Pemandangan yang jarang-jarang dapat kita lihat di filem-filem Bollywood. Kemiskinan dan kedaifan hidup ada di mana-mana. Rumah-rumah penduduk India sangat-sangat daif. Rumah tidak berpintu dan tidak berbumbung adalah pemandangan biasa dalam perjalanan dari Delhi ke Jaipur. Kata Vinith, pemandu pelancongan kami, rumah-rumah di sini memang biasanya tidak siap seperti itu. Ramai dari mereka bekerja betul-betul kais pagi makan pagi. Kais petang makan petang. Jika ada lebih dari kaisan hari tu, wang itulah yang digunakan untuk menyiapkan rumah. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana mereka boleh hidup dalam rumah yang tiada berpintu.
Di Jaipur, kami terkejut melihat ada segerombolan penduduk tempatan yang berhimpun dan seakan berebutkan sesuatu. Saya sangkakan ada demonstrasi atau mungkin ada kemalangan. Rupanya, mereka yang berhimpun itu datang untuk mencari kerja. Di situ, tuan-tuan tanah akan datang untuk memilih pekerja untuk bekerja di ladang-ladang dan perusahaan mereka. Tuan-tuan tanah hanya perlu menunjuk dan memilih dari ribuan yang berhimpun di situ setiap hari. Saya diberitahu itu adalah pemandangan biasa di India. Mereka datang setiap hari mencari kerja, dan setiap hari juga pulang ke rumah dengan hampa.
Di mana-mana pun kami berhenti, penjaja jalanan akan sentiasa memburu kami. Kebanyakannya anak-anak kecil. Ramainya pengemis jalanan sangat-sangat meresahkan kami. Memang terdetik rasa kasihan tetapi, terlalu ramai untuk ditolong.
Perjalanan ke India buat saya bersyukur dengan nikmat kemakmuran yang Allah kurniakan kepada diri. Saya mungkin tidak kaya raya, tetapi apa yang saya ada jauh sangat-sangat mewah berbanding apa yang saya lihat di India. Saya mungkin belum mendapat apa yang saya inginkan, tetapi saya sudah punya apa yang ribuan orang lain tidak mungkin akan punya.
Alangkah malangnya jika kita tidak bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan