Memaparkan catatan dengan label KL. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KL. Papar semua catatan

Isnin, April 20, 2009

Pesta Buku Antarabangsa KL 2009

.
Pesta Buku Antarabangsa KL 2009


Malam ini, saya tidur berselimutkan buku-buku baru...



Kesempatan ke Pesta Buku Antarabangsa KL saya gunakan untuk membeli buku buku berikut;

Gerai Al Ameen
1. Ketupat Cinta - Faisal Tehrani
2. Rawa - Isa Kamari
3. Memeluk Gerhana -Isa Kamari

Gerai Crescent
4. Saya Pun Melayu - Zaid Ibrahim ZI Publications

Gerai ITNM
5. Politik Baru Saifuddin Abdullah –ITNM
6. Jiwa Hamba Usman Awang – ITNM

Gerai Gerak Budaya
7. Harimau! Harimau! - Mochtar Lubis
8. Saya Ingin Lihat Semua Ini Berakhir - Esei dan Wawancara dengan
Pramoedya Ananta Toer - August Hans den Boef dan Kees Snoek
9. Syair Nasib Melayu – Tenas Effendy

Gerai Karangkraf
10. Revolusi Yang Ditangguhkan- Shahnon Ahmad

Gerai Nufair
11. Telaga Budi - Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
12. Bidadari Dari Timur - Tuan Sabariah Tuan Ishak
13. Kemilau Peribadi Nik Abdul Aziz Nik Mat - Anbakri Haron & Shukor Haron

Setakat hari ini, saya sudah selesai baca no 4 dan 9. Sedang baca no 2 dan rasanya hujung minggu ini boleh selesai 12 dan 13.

Sabtu, April 05, 2008

Pesta Buku Antarabangsa KL 2008

.foto papan iklan berhampiran Plaza Low Yatt


Pesta Buku Antarabangsa KL datang lagi. Bagi peminat buku, ini adalah acara yang ditunggu-tunggu saban tahun.

Walaupun mutu buku-buku yang dipamrkan masih belum memenuhi kehendak peminat buku, ianya tetap jadi tumpuan untuk para peminat buku mendapatkan buku-buku terbaru di pasaran juga peluang bertemu penulis dan mendapatkan buku dengan harga yang murah.


Saya dan SuriJiwa akan ke Pesta Buku hari Sabtu ini, 5hb April, 2008, bersama puteri kami Ayshah Nur Jiwa yang pertama kali mengikut ke Pesta Buku.

Buku yang saya cari dan minati selalunya tidak ada di Pesta Buku Antarabangsa KL. Namun itu tidak menjadi sebab untuk tidak hadir. Saya datang bukan semata-mata mahu mencari buku, tetapi mahu bersama-sama dalam suasana yang penuh dengan buku dan peminat buku. Sama-sama merasa keseronokan melihat gelagat dan telatah peminat buku dan mereka yang cintakan buku. Mahu berkongsi nikmat berada bersama-sama para pencinta buku di tengah-tengah himpunan ribuan buku dan menghirup udara berbau aroma kertas-kertas dari buku-buku baru yang dipamerkan.

Berada di tengah-tengah timbunan buku akan memberi semangat baru buat peminat buku seperti saya. Andai dapat bertemu pula peminat buku yang lain, itu sudah bonus.

Jika anda ke sana Sabtu ini, boleh kita berjumpa dan berkongsi cerita buku yang dibeli!


Jumaat, Disember 14, 2007

Kejutan Khamis 13 Disember 2007

.


Pernahkah anda mengalami keadaan di mana anda berharapkan sesuatu tetapi mendapat lebih dari apa yang diharapkan? Bukan selalu bernasib baik mendapat apa yang dihajat, apalagi beroleh lebih dari itu.

Itulah yang terjadi pada saya. Hari ini Khamis 13 Disember tercatat sebagai satu hari yang mengejutkan dan sangat menggembirakan saya. Siapa sangka hari yang biasa boleh jadi luar biasa. Hari paling produktif. Banyak yang saya buat dan dapat dalam masa yang singkat.

Hari Khamis, saya ke Kuala Lumpur kerana menghadiri Malam Anugerah Nafma di Hotel Mandarin Oriental. Saya pergi tanpa memasang harapan yang tinggi untuk menang kerana syarikat-syarikat yang menyertai kali ini bukan calang-calang.

Lalu, perjalanan ke KL kali ini, fikir saya, lebih sekadar menghadirkan diri memberi sokongan. Lalu,seperti biasa saya sudah merancang mahu singgah ke kedai buku dan mungkin berjumpa seorang dua rakan sebelum majlis makan malam nanti.

Saya merancang bertemu Pak Adib di KLCC. Kami sudah lama berhubung di dunia siber, tetapi belum bertemu di dunia nyata. Pak Adib merupakan antara penulis blog yang telah menjadi inspirasi untuk memulakan blog sendiri.

Tidak pula saya sangka akan bertemu dengan blogger lain yang tak pernah saya mimpi untuk bertemu. Saya berada di Pustaka Antara bila Pak Adib telefon mengajak minum dan bertemu Awang Goneng di KLCC. Wah, ini sudah bonus, fikir saya. Bukan mudah bertemu Awang Goneng yang telah membukukan tulisan beliau yang sangat menarik dan eksotik tentang kisah hidup beliau di Terengganu. Buku Awang Goneng Growing Up in Terengganu sudah jadi best sellers di kedai buku tempatan. Awang Goneng dan Kak Teh yang menetap di UK pulang bercuti ke Malaysia sambil melancarkan buku ini di sini.

Sebelum meninggalkan Pustaka Antara, sempat saya capai buku Jejak Langkah dan Rumah Kaca tulisan Pramoedya Ananta Toer yang melengkapkan koleksi Kuartet Buru yang sudah lama saya idamkan.

Setiba saya di Dome, KLCC terus mencari kelibat Pak Adib dan Awang Goneng. Alangkah terkejutnya saya rupanya bukan Pak Adib dan Awang Goneng sahaja di situ. Saya berjumpa buat pertama kali, Pak Adib, Pak Idrus, Awang Goneng dan Kak Teh. Juga berjumpa Helmi ATRCO dan Honeytar yang sudah lama jadi sahabat saya di alam siber. Pok Ku turut datang bersama Mimi. Selama ini kami sudah lama kenal di laman sembang Pokku. Saya juga gembira bertemu Ruby Ahmad.

Berjumpa nama besar dalam dunia blog memang satu kejutan hari ini. Bukan seorang tapi ramai! Kami berbual hingga hampir jam lima petang tanpa sedar. Entah bila saya dapat peluang berjumpa semula seperti ini.

Saya juga sempat bertemu Iskandar drbubbles dan Zulkifli Dewangga Sakti di café Kinokuniya. Banyak yang kami bincangkan. Maklumlah, kami berkongsi minat yang sama. Tak sedar waktu berlalu cepat. Dua jam kami berbual.

Saya bergegas untuk majlis makan malam di hotel bersebelahan. Saya dapat satu lagi kejutan untuk hari ini. Nama syarikat disebut dan saya naik ke pentas untuk menerima salah satu anugerah. Terkejut dan rasa bangga bila tersenarai sebagai sepuluh syarikat terbaik, apalagi bila bersaing dengan syarikat gergasi negara.

Selesai majlis saya terus pulang ke Ipoh dan tiba jam dua pagi. Badan letih, tetapi gembira. Banyak sungguh kejutan hari ini. Kejutan yang seronok!

Selasa, Julai 17, 2007

Teater Keris bukan di Istana Budaya

Sabtu lepas saya ke Kuala Lumpur. Hajat hati mahu ke Alam Raya, kedai buku yang banyak menjual karya dari Indonesia. Kecewa kerana setelah beberapa kali putar, masih tidak dibuka.

Jiwa dan Suri ke Istana Budaya mahu membeli tiket Teater Keris. Malangnya TeaterKeris milik produksi Istana Budaya tidak dipentaskan di Istana Budaya. Ia tersingkir jauh ke Auditorium DBP. Saya mahu beli tiket di Istana Budaya juga tidak boleh. Perlu beli di DBP. Bukankah Teater Keris juga produksi Istana Budaya. Betul, tetapi pekerjanya sudah ke sana, kata yang menjaga kaunter.

Rupanya di Istana Budaya ada muzikal besar, The King and I. Sempat lagi kalau, nak masuk, jam tiga mula, kata yang menjaga. Saya nak tengok Teater keris, kata saya. Teater Keris tiada di sini, di Auditorium DBP. Pergi sahaja, tak payah tempah tiket. Tiket banyak. Kata yang menjaga.

Jiwa dan Suri tak tengok The King and I. Memang teringin. Bukan tak mampu kerana tiketnya harga beratus. Kami datang dari Ipoh kerana mahu menonton teater Keris, teater milik Istana Budaya tetapi tiada di Istana Budaya. Buntingnya ada di Istana Budaya, tetapi teaternya tiada. Tiketnya juga tiada di Istana Budaya. Keris sudah tak berguna, kerana Raja Siam sudah bertakhta di `Istana'.

Teater Keris mungkin tak cukup `budayanya' mahu dipentaskan di Istana Budaya. Mungkin Keris juga sudah hilang keramatnya hingga sudah tidak layak menghuni sebuah `Istana'.

Biar tidak menonton Raja Siam. Kami tetap mahu tengok Keris dan keramatnya. Selepas melabuh diri sebentar di Jalan Raja Laut, kami terus ke Jalan Syed Putra. Sempat melapik perut di Tupai-Tupai. Hilang selera apabila ditontonkan Malaysia dibuli Uzbekistan di TV.

Kami ke Panggung DBP. Memang betul, tiket masih banyak.


Teater Keris adalah produksi yang bagus. Karya Seniman Negara, Datuk Syed Alwi Syed Hassan. Teater moden dengan ciri bangsawan. Ada penglipurlara. Adunan muzik yang merdu oleh James Boyle. Irama joget, keroncong, zapin, gurindam dan syair silih berganti. Adegan silat dibimbing oleh guru silat Ku Ahmad Ku Mustaffa. Seni pentas dihias oleh seorang lagi Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Jamal.

Teater Keris adalah sebuah teater yang berkonsepkan teater campur muzikal campur bangsawan. Keris adalah senjata, simbol, azimat dan keramat.

Teater Keris berkisah tentang orang Melayu yang yang mempertahankan budayanya, toleransi dan keterbukaan menerima tetamu juga bagaimana mudahnya kita digula-gula dengan kesenangan sementara. Teater Keris berbicara tentang globalisasi dengan cara yang mudah dan menghibur.

Teater Keris dijayakan dengan barisan pelakon seperti Omar Abdullah, Nam Ron, Zulkifli Zain, Normala Omar, Zuhairi Ibrahim dan Edwin Sumun. Ada penglipurlara pelawak lakonan Sabri Yunus, Zaibo, P Jeganathan dan Angeline Tan.

Saya terhibur menonton Teter Keris seperti Teater Alang Rentak Seribu. Saya sempat bersalam dengan Datuk Syed Alwi dan ucap tahniah.

Jangan cari Teater Keris di DBP. Sudah Selesai 15 Julai lalu.

Keris keramat sudah disimpan. Untuk tontonan cucu-cicit akan datang. Biar mereka tahu Keris pernah jadi simbol identiti orang Melayu, suatu waktu dahulu.

Jumaat, Mei 04, 2007

Pesta Buku Isnin 30 April

.







Baru hari ini boleh bernafas! Dua hari suntuk sibuk dengan tugasan di pejabat.

Kami sampai ke PWTC menjelang tengah hari Isnin. Ada aktiviti di pentas. Penyair Lim Swee Tin membacakan puisi. DPS Rosmah sebagai tetamu. Saya nampak kelibat Khairil Anas Jusoh di kerusi tetamu. Sempat saya melambai dari jauh. Tak tahulah sama ada dia masih ingat lagi saya atau tidak.

Sebelum ke Dewan Utama, kami singgah di gerai Karangkraf yang memenuhi sebuah dewan bersebelahan pentas. Hiasan dewan ini sungguh indah dan hebat, sehebat syarikat Karangkraf, syarikat bumiputera yang sudah jadi peneraju bagi penerbitan majalah di negara kita.

Sedang asyik membelek buku kisah hidup Dr Sidek Baba, telefon tangan saya berbunyi. Prof Kamil rupanya. Beliau menunggu di gerai PTS. Kami segera ke Dewan Utama. Itulah kali pertama saya bertemu Prof Kamil, seorang profesor perakaunan yang blognya sering saya kunjungi. Orangnya berbicara penuh tertib, seperti tulisannya juga. Kami berbual sebentar, maklumlah masing-masing baru sahaja sampai dan belum habis meneroka ke setiap ceruk Pesta Buku kali ini. Lagipun berdiri berbual di tengah laluan pengunjung memang tidak menyenangkan.

Pesta Buku kali in ternyata lebih meriah dengan jumlah gerai yang lebih banyak. Ada lima dewan berasingan yang menempatkan 180 lebih syarikat. Kami mengambil tindakan bijak apabila datang hari Isnin, pengunjung tidak begitu ramai dan masih boleh berjalan dengan selesa.

Ada beberapa gerai yang menarik perhatian saya. Gerai PTS, Al-Hidayah, Al-Ameen, Saba Islamic Media, Institut Terjemahan Negara, Gerai IKAPI.

Gerai buku Arkib Negara dan KeKKWa juga menarik. Seperti biasa gerai penerbitan universiti wajib saya kunjung walaupun tiada nbukuyang benar-benar menarik perhatian saya kali ini. Sedikit kecewa apabila gerai UIAM tidak mempamerkan buku-buku keluaran ISTAC.

Saya terserempak dengan Prof H M Bukhari Lubis yang baru saya kenali di Seminar Pencinta Buku ang lepas. Orang kuat buku ini sibuk dengan pelancaran buku oleh Prof Ungku Aziz petang itu.

Saya bersua kali pertama dengan penyair terkenal Sdr Marsli N.O di gerai IKAPI. Kami berpelukan bagai sahabat lama tak berjumpa. Rupanya beliau biasa mengunjungi blog saya. Saya pernah meminjam puisi-puisi beliau di blog ini. Terima kasih atas kehangatan pertemuan dan segala pesanan. Sdr Marsli menyarankan saya supaya membukukan tulisan di blog ini. Beliau bukan orang yang pertama. Ramai yang pernah mencadangkan. Saya memang pernah berfikir yang sama, cuma agak skeptikal. Adakah orang yang akan membeli dan membaca buku sedemikian?

Pesta Buku kali ini, saya tidak beli banyak buku. Saya beli VCD ceramah Ahmed Deedat di Saba Islamic Media. Saya beli VCD Debat Ahmed Deedat dan Dr Anis Shorosh, juga VCD ceramah beliau yang terakhir sebelum beliau terlantar sakit.

Di gerai IKAPI saya beli buku Hari-Hari Terakhir Che Guevara, terjemahan buku The Diary of Che Guevara. Buku di gerai IKAPI tidak sebanyak tahun lepas. Saya juga beli buku Siddharta tulisan pemenang anugerah Nobel, Herman Hesse. Buku ini sudah diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh Institut Terjemahan Negara.

Di gerai yang menjual banyak buku Alijah Gordon, saya terjumpa jurnal ulasan buku yang sangat menarik. Jurnal bernama Kauthar itu saya beli 6 edisi terdahulu. Saya beli juga buku Islam & Secularism tulisan Prof Syed Naquib Al-Attas. Saya pernah miliki buku ini, tetapi saya tidak ingat di mana saya simpan.

Karangkraf juga nampaknya sudah mula menerbitkan buku-buku berat termasuk karya Sasterawan Negara. Saya kini sedang membaca buku Setitis Embun Semarak Api karya Shahnon Ahmad. Di gerai Karangkraf Suri Jiwa beli buku Badai Semalam karya Khadijah Hashim dan Asam, Garam, Gula & Kopi.

Satu yang menarik, kali ini ada gerai yang mempamerkan rak buku. Saya beli satu rak buku yang cantik tetapi murah di sini.

Sekali-sekala ke KL, banyak tempat juga yang kami kunjungi kali ini. Kami sempat ke Titiwangsa menaiki Eye On Malaysia. Sempat menikmati hidangan di Nellie's Sentul dan Marche The Curve. Kami berhabis banyak juga masa di IKEA dan singgah di Borders membeli majalah Islamica. Kami sempat ke Sogo membeli belah sebelum pulang.




Jumaat, April 27, 2007

Pesta Buku Antarabangsa KL 2007

.




Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007

27 April hingga 6 Mei 2007
Isnin hingga Khamis
(10.00 am- 7.00 pm)
Jumaat hingga Ahad; Cuti Umum
(10.00 am- 10.00 pm)
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)



Pesta Buku Antarabangsa KL datang lagi! Sedar tak sedar tahun ini sudah 26 tahun pesta buku ini diadakan.

Saya masih ingat lagi kenangan semasa Pesta Buku ini mula-mula diadakan di Changkat Pavilion, berhampiran Stadium Merdeka, KL. Saya masih pelajar masa itu. Kami berjalan kaki dari Bus Stand Klang ke sana. Berjalan pulang lebih meletihkan, dengan buku penuh di tangan. Mengunjungi Pesta Buku semasa masih bergelar siswa, sudah tentulah banyak halangannya, terutama wang. Apa lagi jika biasiswa belum masuk. Beli buku pun berjimat-jimat, takut lari budget. Buku yang saya cari ketika itu pun rasanya berlainan dengan sekarang. Buku rujukan perniagaan dan perakaunan dan mungkin buku self development dan politik semasa.

Tahun ini Pesta Buku KL sudah kali ke 26, dan sudah lama ada gelaran antarabangsa. Harapan saya gelaran antarabangsa itu dijaga baik, dengan mempamerkan buku yang bermutu tinggi. Saya agak rimas, bila Pesta Buku yang lepas dipenuhi jurujual program belajar bahasa.

Tahun ini dijangka lebih meriah. Ada 183 syarikat mengambil bahagian, 160 syrikat tempatan dan 23 syarikat lura negara seperti UK, US dan Australia. Ada 600 gerai berbanding 530 tahun lepas. Jika tahun lepas PBAKL 2006 menyaksikan kehadiran sekitar 700, 00 pengunjung, tahun ini mungkinkah boleh mencapai jumlah sejuta? Tentu ramai yang ingin mengambil peluang dari cuti Hari Pekerja dan Hari Wesak.

PBKL 2007 juga akan menghidangkan pengunjung dengan 63 aktiviti sampingan.

Saya akan ke sana hari Isnin. Bertolak pagi dari Ipoh dan terus ke PWTC. Rasanya hari Isnin mungkin tidak sesesak hari minggu, kerana ianya hari bekerja. Jangan pula yang lain juga berfikiran sama lalu mengambil cuti hari Isnin seperti saya!

Kepada rakan-rakan pencinta buku, kalau ada rezeki mungkin kita boleh berjumpa. Alangkah menariknya jika kita boleh berjumpa selepas selesai membeli-belah buku. Duduk sambil minum teh dan bertukar maklumat tentang buku yang dibeli!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails