Rabu, Mei 17, 2006

Umrah & Ziarah - KL - Dhaka - Jeddah - Madinah

.
25 April, 2006
Walaupun penerbangan kami dari KLIA ke Dhaka tertangguh selama 10 jam, penerbangan ke Jeddah berjalan seperti dijadual. Kami tiba di Jeddah pukul 3 pagi waktu tempatan. Waktu Subuh di sini dalam pukul 4.30 pagi. Bas yang akan membawa kami ke Madinah sudah menunggu di luar lapanganterbang. Lapangan terbang Jeddah sangat sederhana saiz dan rekabentuknya. Sebesar lapangan terbang Subang, atau mungkin lebih kecil.

Kami meneruskan perjalanan sebelum berhenti di sebuah masjid di sebuah pekan kecil untuk menunaikan solat subuh. Selesai solat, sempat kami minum teh dan merasa sandwic Arab di kedai bersebelahan.


Perjalanan dari Jeddah ke Madinah sebenarnya boleh mengambil masa 4- 6 jam. Namun, perjalanan kami sengaja dilambatkan untuk sampai ke Madinah selepas waktu Zuhur. Kabarnya penginapan kami belum tersedia.

Jalan yang kami lalui dikatakan jalan yang Nabi ambil semasa berhijrah dari Mekah ke Madinah. Jiwa tersentuh bila melihat keadaan keliling yang dipenuhi dengan batu-batu dan padang pasir. Tak terbayang bagaimana susahnya Nabi dan para sahabat berhijrah semata-mata untuk memperjuangkan Islam. Nikmat Islam itu bukan datang dengan mudah, tetapi ramai umat Islam yang tidak menghargai nikmat Islam dan Iman yang telah mereka kecapi.

Kami berhenti beberapa kali. Jalan raya dari Jeddah ke Madinah sangat baik, sebaik lebuhraya Plus di Malaysia. Di sepanjang perjalanan juga banyak tempat persinggahan untuk berehat walaupun kebersihannya dan kemudahan yang tersedia boleh dipertingkatkan.

Kami sampai ke Bandar Madinah hampir pukul 12 tengahari. Besar juga Madinah Munawarah. Banyak kedai-kedai dan gedung sepanjang jalan. Bangunan tinggi kelihatan di merata tempat.


Madinah Munawarah adalah bandar Nabi. Apabila diperintahkan Allah Hijrah, Nabi telah menetap di Madinah sehingga ke akhir hayat baginda. Ketika penduduk Makkah menolak dakwah Nabi, penduduk Madinah telah menerima Nabi dengan penuh kasih sayang.

Bas kami sampai ke hotel penginapan ketika hampir masuk waktu zuhur. Azan dari masjid Nabawi kedengaran sejurus kami masuk ke bilik.

Kami bergegas bersiap untuk solat Zuhur di Masjid Nabawi. Hati saya berdebar-debar. Saya akan solat di Masjid Nabi!

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails