Memaparkan catatan dengan label wisma yakin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label wisma yakin. Papar semua catatan

Rabu, Januari 06, 2010

Menjenguk Fajar Ilmu Baru




Lama benar saya tidak ke Fajar Ilmu Baru, toko buku yang banyak menjual buku-buku yang diimpot dari Indonesia. Kedai buku yang terletak di Tingkat Dua, Wisma Yakin ini sentiasa menjadi tempat yang menarik buat para peminat buku. Koleksi bukunya sungguh banyak berbanding kedai buku lain di negara kita.

Bila mendengar Kedai Buku Gramedia mahu membuka cawangan di negara kita, saya rasa sangat gembira kerana mengharapkan dapat mencari buku-buku dari Indonesia. Malangnya Kedai Buku Gramedia di Malaysia tidak banyak menyimpan stok buku-buku dari Indonesia. Saya berpendapat, Fajar Ilmu Baru masih lagi jauh mendahului Kedai Buku Gramedia. Fajar Ilmu Baru tetap pilihan utama saya mencari buku dari Indonesia, selain Kedai Buku Alam Raya di Jalan Pahang Barat.

Pagi tadi saya sempat ke Fajar Ilmu Baru, sebelum bergegas ke lapanganterbang kerana pesawat ke Kuching berlepas jam dua petang. Pagi tadi Fajar Ilmu Baru dibuka jam sebelas pagi, jadi saya hanya ada meluangkan masa sejam memilih buku.

Koleksi buku di toko ini sudah banyak bertambah. Saya lihat bahagian novel dan sastera sudah bertambah. Banyak buku Pramoedya termasuk kuartet Buru. Saya beli buku Panggil Aku Kartini Saja, Arok Dedes dan Memoir Pramoedya yang ditulis oleh adiknya Koesalah Toer dan Soesilo Toer. Saya beli juga buku puisi Chairil Anwar bertajuk Debu Campur Debu juga Nyanyi Sunyi karya Amir Hamzah.

Saya juga berjumpa buku  Babad Tanah Jawa, Babad Demak dan Ramayana yang memang dalam senarai pilihan tetapi mungkin akan saya beli di lain waktu.

Saya mencari buku Tahafut al-Falasifah karya Al-Ghazali malangnya buku itu sudah lama tiada dalam stok di toko buku ini. Sebagai ganti saya beli buku Tahafut al-Tahafut karya Ibn Rush yang ditulis menjawab buku Tahafut al-Falasifah.

Saya juga beli buku Tren Pluralisme Agama tulisan Dr Anis Malik Thoha dan Bahaya Pluralisme Agama tulisan Adian Husaini. Saya bertanyakan Islamia terbaru. Nasib saya baik, pemilik toko sudi memberikan naskah terakhir yang beliau sedang baca kerana sudah kehabisan stok.

Satu perkara yang saya hormat dengan pemilik toko Fajar Ilmu Baru ini ialah mereka adalah peminat buku yang tahu banyak tentang buku. Saya terdengar perbualan telefon dengan seorang dari pelanggan yang memang memanggil bertanyakan tentang buku Futuhat al- Makkiyah karya Ibn Arabi. Tanpa merujuk ke senarai atau ke komputer langsung diberitahu yang buku itu tiada terjemahan di dalam bahasa Indonesia. Yang ada cuma versi bahasa Arab yang mempunyai sembilan jilid.

Walaupun sebentar, kunjungan ke Fajar Ilmu Baru tidak mengecewakan, Pemiliknya memberitahu saya yang beliau akan memesan lebih banyak buku Pramoedya. Beliau menunjukkan senarai 13 judul buku Pramoedya yang akan beliau pesan.

Saya keluar dari Fajar Ilmu Baru hari ini, dengan poket yang menipis tetapi  berganti dengan beg yang bertambah berat pulang ke Kuching.



Sabtu, Julai 01, 2006

Dulu Pustaka Indonesia, Kini Fajar Ilmu Baru

.



Peminat buku berbahasa Melayu tentu sudah biasa sangat dengan Pustaka Indonesia. Kedai buku yang terletak di Tingkat 2 Wima Yakin, berhadapan dengan Masjid India, Kuala Lumpur.

Saya ada tulis tentang Pustaka Indonesia di sini dan di sini.

Nama kedai buku ini sudah ditukar kepada Fajar Ilmu Baru. Mungkin untuk membezakan dengan sebuah lagi kedai di tingkat bawah yang juga bernama Pustaka Indonesia. Walaupun namanya sudah bertukar, kedai buku ini masih kekal sebagai pengimpot dan pembekal utama buku-buku lslam dan umum dari Indonesia.

Ada perkemabangan yang menarik. Kedai buku ini sudah ada laman web sendiri! Kini pembeli boleh memesan terus di talian. Berita yang sangat menggembirakan untuk peminat buku macam saya yang duduk jauh dari ibukota!

Selamat melayari Laman web Fajar Ilmu Baru di sini

Khamis, November 10, 2005

Karam di lautan buku & ilmu


Seminggu sebelum cuti Raya saya ke Kuala Lumpur. Menghadiri kes di Mahkamah Perusahaan. Belum pukul 12 sudah habis. Sempatlah ke Pasar Budaya, tempat lepak masa muda-muda dulu. Kemudian ke Wisma Yakin. Dah banyak berubah tempat tu. Tambahan lagi banyak orang berniaga sempena kedatangan Syawal.

Saya ke Wisma Yakin kerana satu tujuan. Ingin ke Pustaka Indonesia, sesatunya gedung buku bahasa Melayu Indonesia yang mengumpulkan banyak buku terjemahan dari Indonesia. Terletak di Tingkat 2 Wisma Yakin. Kali terakhir saya ke Pustaka Indonesia ialah tahun lepas, beli 9 buku berharga RM200 lebih sedikit sahaja.

Kebetulan kali ini saya beli 9 buah buku juga berharga kurang dari RM300. Buku yang dijual di kedai buku ini agak berlainan dari buku yang dijual di kedai buku ternama. Yang pertama, semua bukunya di dalam Bahasa Melayu Indonesia yang kebanyakannya adalah terjemahan dari buku bahasa Inggeris atau bahasa Arab. Harganya pula murah, hanya sepertiga dari buku dalam bahasa asal. Kebanyakan buku asal dalam bahasa Inggeris sukar dicari di pasaran tempatan. Kalau teringin juga, kena beli di Amazon dot com.

Di sini saya akan tenggelam dalam buku-buku karya penulis Indonesia seperti Pramoedya Ananta Toer, Nurcholish Majid atau Jalaludin Rahmat. Minda akan rasa tercabar dengan pemikiran reformis seperti Iqbal, Ali Shariati, Fazlur Rahman, Hassan Hanafi.

Saya akan tenggelam dalam lautan puisi mistik Jalaludin Rumi dengan Mathnawi atau Ruhi Ma Fihi nya dan Fariduddin Aththar dengan Manthiq At-thair nya.

Di sini juga anda akan berjumpa buku terjemahan tulisan Seyyed Hossein Nasr, Khalil Gibran, Thomas Kuhn, Francis Fukuyama, Bertrand Russell dan Edward Said dan Karen Armstrong, sekadar menyebut beberapa nama. Kepada peminat buku fiksyen, jangan terkejut kerana buku laris Dan Brown, Da Vinci Code juga sudah diterjemahkan dan dijual di sini.

Setiap kali ke sini, saya akan rasa tersentak, malu dan mungkin rasa rendah diri. Begitu banyaknya buku yang dibaca oleh rakyat Indonesia. Kalau tidak ada permintaan, mana mungkin ianya diterjemahkan ke bahasa Indonesia. Begitu banyak juga buku yang belum pernah saya lihat dan saya baca.

Setiap kali ke sini saya akan rasa segan dengan kearifan pekerja di kedai buku ini yang ternyata banyak membaca dan tahu kandungan setiap buku yang dijual di sini. Tanyalah apa sahaja mengenai buku, mereka akan mencadangkan buku yang sesuai. Jauh bezanya dengan pekerja sesetengah kedai buku kita. Bekerja di kedai buku tetapi tidak menghargai buku, tidak sayang pada buku dan ilmu, malah ada yang tak pernah baca pun buku di kedai temapt bekerja.

Setelah beberapa puluh buku saya belek dan pilih, saya terpaksa menyaring dan hanya membeli 9 buku seperti di bawah.

1. Nurcholish Majid, Kontroversi Kematian dan Pemikirannya - Adian Husaini
2. Cita-cita Islam – Fazlur Rahman
3. Menyingkap Yang Tersembunyi – Annemarie Schimmel
4. Aku Bagian Dari Fundamentalisme Islam - Hassan Hanafi
5. Akulah Angin Engkaulah Api - Annemarie Schimmel
6. Yang Mengenal Dirinya Yang Mengenal Tuhannya - Jalaludin Rumi
7. Untaian Kalung Merpati - Ibn Hazm Al-Andalus
8. Para Sufi Agung; Kisah & Lagenda - Mojdeh Bayat & M Ali Jamnia
9. Mengembara Mencari Tuhan - Sheikh Al-Jisri


Saya beli juga beberapa majalah Indonesia yang seperti Islamia dan Hidayatullah.

Sehingga pagi tadi, saya sudah selesai membaca 4 buku yang teratas. Kini sedang mula membaca Akulah Angin Engkaulah Api tulisan Prof Dr Annemarie Schimmel, bekas pensyarah Harvard yang banyak menulis dan mengkaji tentang Maulana Jalaludin Rumi dan Muhammad Iqbal.

Ahad, Julai 04, 2004

Pustaka Indonesia - Syurga dunia bagi peminat buku Bahasa Melayu

Rabu 30/6/04, saya bertemu satu tempat baru yang menakjubkan!

Bercuti sambil menemankan emak ke sesi rawatan di Hospital Putrajaya. Kemudian, temankan, Mak & Abah ke Mydin di Jalan Masjid India.

Selepas makan terus ke Wisma Yakin, mencari Pustaka Indonesia. Mulanya cuma melihat di kedai di tingkat bawah. Saya telah ditegur oleh tuan punya kedai dan membawa saya ke Tingkat 2 untuk melihat koleksi yang lebih banyak.

Saya sudah lama mendengar mengenai Pustaka Indonesia. Baca mengenai koleksi kitabnya yang banyak ditulis di forum di internet.

Fathi Aris Omar juga ada menulis satu artikel yang menarik di The Sun mengenai minat membaca masyarakat Indonesia dengan merujuk kepada jumlah buku terjemahan yang banyak di Pustaka Indonesia.

Saya benar-benar kagum dengan buku-buku yang saya jumpa!

Saya tak sedar yang saya telah habiskan masa lebih dua jam untuk melihat semua buku yang dipamirkan di kedai tersebut!

Saya benar-benar kagum dan hormat pada minat membaca masyarakat Indonesia. Bayangkan, saya jumpa beberapa judul buku karangan, Bernard Lewis, Edward Said, Seyyed Hossein Nasr, Fazlur Rahman dan banyak lagi yang telah diterjemah ke Bahasa Melayu Indonesia.

Buku-buku ini hampir mustahil boleh dicari di MPH atau Popular. Apalagi kalau ingin dicari di kedai-kedai buku di Ipoh ini. Saya rasa rendah diri bila memikirkan koleksi buku yang dijual di kedai-kedai buku di negara kita. Persoalannya, dimanakah tahap pembacaan masyarakat kita?

Kalau ikutkan kehendak hati memang banyak buku yang saya ingin beli. Akhirnya saya telah membeli 9 buah buku berharga lebih RM200. Yang pasti, saya akan datang lagi untuk mencari buku-buku lain!

------------------------------

Buku yang dibeli

1. Filsafat dan Praktik Pendidikan Islam Syed M Naquib Al-Attas - Wan Mohd Nor Wan Daud (terjemahan)

2. The Structure of Scientific Revolutions - Thomas S Kuhn (terjemahan)

3. Islam; Agama, Sejarah dan Peradaban- Seyyed Hossein Nasr (terjemahan)

4. Islam Intelektual; Teologi, Filsafat & Ma'rifat - Seyyed Hossein Nasr & William C Chittick (terjemahan)

5. Muhammad Iqbal Dalam Pandangan Para Pemikir Syiah - Ali Khamenei, Ali Syariati & Murtadha Muthahhari (terjemahan)

6. Sana'i, Attar, dan Rumi; Studi Komparatif
- JTP De Brujn, Muhammad Este'lami & John Cooper. (terjemahan)

7. Islam Agama Kemanusian - Nurcholish Majid

8. Kontroversi Pemikiran Fazlur Rahman, Studi Kritis Pembaruan Pendidikan Islam - Prof Dr H Muhaimin

9. Buku Ini Aku Pinjam / Tip Baca Buku - Dr Shalih Muhammad ArRasyid & Muhammad Shalih Al-Munajjid (terjemahan)

Terdetik dalam hati saya, apakah nasib penerbitan buku di Malaysia, khususnya yang berbahsa Melayu? Ke manakah arah kita?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails