Memaparkan catatan dengan label politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label politik. Papar semua catatan

Rabu, Januari 20, 2010

UMNO:Akhir Sebuah Impian - Mohamed Rahmat


UMNO:Akhir Sebuah Impian - Mohamed Rahmat
Penerbit : www.themalaysianinsider.com
170 halaman
Harga : RM32.89
Dibeli di Times Kuching.

Saya sudah lama ingin membeli buku ini tetapi akhirnya hanya memiliki buku in setelah penulisnya meninggal dunia. Tan Sri Mohamed Rahmat telah meninggal dunia pada 1 Januari 2010, tidak lama selepas buku ini keluar di pasaran.

Buku ini merupakan tulisan pertama Tan Sri Mohamed dan malangnya menjadi buku beliau yang terakhir, walaupun beliau berhajat untuk menulis buku seterusnya. Buku ini mengisahkan perjalanan hidup Mohamed Rahmat di dalam UMNO. Beliau memegang banyak jawatan dalam kerajaan tetapi paling diingati dikenali semasa menjawat jawatan Menteri Penerangan. Beliau menjadi Menteri Penerangan sebanyak dua kali, iaitu dari 1978 hingga 1982 di zaman Tun Hussein Onn dan dari 1987 hingga 1999 di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohamed Rahmat mungkin dikenali ramai sebagai penyokong Dr Mahathir paling tegar. Kadang-kadang beliau dilihat berlebih-lebihan dalam menyokong Dr Mahathir. Saya masih ingat ketika ramai pemimpin kanan UMNO menentang Dr Mahathir dalam krisis UMNO 1987, beliau tetap menyokong Dr Mahathir. Ketika Tengku Razaleigh dan Team B menubuhkan Semangat 46, Mohamad Rahmat telah melancarkan program propaganda yang meninggalkan kesan yang mendalam iaitu SEMARAK. Dr Mahathir telah diarak ke seluruh negara dengan mengadakan program Setia Bersama Rakayat atau SEMARAK. Program ini diteruskan untuk menunjukkan sokongan kepada kerajaan ketika berlakunya krisis perlembagaan tahun 1988 yang menghadkan kuasa Raja-Raja.

Mohamed Rahmat juga adalah tokoh yang berperanan besar sewaktu UMNO diharamkan. Beliau menjadi Setiausaha Agung UMNO yang terlibat menggerakkan pendaftaran semula ahli UMNO Baru.

Buku ini memuatkan rasa kecewa Mohamed Rahmat kerana jasa beliau selama ini tidak dikenang. Beliau menyangka apabila digugurkan dari jawatan menteri kabinet pada tahun 1999, beliau akan diberikan sebarang jawatan lain oleh Dr Mahathir. Malangnya, apa yang beliau harapkan tidak menjadi kenyataan. Beliau digugurkan begitu sahaja dan kemudiannya seakan dilupakan oleh ahli dan pemimpin UMNO. Bagaikan habis madu sepah dibuang.

Mohamed Rahmat adalah contoh seorang yang setia kepada pemimpin. Seorang yang bijak menggunakan kemudahan kerajaan untuk tujuan propaganda parti. Beliau menghabiskan hampir 50 tahun dari hidupnya untuk berbakti kepada parti yang beliau menjadi ahlinya.

Membaca buku ini memberi pengajaran besar kepada kita yang berjuang dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Apa pun yang kita lakukan dalam hidup perlu diperbetulkan niat kerana Allah semata-mata. Jangan terlalu berharapkan balasan bila berbuat baik kerana di dalam hidup ini kebaikan belum tentu dibalas baik. Jika niatnya betul dan jalannya betul, kita serah sahaja kepada Yang Esa untuk memberi ganjaran yang setimpal. Biar rugi di sini jangan muflis di sana.

Ahad, Januari 10, 2010

qur'an and cricket - Farish A Noor



qur’an and cricket: Travels Through the Madrasahs of Asia and other stories
Penulis : Farish A Noor
Harga :RM40.00
ISBN :9789833221257
Penerbit :SILVERFISHBOOKS
Tahun :2009
Format :PAPERBACK
Halaman :288



Farish A Noor mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi kepada khalayak di Malaysia. Tokoh pemikir politik dan sosial ini juga dikenali sebagai seorang ahli akademik pengkaji sejarah dan budaya.

Farish A Noor juga merupakan seorang tokoh yang agak kontroversial kerana tulisannya yang kadang-kadang dilihat terlalu berterus-terang. Saya melihat Farish sebagi seorang anak muda yang ingin tahu dan gigih mencari jawaban kepada pertanyaan-pertanyaan yang sering datang dalam hidup. Dalam ketergesaan menulis kadang-kadang pendapatnya menimbulkan kontroversi dan menjemput kritik yang bukan kecil dari khalayak rami termasuk alim ulamak dan pertubuhan Islam.

Beliau pernah menjadi penulis yang kerap menulis tulisan di akhbar milik parti PAS iaitu Harakah. Saya menjadi antara peminat tulisan beliau yang seakan menjadi jambatan antara golongan Islamis dan pendokong demokrasi untuk mengenali dan mendalami pemikiran yang berbeza. Harapan itu bagaimanapun terbantut apabila tulisan terakhir beliau di Harakah menimbulkan kemarahan pemimpin Pas masa itu sehingga berlakunya rombakan dalam sidang pengarang Harakah, Tulisan Farish bertajuk Memikirkan semula pendekatan PAS itu sekali lagi dianggap terlalu berterus-terang dan tanpa berselindung, mengkritik dan menghentam dasar dan tindakan PAS masa itu.

Buku ini menghimpunkan catatan perjalanan beliau ke tempat-tempat yang orang lain tidak mahu pergi. Farish telah mengembara ke madrasah dan pondok pengajian di Indonesia, selatan Thailand, Pakistan, Mesir, Kashmir dan lain-lain. Dalam rangka membuat kajian akademik beliau telah menziarahi institusi pendidikan Deoband yang sangat terkenal di kalangan pendokong gerakan Islam. Beliau tinggal bersama-sama dengan para penuntut di madarsah tersebut dan mewawancara mereka untuk mendapat gambaran yang jelas dan terus dari sumbernya.

Penulisan Farish yang serius tetapi bersahaja sangat menarik hati saya. Bahasanya yang sedap dan disulam dengan humor membuatkan pembaca terasa seakan dibawa bersama ke tempat-tempat yang beliau lawati. Catatan perjalanan beliau ke Pesantren Mukmin dan mewawancara Ustaz Abu Bakar Bashir sangat menarik kerana memperlihatkan wajah seorang pemimpin Islam yang jarang ditonjolkan di dalam media. Ustaz Abu Bakar Bashir yang sering dikaitkan dengan aktiviti keganasan oleh media barat sebenarnya sangat dihormati dan disanjung oleh masyarakat sekeliling.

Sebahagian dari catatan di dalam buku ini mungkin pernah disiarkan dalam majalah Off The Edge tetapi telah dikemaskini agar relevan untuk dibaca kini. Buku ini termasuk antara buku catatan perjalanan yang terbaik yang pernah saya baca.

Selasa, Oktober 28, 2008

Jiwa Hamba - terbaru dari Azizi Abdullah

Jiwa Hamba

Buku Baru:
Sudah Terbit Sebuah lagi Tulisan Azizi Abdullah, Terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Sebuah Buku Kritikan Adat Di Antara Yang Menyebabkan orang Melayu Mundur.

Pedas! Berani! Berterus Terang!

Nama Buku : JIWA HAMBA
Penulis : Azizi Hj. Abdullah
Penerbit : Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Tebal : 168 muka
Harga : RM15.00 (Termasuk pos)

(Pesan kepada Azizi Hj Abdullah, 424 Taman Bersatu, 09000 Kulim Kedah, HP 012 4396060. E-Mail: tukya_azizi1426@yahoo.com.my.)

Bayaran mestilah dijelaskan melalui Kiriman Wang atas nama Azizi bin Abdullah.


Rabu, September 24, 2008

Islamic State

.


Penulis : Abdelwahab El-Affendi,
Kata Pengantar oleh Ziauddin Sardar.
Penerbit : Malaysia Think Tank London 2008
200 mukasurat

Istilah negara Islam boleh menyebabkan ramai yang tak senang duduk. Ramai yang takutkan istilah negara Islam seperti takutkan hantu. Boleh cerita berjela-jela tentang hantu, tetapi, bila ditanya, rupanya tak pernah nampak pun bayang hantu. Bila bercerita, naik bulu roma kita mendengarnya.

Begitulah nasib istilah negara Islam. Ramai yang bercakap macam faham benar dengan makna negara Islam. Ramai yang boleh bertekak bila mendengar istilah tersebut. Yang mendokong istilah itu sanggup mati syahid jika ada yang menentang negara Islam. Mereka yang menentang negara Islam mungkin dianggap mengkhianati Islam.

Mereka yang menentang negara Islam pula sanggup mati bila ada puak yamg mahu menegakkan negara Islam. Ada yang seumur hidupnya digunakan untuk menentang sebarang usaha ke arah menubuhkan negara Islam. Hatta yang lumpuh pun boleh bangkit dari kerusi roda bila mendengar ada yang mahu menegakkan negara Islam.

Apa yang saya musykilkan, adakah pihak yang menyokong dan menentang itu telah bersetuju takrif negara Islam yang mana satu yang mereka perdebatkan? Yang menentang tidak mahukan negara Islam yang berasaskan prinsip teokrasi sedangkan yang mahukan negara Islam menyangkal dan menegaskan bahawa negara Islam yang diinginkan menjunjung prinsip demokrasi dan keadilan.

Istilah negara Islam sebenarnya adalah istilah baru yang mula popular setelah kejatuhan Khilafah Usmaniah Turki pada tahun 1924. Jatuhnya Khalifah yang terakhir membuatkan umat Islam hilang simbol penyatuan umat. Bermulalah gerakan-gerakan Islam yang mahu mengembalikan pemerintahan Islam. Idea mengembalikan kedaulatan khilafah bermula dengan tokoh-tokoh seperti Jamaludin Al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh dan Rashid Redha. Ini dituruti dengan Hasan Al-Banna yang menjadi pelopor kepada Ikhwanul Muslimin di Mesir, Gerakan Islam Jamaati Islam di benua India dan lain-lain gerakan Islam di seluruh dunia. Di sebelah Nusantara, gerkan Islam dipelopori oleh Masyumi di Indonesia dan kemudiannya diteruskan oleh PAS di Malaysia.

Tahun 70-an menyaksikan semaraknya perjuangan ke arah berdaulatnya syariah dan hukum Islam dalam kehidupan masyarakat. Kemenangan Mujahidin di Afghanistan melawan Soviet dan juga tercetusnya Revolusi Islam di Iran telah membangkitkan semangat anak muda untuk kembali mengamalkan Islam sebagai adden atau cara hidup.

Senario inilah yang mempopularkan istilah negara Islam yang membawa maksud mahu mengamalkan Islam secara keseluruhannya termasuk dalam bagaimana mengurus negara. Pendokong gerakan Islam berpendapat Islam secara keseluruhannya tidak dapat dilaksanakan tanpa wujudnya negara dan kekuasaan.

Buku berjudul `Who Needs an Islamic State’ ini adalah tulisan Dr Abdelwahab El-Affendi, Pensyarah kanan di the Centre for the Study of Democracy, University of Westminster, London. Buku ini ditulis pada tahun 1991 tetapi telah diterbitkan semula oleh Malaysian Think Tank Of London.

Buku ini menarik untuk dibaca kerana ianya membawa wacana yang segar tentang bagaimana konsep negara Islam boleh dilaksanakan dalam negara moden yang mengamalkan prinsip demokrasi. Penulis berpendapat negara Islam mestilah mengamalkan prinsip syura dan konsultansi dalam melaksanakan sebarang hukum. Penulis menolak konsep paksaan dalam melaksanakan Syariah. Perlaksanaan Syariah perlu dilakukan melalui dialog dan perbincangan dan perlu diterima secara sukarela. Beliau telah menyingkap sejarah silam di mana ramai pemimipin Islam yang bila dilantik menjadi telah menggunakan kuasa untuk melaksanakan hukum secara autokratik dan mengenepikan prinsip syura dan muafakat. Lebih buruk lagi bila menggunakan alasan agama.

Sebenarnya inilah juga yang ditakuti oleh para penentang konspep negara Islam dewasa ini. Mereka bimbang apabila para pendokong gerakan Islam mendapat kuasa melalui demokrasi, akan merubah prinsip demokrasi dan melaksanakan hukum agama yang mungkin bertentangan dengan jiwa mereka yang mahukan kebebasan.

Inilah sebenarnya cabaran sebenar pendokong gerakan Islam dalam menyampaikan dakwah dan pesanan kemurniaan Islam kepada semua, termasuk kepada mereka yang menentang konsep negara Islam. Jika benarpun mahu menentang, biarlah selepas jelas dengan maksud dan istilah negara Islam. Biar kita bersetuju untuk tidak bersetuju atas makna yang sama. Saya berharap kelahiran semula buku ini akan merancakkan perbincangan tentang negara Islam di dunia modern. Mungkin ada yang tidak akan setuju dengan sesetengah idea di dalam buku ini, tetapi ianya tetap menarik untuk dikaji dan dibincang oleh pendokong dan penentang konsep negara Islam.


Jumaat, April 11, 2008

50 Tahun Politik Orang Melayu

.

50 Tahun Politik Orang Melayu – Apa Yang Kita Cari?

Penulis : Razali Endun
Penerbit : Badan Penulis dan Karyawan Kreatif (PIKIR)
ISBN 978-983-41118-4-7
Cetakan Pertama 2008
178 mukasurat
RM20.00

Pertama kali saya bertemu dengan Pak Razali Endun ialah semasa program Kata-Suara 3 di RA Fine Gallery 15 Mac yang lalu. Saya membacakan petikan tulisan SN Shahnon Ahmad dalam buku Semarak Angin Semarak Api. SN Shahnon menyebut dalam buku itu, Patriach merupakan karya yang lebih `ganas’ dan `bengis’ berbanding novel Shit. Pak Razali bersuara dan berkata, Shit sebuah karya yang hebat kerana telah berjaya menimbulkan rasa marah dan benci dan meluat pembaca.

Pak Razali Endun adalah tokoh penulis yang prolifik dan mula saya minati dan baca tulisan beliau semasa era reformasi. Beliau komited mengusahakan beberapa akhbar tabloid dan majalah politik. Beliau rajin menulis esei politik juga karya sastera yang jelas dan sarat dengan mesej politik.

Penulis buku ini telah cuba untuk melihat kembali perjalanan politik orang Melayu selama 50 tahun yang lepas. Buku ini yang ditulis sebelum pilihanraya umum yang ke 12 saya rasakan sebuah buku yang seimbang dan memadai dalam melihat sejarah politik orang Melayu.

Buku ini dimulai dengan menyusuri sejarah asal usul orang melayu. Beberapa pendapat dikemukakan. Analisa DNA Mitokrondia mengatakan orang Melyu berasal dari Austronesian atau selatan Monggoliad iaitu daerah Fujian atau Zhejian kira-kira 4,000 ke 6,000 tahun dahulu. Dikemukakan juga Teori Yunan yang mengatakan Orang Melayu berasal dari Asia Tengah.

Buku ini menyentuh sejarah nasionalisme Melayu yang bermula lama sebelum penubuhan UMNO. Perjuangan menentang Belanda di Indonesia dihimbau, yang menjadi inspirasi kemunculan KMM di Tanah Melayu.

DEB yang tiba-tiba popular baru-baru ini juga telah disentuh oleh penulis. Dasar yang bermula baik boleh tergelincir dari landasan bila para pemimpin mula lupa sejarah, lupa peranan, lupa roh dan semangat perjuangan yang asal.

Buku ini mengulas tentang perjuangan dan pegangan parti-parti politik tanahair yang berteraskan bangsa Melayu. Sumbangan dan komitmen parti-parti seperti UMNO, PAS dan PKR terhadap perjuangan kepentingan bangsa Melayu telah dibincang dengan sangat menarik.

Rujukan dibuat terhadap perjuangan parti politik parti kaum lain khususnya parti berasaskan orang Cina. Strategi politik yang mementingkan kepentingan bahasa dan bangsa dan melangkaui kepentingan politik kepartaian menarik untuk diperbandingkan.

Buku ini ditulis sebelum lanskap politik negara berubah. Ia ditulis sebelum keputusan pilihanraya diumumkan. Walaupun kandungan buku ini tidaklah sepenuhnya bersifat ilmiah tetapi usaha penulis untuk menyentuh isu yang penting untuk kepentingan bangsa dan bahasa patut dipuji. Usaha mempertingkatkan bangsa dan bahasa dengan cara yang betul, tidak menzalimi orang lain, tidak menindas kaum lain bukanlah sesuatu yang keji. Ianya suatu yang natural dan memang dituntut.

Menjelang pilihanraya, saya mencari suara-suara yang mahu berjuang tentang kepentingan bahasa, seni, budaya dan bangsa Melayu. Hampir tiada. Yang ada hanya mereka yang mahu memenangkan parti masing-masing dengan mempergunakan agenda Melayu sebagai alasan untuk memancing undi. Lebih hodoh lagi, yang gunakan parti, untuk kepentingan diri, walaupun mulut beratib konon mahu memperjuangkan kepentingan Melayu.

Kini, bila pilihanraya berlalu, barulah mula kedengaran suara golongan yang mahu memperjuangkan kepentingan Melayu. Tiba-tiba mahu berkumpul, berkongres, mahu bincang tentang perjuangan dan masadepan Melayu. Tiba-tiba muncul NGO Melayu. Sebelum ini entah di mana mereka bertapa.

Penulis buku ini antara segelintir yang menulis tentang perjuangan bangsa Melayu sebelum pilihanraya. Razali Endun ini berjaya menyingkap sejarah perjuangan bangsa Melayu sepanjang 50 tahun dengan begitu baik sekali. Terima kasih Pak Razali.

Jumaat, Februari 29, 2008

Membaca di musim pilihanraya

.
Mortimer J Adler & Charles Van Voren dalam bukunya yang hebat bertajuk `How To Read A Book’ menyebut ada banyak tahap dan berbagai cara dalam membaca. Adler menyarankan supaya digunakan pendekatan yang berbagai untuk membaca teks yang berlainan. Membaca majalah dan suratkhabar sebagai contoh tidak sama dengan membaca buku teks yang memerlukan penelitian dan bacaan berulangkali. Membaca buku teks juga perlu silang rujuk sumber-sumber yang lain untuk kita lebih memahami subjek yang kita kaji. Buku Adler ini saya anggap sebagai `buku teks wajib’ buat peminat buku.

Musim pilihanraya ini pada pendapat saya adalah masa yang paling sesuai untuk menggunakan teknik-teknik yang disebut oleh Adler. Membaca majalah dan suratkhabar dalam musim pilihanraya, tidak boleh lagi dibaca secara santai. Kita perlu menggunakan teknik seperti membaca buku rujukan. Apa yang kita lihat dan baca tidak semestinya menggambarkan yang sebetul-betulnya tentang sesuatu subjek. Bacaan dalam musim pilihanraya perlu dikupas lapis demi lapis seperti mengupas lapisan bawang.

Tulisan dalam akhbar seminggu dua ini, penuh dengan propaganda, memujuk dan menggoda pembaca untuk memilih parti yang dikempenkan. Tokoh yang buruk sekalipun akan digambarkan dengan sebegitu cantik, sehingga tidak kelihatan langsung kehodohan tingkah dan perangainya. Tokoh yang baik pula akan dicari sehingga sekecil-kecil keburukan dan dibesar-besarkan sebagai cara untuk menjatuhkan beliau dalam pilihanraya. Pemikiran politik dalam negara kita pula yang sedihnya masih lagi politik negara mundur, tidak setaraf dengan perkembangan fizikal negara. Politik kepartaian yang menyokong melulu sebuah parti. Sebahagian besar dari pengundi menyokong parti tertentu secara melulu, walau siapa pun yang diletak sebagai calon. Hatta jika diletak orang utan sekalipun, pasti orang utan itu akan menang.

Walaupun ada aspek manifesto parti lawan yang bagus, tetapi ianya tidak akan diakui, malah akan dicari jalan untuk memburuk-burukkannya. Akan ditutup mata melihat kebaikan yang ada pada manifesto parti lawan.

Kempen politik dalam negara kita ini lebih kepada memainkan emosi daripada berdebat dan berbahas tentang pemikiran dan polisi yang ingin dibawa oleh parti yang bertanding. Isu seorang calon enggan bersalam sebagai contoh, dipulas, ditambah dan disesuaikan supaya menjadi isu negara yang maha besar.

Walaupun ada tokoh akademik dan pemikir yang memasuki politik, mereka ini hilang nilai akademiknya bila memasuki parti politik. Sudah sering kali kita lihat ahli politik yang punya kelulusan PhD tetapi berbicara dan bersikap seperti hanya lulusan PMR. Hilang ilmu akademiknya, dikorbankan kebenaran dan keadilan demi kepentingan politik parti yang didokong.

Orang yang rajin membaca pun akan tertipu jika tidak bijak `membaca politik' apalagi mereka yang malas membaca. Moga kita bijak membaca, berfikir dan memahami apa yang dipaparkan dan disogokkan kepada kita. Bijak memilih agar tidak sesal kemudian hari.

Rabu, Februari 13, 2008

Bubar...



Akhirnya, setelah begitu banyak masa terhabis berbincang kosong, berteori dan bertekak, tentang tarikh pembubaran parlimen, hari ini parlimen betul-betul bubar. Ada yang bersorak, macam terpilih jadi calon, bila tarikh yang mereka jangka itu menjadi kenyataan. Jangan menang sorak kampung tergadai, sudahlah.

Ada juga yang tidak boleh tidur malam, sehingga hari penamaan calon, menunggu nama tercalon atau tidak. Bermimpi samada punya peluang untuk duduk di kerusi dewan yang baru bubar, atau tidak.

Mengikut laman web rasmi Parlimen Malaysia,
kelayakan menjadi ahli Dewan Rakyat adalah seperti berikut:-

1.warga negara Malaysia
2.tidak kurang dari 21 tahun
3.waras fikiran
4.bukan seorang muflis
5.tidak mempunyai rekod jenayah

Saya suka syarat yang nombor tiga. Harap-harap yang terpilih nanti, biarlah betul-betul waras. Tak tahulah bagaimana mahu diuji nanti kewarasan fikiran calon. Ramai yang kurang waras tetapi berlagak waras.

Moga kita juga waras dalam memilih yang batu kaca atau permata. Jangan pula kita yang mengaku waras tetapi membuat pilihan yang tidak waras.

Selamat menjalankan tanggungjawab dengan waras!

Khamis, Disember 27, 2007

Dari Mulut Politikus...

.




Malaysian Politicians Say the Darndest Things
Dikumpul oleh Amir Muhammad
Ilustrasi oleh Shahril Nizam
Terbitan: Mata Hari
Tahun: 2007
Harga : RM30



Saya hampir terlupa memperkatakan tentang buku ini. Buku tulisan Amir Muhammad ini benar-benar telah membuatkan saya ketawa dan tersenyum sendirian. Buku yang saya beli dari MPH Kinta City, Ipoh ini memang sudah lama saya idamkan dan habis saya baca dalam masa hanya satu hari.

Amir Muhammad memang seorang tokoh yang saya kenal tulisannya lama sebelum beliau menjadi pengarah filem. Amir Muhammad pernah mempunyai ruangan tetap dalam NST bertajuk Perforated Sheet, yang sering saya baca di tahun 90-an. Tulisan beliau dalam majalah-majalah tempatan sering saya ikuti masa itu. Pada masa itu, seingat saya, ada beberapa nama penulis yang menulis dengan agak berani dan sedikit bebas. Nama seperti Amir Muhammad, Rehman Rashid dan Karim Raslan antara yang saya minati dan sering saya ikuti. Saya juga meminati tulisan rencana pengarang Johan Jaafar di Utusan, tulisan Rustam Sani di Berita Harian dan melanggan majalah Men's Review zaman Sheryll Stothard menjadi editor.

Amir Muhammad kini seorang pengarah filem. Saya kepingin menonton filem-filem beliau, malangnya, filem beliau lebih banyak yang haram dari yang halal.

Buku bertajuk Malaysian Politicians Say the Darndest Thing ini merakamkan petikan kata dari tokoh-tokoh politik tanahair. Lebih dari 100 petikan kata telah dikumpul oleh Amir Muhammad dan dipersembahkan dengan gaya yang sangat menghiburkan dengan ilustrasi menarik oleh Shahril Nizam.

Menariknya buku ini kerana kejayaan Amir Muhammad memilih petikan kata yang kelakar, lucu, sinis, kebodoh-bodohan, kontroversial dan yang sukar dipercayai ianya pernah disebut oleh seorang tokoh politik. Saya percaya, ada petikan kata di dalam buku ini yang mungkin pengucapnya sendiri tidak percaya ianya keluar dari mulut beliau. Walaupun tidak percaya, semua petikan yang dimuatkan dalam buk ini adalah yang pernah keluar di media perdana tanahair.

Itu sebabnya orang tua-tua pernah berkata, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, buruk padahnya. Dalam konteks buku ini, terlajak kata, ianya sudah dirakamkan dalam bentuk buku dan akan disimpan untuk koleksi dan diwariskan kepada generasi akan datang. Tak tahulah samada mereka akan ketawa atau berkerut dahi bila membaca buku ini.

Saya paling suka petikan kata Dr Mahathir Mohamad yang paling banyak dipetik dalam buku ini. Lebih menarik petikan kata dalam buku ini merentasi zaman, tahun 80-an hingga ke yang terkini. Petikan kata sewaktu Dr Mahathir awal-awal memegang teraju sangat menarik. Tiba-tiba saya rasa nostalgik, teringat zaman Tun Musa Hitam menjadi timbalan, zaman 2M. Saya terbayang semula tabloid Watan dan Bumi, juga buku politik Subki Latiff yang banyak mengajar saya belajar membaca politik tanahair.

Buku ini macam buku sejarah. Membaca petikan kata mengingatkan pada peristiwa yang berlaku pada zaman itu. Teringat zaman Semangat 46 dan juga tokoh-tokoh pemimpinnya masa itu. Saya bayangkan pula wajah sesetengah tokoh itu yang kini sudah berubah nada dan tindakan. Sungguh nostalgik dan lucu!

Kepada yang belum baca, buku ini saya syorkan sebagai buku yang sesuai dibaca sempena mood akhir tahun, biar kita dinginkan semula kepala-kepala yang panas. Jangan marah-marah. Mari kita baca ramai-ramai dan ketawakan diri sendiri, kerana petikan kata dalam buku ini adalah cerminan diri kita juga.

Kepada Amir Muhammad, saya menunggu siri-siri yang seterusnya!

Selasa, November 27, 2007

Kisah Tukang Pukul Ekonomi - John Perkins

.
Confessions of an Economic Hit Man
Author : John Perkins
Paperback: 320 pages
Publisher: Plume (December 27, 2005)
Language: English
ISBN-10: 0452287081



Buku ini sudah lama di pasaran. Ia kekal lama dalam senarai antara buku yang paling laku di Malaysia. Sudah lama dalam senarai `teringin baca tetapi belum mahu beli’. Memang sudah perangai saya kurang gemar beli buku yang dalam senarai buku paling laris, tetapi saya tetap ambil tahu senarai buku tersebut. Kadang-kadang, buku yang popular itu tidak semestinya bagus untuk saya. Mungkin bagus tetapi kandungannya kita sudah tahu dari buku-buku yang lain. Kalau buku itu terlalu lama dalam senarai, akan terdetik di hati, tentu ada sesuatu yang bagus tentang buku ini. Itulah pandangan awal saya terhadap buku ini. Buku ini saya beli di Karnival Buku Popular di Megamall Penang. Diskaun yang menarik membuat buku ini berjaya masuk dalam raga beli-belah saya.

Buku ini adalah kisah benar yang ditulis oleh seorang `tukang pukul ekonomi’ bernama John Perkins. Beliau menggelar diri beliau sebagi seorang economic hitman yang dalm bahas Melayunya mungkin boleh digelar sebagai `tukang pukul ekonomi’.

John Perkins menceritakan pengalaman benar beliau bekerja dengan sebuah syarikat perunding antarabangsa, Chas T Main Inc (MAIN). Tugas beliau adalah mencadangkan hutang dalam jumlah yang besar kepada Negara dunia ketiga. Bantuan kewangan ini akan digunakan untuk mendanai projek kejuruteraan dan pembinanan. Bantuan kewangan itu disalurkan kepada MAIN dan syarikat gergasi Amerika lain seperti; Bechtel, Halliburton, Stone & Webster dan Brown & Root.

John Perkins dan tukang pukul ekonomi yang lain berperanan membankrupkan sesebuah Negara yang menerima bantuan kewangan setelah syarikat dari Amerika tersebut mendapat bayaran mereka. Dengan itu, Negara tersebut akan sentiasa dalam kedaaan terhutang dan mudahlah ia menurut kehendak Amerika dalam meneruskan hegemoninya.

Perkins menafsirkan tukang pukul ekonomi sebagai profesional yang dibayar gaji tinggi untuk menipu negara-negara dalam dunia dengan menerima bantuan kewangan dari Bank Dunia, USAID, IMF dan lain-lain organisasi bantuan kewangan antarabangsa. Bnatan ini akan mengkayakan segolongan tertentu. Mereka ini akna menggunakan manipulasi penyata kewangan yang dihias. Mengupah wang, ugutan, suapan wang dan seks menjadi mainan mereka. Andai pemipmpin sesebuah negara berdegil, mereka kan menerima nasib seperti Jaime Roldos ,Presiden Ekuador dan Omar Torrijos, Presiden Panama yang mati dalam keadaan misterius.

Perkins mereka istilah corporatocracy di mana kerajaan, badan kerajaan organisasi kewangan, dan syarikat korporat berpakat mengaut keuntungan sebanyak mungkin dengan melakukan penjajahan ekonomi. Lebih menarik mereka yang terlibat dalam projek ini tidak sedar mereka sebenarnya sedang menyumbang ke arah kehancuran Negara dan kemanusiaan.

John Perkins menceritakan pengalaman beliau bekerja di Negara-negara seperti Panama, Ekuador, Indonesia, Arab Saudi. Perkins juga menyaksikan bagaimana Amerika cuba meghantar tukang pukul ke ekonomi dan menjual idea kepada Saddam Hussein tetapi gagal dan mencetuskan Perang Kuwait di tahun 80-an. Misi tukang pukul ekonomi gagal sekali lagi pda tahun 2003 dan berkahir dengan apa yang kita semua sudah tahu.

Baru saya tahu mengapa buku ini menjadi bestseller di kedai-kedai buku ternama negara. Ia menghidangkan resepi yang lazat tentang teori konspirasi, dan orang kita memang senang membeli teori konspirasi, sama seperti mereka suka membaca ruangan gossip artis di akhbar sisipan hujung minggu.






LinkWithin

Related Posts with Thumbnails