Memaparkan catatan dengan label buku baru. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label buku baru. Papar semua catatan

Rabu, Januari 06, 2010

Menjenguk Fajar Ilmu Baru




Lama benar saya tidak ke Fajar Ilmu Baru, toko buku yang banyak menjual buku-buku yang diimpot dari Indonesia. Kedai buku yang terletak di Tingkat Dua, Wisma Yakin ini sentiasa menjadi tempat yang menarik buat para peminat buku. Koleksi bukunya sungguh banyak berbanding kedai buku lain di negara kita.

Bila mendengar Kedai Buku Gramedia mahu membuka cawangan di negara kita, saya rasa sangat gembira kerana mengharapkan dapat mencari buku-buku dari Indonesia. Malangnya Kedai Buku Gramedia di Malaysia tidak banyak menyimpan stok buku-buku dari Indonesia. Saya berpendapat, Fajar Ilmu Baru masih lagi jauh mendahului Kedai Buku Gramedia. Fajar Ilmu Baru tetap pilihan utama saya mencari buku dari Indonesia, selain Kedai Buku Alam Raya di Jalan Pahang Barat.

Pagi tadi saya sempat ke Fajar Ilmu Baru, sebelum bergegas ke lapanganterbang kerana pesawat ke Kuching berlepas jam dua petang. Pagi tadi Fajar Ilmu Baru dibuka jam sebelas pagi, jadi saya hanya ada meluangkan masa sejam memilih buku.

Koleksi buku di toko ini sudah banyak bertambah. Saya lihat bahagian novel dan sastera sudah bertambah. Banyak buku Pramoedya termasuk kuartet Buru. Saya beli buku Panggil Aku Kartini Saja, Arok Dedes dan Memoir Pramoedya yang ditulis oleh adiknya Koesalah Toer dan Soesilo Toer. Saya beli juga buku puisi Chairil Anwar bertajuk Debu Campur Debu juga Nyanyi Sunyi karya Amir Hamzah.

Saya juga berjumpa buku  Babad Tanah Jawa, Babad Demak dan Ramayana yang memang dalam senarai pilihan tetapi mungkin akan saya beli di lain waktu.

Saya mencari buku Tahafut al-Falasifah karya Al-Ghazali malangnya buku itu sudah lama tiada dalam stok di toko buku ini. Sebagai ganti saya beli buku Tahafut al-Tahafut karya Ibn Rush yang ditulis menjawab buku Tahafut al-Falasifah.

Saya juga beli buku Tren Pluralisme Agama tulisan Dr Anis Malik Thoha dan Bahaya Pluralisme Agama tulisan Adian Husaini. Saya bertanyakan Islamia terbaru. Nasib saya baik, pemilik toko sudi memberikan naskah terakhir yang beliau sedang baca kerana sudah kehabisan stok.

Satu perkara yang saya hormat dengan pemilik toko Fajar Ilmu Baru ini ialah mereka adalah peminat buku yang tahu banyak tentang buku. Saya terdengar perbualan telefon dengan seorang dari pelanggan yang memang memanggil bertanyakan tentang buku Futuhat al- Makkiyah karya Ibn Arabi. Tanpa merujuk ke senarai atau ke komputer langsung diberitahu yang buku itu tiada terjemahan di dalam bahasa Indonesia. Yang ada cuma versi bahasa Arab yang mempunyai sembilan jilid.

Walaupun sebentar, kunjungan ke Fajar Ilmu Baru tidak mengecewakan, Pemiliknya memberitahu saya yang beliau akan memesan lebih banyak buku Pramoedya. Beliau menunjukkan senarai 13 judul buku Pramoedya yang akan beliau pesan.

Saya keluar dari Fajar Ilmu Baru hari ini, dengan poket yang menipis tetapi  berganti dengan beg yang bertambah berat pulang ke Kuching.



Isnin, April 20, 2009

Pesta Buku Antarabangsa KL 2009

.
Pesta Buku Antarabangsa KL 2009


Malam ini, saya tidur berselimutkan buku-buku baru...



Kesempatan ke Pesta Buku Antarabangsa KL saya gunakan untuk membeli buku buku berikut;

Gerai Al Ameen
1. Ketupat Cinta - Faisal Tehrani
2. Rawa - Isa Kamari
3. Memeluk Gerhana -Isa Kamari

Gerai Crescent
4. Saya Pun Melayu - Zaid Ibrahim ZI Publications

Gerai ITNM
5. Politik Baru Saifuddin Abdullah –ITNM
6. Jiwa Hamba Usman Awang – ITNM

Gerai Gerak Budaya
7. Harimau! Harimau! - Mochtar Lubis
8. Saya Ingin Lihat Semua Ini Berakhir - Esei dan Wawancara dengan
Pramoedya Ananta Toer - August Hans den Boef dan Kees Snoek
9. Syair Nasib Melayu – Tenas Effendy

Gerai Karangkraf
10. Revolusi Yang Ditangguhkan- Shahnon Ahmad

Gerai Nufair
11. Telaga Budi - Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
12. Bidadari Dari Timur - Tuan Sabariah Tuan Ishak
13. Kemilau Peribadi Nik Abdul Aziz Nik Mat - Anbakri Haron & Shukor Haron

Setakat hari ini, saya sudah selesai baca no 4 dan 9. Sedang baca no 2 dan rasanya hujung minggu ini boleh selesai 12 dan 13.

Selasa, Oktober 28, 2008

Jiwa Hamba - terbaru dari Azizi Abdullah

Jiwa Hamba

Buku Baru:
Sudah Terbit Sebuah lagi Tulisan Azizi Abdullah, Terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Sebuah Buku Kritikan Adat Di Antara Yang Menyebabkan orang Melayu Mundur.

Pedas! Berani! Berterus Terang!

Nama Buku : JIWA HAMBA
Penulis : Azizi Hj. Abdullah
Penerbit : Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Tebal : 168 muka
Harga : RM15.00 (Termasuk pos)

(Pesan kepada Azizi Hj Abdullah, 424 Taman Bersatu, 09000 Kulim Kedah, HP 012 4396060. E-Mail: tukya_azizi1426@yahoo.com.my.)

Bayaran mestilah dijelaskan melalui Kiriman Wang atas nama Azizi bin Abdullah.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails