Memaparkan catatan dengan label emba. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label emba. Papar semua catatan

Sabtu, Mei 27, 2006

25 Mei 2006 Shah Alam

.

Ada banyak sebab orang melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana. Kepada yang mengajar di pusat pengajian tinggi, mempunyai ijazah sarjana adalah prasyarat untuk menjadi pensyarah. Bagi yang sedang bekerja, ia mungkin akan membuka peluang untuk kenaikan pangkat, atau setidak-tidaknya boleh mengintai peluang di tempat lain yang lebih bagus.

Saya mendaftar diri untuk program MBA di hujung tahun 2003, kerana keinginan yang tinggi untuk mencari idea baru pengurusan dan mahu revisit semula teori-teori pengurusan yang dipelajari semasa peringkat ijazah dahulu. Bukan niat mahu meminta dinaikkan pangkat, tetapi kalau sudah rezeki, tidak ke mana jua. Alhamdulillah.

Belajar di hari minggu, Sabtu dan Ahad selama dua tahun bukan sesuatu yang menyeronokkan jika kita tidak ada motivasi diri dan keinginan untuk mencari dan berkongsi ilmu. Begitu juga bersengkang mata menyiapkan tugasan. Apatah lagi jika sudah berkeluarga dan beranak pinak. Mulanya memang ramai yang merungut. Tetapi, apabila berakhirnya kuliah di akhir tahun lepas, ramai pula rakan yang mengeluh, kerana sudah tidak ada aktiviti di hujung minggu.


Tahniah kepada semua rakan-rakan EMBA kampus Ipoh yang telah merasa `memakai jubah' di Dewan Sri Budiman Khamis lepas. Walaupun ramai rakan-rakan yang rambut dah beruban, atau segan nak tumbuh, tetapi keazaman kuat membuktikan, ilmu boleh dituntut tanpa mengira usia.

Sekalung budi untuk Suri, Mak, Abah dan adik-adik yang hadir bersama. Terima kasih atas doa, sokongan dan kata perangsang.

Saya baru sedar yang blog ini lahir tidak lama selepas saya memulakan pengajian. Sudah hampir dua tahun rupanya usia blog ini.

Isnin, Oktober 25, 2004

Kelas di bulan puasa

.



Berbanding subjek yang lepas, subjek Managerial Economics kali ini begitu memenatkan. Yang pertama, kerana banyak teori perlu difahami dan juga pengiraan perlu dilatihtubi. Keduanya, kami terpaksa menghadiri kelas setiap hujung minggu dalam bulan puasa!

Kali ini dirasakan bagai tak cukup masa mengejar deadline. Belum sempat siap assignment Demand Theory, dah datang assignment Regression Analysis. Itu belum lagi ujian, Case Study dan presentation. Semuanya perlu disiapkan dalam masa kurang dari sebulan!

Pensyarah turut hairan dengan jadual yang ketat. Beliau terpaksa berulang-alik dari Shah Alam ke Ipoh setiap minggu. Mungkin kerana ingin disesuaikan dengan cuti Hari Raya, Fakulti telah mengubah jadual yang sepatutnya selang seminggu menjadi tiap-tiap minggu.

Beliau mengingatkan kami supaya bekerja keras, kerana memang begitulah rutin EMBA, perlu banyak diskusi dan latihan memandangkan kami semua bekerja sepenuh masa.

Beliau mengingatkan juga, itu adalah pilihan kami sendiri, untuk menyambung pelajaran. Jadi, kami harus banyak berkorban. Berkorban masa cuti hujung minggu, berkorban masa rehat malam hari, berkorban tak dapat menghadiri banyak program keluarga dan peribadi.

Memang benar, saya sendiri, dengan dorongan isteri, telah membuat keputusan mengeluarkan wang simpanan untuk membayar yuran pengajian. Bukan mengejar kenaikan gaji, atau ingin mencari kerja lain, kerana saya sudah selesa dengan kedudukan sekarang. Kalau ada rezeki, itu cerita lain. Niat di hati hanya ingin menambah ilmu, melawat kembali teori perniagaan dan pengurusan yang pernah dipelajari semasa mengambil ijazah dahulu dan berkongsi pengalaman dengan pensyarah dan rakan-rakan pelajar yang datang dari industri yang pelbagai.

Sabtu lepas, ramai yang berbuka di kelas, kerana kelas tamat pukul 6.30 petang. Kami yang duduk sekitar Ipoh, sempat balik ke rumah, namun bagi yang tinggal jauh seperti Sri Manjung, Tapah dan Teluk Intan terpaksalah berbuka di kelas atau dalam perjalanan, sesuatu yang jarang berlaku di Ipoh.

Kali ini juga, tak dapatlah saya balik berbuka di kampung pada setiap hujung minggu, dan tak dapat juga memanjakan diri membaca akhbar, majalah dan buku di depan TV dan melelapkan mata sambil menunggu waktu berbuka, bagai rutin tahun lepas.

Tak mengapalah. Berkorban sikit.

Sabtu, Ogos 21, 2004

Organizational Behaviour - 21 Aug 2004


IF YOU ARE LIKE A WHEELBARROW, GOING NO FURTHER THAN YOU ARE PUSHED, THEN DO NOT APPLY FOR WORK HERE.



- a sign at a factory employment gate many years ago...

Selasa, Ogos 10, 2004

Organizational Behaviour - Minggu 1



    Hujung minggu lepas merupakan antara minggu yang sangat menarik sepanjang kelas yang saya hadiri. Kami mendapat pensyarah yang bagus. Dr Fauziah merupakan Timbalan Dekan di Fakulti. Memang beliau seorang berpengetahuan tinggi. Dr Fauziah banyak melontarkan persoalan yang mencabar pemikiran kami. Kelas riuh dengan perbincangan dan pertukaran idea yang mengalir laju.

    Subjek kali ini ialah Organizational Behaviour ataupun Kelakuan Organisasi. Ini antara subjek yang saya minat. Belajar antara lain mengenai tabiat manusia, belajar mengenai budaya organisasi dan pengurusan konflik.

    Telah mendapat tugasan. Antara yang menarik adalah satu soalan yang mudah iaitu

    `Do women or men make better managers?'

    Memang nampak mudah tetapi pensyarah mengingatkan jawapan perlu disokong dengan rujukan dari kajian empirikal. Perlukan rujukan dari jurnal dan kajiselidik. Pesan Dr Fauziah lagi, jangan suka buat `ASSUMPTION' dan `GENERALISATION'

    Hati saya kembali berbunga. Jiwa rasa lebih bersemangat.

    Selasa, Ogos 03, 2004

    Haruskah diteruskan...


    ..

    Akhirnya Sabtu lepas berakhirlah kelas Financial Resources Management selepas sebulan lebih berjerih payah menyiapkan assignment dan test.

    Terus-terang, subjek ini cukup meresahkan saya. Bukan subjeknya yang sukar tapi metodologi pensyarah yang mengajar dan melayan kami bagai pelajar diploma yang meresahkan. Saya sangkakan zaman menghafal formula untuk peperiksaan sudah berlalu. Saya jangkakan apabila mengambil MBA kita ditekankan tentang peri penting nya pemahaman konsep asas sesuatu perkara dan bagaimana kita gunakan konsep baru dalam kerja harian.

    Namun, itu tidak berlaku dalam modul ini. Kena hafal banyak formula. Masa degree dulupun tak macam ni. Selalunya formula diberi semasa peperiksaan. Pemarkahannya pun terlalu rigid. Salah satu semua salah. Syllabus bagi subjek ini juga bagaikan syllabus diploma. Tidak ada perkembangan baru dalam dunia bisnes yang dapat dipelajari. Saya menggunakan buku yang sama yang isteri saya gunakan hampir sepuluh tahun lepas! Saya menyangka saya akan belajar mengenai produk baru kewangan di pasaran, tapi hampa.

    Berlainan dengan subjek sebelum ini, banyak perkembangan baru di dunia korporat yang dipelajari. Menghadiri kelas tidak menjemukan, kerana kita berkongsi pengalaman di syarikat masing-masing, dan pensyarah juga sangat menghargai pendapat pelajar. Kelas menjadi hidup dengan pertukaran idea bernas berdasarkan pengalaman benar di syarikat masing-masing. Ada banyak idea baru yang tiada dalam buku teks tetapi telah diamalkan dengan jayanya di dunia bisnes.

    Saya tak tahu samada saya boleh lulus modul ini. Yang pasti, tidak secemerlang tiga subjek yang lepas. Kali pertama dalam sejarah mengambil peperiksaan, saya tak boleh tumpu perhatian masa menjawab. Tak ada keyakinan langsung. Tak yakin pada diri, juga tak yakin pada pensyarah. Mungkin rasa hormat yang kurang dan tak puas hati pada pensyarah menyebabkan saya tidak dapat menjawab dengan baik, tak berkat agaknya.

    Terbuku rasa geram dan marah pada pensyarah. Mula mempersoalkan standard pensyarah yang akan datang. Kalau apa yang dipelajari sama macam program diploma atau ijazah, apa perlu mengambil MBA lagi.

    Ada kalanya timbul pula rasa sesal dan bebal mengambil MBA ini. Sudah lah terpaksa menghadiri kelas hujung minggu, keluarkan duit EPF pula tu. Saya terpaksa korbankan masa santai hujung minggu dan menangguhkan program bercuti. Korbankan juga hobi membaca saya. Banyak buku yang dibeli tak sempat dihabiskan. Saya tahu isteri saya mula rasa bosan melihat saya telah menukar hobi daripada membaca buku kepada mengumpul buku.

    Hujung minggu ni bermula modul baru, Organizational Behaviour.

    Haruskah saya teruskan.... Tak tahulah....

    LinkWithin

    Related Posts with Thumbnails