gesang.
Kalau Sepet menghidangkan lokasi di sekitar Ipoh, Mukhsin pula di Kuala Selangor. Pemandangan indah bendang, dan pokok-pokok menghijau menyinggung memori saya semasa kecil. Memerhati pemandangan pokok-pokok getah tersusun berbaris-baris adalah memori yang masih segar dalam ingatan saya. Teringat saya pada kereta Austin A40 Abah. Kereta itulah yang membwa kami pulang ke kampung, melalui ladang getah dan deretan pokok getah.
Masa itu perjalanan dari rumah kami di Sungai Siput, menuju Ipoh atau Kuala Kangsar sudah tentu melalui ladang-ladang getah. Kini ladang getah sudah sukar dicari. Austin A40 berwarna biru juga sudah Abah tukarganti dengan kereta baru Toyota Corolla.
Maafkan saya kerana hilang sebentar ke dalam kenangan masa kecil. Tiba-tiba jadi nostalgik. Eloklah berhenti sebelum banyak lagi rahsia saya masa kecil diceritakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan