Sekembalinya saya dari Tanah Suci, serasa macam banyak sangat isu untuk ditulis di blog. Tak sangka saya, tak sampai 3 minggu berada di sana, banyak perkara yang berlaku di daerah sini. Perkara yang paling mengejutkan saya ialah pemergian dua orang tokoh penulis yang tulisannya banyak memberikan kesan mendalam kepada saya selama ini. Dua tokoh itu ialah novelis dari Indonesia, Pramoedya Ananta Toer dan juga tokoh wartawan dari negara kita MGG Pillai.
MGG Pillai menjadi pelopor newsgroup Sangkancil yang mula saya kenal di tahun 90-an. Pemergian MGG Pillai pada 28 April, 2006 adalah satu kehilangan besar yang tiada ganti dan akan meninggalkan vakum dalam penulisan kritis politik di negara.
Pramoedya Ananta Toer pergi pada 30 April, 2006 ketika berumur 81 tahun. Pramoedya adalah nama yang tidak asing lagi yang banyak menghasilkan karya hebat.
Saya rasa bersalah kerana hanya kenal karya Pramoedya agak lewat. Namanya memang biasa saya didengar, tetapi karyanya baru benar saya mula jamah di tahun 90-an. Saya terpesona dengan Pramoedya apabila mula membaca buku Mute Soliloquy tulisan beliau. Buku yang saya beli di longgokan buku murah di Kedai Buku Popular di Ipoh Parade.
Mute Soliloquy, atau Nyanyian Sunyi Seorang Bisu, pada saya adalah buku terbaik Pram, selain Keluarga Gerilya dan Cerita dari Blora. Mute Soliloquy adalah memoir tulisan Pram semasa beliau dalam tahanan di Pulau Buru. Ianya berupa surat-surat beliau kepada isteri dan anak-anak yang tidak pernah sampai kepada penerimanya. Ianya berjaya diseludup keluar dari Pulau Buru. Di Pulau Buru jugalah Pramoedya menulis 4 novel yang sangat popular yang dikenali sebagai kuartet Buru. Bayangkan bagaimana novel-novel ini dihasilkan ketika beliau dilarang menulis dan dinafikan kertas dan pensil.
Pramoedya menghabiskan sebahagian besar hidupnya di dalam penjara, di zaman Sukarno dan Suharto. Hingga sekarang kesalahannya tidak pernah dibuktikan atau dibicarakan. Karya beliau diharamkan di Indonesia dan sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir, larangan itu masih tidak ditarik balik. Itu belum dikira karya beliau yang dirampas dan dibakar. Ya, ada manusia yang takutkan buku. Koleksi perpustakaan Pramoedya telah dibakar di depan mata beliau sebelum beliau diheret dan dicampak ke Pulau Buru.
Sama dengan di negara kita, rakyat dimomokkan dengan hantu komunis. Komunis adalah hantu dan kapitalis adalah dewa. Pramoedya adalah salah seorang yang sepanjang hidupnya, dituduh komunis dan ateis, sehingga beliau mati. Penyertaan beliau dalam Lekra pula masih menjadi perdebatan dan membayangi ketokohan beliau sehingga kini.
Membaca tulisan Pramoedya amat mengesankan dan berbekas kepada saya. Tulisan beliau penuh dengan kedukaan dan kesusahan hidup. Beliau pengamat yang tajam, berjaya merakam kisah yang punya nilai kemanusiaan yang tinggi.
Pramoedya meninggalkan kita berpuluh-puluh novel. Pramoedya pergi sebelum sempat menyiapkan projek besar Ensiklopedia Indonesia, oleh kerana sebahagian besar bahan telah dirampas dan dibakar.
Perginya manusia biasa akan dikenang setahun dua, sementara sanak saudara rajin buat kenduri arwah. Perginya penulis akan dikenang sampai bila-bila selagi tulisan mereka rajin dibaca.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan