Memaparkan catatan dengan label A. Samad Said. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label A. Samad Said. Papar semua catatan

Khamis, Februari 11, 2010

Keledang


Judul : Keledang
Pengarang : A Samad Said
Penerbit : Wira Bukit Sdn Bhd
Genre : Novel
Mukasurat : 171 halaman
Cetakan Pertama : 2007
ISBN : 9833922055
Kulit Keras


Membaca buku bagaikan kita memasuki satu dunia yang penuh keajaiban. Membaca boleh membawa kita ke zaman yang mustahil kita boleh pergi secara fizikal, tetapi berjaya dilakukan dengan imaginasi dan khayalan pembacaan.

Buku yang ditulis oleh penulis yang hebat akan membawa kita menjiwai dunia yang dicipta sehingga terasa benar-benar berada di dalamnya. Itulah perasan saya bila membaca karya tulisan Sasterawan Negara A Samad Said bertajuk Keledang.

Novel Keledang ini sudah agak lama saya beli. Sudah dua tahun. Saya beli sewaktu Pesta Buku Antarabangsa KL tahun 2008. Saya masih ingat bergambar bersama SN A Samad Said dan membeli sejumlah buku dari Helmy Samad di gerai Wira Bukit. Sudah nasib buku ini lambat bertemu jodoh dengan pembacanya setelah `bertunang' begitu lama.

Keledang meneruskan penceritaan SN A Samad Said tentang hidup pada zaman Jepun. Latarbelakang yang sama boleh dibaca dalam novel Sungai Mengalir Lesu dan Adik Datang. Novel ini bercerita tentang keadaan hidup di sebuah kampong yang menghadapi kekejaman penjajah Jepun.

Keledang melahirkan keresahan hidup orang-orang biasa yang kebebasannya diragut. SN A Samad Said begitu bijak sekali membina watak yang berbagai di dalam novel ini. Watak seorang isteri kehilangan suami dan anak-anak kehilangan bapa berjaya menimbulkan perasaan belas dan simpati pada pembaca. Kasihan anak-anak kecil yang tidak faham apa yang telah berlaku di zaman yang serba resah itu. Begitu juga watak seorang lelaki yang ditinggalkan isteri dan anak-anak betul-betul memberi pengajaran kepada diri yang hidup senang lenang di zaman ini.

Watak pengkhianat bangsa yang mengambil kesempatan di atas kesusahan umat juga amat berbekas kepada diri saya. Rupanya golongan pengkhianat ini wujud di setiap zaman. Sesetengah manusia memilih untuk mengejar kepentingan diri  dengan bergayut di pinggang penjajah. Mereka ini sanggup menjadi pembohong, pemeras dan menjadi talibarut penjajah yang menindas bangsa sendiri. Golongan ini suka mengambil kesempatan di atas kelemahan, kesusahan dan kekurangan pengetahuan orang kampung untuk menambun harta .

Zaman penjajahan Jepun memang zaman yang memeritkan. Keperitan hidup dan keresahan untuk meneruskan hidup. Saya tidak sempat merasa zaman Jepun, kerana saya lahir di awal era Dasar Ekonomi Baru, namun cerita susah payah zaman Jepun sering diceritakan oleh orang-orang tua dahulu. Hidup saya semas kecil juga dihabiskan dengan membaca buku cerita dan novel berlatarbelakangkan zaman penjajah Inggeris dan Jepun.

Membaca novel Keledang ini membawa semula kenangan saya semasa kecil. Satu demi satu novel-novel yang pernah saya baca lebih dari 30 tahun dahulu muncul semula dalam ingatan. Karya penulis ASAS 50. Saya tiba-tiba rasa rindu pada kampung juga kenangan bersama orang-orang tua yang kebanyakan sudah lama pergi meninggalkan saya. Arwah Tok Daud dan Tok Kulup, Opah dan Tok Enda. Hiburan kami dahulu, di waktu malam ialah mendengar Tok bercerita tenatang kisah hidup mereka di zaman Jepun. Zaman yang belum ada TV dan masih bertemankan pelita minyak tanah.

Wajah-wajah lain juga datang satu persatu. Wajah Mak dan Abah yang menjadi inspirasi dan pendorong untuk saya menjadi pembaca tegar sejak dari sekolah rendah lagi. Terbayang bagaimana resahnya saya menunggu Mak dan Abah pulang dari mengajar di sekolah dan membawa pulang buku-buku dari perpustakaan. Anak Abah ini sering merungut bila kehendaknya tidak dipenuhi. Menunggu Abah pulang dari pekan Sungai Siput membawa komik, majalah Bujal atau Beano, Utusan Pelajar dan Mingguan Kanak-Kanak. Masih saya ingat juga kenangan membaca buku-buku novel, politik dan agama dari almari buku Abah. Habis buku Kaum Muda saya hadam ketika sekolah rendah.

Aduh! Jauh benar diri ini dibawa mengembara. Begitulah hebatnya sebuah novel yang boleh membawa kita mengembara begitu jauh sekali melampaui zaman dan kembali mengundur diri ke zaman dahulu.

Sesekali, elok juga kita kembali membaca karya-karya sebegini di sebalik membaca buku-buku semasa yang bercerita tentang kisah-kisah yang molek di zaman ini.


© www.jiwarasa.blogspot.com (2004-2010)

Isnin, April 07, 2008

Seronoknya di Pesta Buku!

Kami tiba hampir jam 11 pagi dari Ipoh dan parkir sudah penuh. Hari Sabtu bukan hari yang sesuai ke Pesta Buku jika anda inginkan suasana aman dan tenteram. Dewan Pameran Utama penuh sesak terutama oleh pelajar-pelajar yang datang dengan rombongan sekolah.

Pesta Buku kali ini saya rasakan banyak peningkatan dari tahun sebelumnya. Banyak buku-buku baru yang dilancarkan sempena Pesta Buku. Gerai Institut Terjemahan Negara sebagai contoh mengejutkan saya dengan mempamerkan banyak judul-judul buku yang diterjemahkan ke bahasa Melayu. Jauh beza dengan tahun lepas. Buku Mortimer J Adler dan Malik Bennabi sudah diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Banyak yang saya berkenan tetapi sesak sangat dengan pengunjung.

Saya lebih gemar dewan di seberang sungai kerana kurang sesak dengan orang. Lagipun gerai yang saya cari-cari ada di sana iaitu, gerai penerbit universiti-universiti juga gerai IKAPI. Gerai pengedar buku Indonesia atau IKAPI mengecewakan saya kali ini, kurang buku dan harganya mahal. Mungkin buku baru belum sampai untuk dipamerkan.

Gerai PTS di sini memang jadi tumpuan. Saya suka konsep sudut meja taman di mana para penulis PTS sibuk mempromosi buku mereka. Saya lihat Mat Jan sibuk mengacarakan sesi bersama penulis sains fiksyen. Firdaus , Vovin, Zaki Zainol dan rakan-rakan.

Saya beli 3 buku baru di gerai PTS. Buku Rahsia Bisnes Mamak tulisan rakan blogger Elmaaniq dan penulis Zamri Mohamad.

Saya beli buku Buat Duit Dengan Terbit Buku Sendiri tulisan Nazrul Samsudin. Buku ini beliau terbitkan sendiri. Saya sangat suka dengan kulit bukunya.

Tokoh yang kontroversi Kassim Ahmad juga telah mengeluarkan memoir beliau yang terbaru bertajuk Mencari Jalan Pulang - Daripada Sosialisme Kepada Islam. Ini buku terbaru beliau yang tak sabar mahu saya baca.

Gerai Wira Bukit juga terletak di dewan pameran yang sama. Helmy Samad kelihatan sibuk melayan pengunjung. Jika ada hadiah untuk dekorasi gerai saya rasa gerai Wira Bukit patut dapat hadiah. Ada sofa selesa berlatarbelakangkan gambar pemandangan. SN Pak Samad mesra melayan para peminat beliau kecil besar tua dan muda. Saya beli buku 68 Soneta Pohon Ginkgo dan Keledang. Kedua-duanya bertandatangan SN Pak Samad.

Saya diperkenalkan oleh Helmy dengan Lina Usman Awang, anak SN Usman Awang yang gigih menerbitkan karya SN Usman Awang. Saya beli buku Turunnya Sebuah Bendera dan Tulang2 Berserakan.

Saya tertarik dengan sebuah gerai menjual buku dari Turki. Banyak buku Sufi dijual di sini. Saya beli buku Rumi's Thought tulisan Sefik Can.

Sebelum pulang saya ke gerai Ameen. Bertemu Faisal Tehrani dan Nisah Haron. Beli buku mereka berdua yang bagaikan kembar seiras. Tajuk dan desain buku hampir sama. Buku Karya Nan Indah dan Karya Kita Hak Kita.

Walaupun sekejap, ramai yang saya jumpa di Pesta Buku Kali ini. Terima kasih rakan-rakan yang menyapa. Bayan dan Ode, juga Azree Afriffin :)

Bertemu beberapa rakan sekampus yang lama tak berjumpa.

Terima kasih Iskandar yang hadiahkan CD-CD keroncong yang hebat! Sudah dengar dan terpesona dengan ketiga-tiga CD itu.

Bertemu Raja Ahmad Aminullah yang sudah memborong banyak buku. Terkilan tidak dapat menunggu untuk hadir ke Kata-Suara keesokan harinya.

Di The Mall terserempak dengan Haris Zalkapli. Rupanya kita senasib!

Sebelum pulang ke Midvalley. Terserempak pula dengan Peter Tan, rakan blogger yang gigih menulis tentang kisah OKU di Malaysia.

Kami pulang dan tiba ke rumah di Ipoh jam satu pagi. Banyak ratus juga habis dan susah hati mana nak letak buku yang baru dibeli! Macam kena beli rak buku baru!

Hari yang penat tetapi seronok!

Selasa, April 10, 2007

Dari Salina Ke Langit Petang

.
.


Judul : Dari Salina ke Langit Petang
Pengarang : A. Samad Said
Penerbit : Wira Bukit Sdn Bhd
Genre : Esei / Autobiografi
Mukasurat : 112 halaman
Cetakan Pertama : 2007
ISBN : 9834119669
Kulit Tebal



Membaca judulnya sahaja sudah dapat diteka apakah isi kandungan buku ini. Salina dan Langit Petang adalah antara judul buku tulisan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said. Salina merupakan masterpiece Pak Samad yang diterbitkan sewaktu beliau berumur 23 tahun. Langit Petang pula terbit agak kemudian. Sekali teka, sudah tentu buku ini tentang proses penulisan buku dari novel Salina hingga ke novel Langit Petang. Sudah tentu buku ini sesuai untuk para penulis, atau sesiapa yang bercita-cita mahu jadi penulis.

Sebenarnya buku ini tidak sekadar sesuai untuk penulis. Ianya juga patut dibaca oleh peminat buku. Pak Samad bercerita dengan penuh mesra tentang kisah hidup beliau. Saya asyik sungguh membaca kisah Pak Samad dan ibunya. Kata Pak Samad, keinginan beliau untuk menulis terdorong dari keinginan untuk bercerita yang diwaris dari ibunya. Ibu Pak Samadlah yang berjasa melahirkan seorang Sasaterwan Negara. Cerita Batu Belah Batu Bertangkup, Bawang Putih Merah adalah kisah yang diceritakan oleh Ibu kepada anaknya. Cerita sebegitulah yang telah menimbulkan daya imaginasi dan kreativiti yang kuat pada Pak Samad untuk menjadi seorang tukang cerita.

Buku ini diceritakan dengan penuh ikhlas dan mesra sehingga bagaikan menceritakan segala-gala yang peribadi buat penulisnya.

Bak kata Pak samad sendiri,

`Hampir tidak ada yang disembunyikan di sini sehingga jika seseorang rajin dan tekun menelitinya, ia akan sekali lalu dapat menyerapi dunia seorang sasterawan yang seniman dengan segala rahsia kehidupan dan seninya.'

Buku ini sangat patut dibaca oleh peminat buku. Ada satu bab khusus tentang buku bertajuk Jalan Awal Ke Buku. Pak Samad bercerita tentang buku-buku yang memberi kesan kepada diri dan penulisan beliau. Pak Samad bercerita tentang betapa minatnya beliau pada penulis Harun Aminurrashid dan Ahmad Lutfi. Beliau mengaku menangis apabila membaca Balik Dari Medan Perjuangan karya Ahmad Lutfi.

Saya tersenyum bila Pak Samad bercerita tentang betapa susahnya beliau mahu menghabiskan buku Atheis tulisan Akhdiat K Mihardja.

Pak Samad juga begitu terkesan dengan Di Bawah Lindungan Kaabah tulisan Buya Hamka. Tidak pernah ada buku yang memilukan dan mengharukan hati beliau seperti buku itu.

Pak Samad juga meminati karya penulis Inggeris. Buku The Astures of Heaven tulisan John Steinbeck beliau telaah sehingga koyak. John Steinbeck, Pearl S Buck dan Ernest Hemingway adalah antara pengarang yang beliau minati.

Buku-buku inilah kemudiannya yang mempengaruhi beliau untuk menulis plot dan watak dan teknik penceritaan dalam novel-novel beliau. Terasa begitu dekat dan mesra kita dengan karya-karya beliau. Baru saya tahu latar belakang yang membezakan corak penulisan novel Salina dan Langit Petang juga Sungai Mengalir Lesu.

Membaca buku ini akan mendekatkan pembaca dengan karya A Samad Said. Ianya terisi dengan begitu banyak pengalaman dan pengetahuan yang berguna buat pembaca. Buku yang pernah terbit dua puluh tahun dahulu ini, telah diberi nyawa semula oleh Wira Bukit Sdn Bhd. Buku ini kembali dengan persembahan yang lebih indah. Kulit buku yang segar dan cantik pasti menawan hati para peminat buku.

Sabtu, Mac 31, 2007

Cinta Fansuri

.
Cinta Fansuri
Pengarang : A. Samad Said
Penerbit : Wira Bukit Sdn Bhd
Genre : Novel ( 158 halaman)
Cetakan Pertama : 2007
ISBN : 9834119690
(Kulit Tebal)
Harga : RM40 di Ujana Ilmu



Setelah sekian lama mencari buku ini, akhirnya Cinta Fansuri menjadi milik saya. Ada dua sebab saya teringin membaca buku ini. Yang pertama, nama Fansuri itu yang mengingatkan saya pada tokoh Hamzah Fansuri, tokoh sufi yang terkenal di dunia Melayu. Keduanya, buku ini disyorkan seorang rakan yang juga penulis terkenal tanahair.

Buku ini saya baca setelah selesai membaca Kekasih Sam Po Bo. Saya mulanya membaca buku ini seperti membaca novel yang lain. Membaca dengan cepat agar mendapat mood buku tersebut. Itu tabiat membaca saya. Saya akan membaca dengan cepat dan tanpa henti 20 ke 50 halaman pertama sesebuah buku. Ini adalah saat yang paling penting untuk berkenalan dengan sesebuah buku. Saya akan tahu samada saya secocok dengan sesebuah buku. Selalunya 50 mukasurat pertama sudah boleh membuatkan pembaca jatuh cinta dengan sesebuah buku.

Rupanya, novel ini tidak boleh dibaca sedemikian. Novel ini perlu dibaca perlahan-lahan. Perlukan penelitian setiap ayat dan baris. Saya baca perlahan-lahan. Lagi dibaca lagi buat akal saya terduga. Macam banyak misteri dalam cerita dalam buku ini.

Cinta Fansuri adalah kisah cinta seorang lelaki bernama Fansuri. Ianya juga memuatkan lebih dari satu kisah cinta. Ada beberapa cerita cinta yang lain yang kisahnya juga berlainan. Novel ini berlatarkan Perang Teluk bilamana suasana dunia sangat resah dan mencemaskan. Ianya bagai tercurah di dalam novel ini.

Novel Cinta Fansuri ini diceritakan dari beberapa sudut pandangan. Kalau tidak cermat membaca, pembaca mungkin akan keliru. Saya kategorikan novel ini sebagai sebuah novel yang cerdik. Perlu dibaca berhati-hati. Bagai bermain dengan jigsaw puzzle. Pembaca perlu cerdik memilih dan meletakkan kepingan puzzle di tempat yang sepatutnya. Lebih sukar lagi jika jigsaw puzzle mempunyai warna yang sama. Inilah yang berlaku dalam novel ini. Walaupun novel ini nipis, mungkin ramai yang akan merungut tidak faham, apabila menghadapi kesukaran untuk meletakkan kepingan puzzle di tempat yang sepatutnya.

Novel ini juga bercerita tentang proses penulisan sebuah novel yang ditulis oleh watak salah seorang pencerita dalam novel ini. Bahagian ini menarik apabila menceritakan perbezaan sudut pandangan penulis dan penilai yang menilai manuskrip novel. Saya suka baca wacana menilai karya sastera dalm novel ini.

Buku ini patut dibaca oleh para penulis. Banyak yang boleh dicedok dan diambil pelajaran dalam proses menulis sebuah karya kreatif.

Saya suka buku ini. Buku yang nipis, tetapi mencabar pemikiran. Saya akan baca buku ini sekali lagi. Mungkin juga dua kali.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails