Jumaat, April 27, 2007

Pesta Buku Antarabangsa KL 2007

.




Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007

27 April hingga 6 Mei 2007
Isnin hingga Khamis
(10.00 am- 7.00 pm)
Jumaat hingga Ahad; Cuti Umum
(10.00 am- 10.00 pm)
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)



Pesta Buku Antarabangsa KL datang lagi! Sedar tak sedar tahun ini sudah 26 tahun pesta buku ini diadakan.

Saya masih ingat lagi kenangan semasa Pesta Buku ini mula-mula diadakan di Changkat Pavilion, berhampiran Stadium Merdeka, KL. Saya masih pelajar masa itu. Kami berjalan kaki dari Bus Stand Klang ke sana. Berjalan pulang lebih meletihkan, dengan buku penuh di tangan. Mengunjungi Pesta Buku semasa masih bergelar siswa, sudah tentulah banyak halangannya, terutama wang. Apa lagi jika biasiswa belum masuk. Beli buku pun berjimat-jimat, takut lari budget. Buku yang saya cari ketika itu pun rasanya berlainan dengan sekarang. Buku rujukan perniagaan dan perakaunan dan mungkin buku self development dan politik semasa.

Tahun ini Pesta Buku KL sudah kali ke 26, dan sudah lama ada gelaran antarabangsa. Harapan saya gelaran antarabangsa itu dijaga baik, dengan mempamerkan buku yang bermutu tinggi. Saya agak rimas, bila Pesta Buku yang lepas dipenuhi jurujual program belajar bahasa.

Tahun ini dijangka lebih meriah. Ada 183 syarikat mengambil bahagian, 160 syrikat tempatan dan 23 syarikat lura negara seperti UK, US dan Australia. Ada 600 gerai berbanding 530 tahun lepas. Jika tahun lepas PBAKL 2006 menyaksikan kehadiran sekitar 700, 00 pengunjung, tahun ini mungkinkah boleh mencapai jumlah sejuta? Tentu ramai yang ingin mengambil peluang dari cuti Hari Pekerja dan Hari Wesak.

PBKL 2007 juga akan menghidangkan pengunjung dengan 63 aktiviti sampingan.

Saya akan ke sana hari Isnin. Bertolak pagi dari Ipoh dan terus ke PWTC. Rasanya hari Isnin mungkin tidak sesesak hari minggu, kerana ianya hari bekerja. Jangan pula yang lain juga berfikiran sama lalu mengambil cuti hari Isnin seperti saya!

Kepada rakan-rakan pencinta buku, kalau ada rezeki mungkin kita boleh berjumpa. Alangkah menariknya jika kita boleh berjumpa selepas selesai membeli-belah buku. Duduk sambil minum teh dan bertukar maklumat tentang buku yang dibeli!

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails