Khamis, April 12, 2007

Sangeetha - Azizi Hj Abdullah

.


Sangeetha
Penulis: Azizi Haji Abdullah
Penerbit: DBP
ISBN: 9836293299
Tahun Terbitan: 2006
Halaman : 561
Harga Buku: RM35.00




Azizi Abdullah adalah antara penulis yang saya minati sejak dari sekolah rendah lagi. Seingat saya tahun 70-an Azizi Abdullah adalah antara penulis yang rajin berkarya. Saya masih ingat pernah menyukai cerpen tulisan beliau.

Saya juga masih ingat Abah pernah belikan saya sebuah novel tulisan Azizi Abdullah. Novel itu berjudul Dari Kolam Mulhammah. Masa itu rasanya saya masih di darjah tiga atau empat. Bagi seorang budak berumur 10 tahun, novel itu adalah novel yang paling pelik pernah saya baca. Saya baca tapi tak faham. Saya cari cerita tetapi tidak ada cerita di dalamnya. Saya mengadu pada Abah. Buku ini macam kuliah agama pun ada, kata saya. Abah gelak besar.

Semalam saya baru habiskan novel terbaru Azizi Abdullah. Novel hebat berjudul Sangeetha. Saya beli di Kedai Buku DBP Bukit Mertajam. Novel ini hebat kerana ceritanya juga hebat. Sangeetha adalah watak utama dalam novel ini. Sangeetha seorang perempuan tua berbangsa India. Janda kaya berumur 85 tahun. Lebih hebat lagi bila seorang perempuan tua berkasih dengan seorang lelaki berumur 75 tahun. Kasihnya tertumpah pada seorang lelaki tua Melayu bernama Derus.

Pada mulanya, saya rasa geli-geleman mahu baca kisah cinta orang tua. Bukan tu lagi, sudah kerepot. Cukup susah mahu mula membaca novel ini. Saya seperti membaca sebuah kisah yang kosong, sepi dan sunyi. Lama-lama saya rasa tenggelam dalam kisah kesepian orang tua. Sungguh bijak penulis bercerita. Saya terasa seperti berkongsi kesepian mereka. Derus dan Sangeetha adalah dua watak utama dalam novel ini. Watak sampingannya pula adalah seekor kucing dan seekor burung merbuk. Bayangkan bagaimana sepinya hidup mereka.

Kisah kasih dua jiwa ini bukanlah seperti kisah Rumi dan Juli. Ini kisah antara kasih dan kasihan. Kasih dilukis dengan bahasa jiwa, gerak laku dan gerak badan. Tambah menarik bila kasih berbeza budaya ini diikat dengan alatan muzik tradisonal, gambus dan tabla.

Penulis ternyata membuat kajian yang teliti sebelum menulis novel ini. Setiap watak dan lokasi dalam novel ini ditulis dengan begitu teliti, terperinci dan halus. Penulis seperti seorang mahaguru muzik bila bicara tentang gambus dan tabla. (Bila baca tentang gambus, saya mesti teringat Sdr Zulkifli, pemain gambus kumpulan Dewangga Sakti. Terima kasih bersusah payah menghantar CD Kiai Kanjeng!)

Saya suka novel ini. Saya suka pantun yang diselit di setiap peghujung atau awal bab. Pantun penulis dan juga dari Hikayat Malim Deman atau Hikayat Awang Sulung Merah Muda. Sangat puitis.

Ada permata di dalam tangan,
Dibungkus dengan kain baldu;
Jika bercinta menyesal jangan,
Ada rang tua sembunyi rindu.

Novel ini juga ditamatkan dengan penuh suspens, tidak disangka, mengejutkan dan sungguh berkesan.

Saya masih teringat-ingat novel ini. Saya tak sabar nak hadir program Bicara Novel Sangeetha hari Sabtu ini.



BICARA NOVEL SANGEETHA

Tarikh: Sabtu, 14 April 2007
Jam : 8.30 pagi - 12.30 tgh.
Tempat : Dewan Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar

Panel :
Dr.Siti Hajar Che man USM
Dr.Ratna Roshida Abdul Razak USM

Peminat sastera dijemput. Percuma.
Hubungi 04-5377241 Pn Khairiyah





Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails