Memaparkan catatan dengan label indonesia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label indonesia. Papar semua catatan

Jumaat, Februari 08, 2008

Gestapu & Bung Karno

.


Kumpulan Pernyataan Bung Karno tentang Gerakan 30 September,
Benarkah Gerakan 30 September Didalangi Bung Karno
Media Pressindo
Cetakan Pertama,March, 2006
Harga RM15


Buku ini memuatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Indonesia, Bapak Soekarno mengenai Peristiwa 30 September, 1965. Tarikh itu menjadi satu sejarah bagi warga Indonesia, apabila berlakunya satu peristiwa berdarah di mana enam orang jeneral-jeneral besar Tentera Indonesia telah mati dibunuh di sebuah tempat bernama Lubang Buaya.

Peristiwa Gerakan 30 September, yang juga dikenali sebagi G-30-S atau Gestapu itu meninggalkan persoalan besar, siapakah dalang disebalik peristiwa itu. Siapakah yang berani membunuh pemimpin tertinggi Tentera Indonesia?

Sumber yang popular mengatakan bahawa peristiwa itu dilakukan oleh Parti Komunis Indonesia yang cuba untuk mempengaruhi pemerintahan Soekarno. Peritiwa 30 September ini sebenarnya sangat berkait dengan Malaysia kerana ianya berlaku tidak lama selepas Malaysia ditubuhkan pada 16 September, 1963. Penubuhan Malaysia tidak disenangi oleh Soekarno yang mendakwa ianya didalangi oleh imperialisme barat dan hanya melahirkan negara boneka British. Soekarno, mungkin dihasut oleh pemimpin Parti Komunis Indonesia telah melancarkan Ganyang Malaysia, yang menyaksikan penyusupan tentera Indonesia berfahaman komunis ke Malaysia.

Kempen Ganyang Malaysia ini khabarnya berlarutan sehinggalah berlakunya Peristiwa Gestapu yang khabarnya mendapat reaksi berbelah-bagi dari tentera Indonesia. Pemimpin tertinggi tentera Indonesia yang diketuai oleh Jeneral Nasution tidak begitu bersetuju dengan kempen ini. Mereka berpendapat tindakan menyerang Malaysia mungkin akan merugikan, kerana British mempunyai kekuatan dan kelengkapan tentera yang hebat. Tokoh PKI yang marah dengan sikap itu telah mengambil tindakan nekad menggulingkan dan membunuh jeneral-jeneral tersebut.

Peritiwa Gestapu ini juga menyaksikan bermulanya Jeneral Soeharto muncul dalam politik kepimpinan Indoensia. Pada 11 Mac, 1966, lima bulan selepas peristiwa Gestapu, Sukarno telah memberikan kuasa yang tak terbatas melalui Surat Perintah Sebelas Maret, yang dipanggil Supersemar. Naiknya Soeharto bersama Orde baru dan bermulalalah pencarina dan pembunuhna beribu-ribu orang ahli dan pendokong komunis.

Peristiwa Gerakan 30 September masih menjadi misteri sehingga kini. Banyak persoalan yang masih belum terjawab tentang siapakah sebenarnya dalang di sebalik peristiwa ini. Adakah ianya didalangi Soekarno, dalam usaha beliau untuk memastikan Indonesia kekal sebagai sebuah negara sosialis setelah beliau tiada? Mungkinkah ianya didalang oleh Soeharto untuk merebut jawatan Presiden dari Soekarno? Mungkinkah ianya diarahkan oleh CIA dalam rangka memastikan kekuasaan imperialisme barat di sebelah Asia Timur?

Buku ini tidak memberikan jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut. Ia hanya mengumpulkan kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Soekarno, buat renungan dan mungkin boleh dibuat rumusan sendiri oleh pembaca.

Hari ini, pelakon-pelakon peristiwa itu sudah ramai yang tiada, termasuklah mantan Presiden Soekarno dan Jeneral Nasution yang terlepas dari terbunuh dalam peristiwa berdarah itu. Kini, Presiden Soeharto pula meninggalkan dunia, dan terus meninggalkan persoalan Peristiwa 30 September tidak terjawab.

Sabtu, November 17, 2007

Bukan Pasar Malam - Pramoedya

.





Bukan Pasar Malam
Penulis : Pramoedya Ananta Toer
Penerbit : Lentera Dipantara
2002
Tebal : 104 mukasurat

Satu lagi novel karya Pramoedya Ananta Toer. Sekali lagi saya tidak kecewa. Novel ini nipis sahaja, tetapi kesannya sangat tebal dalam jiwa dan perasaan siapa yang membacanya.

Buku ini antara 3 buah buku Pramoedya yang saya beli di kedai buku Alam Raya di belakang Bangunan Pharmacare, Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur. Tiga buku yang sama tipis selain Bukan Pasar Malam ialah buku Larasati dan Cerita Calon Arang. Buku tersebut ditunjukkan oleh Pak Jawakhir, tuan punya kedai buku tersebut. Baru sampai, kata beliau.

Bukan Pasar Malam sangat sederhana kisahnya. Kisah seorang anak yang dipanggil pulang ke kampung kerana ayahnya sakit tenat. Perjalanan seorang anak yang sudah lama tidak pulang dan menemui bapa dan keluarga nya sendiri. Kepulangannya kali ini bukan sahaja menemukan beliau dengan bapa dan keluarga tetapi ianya juga menemukan beliau dengan banyak perkara, pandangan, perasaan dan pengalaman.

Kisah yang sederhana telah berjaya diangkat dengan hebat dan meyentuh perasaan oleh Pramoedya.

Bukan Pasar Malam, dikatakan sebuah tulisan Pramoedya tentang autobiografi dan perjalanan terakhir bapanya sendiri. Kepada peminat Pramoedya tentu sudah biasa dengan kisah keluarga Pramoedya yang biasa diceritakan dalam karya beliau seperti Cerita Dari Blora dan Perburuan. Kisah tentang kampung Pramoedya iaitu Blora dan juga kisah tentang ayahnya yang banyak diceritakan di dalam karya beliau. Kisah kesengsaraan hidup menjadi tema penting dalam setiap karya Pramoedya, tidak terkecuali Bukan Pasar Malam.

Novel yang diterbitkan dalam tahun 1951 ini menceritakan tentang kekecewaan beliau terhadap sebuah negara baru Indonesia. Perjuangan revolusi memperjuangkan kemerdekaan telah melahirkan sebuah negara bebas dan merdeka tetapi terbeban dengan masalah kemiskinan, rasuah dan kekecewaan.

Watak ayah penulis digambarkan sebagai seorang pejuang revolusi yang sedang meniti akhir hidup yang penuh kekecewaan dan kesengsaraan hidup. Kekecewaan beliau digambarkan dalam dialog-dialog yang menarik di dalam buku ini seperti,

“Ini semua merupakan kekesalan hatiku semata. Demokrasi sungguh suatu sistem yang indah. Engkau boleh jadi presiden. Engkau boleh memilih pekerjaan yang engkau sukai. Engkau mempunyai hak sama dengan orang-orang lain-nya. Dan demokrasi itu membuat aku tak perlu menyembah dan menundukkan kepala pada presiden atau menteri atau paduka-paduka lainnya. Sungguh—ini pun suatu kemenangan demokrasi. Dan engkau boleh berbuat sekehendak hatimu bila saja masih berada dalam lingkungan batas hukum.Tapi engkau tak punya uang, engkau akan lumpuh tak bisa bergerak. Di negara demokrasi engkai boleh membeli barang yang engkau sukai. Tapi engkau boleh membeli barang yang engkau sukai. Tapi kalau engkau tak punya uang, engkau hanya boleh menonton barang yang engkau ingini itu. Ini juga semacam kemenangan demokrasi"


Falsafah tentang hidup digambarkan oleh Pramoedya sebagai bukan seperti pasar malam. Kita lahir ke hidup seornag diri dan akan pulang juga seorang diri. Hidup ini bukan pasar malam!


‘Dan di dunia ini, manusia bukan berduyun-duyun lahir di dunia dan berduyun-duyun pula kembali pulang… seperti dunia dalam pasarmalam… Seorang-seorang mereka datang. Seorang-seorang mereka pergi. Dan yang belum pergi dengan cemas-cemas menunggu saat nyawanya terbang entah ke mana…’

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails