Selasa, April 10, 2007

Dari Salina Ke Langit Petang

.
.


Judul : Dari Salina ke Langit Petang
Pengarang : A. Samad Said
Penerbit : Wira Bukit Sdn Bhd
Genre : Esei / Autobiografi
Mukasurat : 112 halaman
Cetakan Pertama : 2007
ISBN : 9834119669
Kulit Tebal



Membaca judulnya sahaja sudah dapat diteka apakah isi kandungan buku ini. Salina dan Langit Petang adalah antara judul buku tulisan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said. Salina merupakan masterpiece Pak Samad yang diterbitkan sewaktu beliau berumur 23 tahun. Langit Petang pula terbit agak kemudian. Sekali teka, sudah tentu buku ini tentang proses penulisan buku dari novel Salina hingga ke novel Langit Petang. Sudah tentu buku ini sesuai untuk para penulis, atau sesiapa yang bercita-cita mahu jadi penulis.

Sebenarnya buku ini tidak sekadar sesuai untuk penulis. Ianya juga patut dibaca oleh peminat buku. Pak Samad bercerita dengan penuh mesra tentang kisah hidup beliau. Saya asyik sungguh membaca kisah Pak Samad dan ibunya. Kata Pak Samad, keinginan beliau untuk menulis terdorong dari keinginan untuk bercerita yang diwaris dari ibunya. Ibu Pak Samadlah yang berjasa melahirkan seorang Sasaterwan Negara. Cerita Batu Belah Batu Bertangkup, Bawang Putih Merah adalah kisah yang diceritakan oleh Ibu kepada anaknya. Cerita sebegitulah yang telah menimbulkan daya imaginasi dan kreativiti yang kuat pada Pak Samad untuk menjadi seorang tukang cerita.

Buku ini diceritakan dengan penuh ikhlas dan mesra sehingga bagaikan menceritakan segala-gala yang peribadi buat penulisnya.

Bak kata Pak samad sendiri,

`Hampir tidak ada yang disembunyikan di sini sehingga jika seseorang rajin dan tekun menelitinya, ia akan sekali lalu dapat menyerapi dunia seorang sasterawan yang seniman dengan segala rahsia kehidupan dan seninya.'

Buku ini sangat patut dibaca oleh peminat buku. Ada satu bab khusus tentang buku bertajuk Jalan Awal Ke Buku. Pak Samad bercerita tentang buku-buku yang memberi kesan kepada diri dan penulisan beliau. Pak Samad bercerita tentang betapa minatnya beliau pada penulis Harun Aminurrashid dan Ahmad Lutfi. Beliau mengaku menangis apabila membaca Balik Dari Medan Perjuangan karya Ahmad Lutfi.

Saya tersenyum bila Pak Samad bercerita tentang betapa susahnya beliau mahu menghabiskan buku Atheis tulisan Akhdiat K Mihardja.

Pak Samad juga begitu terkesan dengan Di Bawah Lindungan Kaabah tulisan Buya Hamka. Tidak pernah ada buku yang memilukan dan mengharukan hati beliau seperti buku itu.

Pak Samad juga meminati karya penulis Inggeris. Buku The Astures of Heaven tulisan John Steinbeck beliau telaah sehingga koyak. John Steinbeck, Pearl S Buck dan Ernest Hemingway adalah antara pengarang yang beliau minati.

Buku-buku inilah kemudiannya yang mempengaruhi beliau untuk menulis plot dan watak dan teknik penceritaan dalam novel-novel beliau. Terasa begitu dekat dan mesra kita dengan karya-karya beliau. Baru saya tahu latar belakang yang membezakan corak penulisan novel Salina dan Langit Petang juga Sungai Mengalir Lesu.

Membaca buku ini akan mendekatkan pembaca dengan karya A Samad Said. Ianya terisi dengan begitu banyak pengalaman dan pengetahuan yang berguna buat pembaca. Buku yang pernah terbit dua puluh tahun dahulu ini, telah diberi nyawa semula oleh Wira Bukit Sdn Bhd. Buku ini kembali dengan persembahan yang lebih indah. Kulit buku yang segar dan cantik pasti menawan hati para peminat buku.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails