Memaparkan catatan dengan label pram. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pram. Papar semua catatan

Khamis, Februari 22, 2007

Pram dari Dekat Sekali - Koesalah S Toer

.



Judul : Pramoedya Ananta Toer dari Dekat Sekali
(Catatan Pribadi Koesalah Seobagyo Toer)
Penulis : Koesalah Soebagyo Toer
Penerbit : Kepustakaan Populer Gramedia (KPG)
Cetakan : I, Julai 2006
Tebal : xvi + 266 hlm




Pramoedya Ananta Toer, tokoh sasterawan Indonesia telah meninggal dunia pada 30 April, 2006. Karya peninggalan beliau telah banyak membawa kesan kepada pembaca. Buku beliau dilarang pengedarannya kerana dianggap berbahaya kepada rakyat Indonesia. Beliau dituduh cuba menyebarkan faham komunis dalam novelnya. Namun ianya dibaca secara sembunyi oleh rakyat Indonesia dan ianya diterjemahkan ke lebih dari 30 bahasa di seluruh dunia.

Sudah banyak buku dan tulisan yang menulis tentang karya Pramoedya. Kisah hidup beliau ketika dipenjara di Pulau Buru juga sudah beliau tulis dengan begitu bagus sekali. Namun peminat Pramoedya sudah tentu ingin tahu juga kisah peribadi Pramoedya sebagai seorang insan. Buku ini merupakan catatan peribadi seorang yang sangat dekat dengan kehidupan Pramoedya iaitu adik kandungnya sendiri.

Koesalah Soebagyo Toer adalah adik bongsu Pramoedya. Beliau juga menjadi pembantu Pramoedya dalam mengumpulkan dokumen berkaitan sejarah Indonesia. Pramoedya memnag berhasarayt untuk menulis sebuah ensiklopedia sejarah Indonesia. Buku ini mengumpulkan catatan peribadi Koesalah tentang abangnya, yang beliau tulis dari tahun 1981 hingga 20 April 2006, iaitu sepuluh hari sebelum Pram meninggal dunia.

Koesalah telah menulis 75 catatan pendek dan ringkas. Ianya dibahagikan kepada tiga bahagian besar mengikut urutan waktu iaitu Bahagian Pertama (1981-1986), Bahagian Kedua (1987-1992), dan Bahagian Ketiga (1992-2006)

Koesalah telah berjaya menulis buku ini dengan begitu baik sekali. Beliau telah berjaya merakamkan kisah peribadi Pramoedya yang belum diketahui peminatnya. Koesalah merasa bahwa dialah keranjang sampah Pram untuk hal-hal yang tidak dapat, tidak tepat, atau tidak patut dikemukakannya kepada orang lain. Kata Koesalah, catatan ini adalah semata-mata merupakan pernyataan tanggung jawabnya terhadap pembaca karya-karya Pram di Indonesia khususnya, dan dunia umumnya. Dengan demikian, orang dapat memahami Pram sebagai sosok yang nyata, bukan manusia di angan-angan atau lamunan.

Buku ini memuatkan kisah–kisah Pramoedya semasa kecil, bagaimana hubungan beliau dengan sanak saudara dan kasih beliau pada tanah kelahiran iaitu Blora.

Koesalah juga menulis tentang kegemaran Pramoedya iaitu membakar sampah. Pram suka mengumpul barang-barang pelik yang dijumpai semasa membakar sampah. Pernah suatu ketika beliau bertemu buku yang sudah langka iaitu buku Peristiwa coup Berdarah P.K.I. September 1948 di Madiun, tulisan Pinardi, terbitan 1967. Ini sangat menggembirakan Pram.

Banyak catatan yang menyentuh perasaan pembaca di dalam buku ini. Di saat-saat akhir hidupnya, ingatan Pramoedya sudah tidak kuat lagi. Beliau sendiri mengaku sudah menjadi pelupa. Banyak perkara yang beliau lupa dan ramai juga rakan yang beliau sudah tidak ingat.

Ada satu kisah yang menarik perhatian saya tentang hubungan akrab beliau dengan seorang tokoh ekonomi Malaysia, Dr Jomo K Sundaram. Baru saya tahu rupanya Dr Jomo dan Pramoedya adalah rakan baik. Bahkan Dr Jomolah orangnya yang mencalonkan Pramoedya untuk Anugerah Magsaysay yang telah beliau menangi. Buku ini mencatat lawatan Dr Jomo dan isteri ke rumah Pramoedya, juga dialog mereka yang menarik. Pramoedya hampir tidak mengenali Dr Jomo kerana sudah lama tidak bertemu.

Buku ini berjaya menarik perhatian saya dengan kisah-kisah sedih dan hiba, lucu dan kelakar juga menyakitkan hati. Ianya berjaya digarap oleh Koesalah dengan penuh jujur dan menarik.

Saya harap buku ini bukan yang pertama buat Koesalah. Kisah dalam buku ini boleh dijadikan asas untuk menulis biografi yang lengkap buat Pramoedya Ananta Toer. Mungkinkah Koesalah sudah menyiapkannya?

Ahad, Januari 28, 2007

Bumi Manusia - Pramoedya Ananta Toer

.



Bumi Manusia
Pramoedya Ananta Toer
Cetakan Kesembilan Oktober 2002
Hasta Mitra


Buku ini saya beli di Pustaka Antara. Buku yang memang dianggap antara karya terbaik Pramoedya Ananta Toer. Saya sudah baca beberapa karya Pramoedya, bermula dengan Mute Soliloquy, sebuah memoir yang beliau tulis semasa di Pulau Buru. Saya juga sudah baca Cerita Dari Blora dan Perburuan. Keluarga Gerilya merupakan antara novel terbaik yang pernah saya baca.

Karya Pramoedya tidak pernah menghampakan saya. Tulisan beliau penuh dengan mesej dan kemanusiaan. Beliau sentiasa membawa isu keperitan hidup, penindasan dan kezaliman ke atas rakyat biasa.

Bumi Manusia adalah buku pertama dari empat novel yang berdiri sendiri yang lebih dikenali sebagai kuartet Buru. Buku Bumi Manusia diikuti oleh Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan Rumah Kaca. Keempat-empat novel ini dihasilkan oleh Pramoedya sewaktu beliau ditahan dalam buangan di Pulau Buru

Bumi Manusia ini mula ditulis Pramoedya pada tahun 1975 semasa di dalam tahanan lagi, secara sembunyi-sembunyi dan diterbitkan pada tahun 1980 apabila beliau dibebaskan dari Pulau Buru. Karya beliau mendapat sambutan hangat sehingga diulang terbit lebih dari 10 kali dalam masa hanya setahun. Bumi Manusia ini juga telah diterjemahkan ke lebih dari 30 bahasa.

Namun hayat buku ini tidak lama di Indonesia apabila ianya diharamkan pada tahun 1981. Pramoedya dituduh cuba membawa fahaman Marxisme-Lenisme dan Komunisme melalui karya beliau. Pelik juga saya kerana tidak pula saya berjumpa dengan dakyah komunisme di dalam buku ini. Saya hanya berjumpa dengan kemarahan Pramoedya terhadap sistem,individu,organisasi dan pihak yang menindas dan menzalimi, walaupun berlindung di balik sistem yang dikatakan adil. Pengharaman ini tidak pernah ditarik balik secara rasmi sehinggalah beliau meninggal dunia.

Bumi Manusia adalah kisah perjalanan hidup seorang anak pribumi berrnama Minke. Kisah berlatarbelakangkan zaman Indoesia masih dijajah Belanda. Zaman di mana seorang anak pribumi dipandang rendah dan tidak setaraf dengan orang belanda dan Eropah. Kisah Minke ini berlaku antara tahun 1898 hingga 1918 ketika pengaruh modernisme dan pemikiran rasionalisme mula masuk ke Hindia Belanda.

Minke adalah seorang pribumi yang cerdik, berfikiran terbuka, yang mendapat pengajian di sekolah elit HBS. Fahaman modern yang beliau pelajari telah membawa pengaruh yang besar kepada Minke dalam pencarian beliau kepada masalah kehidupan. Watak Minke bermula sebagai seoarang pengkagum Eropah tapi berakhir dengan tragedi yang diakibatkan oleh sistem Eropah yang beliau puja selama ini.

Sikap dan pemikiran Minke terhadap kehidupan diwarnakan dengan watak Nyai Ontosoroh, seorang wanita simpanan seorang Belanda. Seorang nyai dipandang rendah oleh masyarakat dan tidak punya hak di sisi undang-undang. Watak Nyai Ontosoroh adalah sumber penting yang mencorakkan perkembangan pemikiran Minke.

Bumi Manusia berakhir dengan kisah yang menyayat hati. Saya tiba-tiba terasa bagai membaca kisah Natrah. Bumi Manusia menggambarkan kehidupan sebuah bangsa terjajah dan bagaimana pentingnya menuntut ilmu agar nasib bangsa boleh berubah. Ilmu secara formal dari pusat pengajian, juga dari pengalaman manusia di bumi ini.

Buku ini memberi kesan mendalam kepada saya. Dialog dan monolog di dalam buku ini membekas lama. Falsafah kehidupan yang cuba dibawa di dalam buku ini menjadikan buku ini sebagi buku terbaik saya baca di awal tahun ini.

Jumaat, Februari 25, 2005

Keluarga Gerilya - Pramoedya

.




Keluarga Gerilya
Pramoedya Ananta Toer
Penerbitan Pustaka Antara
1976
246 ms



Kisah menyayat hati tentang perjuangan. Bagaimana hancurnya sebuah keluarga kerana peperangan.

Dah merata saya mencari buku ini. Saya sudah memiliki dan membaca karya Pramoedya seperti Cerita Dari Blora, Perburuan dan Mute Soliloquy. Keluarga Gerilya bagaikan pelengkap kepada koleksi buku karya Pramoeya ,malah ia adalah karya Pramoedya yang wajib dimiliki.

Yang menariknya buku ini saya jumpa di celah timbunan buku terpakai di kedai buku terpakai, kedai buku Novel Hut. Saya selalu ke Novel Hut untuk mencari majalah atau jurnal lama seperti Harvard Business Review, Mens & Fitness, Foreign Affairs ataupun mencari buku teks tambahan untuk kelas.

Jangan terkejut jika saya katakan buku ini saya beli hanya dengan RM2 dan tertulis harga asalnya iaitu RM6.50!

Keluarga Gerilya adalah kisah tragis sebuah keluarga pejuang yang mengorbankan segala-galanya demi kemerdekaan negara. Korban nyawa, korban masa depan, korban ayah, korban. Ayah dibunuh kerana menjadi tali barut Belanda. Ibu hilang akal kerana mengenangkan nasib anak-anak. Anak-anak lelaki semuanya berjuang menyertai revolusi kemerdekaan. Anak perempuan tidak bersekolah dan mencari kerja kerana derita kehilangan sumber pencarian.

Banyak dialog yang sangat menarik dan mengejutkan dalam novel ini. Dialog antara Saaman yang dijatuhkan hukuman mati oleh Belanda dengan Pengarah penjara sukar untuk saya lupakan. Saaman enggan meminta pengampunan dari penjajah Belanda malah beliau mahu hukuman mati ke atasnya dipercepatkan. Dialog tentang perjuangan dan kemanusiaan yang sungguh menyentuh perasaan.



"Revolusi menghendaki segala-galanya... menghendaki kurban yang dipilihnya sendiri. Demikian hebatnya revolusi. Kemanusiaanku kukorbankan. Dan sekarang ini... jiwa dan ragaku sendiri. Demikianlah paksaan yang kupaksakan pada diriku sendiri. Kupaksa diriku menjalani kekejaman dan pembunuhan agar orang yang ada di bumi yang kuinjak ini tak perlu lagi berbuat seperti itu... agar mereka itu dengan langsung bisa menikmati kemanusiaan dan kemerdekaan."




Saya sentiasa rasa tidak puas bila membaca buku Pramoedya dan rasa ingin mencari karyanya yang lain. Tulisan beliau begitu menyentuh jiwa dan perasaan mungkin kerana pengalaman beliau yang beberapa kali dipenjarakan. Novel Keluarga Gerilya ini diterbitkan pada tahun 1950 sejurus selepas beliau dibebaskan dari Penjara Bukit Duri Jakarta oleh Belanda. Saya masih mencari karya beliau kuartet Buru, empat novel yang beliau tulis ketika dipenjarakan selama 10 tahun di Pulau Buru.

Kini Pramoedya sudah berumur 80 tahun. Beliau baru menyambut ulang tahun kelahiran beliau pada 8 Februari lepas. Sudah tidak mampu menulis novel lagi. Hanya sesekali menulis esei. Beliau pernah dicalonkan Anugerah Nobel semenjak tahun 1981. Moga kita dapat melihat seorang Anak Nusantara menerima Anugerah Nobel sebelum beliau beredar pergi.

Khamis, Ogos 05, 2004

Mute's Soliloquy - Memoir Pramoedya





Kulit depan buku

The Mute's Soliloquy: A Memoir
by Pramoedya Ananta Toer, Willem Samuels
Paperback: 375 muka surat
Penerbit: Penguin Books; 1999
ISBN: 0140289046

Dibeli di Popular dengan hanya RM9.90 !


Mute's Solliloquy ( Versi Indonesia : Nyanyi Sunyi Seorang Bisu ) adalah memoir tokoh sasterawan ternama dari Indonesia, Pramoedya Ananta Toer (1925 - ) . Buku ini adalah buku non-fiction pertama dari Indonesia yang diterbitkan di luar negara.

Pramoedya adalah seorang tokoh yang sangat saya kagumi.Tulisan beliau penuh dengan jiwa dan rasa. Beliau menceritakan tentang penderitaan dan kesusahan hidup dengan penuh berkesan. Banyak kali saya sebak bila membaca buku ini. Saya dapat merasai kesedihan beliau bila beliau menceritakan bagaimana sewaktu beliau ditangkap, beribu buah buku, dokumen bersejarah dan bahan bacaan berharga kepunyaan beliau telah dimusnahkan dan berakhir dengan semuanya dibakar oleh tentera yang menangkap beliau. Semua dokumen berharga itu telah Pramoedya kumpulkan dalam rangka untuk menerbitkan sebuah ensiklopedia sejarah sosial Indonesia. Beliau merayu supaya koleksi di perpustakaan itu diserah milikkan kepada negara, namun tidak dihiraukan. Bukan sahaja rayuan beliau tidak dihiraukan, malah muka Pramoedya telah dihentak dengan bucu senapang hingga menyebabkan beliau separuh pekak hingga kini.

Pramoedya telah ditahan kerana dituduh terlibat dengan politik kiri selama 14 tahun dari tahun 1965 hingga 1979. Sebahagian besar dari tempoh itu, beliau ditempatkan di Pulau Buru bersama ribuan tahanan politik yang lain. Beliau ditahan di pada October 1965 ketika berumur 40 tahun sewaktu berada di puncak kerjaya.

Buku ini adalah hasil daripada sebahagian tulisan beliau bahan yang telah berjaya diseludup keluar dari Pulau buru. Banyak tulisan lain yang telah dirampas dan dimusnahkan oleh pihak tentera. Di Pulau Buru juga, Pak Pram telah berjaya menulis 4 karya besar beliau yang dikenali sebagai Kuartet Buru.

Pak Pram adalah lambang kentalnya perjuangan. Beliau bukan pejuang politik, tapi Pram adalah pejuang orang kecil, rakyat biasa, mereka yang menderita akibat penindasan dan kekerasan. Mute Soliloquy adalah suara hati yang lahir dari seorang pejuang kemanusiaan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails