Bumi Manusia
Pramoedya Ananta Toer
Cetakan Kesembilan Oktober 2002
Hasta Mitra
Buku ini saya beli di Pustaka Antara. Buku yang memang dianggap antara karya terbaik Pramoedya Ananta Toer. Saya sudah baca beberapa karya Pramoedya, bermula dengan Mute Soliloquy, sebuah memoir yang beliau tulis semasa di Pulau Buru. Saya juga sudah baca Cerita Dari Blora dan Perburuan. Keluarga Gerilya merupakan antara novel terbaik yang pernah saya baca.
Karya Pramoedya tidak pernah menghampakan saya. Tulisan beliau penuh dengan mesej dan kemanusiaan. Beliau sentiasa membawa isu keperitan hidup, penindasan dan kezaliman ke atas rakyat biasa.
Bumi Manusia adalah buku pertama dari empat novel yang berdiri sendiri yang lebih dikenali sebagai kuartet Buru. Buku Bumi Manusia diikuti oleh Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan Rumah Kaca. Keempat-empat novel ini dihasilkan oleh Pramoedya sewaktu beliau ditahan dalam buangan di Pulau Buru
Bumi Manusia ini mula ditulis Pramoedya pada tahun 1975 semasa di dalam tahanan lagi, secara sembunyi-sembunyi dan diterbitkan pada tahun 1980 apabila beliau dibebaskan dari Pulau Buru. Karya beliau mendapat sambutan hangat sehingga diulang terbit lebih dari 10 kali dalam masa hanya setahun. Bumi Manusia ini juga telah diterjemahkan ke lebih dari 30 bahasa.
Namun hayat buku ini tidak lama di Indonesia apabila ianya diharamkan pada tahun 1981. Pramoedya dituduh cuba membawa fahaman Marxisme-Lenisme dan Komunisme melalui karya beliau. Pelik juga saya kerana tidak pula saya berjumpa dengan dakyah komunisme di dalam buku ini. Saya hanya berjumpa dengan kemarahan Pramoedya terhadap sistem,individu,organisasi dan pihak yang menindas dan menzalimi, walaupun berlindung di balik sistem yang dikatakan adil. Pengharaman ini tidak pernah ditarik balik secara rasmi sehinggalah beliau meninggal dunia.
Bumi Manusia adalah kisah perjalanan hidup seorang anak pribumi berrnama Minke. Kisah berlatarbelakangkan zaman Indoesia masih dijajah Belanda. Zaman di mana seorang anak pribumi dipandang rendah dan tidak setaraf dengan orang belanda dan Eropah. Kisah Minke ini berlaku antara tahun 1898 hingga 1918 ketika pengaruh modernisme dan pemikiran rasionalisme mula masuk ke Hindia Belanda.
Minke adalah seorang pribumi yang cerdik, berfikiran terbuka, yang mendapat pengajian di sekolah elit HBS. Fahaman modern yang beliau pelajari telah membawa pengaruh yang besar kepada Minke dalam pencarian beliau kepada masalah kehidupan. Watak Minke bermula sebagai seoarang pengkagum Eropah tapi berakhir dengan tragedi yang diakibatkan oleh sistem Eropah yang beliau puja selama ini.
Sikap dan pemikiran Minke terhadap kehidupan diwarnakan dengan watak Nyai Ontosoroh, seorang wanita simpanan seorang Belanda. Seorang nyai dipandang rendah oleh masyarakat dan tidak punya hak di sisi undang-undang. Watak Nyai Ontosoroh adalah sumber penting yang mencorakkan perkembangan pemikiran Minke.
Bumi Manusia berakhir dengan kisah yang menyayat hati. Saya tiba-tiba terasa bagai membaca kisah Natrah. Bumi Manusia menggambarkan kehidupan sebuah bangsa terjajah dan bagaimana pentingnya menuntut ilmu agar nasib bangsa boleh berubah. Ilmu secara formal dari pusat pengajian, juga dari pengalaman manusia di bumi ini.
Buku ini memberi kesan mendalam kepada saya. Dialog dan monolog di dalam buku ini membekas lama. Falsafah kehidupan yang cuba dibawa di dalam buku ini menjadikan buku ini sebagi buku terbaik saya baca di awal tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan