Memaparkan catatan dengan label salam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label salam. Papar semua catatan

Ahad, Januari 03, 2010

Selamat Datang 2010

Taman Sahabat, Jalan Song, Kuching, Sarawak

Cepat benar masa berlalu. Bagai tak sedar kita sudah mahu menjengah ke tahun baru 2010. Rasa seperti baru lagi saya menjejak kaki ke bumi Kenyalang. Sedar tak sedar sudah enam bulan saya berada di sini.

Secara jujur, saya mula jatuh hati dengan keunikan Kuching dan Sarawak. Rasa sungguh selesa tinggal di Kuching. Mungkin itu juga antara sebabnya blog ini ditinggalkan sepi. Masa terluang diisi dengan aktiviti mengenali bumi Kenyalang dengan lebih mendalam lagi. Kuching kadang-kadang mengingatkan saya pada bandaraya Ipoh, tak jauh bezanya. Bandarayanya bersih dan teratur jugai jauh dari hiruk-pikuk kesesakan lalu lintas. Rumah saya dan tempat kerja, sebagai contoh hanya lima minit perjalanan jika memandu.

Sarawak negeri yang penuh beragam mempunyai bangsa dan etnik yang berbagai. Kalau tak salah, ada 28 etnik berlainan yang hidup rukun damai di negeri terbesar di Malaysia ini. Di Sarawak tiada bangsa yang majoriti secara ketara. Itu antara sebab rakyatnya hidup rukun damai, menghormati dan cuba memahami satu sama lain.

Banyak perkara yang berlainan di sini yang mungkin orang dari Semenanjung tidak tahu. Walaupun sudah lebih enam bulan di sini, ada sahaja perkara baru yang saya pelajari mengenai adat budaya dan kehidupan masyarakat di sini. Laut Cina Selatan seakan menjadi penghalang untuk menyampaikan pesan dari bumi kenyalang ini.

Kehidupan saya juga sedikit berubah dengan kehadiran Suri dan Ayshah bersama. Sebelum ini, saya bujang di Bukit Mertajam dan Suri Jiwa di Ipoh. Setiap petang sabtu saya bergegas pulang ke Ipoh. Begitulah rutinnya selama empat tahun. Kini, hujung minggu terisi dengan meneroka Kuching dan persekitarannya. Cuma suatu perkara yang kami rindukan ialah peluang menziarahi orang tua di Sungai Siput dan Padang Rengas yang tidak dapat kami lakukan sekerap dulu.

Tahun 2010 datang dengan pantas, dan dengan pantas juga ianya akan berlalu nanti. Saya harap tahun 2010 ini akan dapat berkongsi tentang buku dengan lebih kerap lagi di sini. Walaupun sukar juga bertemu buku-buku pilihan hati di sini, tetapi ianya tidak menghalang kita dari terus mencari. Saya berhasrat dapat berkongsi tentang buku juga tentang pengalaman hidup di bumi kenyalang ini.

Selamat tahun baru 2010

Selasa, September 30, 2008

Salam Aidil Fitri



Tahun ini seperti kebiasaan, kami akan beraya di Sg Siput dan di Padang Rengas. Balik kampung di Hari Raya tidak pernah jadi masalah kerana jarak antara Sg Siput dan Padang Rengas hanyalah lebih sedikit setengah jam.

Jemputlah berziarah ke rumah. Tahun ini, kalau ada rezeki kami bakar lemang di Padang Rengas.



Kepada semua rakan-rakan yang berkunjung ke laman blog ini, ampun dan maaf saya pinta jika ada tersalah tersilap, jika terkurangnya budi kala berbicara.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin.

Sabtu, Oktober 20, 2007

Salam AidilFitri


Cepat benar masa berlalu. Rasa baru semalam Ramadan datang. Sudah mahu kembali. Rasa belum puas bermesra, kita sudah perlu berpisah. Kalau dipanjangkan umur, kita bertemu semula tahun depan.


Syawal kini menjelma diri. Kepada semua rakan-rakan pengunjung blog ini, saya ucapkan Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin. Walaupun ramai yang belum pernah bersua, tetapi keakraban tetap terasa, bagai sudah kenal lama. Pohon maaf dari saya andai ada tulisan di sini yang menyinggung jiwa dan rasa.


Selamat pulang ke kampung. Berhati-hati di jalan raya dan di musim raya.
Salam Aidil Fitri untuk semua. Selamat Pulang Ke Fitrah

Selasa, Oktober 31, 2006

Salam Syawal




Salam Syawal kepada semua.

Seronok betul bercuti panjang. Cuti seminggu terasa nikmatnya bila boleh buat macam-macam benda (selain kerja pejabat). Saya berjaya menghabiskan beberapa buah buku sepanjang bulan Ramadan hingga ke Hari Raya. Antara yang paling berkesan ialah buku Fisafat Pendidikan Islam menurut Prof Naquib Al-Attas tulisan Prof Wan Mohd Nor Wan Daud. Nanti saya tuliskan dalam posting yang akan datang.

Kegembiraan bertemu sanak saudara, juga keenakan lemang dan rendang, laksa johor masakan suri, memanglah kenikmatan tiada tara.

Selain dari keseronokan menjamu selera dengan hidangan kuih raya, ada juga keseronokan lain yang terhidang di media. Antara yang menarik hati ialah kisah seorang ahli majlis perbandaran yang terhalang dari menyiapkan istana idaman. Struktur istana sudah mula kelihatan menyergam megah. Siapa yang tidak rasa bangga bila punya mahligai indah yang dikelilingi oleh rumah-rumah buruk dan laih.

Khabarnya mahligai indah dibina tanpa kelulusan majlis perbandaran. Lalu ramailah pula yang naik angin dan membantah. Marah kerana si tuanpunya rumah didakwa menggunakan kuasa sebagai ahli majlis perbandaran untuk membina mahligai tanpa izin. Ramai yang geram kerana majlis didakwa bersikap tegas dan tanpa kompromi dengan rakyat biasa. Ramai juga yang geram kerana mereka tak ada duit nak buat mahligai seindah itu.

Tak tahulah. Salah tetaplah salah. Sepatutnya buatlah ikut aturan. Agaknyalah kalau diminta kelulusan dan dibayar cukai, tentu akan dipertimbangkan untuk kelulusan.Lalu tiada lagi isu yang timbul. Hilanglah kisah menambun harta.

Kenapalah kebanyakan mereka yang menyertai politik, mesti berlumba-lumba mahu menimbun harta dan membina mahligai. Memang tak salah jika mampu, tapi kalau diikutkan gaji, memang tak mampu. Selalunya, kebanyakan yang menyertai politik mesti ada perniagaan sendiri, kalau tidakpun diusahakan oleh adik-beradik terdekat. Kenapa bila jadi orang politik mesti masuk bisnes? Yang ironinya, lagi kuat sumpah dan janji mereka untuk berkhidmat demi rakyat, agama, bangsa dan negara, lagi bersungguh usaha mengaut harta dan melebarkan empayar bisnes.

Kadang-kadang saya garu kepala bila tengok kenalan yang dulunya kerja budak pejabat, tapi jadi kaya raya bila masuk politik. Tiba-tiba sudah jadi ahli perniagaan berjaya! Padahal dahulu di dalam kelas punyalah bodoh, tak boleh diajar. Mengira pun tak berapa reti. SPM pun setakat lepas.

Yalah. Mungkin itu rezeki mereka. Masyarakat pun sudah boleh terima bila ahli politik jadi kaya raya. Sudah begitu adatnya. Kalau ahli politik menjadi miskin, mungkin jadi kemusykilan. Takkan tak dapat peluang apa-apa, kata mereka.

Bidang politik sudah jadi bagai satu kerjaya mencari kesenangan hidup. Tidak lebih dari kerjaya lain seperti doktor dan loyar. Lalu tidak salah menjadi kaya jika menjadi orang politik. Jauh benar bezanya orang politik zaman ini dengan orang politik zaman sebelum merdeka. Itulah agaknya yang dikatakan oleh Prof Naquib mengenai punca kemunduran masyarakat. Bukan kurang harta atau ilmu, tetapi kurangnya adab.

Bilakah agaknya kita dapat berjumpa dengan ahli politik yang kaya sebelum masuk politik, tetapi menjadi miskin bila jadi ahli politik. Bukan miskin kerana gagal bisnes, tetapi miskin kerana ikhlas berhabis duit menolong orang susah dan memerlukan.

Bolehkah kita jumpa ahli politik yang masih duduk di rumah teres dan pergi kerja naik bas, walaupun sudah bergelar yang berhormat? Ada lagikah pemimpin seperti Abu Bakar yang menghabiskan semua harta untuk agama, seorang kaya yang jadi miskin kerana agama?

Ada lagikah contoh pemimpin ulung seperti dipuisikan oleh Taufik Ismail dalam Lima Syair Tentang Warisan Harta?

Selasa, Oktober 17, 2006

Salam Aidil Fitri








Foto ekadmalaysia.net.

Sedar tak sedar kita sudah sampai ke penghujung bulan Ramadan. Hari Jumaat ini hari akhir bekerja bagi kebanyakan orang sebelum bercuti panjang. Rasa baru sahaja Ramadan yang mulia menjenguk kita, sudah mahu berangkat pulang! Rasa belum puas bermesra kita sudah akan berpisah, dan hanya akan bertemu semula setahun lagi. Itupun jika panjang usia.


Bermula Jumaat ini juga akan sesaklah jalanraya menuju ke kampung halaman. Masing-masing sedang sibuk buat prsaipan untuk pulang berhari raya. Halaman rumah di kampung akan jadi meriah dan ceria dengan kepulangan anak-anak dari rantauan. Halaman rumah yang selama ini sepi akan penuh dengan kereta-kereta berplet luar.

Jiwa Rasa juga akan pulang ke kampung petang Jumaat ini. Pulang ke kampung di Sungai Siput dan di rumah Suri Jiwa di Padang Rengas. Seperti tahun-tahun lepas, bandar di raja Kuala Kangsar akan sesak menjelang Hari Raya. Tak ubah seperti kesesakan di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Kepada semua rakan-rakan pengunjung blog ini, saya ucapkan Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin. Walaupun belum pernah bersua, tetapi keakraban tetap terasa, bagai sudah kenal lama. Pohon maaf dari saya andai ada tulisan di sini yang menyinggung jiwa dan rasa.


Selamat pulang ke kampung. Berhati-hati di jalan raya dan di musim raya.


Salam Aidil Fitri untuk semua.


Selamat Pulang Ke Fitrah

Isnin, Oktober 16, 2006

Malam Seribu Bulan






“Sesungguhnya telah kami turunkan al-Quran pada Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada seribu bulan.”

(Surah al-Qadr, ayat 1 - 2)


Selamat mencari malam seribu bulan.

Ahad, September 24, 2006

Salam Ramadan








Foto ekadmalaysia


Bagai tak terasa, kita sudah masuk bulan Ramadan semula. Begitu cepat masa berlalu sehingga kadang-kadang, bagai tidak sempat untuk menikmati setiap saat-saat suka dan duka dalam hidup ini.

Ramadan berkunjung lagi, memberi peluang kepada kita untuk meningkatkan iman dan menambah pahala ibadah. Peluang yang diberi setahun sekali perlu direbut dengan meningkatkan amalan, memperbetulkan niat, memperhebatkan tekad dan meningkatkan semangat untuk hidup sebagai seorang Muslim.

Dari kecil kita dididik, bulan puasa adalah bulan menahan diri dari makan, dan waktu berbuka adalah kenikmatan yang ditunggu-tunggu. Masa kecil dahulu, peluang berbuka puasa di masjid memang ditunggu-tunggu, walaupun hidangannya serba sederhana. Kini, berbuka puasa sudah terlalu komersial. Hotel-hotel kecil dan besar, berebut-rebut menarik pelanggan untuk pesta berbuka puasa secara mewah.

Rasanya, setelah sekian lama dididik bepuasa, keseronokan menyambut puasa bukan hanya kerana tak sabar menunggu waktu berbuka. Ramadan patut disambut sebagai pesta ibadah, bukan sekadar berpesta dan berlumba makan. Berpuasa di siang hari dan memakmurkan rumah Allah di malam hari.

Dalam sejarah, bulan Ramadan juga adalah bulan jihad, juga bulan kemenangan bagi umat Islam. Banyak perang dalam sejarah Islam berlaku dalam bulan Ramadan. Umat Islam menghadapi Badr Al-Kubra dalam bulan Ramadan. Umat Islam bersedia untuk Perang Khandak dalam bulan Ramadan. Peristiwa penting pembukaan Kota Mekah juga berlaku dalam bulan Ramadan.

Tradisi ini berterusan sehingga zaman selepas Nabi. Salahudin Al-Ayubi berjaya mengalahkan tentera Salib dalam bulan Ramadan. Tariq bin Ziyad dan tentera Islam mendarat di Gibraltar, dalam usaha membebaskan Andalusia juga dalam bulan Ramadan.

Ramadan adalah bulan perjuangan. Berjuang menentang musuh di luar atau di dalam. Kenikmatan Ramadan akan dirasai oleh mereka yang ikhlas dalam berjuang.


Selamat menyambut Ramadan!







Sabtu, September 16, 2006

Selamat Hari Lahir, Malaysia!




Image Hosted by ImageShack.us



Hari ini 43 tahun lepas telah lahir sebuah negara bertuah yang kita semua kenali sebagai Malaysia. Tanah Melayu yang merdeka di tahun 1957 kemudiannya telah bersatu hati dan bergabung dengan Sabah, Sarawak dan Singapura untuk membentuk Malaysia. Maka tertubuhlah Malaysia pada 16 September, 1963.

Jalan ke arah kemerdekaan seterusnya penubuhan Malaysia bukan menuntut pengorbanan yang sikit. Tidak sikit yang kurang senang dan menyimpan rasa curiga. Malaysia terpaksa menghadapi Konfrontasi di awal penubuhannya. Lahirnya Malaysia pada tarikh ini juga adalah berkat pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu.

Alangkah molek jika ulangtahun penubuhan Malaysia ini kita hayati bersama dengan mengenang sejenak pengorbanan mereka yang terdahulu. Pejuang yang menang juga yang kecundang, yang besar dan juga yang kecil.

Saya tiba-tiba terbayang wajah seorang tokoh yang mungkin kecil di mata kita namun tidak kecil sumbangannya kepada negara.


Abdul Majid Salleh 2004
Memoir Abdul Majid Salleh dalam PKMM dan Kesatuan Buruh.
ISBN 967-942-673-4


Abdul Majid Salleh adalah antara bekas aktivis Parti Kebangsaan Melayu Malaya PKMM. Beliau aktif dalam Kesatuan Buruh yang menjadi sayap PKMM. Abdul Majid menjadi ahli kepada cawangan PKMM yang pertama ditubuhkan di Malaya iaitu cawangan Simpang Empat, Kampar, Perak.

Kerana kelantangan melawan penjajah British, beliau telah ditahan di bawah Akta Darurat 1948 dan meringkuk di dalam tahanan selama 7 tahun.

Kata Abdul Majid, perjuangan PKMM menghadapi kesukaran kerana menghadapi tentangan dari orang Melayu sendiri. Sikap orang Melayu yang menganggap penjajah British sebagai pembela mereka. Nasib baik ada British, kalau tidak tentu huru-hara' kata mereka. Tidak mereka sedar yang British menyedut khazanah negara dibawa pulang. Siapa sahaja yang menentang British dituduh penderhaka, termasuk PKMM. Setia betul orang Melayu dengan tuan mereka. Mereka yang melawan British sering dituduh komunis.

Kini Abdul Majid aktif dalam Pas, pernah menjadi YDP kawasan Gopeng dan calon parlimen Gopeng. Begitulah adat pejuang, sekali berjuang, sehingga ke akhir hembusan nafas terakhir akan terus berjuang.

Dulu saya sering nampak kelibat beliau di Masjid Negeri Ipoh, terutama hari Jumaat. Dah tua orangnya. Tak siapa sangka dia seorang pejuang. Kecil dan kurus orangnya. Semenjak saya pindah ke Bukit Mertajam, lama benar saya tidak nampak beliau. Mungkin sudah uzur. Kalau beliau masih adapun, umurnya kini sudah 83 tahun.

Seperti tokoh pejuang lain yang digelar penderhaka dan dicop komunis oleh bangsanya sendiri, hari-hari terakhir beliau akan berlalu tanpa sedar. Tiada kalungan bunga, tiada kata puji dan puja, apalagi pingat kebesaran. Kalau tidak ada kata nista sudah dikira mujur.

Kalaupun kita tidak gemar dengan sikap yang mereka ambil dahulu, janganlah kita lemparkan hina dan nista. Jangan kita lupa, nikmat udara bebas dan merdeka yang kita hirup hari ini, adalah hasil juang mereka. Setidak-tidaknya kita perlu hormat akan kesungguhan beliau menghadapi jerih payah perjuangan.

Begitulah kisah orang kecil dalam sejarah Negara. Namanya tiada dalam lembaran sejarah kerana sejarah itu ditulis oleh orang yang menang dan orang yang kalah memang tiada tempat dalam catatan sejarah. Kalau tidak kerana memoir yang ditulis ini, mungkin hilang terus secebis kisah perjuangan. Ramai lagi insan lain seperti Abdul Majid, yang sedang menghabiskan sisa-sisa hidup di bumi bertuah ini. Ramai juga yang telah pergi meninggalkan kita, tanpa kita sedar dan peduli. Hanya doa kaum keluarga dan rakan taulan mengiringi pemergian mereka.

Mungkin pesanan Abdul Majid Salleh di helaian akhir bukunya ini boleh kita renungkan.

Wahai anak cucuku dan segala keturunanku!
Ambillah ini sebagai tauladan
Jangan sekali-kali di mendirikan mahligai di atas pusara orang lain
Jangan! Jangan!
Ditakuti kamu tidak selamat
Tidak selamat di dunia dan di akhirat.



Kini Malaysia sudah kita warisi. Ke mana haluannya di tangan kita. Sayangkan negara bukan hanya dengan kibaran bendera, tetapi harus diikat dengan sumpah janji untuk mempertahankan kedaulatan negara dan membina kekuatan negara atas dasar-dasar mulia.

Selamat Hari Lahir Malaysia yang ke 43!

Isnin, Ogos 21, 2006

Israk Mikraj



Free Image Hosting at www.ImageShack.us


Hari ini 27 Rejab, pernah berlaku sebuah peristiwa besar dalam sejarah Islam.

Israk Mikraj adalah satu kejadian luarbiasa yang berlaku kepada Rasulullah. Israk Mikraj adalah peristiwa ajaib, miracle, yang sukar dipercayai akal. Kalaulah Islam itu menggunakan akal semata-mata sudah tentu ramai yang tergelincir dari agama.

Israk Mikraj tahun ini disambut di celah-celah kedurjanaan Zionis di Palestine, bumi berlakunya Israk, iaitu di Masjidil Aqsa, di mana Nabi diangkat ke langit.

Sampai bila agaknya masjid yang ke-3 mulia di sisi Islam ini akan teguh berdiri. Sudah kedengaran adanya rancangan jahat Zionis untuk meruntuhkan masjid ini dan dibina `Solomon Temple'. Sampai bila rakyat Palestin dapat menanggung azab menderita di tanah air sendiri?


Tulisan saya tentang Israk Mikraj di blog ini, dua tahun lepas. Peristiwa Israk Mikraj

Jumaat, Mei 12, 2006

Selamat Hari Jururawat

.
Hari Jururawat disambut seluruh dunia setiap 12 May. Tarikh itu dipilih sebagai mengenang tarikh lahir Florence Nightingale iaitu 12 May 1820.

Tahun ini tema Hari Jururawat Sedunia ialah Safe Staffing Saves Life. Tema yang sangat relevan dengan situasi kekurangan jururawat di negara kita kini. Kekurangan jururawat terlatih memang sangat dirasakan oleh sektor prisihatin di Malaysia Ramai jururawat terlatih negara telah berhijrah ke Timur Tengah mengejar ganjaran yang berlipat ganda di samping suasana kerja yang lebih baik. Jangan terkejut jika diberitahu, jururawat Malaysia yang bertugas di negara Timur Tengah boleh mendapat gaji anatra RM5,000 ke RM15,000 sebulan. Itu belum dikira kos penginapan dan pengangkutan yang mungkin ditanggung oleh majikan. Ternyata kualiti jururawat kita telah diiktiraf dunia.

Ternyata profesion sebagai jururawat kini tidak lagi seperti dahulu. Kerjaya jururrawat kini sudah dianggap sebagai kerjaya professinal yang memerlukan kelayakan yang tinggi.

Kepada semua jururawat, Selamat Menyambut Hari Jururawat. Moga hari ini jadi hari untuk memperbaharui azam dan memperteguhkan tekad untuk menyumbang kepada pesakit, juga kepada pembangunan negara.

Selamat Hari Jururawat.

Rabu, April 12, 2006

Salam Maulidur Rasul

.

12 Rabiul awal Nabi lahir. 12 Rabiul awal juga Nabi wafat. Pahit getir Nabi hadapi menyampaikan dakwah ke seluruh alam. Dulu Nabi dibaling batu ketika berdakwah ke Taif. Kini setelah Baginda wafat, ajaran Nabi seolah-oleh dibaling jauh oleh ramai yang mengaku umatnya. Maulidurrasul disambut, tetapi ajarannya dihindari, malah ada yang berani menentangnya. Kita mengaku sayangkan Nabi. Namun, apa ertinya sayang jika hanya mainan di bibir. Amalan dan tindakan kita bertentangan sungguh dengan lafaz sayang yang dulang-ulang.

Khutbah Widak adalah khutbah terakhir yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad sebelum Baginda wafat. Ianya disampaikan pada 9 Zulhijjah tahun 10H di lembah Uranah, Bukit Arafah. Baginda wafat pada 12 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah.Walaupun sudah 1416 tahun Nabi meninggalkan kita, khutbah widak ini sentiasa relevan kepada kita. Setiap kali membacanya seakan baru pertama kali membacanya...

Sempena mengenang hari kelahiran Nabi, marilah kita renung kembali pesanan Nabi dalam khutbah yang terakhir ini.



"Wahai manusia,dengarlah baik-baik apa yang hendak aku katakan.Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia,sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikanlah harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemilik yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.ALLAH telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu.Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara yang besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak keatas kamu.Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

ALLAH Dirikanlah sembahyang lima kali sehari,berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah 'Ibadah Haji' sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh. Ingatlah,bahawa kamu akan menghadap ALLAH pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang aku sampaikan kepada kamu.

Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku,menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah ya ALLAH, bahawasanya telah aku sampaikan"

Sabtu, Disember 31, 2005

Selamat Tahun Baru 2006


Foto ini saya ambil di pagi hari terakhir tahun 2005. Saya ambil menggunakan kamera PDA yang baru saya beli, ipaq3715. Tak berapa jelas kerana hanya 1.3 megapxels. Bolehlah, sementara menunggu kamera digital saya pulang dari klinik.

Begitulah pemandangan dari anjung rumah. Setiap pagi, merenung sinar pagi yang begitu indah. Nampak bendang yang menghijau juga bangunan majlis perbandaran yang tersergam indah di sebelah kanan.

Tahun 2005 banyak membawa kenangan manis bagi saya dan isteri. Saya mesti bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah. Banyak sungguh nikmat kurnianya yang tidak terkira. Tahun 2005 kami dapat berjalan melihat dan menyentuh keindahan Taj Mahal. Akhir tahun 2005 kami menerima kunci rumah baru yang akan cuba kami hiasi dengan kilauan kasih Taj Mahal. Tahun 2005 juga saya diberi tanggungjawab lebih besar oleh majikan. Tak terkira nikmat yang dikurnia Allah. Alhamdulillah. Syukur!


"Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang."
- (Surah an-Nahl, ayat 18)

"Barang siapa yang bersyukur maka hal itu untuk (kebaikan) dirinya sendiri. Dan barang siapa yang engkar maka sesungguhnya Tuhan itu Maha Kaya dan Maha Mulia."
- (Surah al-Naml, ayat 40)

Banyak juga lagi impian dan permintaan yang belum dicapai, tapi bukankah itu fitrah hidup di dunia? Dunia akan jadi bosan, monotonous dan tidak mencabar jika semua hajat kita tercapai dengan senangnya. Hidup kena ada masam dan manisnya. Biar cukup asam garamnya. Kalau manis berpanjangan pun, tak bagus juga. Begitu juga jika masam berpanjangan.

Saya akan terus berdoa semoga hajat yang belum tercapai di tahun yang lepas akan tercapai jua. Berdoa dan berusaha, kerana semuanya milik Allah, pemilik dunia dan segala isinya. Dunia ini bukan kita yang punya. Kita hanya menumpang teduh, sementara menunggu waktu dipanggil kembali.

Moga 2006 membawa sinar baru seperti sinar suria yang saya renung setiap pagi di balkoni rumah. Selamat Tahun Baru 2006

Jumaat, Oktober 28, 2005

Salam Aidil Fitri





Salam Aidil Fitri kepada semua.

Sekalung budi kepada
semua pengunjung laman ini.

Kemaafan dipinta
Andai kata ada tulisan
di sini atau di laman lain
yang mencalarkan JIWA
Menyentuh RASA.

Terima Kasih di atas perkenalan
dan persahabatan.
Walau tidak pernah bersua
Ada Rezeki Kita Berjumpa
Di Syawal Yang Mulia.

JiwaRasa akan mula bercuti dari hari Ahad ini. Tutup rumah di BM. Bercuti 10 hari. Berhariraya di Sungai Siput dan di rumah SuriJiwa di Padang Rengas.

Salam Aidil Fitri.

Berhati-hati ketika memandu.

Berjumpa semula di Syawal Mulia.

Khamis, Oktober 27, 2005

Pulanglah kepada Fitrah





www.ekadmalaysia.net

Ramadan sudah hampir ke penghujung. Syawal sudah mula menjelma. Sebulan berpuasa akan diakhiri dengan Idul Fitri, hari merayakan pulangnya kita kepada fitrah. Moga sebulan latihan berpuasa dan beribadah mengembalikan kita kepada Muslim yang asal, yang fitrah. Fitrahnya kita lahir tanpa dosa. Lahir dengan janji untuk mentaati Allah dalam segala urusan. Sebulan Ramadan menjadi medan latihan untuk membersihkan rohani dan jasmani. Di penghujung Ramadan, harapannya, kita akan kembali semula kepada fitrah dengan menjadi Muslim dan Mukmin yang sebenarnya.

Orang kita pun sudah mula kelihatan membuat persiapan untuk `kembali kepada fitrah'. Kembali kepada fitrah Melayu, sebenarnya. Yang lelaki mula buat persiapan membeli atau menempah baju Melayu, walaupun dalam setahun entah berapa kali sahaja memakai baju Melayu. Yang perempuan mula mencari baju kurung, walaupun lebih gemar memakai pants dan suits sebagai pakaian seharian.

Orang Melayu mula berfikir nak pakai baju apa untuk solat Raya, walau sebelum ini, pagar masjid pun tak nak nampak, asyik ke lain melencongnya. Mula nak balik kepada fitrah Melayu yang sangat hampir dengan surau dan masjid.

Walau sudah banyak kuih modern, orang melayu masih kepingin lemang dan ketupat yang dimasak secara tradisional, kembali kepada fitrah Melayu. Bagai tak lengkap Raya tanpa makanan dan kuih tradisional.

Bulan puasa juga akan diakhiri dengan perayaan balik kampung. Begitu simbolik dengan kembali kepada fitrah melayu. Ada insan yang akan berhiba jika tak dapat pulang ke kampung, mungkin kerana tuntutan kerja, atau mungkin kerana tahun ini giliran beraya di rumah mertua.

Peluang akan diambil untuk mencium tangan ibubapa di pagi Raya. Mungkin simbolik kembali kepada fitrah yang menyedari kita takkan ada di dunia tanpa mereka. Ibu bapa pula ada yang akan mengalir air mata, mungkin mengenang bila pula tangan-tangan ini akan merasa dikucup semula.

Pulanglah di Aidil Fitri. Pulanglah kepada fitrah.

Isnin, Oktober 24, 2005

Selamat berbuka Saudaraku..


http://www.ctv.ca/news

Belum habis kisah penganiayaan tahanan perang Taliban dan kisah Al-Qur'an di buang di lubang tandas oleh tentera Amerika. Kini, dalam bulan Ramadan, menjelang Nuzul Qur'an, kita dengar berita yang pejuang Taliban di Afghanistan dibakar oleh tentera Amerika. Beberapa mayat pejuang Taliban yang dihadapkan ke arah kiblat dilaporkan telah dibakar oleh anggota tentera AS berdekatan kawasan pergunungan di Kandahar, Afghanistan.

Takziah dan simpati kami kepada keluarga mereka. Minta maaf, kami tak dapat menolong. Takkan tak tahu, kami puasa. Berbuka tadi pula banyak sangat. Buffet kat hotel je. Nak pergi terawih pun tak larat ni.

Bukan kami tak nak tolong, tapi nanti apa kata Amerika pulak. Nanti orang kata kami penyokong pengganas pulak. Malulah kami. Takkan orang educated macam kami ni nak sokong pengganas. Susahlah nanti kami nak buat business. Macam mana kami nak bagi makan anak bini kami. Tau-tau je lah kan, kami kan orang business.

Jangan bimbang, kami memang sedih dan simpati atas nasib anda. Betul! Bila tengok berita je kami tak henti mengutuk Amerika. Tapi kami tak bolehlah tunjuk sangat. Kat depan TV jelah kami tunjuk marah.

Oh ya.. Ayam percik lebih beli kat pasar ramadan tadi ada lagi. Kalau nak boleh kami kirimkan.. Selamat berbuka, saudaraku.

Khamis, Oktober 20, 2005

Takziah


Foto dari www.sun2surf.com

Takziah

Dari Nya kita datang, kepada Nya kita kembali

Moga bertemu Damai Abadi

Isnin, April 04, 2005

Salam ulangtahun suri jiwaku

.


4 April, 2005


Suri jiwa,

Salam ulang tahun kelahiran jiwa ucapkan. Salam ini bukan untuk mengingatkan tentang usia yang semakin meningkat, tapi untuk mengenangkan kenangan manis di masa lalu juga masa-masa indah yang akan kita tempuhi di tahun-tahun yang mendatang.

Jika diri ini sehebat SN Usman Awang, akan jiwa tuliskan puisi sepuitis puisi Kekasih khas untuk tatapan surinya,


Kekasih

Akan kupintal buih-buih
menjadi tali
mengikatmu

Akan kuanyam gelombang-gelombang
menjadi hamparan
ranjang tidurmu

akan kutenun awan-gemawan
menjadi selendang
menudungi rambutmu

akan kujahit bayu gunung
menjadi baju
pakaian malammu

akan kupetik bintang timur
menjadi kerongsang
menyinari dadamu

akan kujolok bulan gerhana
menjadi lampu
menyuluhi rindu

akan kurebahkan matahari
menjadi laut malammu
menghirup sakar madumu

kekasih,hitunglah mimpi
yang membunuh realiti
dengan syurga ilusi...


SN Usman Awang



Jika jiwa sehebat M Nasir akan jiwa tuliskan lirik lagu sehalus lirik lagu Sentuhan Listrikmu..

Sentuhan Listrikmu

Bisakah aku bertanya padamu
Dari mana datang sayang ini
Dari redup matamu
Atau bisikan mesra

Adakah kerna sentuhan listrikmu
Membuat ku terus berjanji
Hati ini hanya untukmu saja

Sentuhanmu bukan datang dari
Dunia materi
Terasa ini pernah mengusikku
Bagai de javu

Ku rindu sentuhanmu
Ku damba sentuhanmu
Tiada lain yang ku inginkan
Hanyalah
Hanya sentuhanmu

Sentuhan Listrikmu
Lagu dan Lirik oleh M. Nasir © 1993
Luncai Emas Sdn. Bhd.

Jiwa tidak sepuitis itu. Hanya sekalung kasih untuk isteri tersayang, surijiwa. Selamat ulangtahun kelahiran. Moga tercapai segala hajat dan impian. Moga kita tabah menghadapi ujian dan dugaan, bersyukur atas nikmat dan kurniaan, redha atas segala kekurangan.

Semoga kita kekal bahagia di dunia hingga ke akhirat.

Khamis, Januari 20, 2005

Selamat Hari Raya Korban

.

Masjid Ubudiah Bukit Chandan Kuala Kangsar


Esok kita akan merayakan Hari Raya Korban di Malaysia. Dulu, ibadah korban sering diadakan secara kecil-kecilan di kampung, dan mungkin hanya seekor dua lembu yang akan dikorbankan. Tetapi kini kita ibadah korban sudah membudaya dalam masyarakat. Di merata tempat ibadah korban dilangsungkan setiap tahun, bukan sahaja di kampung, malah di organisasi tempat kita bekerja juga ada dilakukan ibadah korban. Jumlah lembu dan kerbau yang akan ditumbangkan juga telah meningkat, sesuai dengan meningkatnya taraf hidup masyarakat.

Namun kadang-kadang penghayatan semangat korban itu semacam semakin menipis dalam masyarakat. Ibadah korban di sesetengah temapt bagaikan pesta membahagikan daging korban. Kita berebut membahagikan daging sembelihan kepada rakan-rakan dan saudara mara. Ada yang berebut mendapatkan tulang, dan ekor lembu untuk dibawa pulang. Memang ianya tak salah dari segi syarak. Daging korban memang untuk diagih-agihkan kepada umat Islam setempat dan boleh diambil sebahagian oleh empunya korban. Tapi bukan setakat halal haram yang patut diikut. Semangat dan roh korban itu yang perlu dihayati.

Alangkah baik nya jika kita melaksanakan ibadah korban dengan berebut-rebut dan bersungguh-sungguh mencari orang miskin dan fakir untuk diberikan korban itu. Cukuplah kita yang tiap-tiap hari mampu menikmati hidangan enak ini memberi laluan kepada mereka yang jarang-jarang dapat melihat makanan. Alangkah baiknya juga jika diambil inisiatif untuk menghantar daging korban sembelihan ini kepada saudara kita yang miskin dan memerlukan makan seperti kepada mangsa tsunami di Acheh atau di Sri Lanka.

Ada segelintir tokoh masyarakat pula menggunakan ibadah korban untuk mendapat political mileage, hinggakan ada acara menyerahkan lembu untuk korban kepada masyarakat. Panggil wartawan, orang ramai dan ambil gambar, lalu ditulislah pujian betapa murahnya hati si pemberi. Kadang-kadang tak nampak pula muka masa kerja korban. Sedangkan ibadah korban adalah ibadah individu, dan lebih aula lagi jika kita sendiri yang menyembelih korban, dan membahagikan kesemua bahagian korban itu kepada orang fakir dan miskin.

Semoga kita dapat menghayati semangat Korban yang dilahirkan dari pengabdian Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim kepada Allah. Betapa cinta dan kasihnya Nabi Allah Ibrahim terhadap anaknya Ismail, tetapi oleh kerana itu arahan Allah untuk mengorbankan anaknya, ia harus dipatuhi. Cinta dan kasih kepada anaknya tidak boleh mengatasi cinta kasih dan kepatuhan kepada Yang Maha Pencipta.

Kasihnya kita kepada `kekasih' kita di dunia jangan sampai mengorbankan perintah agama.

Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua.

Isnin, November 22, 2004

Salam Syawal

.



Lama betul rasanya cuti hari raya tahun ini. Dari hari Sabtu ke hari Ahad. Kebetulan cuti tahunan pun masih berbaki lagi. Jadi apa salah nya jika cuti lama sedikit. Cuti Raya kali ini banyak dihabiskan di kampung menerima kunjungan sanak saudara. Seronoknya berhariraya bila dapat berjumpa sanak saudara dari jauh dan dekat. Bila lagi dapat berjumpa kalau tidak di Hari Raya.

Hari Raya keempat kami sempat menghadiri majlis kenduri kahwin di Felda Ijok, Selama. Selalu dengar nama tempat tu tapi kali pertama menjejak kaki. Kalau tak kerana ada kenduri dah tentu tak sampai ke situ. Felda Ijok agak jauh dari bandar, lebih kurang 50km dari bandar Taiping. Sepanjang perjalanan, pemandangan hutan yang menghijau apabila melalui pinggir Hutan Simpanan.

Hari yang sama juga kami bertolak ke KL kerana menemankan isteri menghadiri mesyuarat di Jalan Kg Attap. KL masih dalam suasana hari Raya walaupun sudah hari raya kelima. Susah juga nak cari kedai makan di malam hari. Banyak kedai makan yang masih tutup sempena Raya. Juara Tomyam tutup. Akhirnya makan sup mamak kat Jalan Doraisamy. Macam-macam sup ada. Tempat tu memang tempat lepak saya masa bujang dulu. Entah apa yang menariknya, saya pun tak tahu. Tapi yang pasti gerai mamak tu memang sentiasa penuh di waktu malam. Nak parking pun susah. Teringat rutin masa bujang dulu mengunjungi kedai mamak tengah malam buta. Sebut sahaja kedai mamak, di PJ, Bangsar atau KL, semuanya pernah kami kunjungi.

Keesokan harinya teringinlah pulak berjalan kaki di KL. Kalau masa dulu semasa mula bekerja di KL, berjalan kaki di Bandar memang menyeronokkan. Lagi pulak kalau berjalan tak ada tujuan. Semasa bekerja di KL dahulu, saya juga biasa berjalan kaki dari pejabat di Jalan Raja Chulan ke Bangkok Bank hampir setiap hari. Kadang-kadang jalan kaki lagi cepat dari menaiki kenderaan awam.

Tapi semenjak bekerja di Ipoh, jarang sangat sanggup berjalan kaki sejauh itu. Orang Ipoh mana ada parking kereta jauh-jauh. Kalau ikutkan hati, kereta pun kalau boleh nak parking sebelah meja.

Hari itu, berjalan kaki dari hotel di Jalan Kg Attap ke Pasar Seni pun dah rasa letih dan lenguh kaki. Kemudian naik LRT ke KLCC. Biasalah, lebih dua jam memerap di Kinokuniya dan hampir senget bahu membawa balik buku yang dibeli.


Sesekali berkunjung ke KL di musim Raya, menarik juga.

Jumaat, November 12, 2004

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

.


Ucapan di atas saya tujukan kepada semua rakan dan taulan yang sudi berkunjung ke blog ini.

Sesungguhnya, jangka masa beberapa bulan ini telah memperkenalkan saya dengan ramai rakan yang selayaknya saya panggil sahabat. Andalah sahabat saya, kerana hanya sahabat yang sudi berulang ziarah ke rumah sahabatnya yang lain. Tak jemu bertandang walaupun adakalanya hidangan tuan rumah tidak menepati selera dan sering juga teguran tidak bersapa. Terima kasih kepada semua yang sudi bertandang, sudi memberi teguran, pandangan dan panduan.

Menjelang Syawal yang mulia ini izinkan saya memohon maaf andai ada tingkah dan kata yang mengguris hati, andai ada tulisan dan pandangan saya yang menyentuh jiwa dan menggugah rasa. Niat di hati ingin menghulurkan tangan memohon kemaafan, namun apakan daya tak terjangkau tangan ini ke alam maya.

Saya doakan semoga amal kita sepanjang Ramadan ini diterima Allah dan semoga kita akan berjumpa semula dengan Ramadan yang akan datang.

Selamat berhari raya bersama keluarga, selamat bercuti, selamat pulang dan selamat kembali dan berhati-hati di jalanraya.

Kita berjumpa lagi di alam maya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails