Khamis, Mei 18, 2006

Umrah & Ziarah - Masjid Nabawi

.
Jarak hotel kami ke Masjid Nabi lebih kurang 80m. Yang menariknya di Mekah dan Madinah, apabila azan dilaungkan, kita masih sempat bersiap untuk ke masjid. Solat di sini lazimnya, hanya akan didirikan, lebih kurang 15 ke 20 minit selepas azan.

Perkuburan Baqi'

Untuk ke Masjid kami menyusuri panas terik. Panas tetapi anginnya nyaman. Di sebelah kiri kami ialah Perkuburan Baqi', tempat lebih dari 10,000 sahabat Nabi, isteri Nabi dan tabiin dikebumikan. Kubur di sini sangat ringkas bentuknya, hanya batu-batu nesan penanda kubur. Tiada batu nesan berukir dan tembok berhias seperti di negara kita.

Saya masuk ke Masjid melalui pintu di sebelah barat, lebih kurang 100 meter di sebelah kiri Makam Nabi. Ada hampir 100 pintu masuk ke Masjid Nabi.

Pintu Masjid

Kawalan keselamatan di Masjid Nabi agak ketat, beg yang dibawa masuk akan diperiksa, kadang-kadang poket pun kena diperiksa, jikalau ada menbawa kamera atau telefon tangan berkamera. Pernah sekali saya cuba seludup kamera di poket jubah. tak berjaya, kerana ditegur oleh polis penjaga pintu.

Saya melangkah kaki masuk ke masjid ketika takbir pertama dilaungkan. Ya Allah! Terpegun saya melihat keindahan senibina Masjid Nabawi. Besar dan megah. Syukur rasa hati bila dapat mengangkat takbir di Masjid yang mulia ini. Saya solat Zuhur hari itu dengan penuh rasa gembira kesyukuran. Akhirnya saya solat di Masjid Nabi! Masjid yang penuh sejarah dan pernah menjadi pusat pemerintahan dan perancangan Nabi dan Sahabat daalm menyebarkan Islam ke seluruh dunia. Selesai solat saya termenung melihat ke siling dan tiang-tiang masjid. Mata saya tidak berkelip melihat keliling. Masjid ini terkenal dengan banyaknya tiang-tiang besar menghias ruang solat. Sejuk dan nyaman berada di Masjid ini kerana ianya berhawa dingin sepenuhnya, yang disalurkan melalui lubang-lubang di kaki tiang-tiang tesrsebut. Permaidani merah sebagai sejadah menambahkan seri Masjid. Lampu-lampu kristal indah kelihatan tergantung megah di siling.

Masjid Nabi yang asal kecil sahaja. Ia didirikan di tempat, unta Nabi berhenti sejurus Hijrah dari Mekah. Luas asalnya 1,050 meter persegi sahaja, berdindingkan batu lumpur, bertiangkan batang pokok kurma dan beratapkan pelepah pokok kurma.

Masjid Nabi


Ianya telah diperbesarkan beberapa kali sepanjang zaman untuk menampung kebanjiran jemaah. Kali terakhir ianya telah diperbesarkan oleh King Fahd dari tahun 1988 hingga 1995. Kini ianya seluas 35,000 meter persegi. Saya solat di bangunan masjid yang diperbesarkan di zaman Raja Fahd. Jauh juga jika ingin berjalan dari situ ke Raudhah dan Makam Nabi.

Selesai solat, jamaah mula beredar. Maklum, di sini tiada wirid dan doa beramai-ramai seperti di Malaysia. Namun, setiap kali solat, pasti ada solat jenazah. Selesai solat sunat, mata saya melilau ke sebelah kanan masjid.

Di manakah agaknya Raudah dan Makam Nabi?

...bersambung

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails