Memaparkan catatan dengan label umrah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label umrah. Papar semua catatan

Jumaat, Julai 07, 2006

Umrah & Ziarah - Sekitar Madinah

Rabu, 26 April, 2006


Kami berada di Madinah Munawarah tidak lama, hanya tiga hari. Hari kedua di Madinah kami dibawa melawat tempat bersejarah sekitar Madinah.

Tempat pertama yang kami singgah ialah Masjid Quba’. Masjid ini merupakan masjid pertama dibina rasulullah sewaktu hijrah dari Mekah ke Madinah. Solat di masjid ini dikatakan sama pahalanya dengan pahala umrah.

Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa telah bersuci (berwudhu) di rumahnya, kemudian mendatangi Masjid Quba' lalu solat didalamnya dua rakaat, maka baginya sama dengan pahala umrah.”(Sunan Ibn Majah)

Free Image Hosting at www.ImageShack.us
Masjid Quba

Dari luar, masjid ini kelihatan biasa sahaja., berwarna putih. Di luar masjid ini ramai penjual berniaga dengan membentang kain di tepi jalan.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us


Selesai solat di masjid Quba kami di bawa ke ladang kurma. Kebetulan kami datang bukan pada musim buah, jadi kami tidak berkesempatan untuk memetik buah kurma dari pokoknya. Namun, kesempatan diambil untuk membeli buah kurma di kedai di ladang tersebut. Harga buah kurma di sini sangat murah berbanding di Mekah, Kurma Ajwa yang dikenali sebagi kurma Nabi boleh dibeli dengan harga dalam lingkungan RM40 ke RM80 bergantung kepada kualiti. Kalau di Mekah, harganya mungkin boleh mencecah sekali ganda kerana kebanyakan kurma di Mekah dibawa dari Madinah.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us
Pasar Kurma

Macam-macam jenis kurma dan buah-buahan lain ada di jual di sini. Ada kurma yang berisi buah gajus dan kacang-kacang lain, ada kacang pistachio. Ada juga dijual cokelat yang berisi kurma. Kami membeli beberapa kilo kurma Ajwa dan juga cokelat untuk dibawa pulang. Di dalam kepala sudah berfikir, apa mahu dibeli untuk saudara-mara dan juga rakan di pejabat.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us
Bukit Uhud

Selesai membeli belah, kami dibawa pula ke menuju ke destiansi seterusnya iaitu Bukit Uhud. Jabal Uhud terletak di sebelah utara Madinah. Rasulullah pernah bersabda “Sesungguhnya Uhud adalah gunung yang mencintai kita dan kita pun mencintainya” (shahih Muslim).

Di sinilah tempat berlaku peperangan yang penting di dalam Islam iaitu perang Uhud. tempat inilah terjadinya perang Uhud, di mana ramai sahabat rasulullah telah korban syahid. Antaranya ialah Hamzah, iaitu bapa saudara Nabi. Ketika di sini saya seakan teringat kembali kisah Hamzah dan Perang Uhud yang sering emak ceritakan semasa saya masih kecil. Seakan tergambar kembali buku cerita yang emak selalu gunakan untuk bercerita tentang para sahabat.

Perang Uhud menyaksikan para sahabat begitu bersemangat setelah menang melawan musyrikin Mekah dalam Perang Badar, walaupun bilangan orang Islam sangat sedikit. Perang Uhud menyaksikan umat Islam tewas setelah para pejuang pemanah turun dari Bukit Uhud. Perang Uhud banyak memberi pengajaran dan pendidikan kepada umat Islam, terutama soal taat setia kepada kepimpinan juga tentang strategi perang.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us
Perkuburan Syuhada Uhud

Di kaki Bukit Uhud inilah para syuhada dikebumikan. Ianya dipagari pagar besi dan dihiasi dengan papantanda berbagai bahasa yang menerangkan tentang makam ini. Papantanda juga mengingatkan pengunjung supaya tidak melakukan perkara khurafat.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us
Perkuburan Syuhada Uhud

Sebenarnya Bukit Uhud ini sudah seperti sebuah busut sahaja kerana kelilingnya telah diterangkan untuk projek pembangunan. Tak tahulah projek apa yang akan dilaksanakan oleh kerajaan Saudi. Ternyata, sudah banyak tinggalan sejarah di Mekah dan Madinah yang telah dimusnahkan untuk memberi laluan kepada pembangunan.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us
Masjid Qiblatain

Dari Bukit Uhud, kami ke sebuah lagi Masjid iaitu Masjid Qiblatain. Dinamakan sedemikian kerana masjid ini mempunyai dua qiblat. Sebelum difardukan mengadap ke Kaabah, umat Islam solat mengadap ke Baitul Maqdis. Diceritakan, firman Allah yang menyeru supaya umat Islam solat mengadap kiblat diturunkan semasa Rasulullah sedang solat Zuhur di masjid ini. Lalu Rasulullah dan para sahabat terus berpaling mengadap Kaabah.

Dari jauh bentuk masjid ini hampir serupa dengan Masjid Quba, kerana berwarna putih. Sekarang, kawasan mihrab yang mengadap ke Baitul Muqaddis telah ditutup, kerana ada pengunjung yang solat mengadap ke situ.

Kami kemudiannya melalu kawasan Masjid Al-Khandaq. Masjid ini didirikan di kawasan terjadinya perang Khandaq. Ianya juga dinamakan Masjid Tujuh kerana ada tujuh buah masjid didirikan di kawasan Khandaq ini. Setiap masjid itu mewakili penjuru umat Islam berkubu. Perang Khandaq adalah perang di mana seorang sahabat Salman Al Farisi telah memberi cadangan supaya didirikan parit atau khandaq untuk pertahanan dari musuh.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us
Masjid Al-Khandaq

Sebelum pulang ke hotel, kami singgah di Pasar Kurma yang menjual berbagai jenis kurma. Selain kurma, di tempat ini juga dijual coklat, kacang, kismis, buah zaitun, buah tin dan berbagai makanan yang diolah dari kurma. Kami beli-belah lagi. Ada yang menegur, belum sampai ke Mekah, sudah penuh beg dengan barang.

Kami pulang ke hotel penginapan, sebelum meninggalkan Madinah keesokan harinya untuk ke Mekah.

Sabtu, Jun 10, 2006

Umrah & Ziarah - Makam Rasulullah


Makam Rasulullah saw terletak di sebelah kiri Raudah. Sebenarnya Nabi dimakamkan di tempat baginda wafat iaitu di Rumah Aisyah. Ianya terletak di dalam Masjid Nabawi, betul-betul di bawah kubah masjid berwarna hijau tua yang sering kita lihat di gambar Masjid Nabawi.


Free Image Hosting at www.ImageShack.us


Selesai solat sunat d Raudah, saya terus ke pintu di bahagian hadapan Raudah dan terus menghala ke kiri untuk mengikut arus jemaah yang berpusu-pusu melalui depan Makam Nabi. Saya melalui Mihrab Nabi, yang dikerumuni ramai jemaah dan melihat macam-macam kerenah jemaah. Ada yang cuba menyentuh tiang di kawasan mihrab mungkin untuk mengambil barakah, kerana di situlah Nabi mengimami solat bersama para sahabat.

Kalau pada musim Haji, jemaah perlu melalui Babus Salam jauh di hujung sebelah kanan, melalui depan Raudah, lalu melalui makam Nabi dan keluar melalui Pintu Jibril. Saya mengikut arus untuk menghampiri Makam Nabi di sebelah kiri. Berdebar-debar hati, terasa seolah-olah ingin berjumpa nabi secara nyata. Memang ada riwayat yang Nabi boleh tahu siapa yang datang menziarahi baginda. Salam dari rakan-rakan juga peru disampaikan kepada Nabi.

Image Hosted by ImageShack.us

Apabila melalui hadapan Makam, jemaah akan menyampaikan ucapan salam kepada Nabi. Berdiri di depan Makam, pegawai penjaga yang akan memerhatikan dan dikawal oleh penjaga Makam., takut-takut ada yang melakukan perkara khurafat. Itulah saat yang ditunggu oleh para jemaah. Dari jauh saya sudah nampak dinding makam yang penuh dengan hiasan kaligarafi. Ada lubang kecil di dinding, yang sebenarnya bertepatan terus dengan wajah Nabi di makam.

Selawat dan Salam bergema Suasana di situ sungguh mengharukan. Tanpa dipaksa, lelehan airmata akan panas di pipi. Rasa haru mendatangi semua yang mendekati makam Nabi. Tidak kira siapa. Perasaan syukur dan berterima kasih, kerana telah telah terpilih sebagai umat Nabi Muhammad. Rasa kasih dan cinta kepada Nabi terasa mahu dihamburkan di situ.

Beberapa detik melalui Makam Nabi akan melalui makam dua sahabat Nabi, Abu Bakar As-Siddiq r.a. dan Umar bin Khattab r.a., yang terletak bersebelahan. Berada di Makam Nabi tidak boleh berlama-lama kerana sudah ramai yang menunggu di belakang. Polis Arab pula akan sentiasa memerhati, kalau ada yang berdoa menghadap Makam. Berdoa kepada Allah bukan kepada Nabi, tegur mereka. Jangan ada yang cuba memegang dinding makam, tentu akan ditegur.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Menziarahi Makam Nabi kali pertama terasa tidak puas, lalu ianya menjadi rutin saya setiap hari selama tiga hari berada di Madinah.

Selasa, Mei 23, 2006

Umrah & Ziarah - Raudhah

pintu masjid

Saya berjalan laju dari tempat solat menuju ke sebelah kanan masjid, mencari Raudhah. Maklumat saya tentang Raudhah sangat sedikit sebenarnya. Saya hanya tahu yang Raudhah itu adalah kawasan mihrab dan mimbar Nabi, dan di situlah tempat yang mustajab doa. Mujur juga saya sempat membeli buku di Madinah tentang Sejarah Madinah dan Masjid Nabawi.

Ada sebuah hadits yang di riwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahwa Rasulullah SAW bersabda, “Diantara rumah dan mimbarku adalah taman dari taman-taman syurga, dan mimbarku diatas telagaku”.
raudhah

Raudhah terletak antara makam Nabi dan mimbar Nabi, di sebelah kanan makam jika menghadap kiblat. Cara mudah untuk mengenal kawasan ini ialah dengan melihat permaidaninya yang berwarna hijau muda, berbeza dengan kawasan lain lain yang berwarna merah.

Raudah adalah kawasan yang tidak pernah sunyi dari pengunjung. Semua berebut-rebut mahu menempat diri di raudhah. Selalunya Raudaha penuh sesak dengan para jemaah. Saya diberitahu, setiap hari pukul 3 pagi, ramai yang sudah menunggu di pintu Masjid Nabawi. Apabila pintu terbuka sahaja, mereka akan masuk dan berlari laju menuju ke Raudhah!

Raudhah adalah tempat para jemaah berpesta doa, kerana taman syurga ini adalah tempat mustajab untuk berdoa. Namun begitu, bukan senang untuk mencari ruang untuk duduk atau solat, kerana setiap inci kawasan ini penuh dengan jemaah. Kena bijak memilih masa yang sesuai jika ingin ke sini.

Saya juga beruntung kerana bersama kami ada seorang ustaz yang tinggi ilmunya tentang sejarah Mekah dan Madinah. Ustaz Lah namanya. Dari beliau, saya tahu nama-nama tiang di Raudhah. Setiap tiang itu ada keistimewaannya dan banyak peristiwa bersejarah yang berlaku di tiang-tiang tersebut. Tiang Taubat sebagi contoh, adalah tempat di mana seorang sahabat, mengikat diri sehingga diturunkan ayat Al-Qur’an mengenai beliau. Ada juga tiang di mana Jibril pernah turun bertemu dengan Nabi.

Saya bersyukur, dapat beberapa kali duduk di Raudhah. Ya Allah, bayangkan perasaan saya, bila berada di kawasan di mana Nabi sering bersolat. Ada satu ketika saya dapat solat sunat betul-betul dibelakang mihrab, tempat Nabi dulu solat. Saya cuba bayangkan solat di belakang nabi. Ya Allah, rasa malu dan segan bila mengenang diri yang banyak dosa ini dapat solat di situ. Di Raudhah dan di makam Nabi, airmata begitu murah sekali. Saya cuba bayangkan bagaimana Nabi dan para sahabat berhimpun dan mendengar khutbah Nabi. Saya terbayang kisah tiang pokok kurma yang menangis, apabila Nabi mahu menukarnya kepada mimbar yang baru. Airmata mana yang dapat ditahan bila satu demi satu kisah Nabi yang kita baca dan dengar dari kecil seolah dimainkan semula apabila berada di Raudhah.

Lebihlah terharu dan pilu bila mengenangkan keadaan umat Islam kini, bangsa Melayu khususnya yang sudah mula melupakan dan mengenepikan ajaran Nabi. Apa yang boleh saya jawab jika diandaikan Nabi bertanyakan khabar umatnya di tanahair tercinta?



Khamis, Mei 18, 2006

Umrah & Ziarah - Masjid Nabawi

.
Jarak hotel kami ke Masjid Nabi lebih kurang 80m. Yang menariknya di Mekah dan Madinah, apabila azan dilaungkan, kita masih sempat bersiap untuk ke masjid. Solat di sini lazimnya, hanya akan didirikan, lebih kurang 15 ke 20 minit selepas azan.

Perkuburan Baqi'

Untuk ke Masjid kami menyusuri panas terik. Panas tetapi anginnya nyaman. Di sebelah kiri kami ialah Perkuburan Baqi', tempat lebih dari 10,000 sahabat Nabi, isteri Nabi dan tabiin dikebumikan. Kubur di sini sangat ringkas bentuknya, hanya batu-batu nesan penanda kubur. Tiada batu nesan berukir dan tembok berhias seperti di negara kita.

Saya masuk ke Masjid melalui pintu di sebelah barat, lebih kurang 100 meter di sebelah kiri Makam Nabi. Ada hampir 100 pintu masuk ke Masjid Nabi.

Pintu Masjid

Kawalan keselamatan di Masjid Nabi agak ketat, beg yang dibawa masuk akan diperiksa, kadang-kadang poket pun kena diperiksa, jikalau ada menbawa kamera atau telefon tangan berkamera. Pernah sekali saya cuba seludup kamera di poket jubah. tak berjaya, kerana ditegur oleh polis penjaga pintu.

Saya melangkah kaki masuk ke masjid ketika takbir pertama dilaungkan. Ya Allah! Terpegun saya melihat keindahan senibina Masjid Nabawi. Besar dan megah. Syukur rasa hati bila dapat mengangkat takbir di Masjid yang mulia ini. Saya solat Zuhur hari itu dengan penuh rasa gembira kesyukuran. Akhirnya saya solat di Masjid Nabi! Masjid yang penuh sejarah dan pernah menjadi pusat pemerintahan dan perancangan Nabi dan Sahabat daalm menyebarkan Islam ke seluruh dunia. Selesai solat saya termenung melihat ke siling dan tiang-tiang masjid. Mata saya tidak berkelip melihat keliling. Masjid ini terkenal dengan banyaknya tiang-tiang besar menghias ruang solat. Sejuk dan nyaman berada di Masjid ini kerana ianya berhawa dingin sepenuhnya, yang disalurkan melalui lubang-lubang di kaki tiang-tiang tesrsebut. Permaidani merah sebagai sejadah menambahkan seri Masjid. Lampu-lampu kristal indah kelihatan tergantung megah di siling.

Masjid Nabi yang asal kecil sahaja. Ia didirikan di tempat, unta Nabi berhenti sejurus Hijrah dari Mekah. Luas asalnya 1,050 meter persegi sahaja, berdindingkan batu lumpur, bertiangkan batang pokok kurma dan beratapkan pelepah pokok kurma.

Masjid Nabi


Ianya telah diperbesarkan beberapa kali sepanjang zaman untuk menampung kebanjiran jemaah. Kali terakhir ianya telah diperbesarkan oleh King Fahd dari tahun 1988 hingga 1995. Kini ianya seluas 35,000 meter persegi. Saya solat di bangunan masjid yang diperbesarkan di zaman Raja Fahd. Jauh juga jika ingin berjalan dari situ ke Raudhah dan Makam Nabi.

Selesai solat, jamaah mula beredar. Maklum, di sini tiada wirid dan doa beramai-ramai seperti di Malaysia. Namun, setiap kali solat, pasti ada solat jenazah. Selesai solat sunat, mata saya melilau ke sebelah kanan masjid.

Di manakah agaknya Raudah dan Makam Nabi?

...bersambung

Rabu, Mei 17, 2006

Umrah & Ziarah - KL - Dhaka - Jeddah - Madinah

.
25 April, 2006
Walaupun penerbangan kami dari KLIA ke Dhaka tertangguh selama 10 jam, penerbangan ke Jeddah berjalan seperti dijadual. Kami tiba di Jeddah pukul 3 pagi waktu tempatan. Waktu Subuh di sini dalam pukul 4.30 pagi. Bas yang akan membawa kami ke Madinah sudah menunggu di luar lapanganterbang. Lapangan terbang Jeddah sangat sederhana saiz dan rekabentuknya. Sebesar lapangan terbang Subang, atau mungkin lebih kecil.

Kami meneruskan perjalanan sebelum berhenti di sebuah masjid di sebuah pekan kecil untuk menunaikan solat subuh. Selesai solat, sempat kami minum teh dan merasa sandwic Arab di kedai bersebelahan.


Perjalanan dari Jeddah ke Madinah sebenarnya boleh mengambil masa 4- 6 jam. Namun, perjalanan kami sengaja dilambatkan untuk sampai ke Madinah selepas waktu Zuhur. Kabarnya penginapan kami belum tersedia.

Jalan yang kami lalui dikatakan jalan yang Nabi ambil semasa berhijrah dari Mekah ke Madinah. Jiwa tersentuh bila melihat keadaan keliling yang dipenuhi dengan batu-batu dan padang pasir. Tak terbayang bagaimana susahnya Nabi dan para sahabat berhijrah semata-mata untuk memperjuangkan Islam. Nikmat Islam itu bukan datang dengan mudah, tetapi ramai umat Islam yang tidak menghargai nikmat Islam dan Iman yang telah mereka kecapi.

Kami berhenti beberapa kali. Jalan raya dari Jeddah ke Madinah sangat baik, sebaik lebuhraya Plus di Malaysia. Di sepanjang perjalanan juga banyak tempat persinggahan untuk berehat walaupun kebersihannya dan kemudahan yang tersedia boleh dipertingkatkan.

Kami sampai ke Bandar Madinah hampir pukul 12 tengahari. Besar juga Madinah Munawarah. Banyak kedai-kedai dan gedung sepanjang jalan. Bangunan tinggi kelihatan di merata tempat.


Madinah Munawarah adalah bandar Nabi. Apabila diperintahkan Allah Hijrah, Nabi telah menetap di Madinah sehingga ke akhir hayat baginda. Ketika penduduk Makkah menolak dakwah Nabi, penduduk Madinah telah menerima Nabi dengan penuh kasih sayang.

Bas kami sampai ke hotel penginapan ketika hampir masuk waktu zuhur. Azan dari masjid Nabawi kedengaran sejurus kami masuk ke bilik.

Kami bergegas bersiap untuk solat Zuhur di Masjid Nabawi. Hati saya berdebar-debar. Saya akan solat di Masjid Nabi!

Rabu, April 19, 2006

Bertamu ke Rumah Allah

.

Kalau ikut rancangan awal, saya tidak sempat ke Pesta Buku KL tahun ini. Tetapi takdir menentukan penerbangan kami yang sepatutnya 28 Mac ditangguhkan ke 24 April. Lalu sempatlah saya mencuri masa ke Pesta Buku semasa menghadiri mesyuarat penting di KL.

Ada beberapa buku yang sudah selesai saya baca tapi belum sempat saya tuliskan pengalaman saya membacanya. Antara yang menarik ialah buku memoir tokoh PKMM, Addul Majid Salleh, buku Crosscurrents tulisan Farish A Noor dan juga buku Patah Balek, himpunan artikel tulisan Fathi Aris Omar. Saya juga sedang membaca dua buah buku yang juga sangat menarik iaitu buku Mengembara Mencari Tuhan karangan Sheikh Nadim Al-Jisri juga buku Akulah Angin, Engkaulah Api tulisan Annemarie Schimmel. Buku Philip Kotler on Marketing pula saya jinjing setiap hari di dalm beg kerja untuk dibaca jika berkesempatan.

Saya sebenarnya terpaksa mengenepikan dahulu buku-buku di atas, kerana sedang menekuni beberapa buah buku lain. Buku-buku itu ialah Rahsia Mekah, Rahsia Madinah, Teman Tetamu Allah dan juga Falsafah Umrah. Membaca buku ini sudah tentu caranya berbeza dengan membaca buku-buku lain yang lebih santai sifatnya. Di masa yang sama saya juga mula membaca buku Prof Ahmad Shalaby Sejarah dan Kebudayaan Islam 1 & 2, mengulang baca sejarah kedatangan Islam ke dunia.

Buku-buku ini dibaca sebagai persiapan ke tanah kelahiran Nabi. Tak sabar rasanya ingin ziarahi makam Nabi tercinta, buat kali pertama. Kebetulan pula kita baru sahaja menyambut Maulidur Rasul. Kita sambut Maulidur Rasul tak lama selepas insiden karikatur menghina Nabi. Kesian sungguh mereka yang menghina insan yang sangat mulia. Lebih kesian, bila mereka yang menghina tidak kenal pun tokoh yang mereka hina. Kesian juga kepada mereka yang lebih hina kerana mengenepikan dan memperlekehkan ajaran Nabi, walaupun mereka mengaku umat Nabi.

Tak sabar juga melangkah kaki ke Tanah Suci dan menatap Rumah Allah buat kali pertama. Tak dapat saya bayangkan bagaimana agaknya pengalaman memandang kiblat yang kita hadapi setiap lima kali sehari!


Jiwa dan Suri akan bercuti mulai tanggal 24. Hari Jumaat dan Sabtu saya akan ke KL atas urusan kerja. Blog ini juga akan bercuti mulai Jumaat sehingga pertengahan bulan Mei. Doakan kami selamat dan sihat di sepanjang perjalanan pergi dan balik.


Kita berpisah seketika untuk bertemu semula, jika diizinkan oleh Nya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails