Memaparkan catatan dengan label musica. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label musica. Papar semua catatan

Sabtu, Februari 26, 2011

Dah lagu tu. Nak lagu mana lagi!!











 Sampul album Phoenix Bangkit M Nasir. Lirik lagu Dah Lagu Tu! dan Lukisan Bayu Uomo Radjikin




Dah Lagu Tu !
(lagu dan lirik M Nasir)

Istanamu telah lama didakap debu
Serinya pula telah hilang
Aku datang tepat waktu
Tapi kau masih ragu kesan luka lalu

Raja-raja dulu telah fana dimakan zaman
Kini tinggal kau tanpa pilihan
Kecuali mahu membiarkan
Hidup di awang-awangan
Mengharapkan yang tak mungkin menjelma

Dah lagu tu nak lagu mana lagi
Biar bagaimanapun kau cuba menghindari
Aku berikan padamu kembang penawar luka
Tiada lagi hari sedihmu

Raja-raja dulu telah fana di makan zaman
Kini tinggal kau tanpa pilihan
Kecuali mahu membiarkan
Hidup di awang-awangan
Mengharapkan yang tak mungkin menjelma

Sanggupkah kau melepaskan cinta
Dan menantikannya untuk selamanya
Aku berikan padamu kuntum penawar luka
Tiada yang lebih dari itu

Dah lagu tu nak lagu mana lagi
Biar bagaimanapun kau cuba menghindari
Aku berikan padamu kembang penawar luka
Tiada hari seindah ini


Lama rasanya saya tak mendengar semula lagu-lagu M Nasir dan menghayati lirik-liriknya. Dahulu, lagu-lagu M Nasir menjadi antara sumber inspirasi saya untuk meneroka mencari maklumat dan ilmu. Lirik-lirik lagu nyanyian M Nasir, khasnya lagu-lagu dalam album Phoenix Bangkit membawa pendengar meneroka ke merata dunia dan merentas zaman. Kisah Jalaludin Rumi dan Mathnawi dilahirkan dalam lirik lagu Bila Rumi Menari. Kisah Pandawa dan Kurawa yang diangkat dari epik Mahabrata digubah dengan begitu indah dalam lagu Langgam Pak Dogo. Lagu Raikan Cinta menggali semula sejarah Siti Hajar dan Nabi Ismail. Lagu Masirah pula mengimbau kisah Muhammad ad Durrah, kanak-kanak berumur 12 tahun yang dibunuh Isarael.

Lagu Dah lagu tu! adalah antara lagu yang saya minati. Mendengar lagunya membuahkan rasa rindu pada leluhur. Rindu pada zaman dahulu. Zaman raja-raja dahulukala. Lagu ini sarat dengan pengaruh muzik Sunda. Tiupan seruling oleh Mohar bisa membuai rasa. Ditambah pula getar petikan kecapi Sunda oleh Zarul Al-Bakri yang berselang seli oleh ketukan gendang Sunda oleh Ramli Jawa.

Iramanya mendayu-dayu diperkemaskan lagi dengan lirik yang mempunyai kisah dan makna yang sangat menarik. Lagu ini terbit di awal tahun 2000 ketika suasana politik dalam negara masih panas bahangnya. Ia mengisahkan kisah seorang Maharaja yang sudah lama duduk di puncak kekuasaan. Lamanya di tampuk sehingga sukar mahu melepaskan takhta. Lebih menarik lagi, tajuk lagu itu `Dah Lagu tu' adalah dialek dari negeri sebelah utara. Mujurlah orang Melayu sudah ramai yang tidak memahami bahasa Melayu dan tidak memahami maksud yang tersirat di sebalik lirik lagu ini. Jika tidak, sudah tentu ada kelompok yang mahu menjerit mahu membakar album Phoenix Bangkit karya M Nasir ini.

Kini, putaran hidup bermula lagi. Pemimpin-pemimpin dunia di negara Arab sudah diminta turun dari puncak kuasa. Siapa sangka pemimpin yang pernah dijulang sebagai hero dan penyelamat bangsa boleh diturunkan dengan hina dan paksa. Bukan sedikit jasa dan budi mereka dahulu, lalu dijulang oleh rakyat ke tampuk kuasa. Namun, begitulah adat, bila sudah lama duduk di kerusi empuk, kadang-kadang lupa nasib  rakyat yang hidup berlantaikan tanah berbumikan langit. Lama sangat di tampuk, tidak sedar rupanya orang sudah tidak berkenan lagi.

Jangan cepat sangat bersorak melihat mereka diseret ke bawah oleh rakyat, tanpa mahu mengambil iktibar. Ini pesan untuk semua. Pemimpin besar dan kecil. Bukan raja-raja sahaja boleh jatuh. Pemimpin kecil juga boleh jatuh jika tidak menjunjung amanah. Memimpin itu amanah yang akan ditanya nanti. Harus diingat, yang menjawab nanti bukannya mulut kita, tetapi mulut mereka yang kita pimpin.

Ahad, Januari 31, 2010

Space Gambus Experiment


Bagaimana saya mahu mulakan catatan saya tentang album ini. Album ini memang lain dari yang lain. Ia sebuah karya eksperimen. Tiada genre yang sesuai untuk dgolongkan. Ianya merupakan himpunan bunyi-bunyian yang menimbulkan kesan kepada pendengarnya.
Space Gambus Experiment merupakan album instrumental usahasama dua ahli muzik, Kamal Sabran dan Zulkifli Ramli, pemain gambus Dewangga Sakti. Nama Kamal Sabran sudah lama saya dengar sewaktu saya bertugas di Ipoh. Walaupun belum pernah bertemu, nama beliau biasa disebut bila berbincang tentang aktiviti seni di Ipoh. Kamal Sabran dikenali sebagai seorang graduan Uitm yang aktif berkarya dalam bidang seni. Beliau pernah bertugas Agensi Angkasa pada tahun 2005. Kesempatan itu telah beliau ambil, Kamal Sabran telah merakamkan bunyi-bunyian dari planet Musytari. Gelombang bunyi dari planet Musytari itu telah beliau rakamkan dalam satu projek yang beliau namakan ` Sonic Cosmic Music From Outer Space.

Projek itu terhenti setakat itu sehinggalah Kamal Sabran bertemu Zulkifli Ramli, pemain gambus Dewangga Sakti. Perkenalan mereka di laman facebook telah membawa kepada jalinan kerjasama dalam menghasilkan 7 trak lagu dalam album Space Gambus ini. 3 lagu lain adalah usahasama Kamal bersama rakan-rakan luarnegara yang beliau kenali di internet.

Usahasama tersebut telah menghasilkan album Space Gambus Experiment ini. Apabila mendengar álbum ini sukar untuk digambarkan perasaan saya. Bunyi-bunyian yang pelik, rasa yang berbagai. Ada rasa kosong, sunyi dan sesekali menyeramkan juga terasa jauh amat dari dunia sebenar. Bagai benar-benar di ruang angkasa. Kekosongan itu bagaimanapun terisi dengan bunyi petikan gambus dari Zulkifli Ramli. Eksperimen yang memang ganjil tetapi seolah ada kerasian.

Saya menganggap eksperimen ini bagai mahu menggabungkan dunia masadepan dan juga sejarah. Menggabungkan dunia modern dan jatidiri asal usul diri. Saya bayangkan bagaimana seorang anak Malaysia meneroka ruang angkasa planet Musytari. Kekosongan, kesepian angkasa lepas mengingatkan diri tentang dunia yang jauh ditinggalkan. Petikan gambus itu adalah kita. Asal kita yang perlu kita ingat sampai bila-bila. Sejauh manapun kita terbang ke angkasa, kita perlu sedar hakikat yang kita berasal dari bumi yang nyata.

Album ini tidak akan masuk ke kedai-kedai CD tanahair. Pemilik kedai CD akan mengalami kesukaran untuk meletakkan CD ini di rak yang sesuai. Kalau adapun mungkin di rak `New Age’ tetapi mungkin pemilik kedai akan mengalami kesukaran untuk menjual album sebegini.

Jangan beli álbum ini jika anda mengharapkan akan mendengar muzik seperti Kenny G atau Richard Clayderman, kerana anda pasti kecewa. Beli álbum ini jika anda meminati petikan gambus, kerana tidak ramai pemain gambus dlam negara( yang saya kenali) selain Zulkifli Ramli dan Farid Ali. Yang lebih penting, belilah álbum ini jika anda peminat seni dan penyokong karya seni. Space Gambus Experiment perlu didakap sebagai sebuah karya seni yang patut kita hargai dan banggakan bersama.

Space Gambus Experiment boleh dibeli terus dari Kamal Sabaran di kamalsabran@gmail.com. Setiap CD berharga RM20. Maklumat lanjut di http://www.myspace.com/spacegambusexperiment. Petikan album dan video boleh dimuatturun di http://www.reverbnation.com/spacegambus¬experiment.

Rabu, Februari 25, 2009

Gipsy Kings - A Mi Manera




Gipsy Kings antara kumpulan muzik kegemaran saya. Lagu-lagu mereka seperti Un Amor, Volare, Bambeleo, Djobi Djoba dan A Mi Manera sangat asyik didengar. Ditambah pula dengan petikan gitar flamenco oleh kumpulan dari keluarga Reyes dan Baliardo ini.

Sejarah hidup mereka juga menarik. Anggota kumpulan Gipsy Kings lahir di Perancis tetapi ibubapa mereka berasal dari Sepanyol. Mereka adalah keturunan Gitanos yang lari dari Perang Sepanyol tahun 30-an ke selatan Perancis. Mereka bagai mengulang tragedi pelarian nenek moyang mereka dahulu yang dihalau dari Sepanyol dalam peristiwa Reconquista. Ramai yang lari ke Maghribi atau ke selatan Perancis, akibat kekejaman kerajaan Kristian semasa itu.

Gitanos mengikut sejarah dikatakan berasal dari daerah Punjab dan Rajasthan di India dan berhijrah ke Andalusia Sepanyol di kurun ke 11. Kedatangan mereka ke Andalus di katakan menjadi antar pencetus muzik flamenco yang terkenal di Sepanyol. Jika anda mendengar muzik flamenco, akan terasa ciri-ciri Arab, India dan Eropah yang bercampur. Lagu-lagu flamenco jika didengar betul-betul ada banyak persamaan dengan ghazal dan qasidah dari dunia Islam.

Itu sejarah keturunan mereka. Gipsy Kings sebenarnya dijkenali sebagai pembawa muzik rumba flamenca yang cuba memperbaharui muzik flamenco tradisional. Kemunculan mereka di dunia muzik bermula seawal tahun 1987 apabila album mereka dipasarkan ke pasaran antarabangsa. Album Gipsy Kings dilancarkan di Amerika Syarikat dan kekal di dalam carta selama 40 minggu. Ia menjadi antara kumpulan muzik dari Perancis yang paling berjaya di dunia muzik antarabangsa.

Yang paling menarik. Gipsy Kings tidak menyanyi dalam bahasa Inggeris. Mereka, malah menterjemahkan lagu-lagu terkenal bahasa Inggeris ke dalam bahasa ibunda mereka, dialek calo iaitu bahasa gipsi Sepanyol. Lebih kurang macam orang Melayu cakap dialek Parit di Perak, ataupun dialek Kuala Brang di Terengganu. Bahasa kampunglah senang cerita.

Gipsy Kings tak pernah rasa malu dengan bahasa yang mereka tuturkan. Sewaktu membuat persembahan di dalam konsert di merata dunia, mereka berkomunikasi di dalam bahasa mereka. Walaupun yang menonton konsert mereka kebanyakannya orang putih, Gipsy Kings tidak mengada-ngada mahu bertutur dalam bahasa Inggeris. Dengan muka sadin, mereka menyanyi semua lagu mereka dalam bahasa ibunda mereka, bahasa gipsi Sepanyol. Lagu Hotel California dan lagu My Way telah mereka `Gipsy Kings kan' dan menjadi lebih sedap didengar dari lagu asal.

Setakat yang saya tahu, mereka belum lagi teringin mahu belajar matematik dan sains dalam bahasa inggeris untuk memajukan kerjaya, atau meningkatkan jualan album mereka. Album mereka sudah terjual lebih dari 18 juta di seluruh dunia, dan jadual persembahan konsert mereka di seluruh dunia untuk tahun 2009 sudah penuh terisi.


Gipsy Kings menyanyi dengan cara mereka sendiri, cara A Mi Manera.

Selasa, Jun 17, 2008

Dewangga Sakti & Mabok Kepayang




Judul Album : Mabok Kepayang
Band: Dewangga Sakti
Genre: Tradisional/Etnik/Malay Folk/Eksperimental
Penerbit : Penerbitan Lewat Senja
Harga: RM15


Saya masih sibuk dengan urusan kerja bila Zul menghantar pesanan ringkas. Zul bertanya bila boleh bertemu. Dua hari sebelumnya Zul menghantar pesanan ringkas bertanyakan alamat. Mahu mengirim Cd baru, katanya. Saya sedang mesyuarat di Titiwangsa, KL tetapi tidak sempat untuk bertemu.

Jam sudah melangkau 6 petang, petang jumaat itu, ketika saya selesai tugas di PNB Sime Darby Park. Kami lalu berjanji untuk bertemu di Restoran Lotus yang terletak berdekatan.

Zulkifli Ramli adalah rakan akrab saya di blog. Kami berkongsi banyak kegemaran yang sama. Sama-sama minat buku, mengumpul dan membaca. Kami juga minat muzik yang sama. Saya meminati muzik tradisional dan suka membaca dan mengkaji susur galur alat muzik dan seni budaya bangsa. Jika ada kesempatan berbual, masa terasa berlalu terlalu cepat kerana begitu banyak yang ingin dikongsi. Selain minat, kami juga berkongsi universiti yang sama. Zaman saya dahulu di PJ dan sebelum berpindah ke Gombak, tempat Zul dan rakan-rakan Dewangga Sakti mula bertemu.

Kelibat Zul muncul akhirnya. Jauh juga beliau berjalan dari KLCC. Selepas memesan minuman, Zul menghulurkan CD yang sekian lama saya tunggu. Kulit depannya gambar grafik wajah seorang wanita. Macam Maya Karin, kata saya. Itulah album pertama Dewangga Sakti.

Zulkifli Ramli adalah pemain gambus kumpulan Dewangga Sakti. Zulkifli pernah mendapat pengalaman berharga menuntut ilmu bermain gambus dari arwah Fadzil Ahmad.

Dewangga Sakti sudah lama ditubuhkan. Mereka sudah mula bermain muzik seawal tahun 2000. Sebelum itu mereka ini adalah penuntut UIA yang pernah jadi penggiat kumpulan gamelan di kampus. Seingat saya, tidak ramai pemain gambus dalam negara kita, lebih-lebih lagi yang bermain muzik tradisional dengan nuansa kontemporari. Seorang lagi pemain gambus yang saya ingat ialah Farid Ali yang juga saya milik albumnya.

Itu yang buat saya hormat kepada Zul dan Dewangga Sakti. Anak-anak muda ini bermain muzik bukan sekadar untuk mencari makan. Mereka masing-masing punya kerjaya tetap. Mereka bermain muzik kerana minat dan keinginan untuk menghidupkan dan menyegarkan semula lagu irama tradisional. Zul boleh bercerita tentang sejarah alat muzik dan hubung kait dengan budaya Melayu dan Islam.

Sejarah telah membuktikan bahawa alat muzik kini sebenarnya telah diilhamkan oleh orang Islam. Sejarah perkembangan Islam di Nusantara terbukti turut diwarnai oleh penggiat seni yang berdakwah melalui lagu.

Sunan Bonang dan anak muridnya, Sunan Kalijaga tercatat dalam sejarah, menyebarkan Islam melalui wadah seni. Beliau giat berdakwah melalui gamelan dan pentas wayang. Masyarakat masa itu yang kuat dengan pengaruh Hindu telah beliau dakwahkan dengan memasukkan unsur Islam dalam persembahan seni.

Begitu juga irama Zapin Melayu yang dikatakan dibawa ke Tanah Melayu oleh pendakwah Arab dan Hadramaut sebagi wahana dakwah.

Album pertama Dewangga Sakti ini berbentuk EP atau mini album. Ada 5 trek lagu yang kesemuanya lebih kurang 20 minit. Oleh kerana ini hanyalah album pertama yang diusahakan sendiri oleh Zul dan rakan-rakan Dewangga Sakti saya tidak meletakkan harapan yang tinggi, walaupun memang terpaut bila pertama kali melihat kulit album.

Saya pasang dan dengar lagu ini di dalam kereta sepanjang perjalanan pulang dari KL ke Ipoh. Saya benar-benar terkejut apabila mendengar kualiti lagu di dalam album ini. Album ini benar-benar bermutu tinggi! Kualiti rakamannya sangat bagus! Saya boleh mendengar dengan jelas setiap instrumen yang dimainkan. Sungguh asyik mendengar petikan gambus, gitar dan gesekan biola. Alatan perkusi juga dimainkan secukupnya dengan tidak mengambil-alih peranan alat muzik lain. Petikan gambus memang mengasyikkan.

Lagu-lagu dalam album ini terdengar segar, terasa mendengar album new age atau world music buatan Malaysia yang berteraskan irama tradisional.

Prelude dan Selembar Kaseh sudah menambat hati saya dan sesuai sebagai lagu pemula. Lagu yang dicipta Zulkifli dan senikata oleh Mohsen ini dinyanyikan oleh Mohsen, vokal kumpulan Dewangga Sakti. Liriknya puitis dan menyentuh.

Lagu Belayar ke Pulau Jauh (Untuk Mencipta Rekod Dunia) memang sesuai dengan tajuknya. Lagu yang seakan menggambarkan suasana bergembira dan pesta-pestaan masyarakat Melayu. Budaya kenduri-kendara, sorak-sorai tetapi isinya kosong. Biar menang bersorak, tetapi kampung tergadai.

Lagu Kembali Menchari membuai perasaan saya dengan vokal Mohsen yang menyanyi dengan begitu santai. Sekali dengar seperti vokal kumpulan Dlyod, dua kali dengar macam Ebiet G Ade. Lagu ini diserikan dengan irama keroncong melalui petikan gitar. Liriknya perlu diamati yang membawa pesan berguna agar kembali ke asal. Asal yang mana?

Lagu Tertinggal Kapal Angkasa pula sarat dengan permainan instrumen yang diterajui oleh alat akordian dan biola. Lagu instrumental ini mengisahkan tentang Pak Abdul yang tertinggal kapal angkasa kerana tertidur pada hari pelancaran.

Kesimpulannya album ini patut dimiliki. Mutu album jauh lebih tinggi dari harga pasaran RM15. Saya letakkan album ini setanding dengan mutu album Mohar. Saya sangat berharap ada pihak yang dapat mengesan bakat anak-anak muda Dewangga Sakti ini supaya lekas terbit album penuh.

Album ini boleh dimiliki melalui Zulkifli Ramli di www.dewanggasakti.blogspot.com

Sabtu, Oktober 27, 2007

Seni Muzik Keroncong

.

.



Seni Muzik Keroncong
Ariff Ahmad.
ISBN 967-942-547-9
Penerbit UKM
RM40.00.

Saya peminat muzik keroncong. Muzik yang mungkin dianggap untuk orang tua. Entah mengapa ada sesuatu yang menarik tentang lagu dan muzik keroncong yang berjaya menambat hati saya. Petikan gitar, bass dan ukulele dalam muzik keroncong seakan membawa saya ke daerah dan suasana yang berlainan. Setiap kali mendengar muzik keroncong, saya rasa seakan terbuai dan dibawa hanyut ke zaman dahulu semasa kecil. Terbayang minum petang, di bawah pohon rendang atau di anjung rumah, menikmati teh jarang dan penganan dan kudap dimasak emak.

Saya ada teori tentang lagu keroncong yang mungkin ramai tidak setuju. Lagu keroncong dikatakan mempunyai pengaruh Poertugis yang pernah menjajah Melaka. Ianya mungkin dibawa ke Betawi apabila Portugis dikalahkan Belanda tahun 1624. Muzik keroncong asalnya dinyanyikan oleh tawanan perang Portugis yang ditawan oleh Belanda. Muzik keroncong ini kemudiannya berasimilasi dengan muzik tempatan lalu menjadi muzik Indonesia.

Saya punya teori yang muzik keroncong berasal dari zaman keagungan Islam Andalusia. Kerajaan Umayyah yang diasaskan oleh Khalifah Abd Rahman Al Dakhil di Cordova Sepanyol dan berjaya membangunkan satu tamadun yang hebat. Kerajaan Islam Umayyah berkembang dengan pesat di Andalus, Sepanyol, dan membangunkan tamaddun dalam bidang agama dan bukan agama. Cordova telah menjadi pusat ilmu pada kurun ke 10 Masehi dan bangsa Eropah belajar dari kaum muslimin bukan sahaja di Cordova tetapi di Seville, Toledo dan Granada.

Andalus telah melahirkan ramai tokoh-tokoh Islam dalam pelbagai bidang termasuklah dalam bidang muzik. Ibnu Firas dan Ibnu Ziryab adalah antara pelopor bidang muzik di masa itu.

Portugis dahulu adalah sebahagian dari Sepanyol. Apabila Kristian mengambil alih Andalus, ramai umat Islam yang dihalau dan dipaksa menukar agama. Ramai umat Islam yang berpura-pura menukar agama dengan cuba mengekalkan keIslaman mereka. Golongan ini dinamakan Morisko yang merujuk kepada kata asal Moors iaitu orang Islam yang berasal dari Maghribi.

Kini, lagu keroncong Morisko antara lagu keroncong popular di Indonesia. Mungkinkah ianya dicipta oleh seorang Portugis, yang datuk neneknya mungkin asal Islam yang dikerah menjadi tentera Portugis? Itu sebabnya muzik keroncong yang sudah diadun dengan muzik tempatan terasa begitu dekat dihati.

Buku Seni Muzik Keroncong ini adalah tulisan seorang tokoh penggiat muzik keroncong, Dr Ariff Ahmad yang merupakan karyawan tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Buku ini menceritakan tentang muzik keroncong di Malaysia, yang dipercayai diperkenalkan ke Tanah Melayu oleh pekerja buruh dari Indonesia yang berhijrah ke Malaysia untuk mencari pekerjaan. Penduduk dari Jawa berhijrah ke Malaysia untuk mencari pekerjaan. Seni muzik seperti gamelan, keroncong, kuda kepang, barongan, silat dan sebagainya dibawa bersama.

Tidak hairanlah banyak lagu keroncong Indonesia yang masyhur di Malaysia. Namun buku ini mendedahkan ramai tokoh Tanah Melayu yang mencipta lagu keroncong. Antara tokoh-tokoh yang terkenal masa itu ialah tokoh seperti Zubir Said, Ahmad Jaafar, P. Ramlee, Mohd. Wan Yet, Johar Bahar, Sudar Mohammad dan Zainal Ibrahim.

Lebih menarik buku ini memuatkan lirik lagu dan juga nota muzik lagu-lagu keroncong yang popular. Rupanya banyak sungguh lagu-lagu keroncong tulisan orang Malaysia tetapi mungkin tidak begitu diketahui ramai.

Minat sya kepada muzik keroncong juga telah memperkenalkan saya kepada para pendokong dan penggiat muzik keroncong di Indonesia. Saya telah dijemput bergabung ke keroncong@yahoogroups.com yang diusahakan oleh Adi Bangun. Saya jadi kerdil bila dibandingkan rakan-rakan di situ yang bermain muzik keroncong dan punya kumpulan muzik keroncong yang aktif bermain muzik keroncong. Saya jadi terkedu bila ditanya tentang muzik keroncong Malaysia. Saya hanya boleh menyebut nama seperti Kartina Dahari, Zubir Said dan M Nasir. Akhirnya buku ini sekurang-kurangnya memberitahu, Malaysia juga pernah punya karyawan keroncong yang berbakat.



Selasa, Jun 05, 2007

Nota Terakhir - Loga

.

Bagai tak percaya bila saya dengar berita di radio semalam. Ahli kumpulan Alleycats, Loganathan Arumugam telah meninggal dunia akibat barah paru-paru.

Saya lahir dan membesar dengan lagu-lagu Alleycats. Saya sering terkenang zama dahulu bila mendengar lagu mereka, seperti yang pernah saya tulis di sini

Loganathan Arumugam meninggal dunia akibat barah paru-paru di Hospital Mount Miriam, Pulau Pinang, pada jam 10:50 pagi pada 4 Jun 2007 pada usia 54 tahun. Beliau meninggalkan isterinya serta seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Takziah kepada keluarga.

Terima kasih kerana menghiburkan kami selama ini. Terima kasih kerana gigih menyanyikan lagu Melayu sehingga ke akhir hayat. Terima kasih kerana tidak putus asa dengan lagu Melayu walaupun orang Melayu sendiri sudah ramai yang lupa berbahasa Melayu.

Walaupun kurang fasih berbahasa Melayu, Loga dan abangnya David tidak malu menyanyikan lagu Melayu. Loga dan David sudah menyanyi selama 38 tahun bersama dan melahirkan 29 album. Khabarnya, ketika detik-detik akhir beliau di hospital, mendiang Loga kelihatan tersenyum apabila lagu-lagu beliau dimainkan semula.

Loga dan David adalah pejuang yang telah menyumbang ke arah merapatkan jurang antara kaum dengan lagu-lagu mereka. Lagu mereka telah mendekatkan orang bukan Melayu kepada Bahasa Melayu. (Dalam berita yang sama saya dengar cerita istilah Bahasa Melayu mahu ditukar semula kepada Bahasa Malaysia; sebagai mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan..)







Nota Terakhir - Loga



Loga Alleycats meninggal dunia - Utusan

Pemimpin PAS ucap takziah


Rabu, Mac 07, 2007

Opick & Tombo Ati

Terpaku saya bila baca berita tentang gempa bumi di Padang. Melihat foto-foto kejadian, ternyata Solok dan Padang Pariaman adalah antara kawasan yang pernah kami lalui semasa di sana. Sayu hati saya bila mendengar alunan lagu Opick di kereta siang tadi. Semasa di Padang lagu Opick inilah yang menemankan kami sepanjang perjalanan. Terbayang kembali pemandangan di sepanjang jalan. Entah apa nasib penghuninya sekarang.

Pak Bambang telah memperkenalkan Opick kepada saya. Beliau mainkan lagu ini di dalam Innova yang kami naiki. Saya memang pernah dengar lagu Opick ini dahulu, Tombo Ati, tanpa tahu nama lagu dan nama penyanyinya. Lagu Tombo Ati nyanyian Opick ini sebenarnya adalah sebuah lagu yang istimewa. Istimewa kerana lagu inilah yang melonjakkan nama Opick di pentas senisuara. Opick atau nama penuhnya Aunur Rofiq Lil Firdaus bermula sebagai penyanyi rock. Opick juga tidak segan-segan mengaku yang dia dahulu menjalani kehidupan yang agak liar sebelum menjadi penyanyi nasyid. Opick pernah merakamkan 6 album rock tetapi kurang mendapat sambutan.

Kesempatan lahir kepada Opick apabila diminta menyanyikan lagu Tombo Ati.

Tombo Ati (Ubat Hati)

Tombo Ati iku limo perkorone
Kaping pisan moco Qur’an lan maknane
Kaping pindo sholat wengi lakonono
Kaping telu wong kang sholeh kumpulono
Kaping papat kudu weteng ingkang luwe
Kaping limo dzikir wengi ingkang suwe

Salah sawijine sopo iso ngelakoni
Mugi-mugi Gusti ALLOH nyembadani

Obat Hati ada lima perkaranya
Yang pertama baca Qur’an dan maknanya
Yang kedua sholat malam dirikanlah
Yang ketiga berkumpullah dengan orang sholeh
Yang keempat perbanyaklah berpuasa
Yang kelima dzikir malam perbanyaklah

Salah satunya siapa bisa menjalani
Moga-moga Gusti ALLAH mencukupi



Istimewanya Tombo Ati adalah gubahan ulamak terkenal Nusantara iaitu Sunan Bonang, salah seorang Wali Songo. Sunan Bonang dan anak muridnya, Sunan Kalijaga tercatat dalam sejarah, menyebarkan Islam melalui wadah seni. Beliau giat berdakwah melalui gamelan dan pentas wayang. Masyarakat masa itu yang kuat dengan pengaruh Hindu telah beliau dakwahkan dengan memasukkan unsur Islam dalam persembahan seni.

Antara yang masih popular hingga kini ialah lagu Tombo Ati yang sering dilagukan di pesantren dan keramaian Lagu ini telah digubah semula oleh Opick dan diberi sentuhan musik yang segar. Mungkin berkat lagu Sonan Bonang ini, nama Opick telah mula dikenal ramai sebagai penyanyi lagu nasyid terulung di Indonesia.



Album Istighfar Opick telah laku 800,000 unit dan mendapat 5 anugerah platinum. Hampir kesemua lagu Opick dalam album Istighfar ini telah dijadikan lagu latar bagi sinetron Indonesia.

Album keduanya Semesta Bertasbih juga sangat-sangat popular. Kami beli kedua-dua album Opick, satu kaset Istighfar untuk Suri dan Satu CD Semesta Bertasbih untuk saya.



Ternyata album Semesta Bertasbih adalah sebuah album yang berbaloi saya beli. Sudah berpuluh kali saya ulang dengar masih tidak jemu-jemu. Album ini memuatkan juga duet Opick bersama Melly Goeslaw. menyanyikan lagu Takdir. Saya suka kesemua lagu dlam album ini. Paling saya suka lagu Teranglah Hati, Teranglah Jiwa lagu Opick bersama Pendawa Lima. Lagu 25 Rasul pun sangat menarik susunan muziknya, lari jauh dari irama nasyid semasa.


Opick juga adalah pencipta lagu yang bagus dan kreatif. Hampir semua lagu dan lirik dalam album ini adalah ciptaaan beliau. Lagunya juga sedap dan segar didengar. Ini kerana susunan muzik dan penggunaan alatan muzik percussion dan strings yang sangat sesuai dengan lirik dan melodi lagu. Ini mungkin satu pembaharuan bagi lagu nasyid. Walaupun menggunakan muzik, tetapi ternyata ianya tidak merosakkan lagu malah mengindahkan lagi lagu dan memberi kesan yang kuat kepada lirik dan melodi lagunya.

Saya juga baru tahu, Opick adalah pencipta lagu popular, Dealova yang dinyanyikan oleh Once dari Kumpulan Dewa. Patutlah bila dengar lagu-lagu Opick ini, rasa macam pernah didengar.

Mungkin kerana latarbelakang beliau dari seorang penyanyi rock, membuatkan lagu-lagunya sungguh segar dan dan susunan muziknya kontemporari. Sosok dan penampilan beliau mengingatkan saya pada penyanyi nasyid tanahair, Aqil Hayy. Saya harap penyanyi rock di Malaysia boleh mengikut jejak langkah Opick dan Aqil Hayy.





Rabu, Julai 19, 2006

Muhammad Al-Durrah



Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Ingat lagi kisah berdarah di Netzarim? Kisah Muhammad Al-Durrah dan ayahnya Jamal Al-Durrah yang ditembak semasa pertempuran? Tak Ingat? Sudah lupa?

Muhammad Al-Durrah masih berumur 12 tahun ketika syahid ditembak Rejim Israel enam tahun yang lalu. Peristiwa 30 September 2000 itu telah menggemparkan dan rakaman fotonya tersebar ke seluruh dunia.

Pagi itu Muhammad al-Durrah mengikut ayahnya keluar ke bandar. Malangnya tiba di satu persimpangan jalan di Netzarim, mereka terperangkap dalam pertempuran antara pihak berkuasa Palestin dan Israel yang sedang berbalas tembakan. Jamal cuba melindungi anaknya lalu berlindung dibalik tembok bangunan. Selama 45 minit jeritannya meminta pertolongan tidak dihiraukan. Muhammad terkena tembakan di kaki. Akhirnya Muhammad Al-Durrah terkorban di riba ayahnya setelah terkena empat tembakan peluru. Jamal juga cedera parah walaupun berjaya diselamatkan selepas menjalani rawatan kecemasan di Jordan.

Free Image Hosting at www.ImageShack.us

Kejadian ini berjaya dirakam oleh jurufoto France 2 yang berjaya merakam 27 minit dari kejadian tersebut. Imej ini akhirnya tersebar ke seluruh dunia dan menjadi bukti kekejaman Zionis Israel.

Rejim Israel seperti biasa dengan berbeli-belit, mahu berlepas tangan. Berbagai tuduhan dilemparkan. Sehingga direka cerita bahawa tragedi itu hanyalah sebuah lakonan untuk menarik simpati. Yang peliknya ada juga yang percaya. Betapa besarnya pengaruh rejim Israel. Semua media memainkan propaganda jahat Zionis.

Sehingga kehari ini, peristiwa itu terus menjadi igauan ngeri buat keluarga Al-Durrah. Zionis mungkin lupa. Dunia akan lupa. Namun meraka akan sentiasa ingat. Mereka tidak akan lupa. Jamal Al-Durrah berkata, kematian anaknya tidak sia-sia. Muhammad al-Durrah syahid demi Al-Aqsa. Amal, ibunya menambah, perginya Muhammad adalah satu pengorbanan mereka untuk tanahair tercinta, Palestin.

Kisah di Netzarim ini turut diabadikan dalam album Phoenix Bangkit karya M Nasir.Lagu bertajuk Masirah ciptaan M Nasir dan lirik oleh S Amin Shahab cuba berkongsi rasa penderitaan sebuah bangsa. Kebetulan semalam saya menonton kembali VCD Konsert Phoenix Bangkit (sambil membaca buku SN A Samad Said, Ilham di tepi Tasik).

Tersentuh jiwa. Sudah lupakah dunia akan kisah berdarah ini. Berapa ramai lagi Ad Durrah yang akan terkorban sebelum dunia berbuat sesuatu?



MASIRAH


Suara duka angin Gazza
Gegar jantung bumi kita
Nyawa anak di hujung senjata
Tangisan bonda hanya sia-sia

Masirah anak al-Durrah
Netzarim bermandi darah
Begitu megah mata
memandang dusta

Masirah dalam amarah
Hilang kalam kebenaran
Kudrat alam hanya menjadi rebutan

Berbaris-barislah ke satu arah
Jangan sampai berpisah menyusun langkah
Mencari-cari erti kedamaian
Di dalam jiwa tersirat jawapan

Masirah anak al-Durrah
Netzarim lambang perjuangan
Kita menanti tangan pembelaan

Masirah dalam amarah
Hilang kalam kebenaran
Kudrat alam hanya menjadi rebutan

Masirah anak al-Durrah
Netzarim lambang perjuangan
Kita menanti tangan pembelaan
Masih menanti tangan pembelaan...



Lagu: M.Nasir
Lirik: S.Amin Shahab/ Puisi dalam bahasa Perancis oleh Tok Mat Sungai Congkak
Album: Phoenix Bangkit
Luncai Emas 2001

Rabu, Jun 14, 2006

M Nasir & Sang Pencinta

Image Hosted by ImageShack.us

Rakan-rakan yang biasa singgah di blog ini sudah tentu sedar yang saya meminati karya penyanyi M Nasir. Banyak catatan saya di sini tentang M Nasir. Antara tulisan terawal saya di blog ini ialah mengenai lagu Phoenix Bangkit Dari Abu. Lagu yang saya anggap lagu motivasi terbaik buat bangsa Melayu yang cuba bangkit dari kelemahan dan kehinaan. Album ini lahir tahun 2001, zaman pasca Anwar dan pra Abdullah.

M Nasir memang ramai pengkagumnya. Sehingga diberi gelaran sifu. Entah kerana beliau memang benar-benar mendidik ramai artis, atau kerana ramai artis jadi popular dengan karya beliau.

Saya meminati lagu-lagu karya M Nasir. Lagu-lagu ciptaan beliau unik dan lirik-liriknya puitis dan mendalam maksudnya. Saya minat M Nasir kerana banyak belajar dari lagu-lagu M Nasir. Saya mengenal Jalaludin Rumi & Mathnawi dari lagu beliau, Bila Rumi Menari. Saya bertemu karya Hamzah Fansuri melalui lagu Kias Fansuri. Saya terhimbau dengan kemegahan Al-Hambra dalam lirik lagu Andalusia. Saya mula mencari karya Fariduddin Atthar, Mantiq At Tayr lalu hanyut dengan kisah burung hud-hud dan Raja Simurgh, tatkala mendengar lagu Tanya Sama Hud Hud.

Album Phoenix Bangkit adalah album terbaik M Nasir. Tak keterlaluan kalau saya katakan antara album Melayu terbaik yang pernah saya miliki. Album sebelumnya, Saudagar Mimpi dan Canggung Medonan telah melahirkan evlousi irama Melayu lama dalam rentak baru yang progresif. Phoenix Bangkit pula meneruskan kesinambungan lagu irama Nusantara tersebut dengan lrama dari `dunia Moorish’ dengan ghazal dan petikan gambus.

Bermula dengan lagu Phoenix Bangkit dari Abu, yang sering buat bulu roma saya berdiri. Lagu Raikan Cinta yang mengisahkan tentang kembara perjuangan Siti Hajar mencari `Cinta’. Lagu Sahabat Gua dan kisah Ashabul Kahfi. Saya mula mencari kisah dan simbolisme Pak Dogol, apabila mendengar Lagu Langgam Pak Dogol, sebuah lagu yang sangat bagus dari segi lirik dan susunan lagunya. Saya tersenyum sendiri mendengar lirik lagu Melawan Arus yang memperingatkan tentang risiko jika mencabar status quo, juga lagu Dah Lagu Tu..Nak Lagu Mana Lagi yang menyindir seorang raja yang enggan berundur dari takhta.


Kini M Nasir kembali dengan album baru. Album ini berlainan dari album sebelumnya. Sudah tidak ada lagi irama Phoenix Bangkit. Lebih mirip lagu-lagu zaman Kembara yang dihidangkan dengan bumbu dan perisa segar. Seolah-olah berundur 20 tahun ke belakang.

M Nasir sendiri mengaku begitulah arah lagu-lagu dalam album ini. Tiada lagi lagu irama nusantara ataupun world music. Tiada lagi percussion. Tiada Mohar & Ramli. Yang ada, lagu-lagu biasa. Macam lagu main-main. Tetapi lagu main-main macam itulah yang selalunya meletup.

Saya percaya, album ini lahir untuk menarik perhatian golongan muda. Sekali dengar, mirip album Mawi. Tajuknya pun hampir sama. Tengok sahaja kulit album ini. M Nasir bergaya ranggi bagai seorang anak muda. Kalau album Phoenix Bangkit dihiasi lukisan-lukisan abstrak, album ini dihiasi dengan foto-foto M Nasir bergaya di sebuah hotel di ibukota. Album ini bagai satu cubaan mahu meremajakan M Nasir yang sudah pun menghampiri setengah abad. Mungkin untuk memancing minat anak-anak muda generasi baru.

Kalau Phoenix Bangkit bermain dengan irama Melayu dengan adunan rentak Arab dan dunia, album ini lebih berunsur pop dan rock. Sekali dengar ada bunyi macam lagu-lagu boy band dari Indonesia.

Satu kelebihan M Nasir yang saya kagumi ialah kecintaan beliau terhadap irama keroncong. M Nasir terkenal menghargai irama keroncong dan sering menyelitkan satu lagu irama keroncong di dalam setiap album beliau. Namun dalam album ini saya sedikit kecewa kerana tiada lagi lagu keroncong. M Nasir mula membuat saya jatuh cinta dengan lagu keroncong yang segar melalui lagu Keroncong Untuk Ana. Semenjak itu saya jadi penggemar keroncong dan mengenal Bengawan Solo dan Keroncong Kemayoran.

Walaupun berlainan arahnya dari album terdahulu, album terbaru M Nasir bertajuk Sang Pencipta ini tetap salah sebuah album Melayu terbaik tahun ini. Kali ini M Nasir bereksperimen dengan irama rock, irama blues, progresif rock, ska, folk rock, polka, Motown dan Broadway.

Album ini perlu didengar berulang kali, baru terasa kelainannya. Antara yang enak didengar sudah tentu lagu Juwita Citra Terindah yang sering berkumandang di corong radio, juga lagu sang Pencinta yang jadi tajuk album.

Lagu yang paling saya suka ialah lagu Tujuh Nafas Lagi. Kata M Nasir, lagu ini macam lagu sarkas. Sekali dengar macam lagu broadway atau lagu kabaret. Gabungan rentak polka dan reggae ini mencetuskan irama ska.

Kalau anda peminat fanatik M Nasir, album ini tentu sudah dimiliki, walau pun dikatakan album ini tidak sebagus yang sebelumnya.

Jumaat, Disember 30, 2005

Hingga Akhir Nanti...


Terhibur betul saya tengok Alleycats di TV7 semalam. Rancangan dari studio 1 yang pernah disiarkan di Astro. Dah lama tak tengok Alleycats beraksi di pentas.

Lagu-lagu Alleycats memang puitis dan sedap didengar. Berapa banyak jiwa yang terusik, berapa banyak kolam airmata yang melimpah dek lagu-lagu mereka. Siapa yang tak tersentuh dengan siri lagu Februari mereka, Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi dan Setahun sudah berlalu yang begitu puitis. Lagu Berita dari Rantau yang menggamit kenangan di kampung, juga lagu Khabar buat Ibu yang bagai isi sepucuk surat kepada ibu mohon merestui seorang calon menantu.

Saya besar dengan lagu-lagu Alleycats. Mendengar kembali lagu-lagu ini pasti akan mengingatkan saya semula pada memori lama, kisah di tahun 70 an ketika masih di sekolah rendah. Akan terbayang wajah kawan-kawan sepermainan. Lagu-lagu ini mengingatkan saya masa di asrama, berkongsi dengar lagu di pemain kaset kawan. Teringat macam mana kami dengan pintarnya menyembunyikan pemain kaset di dalam loker dari warden sewaktu Inspection setiap pagi Sabtu.

Ada sesuatu yang menarik mengenai Alleycats. Walaupun tak berapa fasih berbahasa Melayu, mereka berjaya menyampaikan lagu Melayu dengan begitu baik sekali. Zaman itu, ramai juga penyanyi bukan Melayu memilih menyanyi lagu Melayu. Ada Gingerbread, ada Moses & Chris Vadham, ada Kenny, Remy Martin, DJ Dave. Sebelum itu ada Andre Goh yang menyanyi lagu asli dengan begitu baik sekali.

Kini, bukan tak ada penyanyi bukan Melayu menyanyi lagu Melayu, tapi sukar nak dicari. Apa nak dihairankan, yang Melayu pun segan nak nyanyi lagu Melayu. Bukan lagu sahaja, akhbar, filem, bahan bacaan dan lain-lain yang Melayu sifatnya bagai sekadar jadi milik sekelompok kecil dari satu bangsa besar yang kononnya berdaulat. Ia bagai bukan lagi jadi milik negara yang dijunjung bersama.

Ada satu lagi yang menarik tentang ahli kumpulan Alleycats ini terutama dua ahlinya yang asal iaitu David dan Loga. Walaupun zaman sudah berubah, sudah masuk era globalisasi, mereka bagai terperangkap di zaman 70-an. Lihatlah fesyen pakaian mereka. Rambut Afro sarang tebuan, pakai baju batik atau baju bunga-bunga masuk ke dalam seluar. Orang dah tak pakai macam tu, tapi mereka masih tak berubah. Mereka bagai ikan di lautan masin. Pedulikan apa orang kata. Mereka tetap macam itu. Alleycats belum bercadang untuk tukar rambut afro dengan rambut gaya mohican atau gaya rasta untuk mengambil hati peminat.

Lain pula dengan orang kita yang tak mau jadi ikan. Kadang suka mengembek macam kambing, kadang mengaum macam rimau, bergantung pada kandang mana kita berada. Kadang jadi sesumpah, agar lebih deras boleh menukar warna kulit.

Eh.. Panjang pula cerita saya. Terima kasihhhhhh...

Khamis, Julai 28, 2005

Hadapi Dengan Senyuman




Saya ni terlambat sikit. Baru ni sahaja saya dengar lagu kumpulan popular dari Indonesia iaitu Dewa. Sedangkan lagu-lagu kumpulan ini sudah jadi siulan anak muda kini (mungkin kerana saya sudah masuk ke golongan tua, agaknya :) ). Pertama kali saya dengar lagu ini terus terpikat dengan liriknya yang mudah dan berkesan, terutama lagu Hadapi Dengan Senyuman. Mungkin kerana saya boleh `relate' dengan tajuk lagu tersebut.



HADAPI DENGAN SENYUMAN
SEMUA YANG TERJADI
BIAR TERJADI….
HADAPI DENGAN TENANG JIWA
SEMUA... KAN BAIK BAIK SAJA

BILA KETETAPAN TUHAN
SUDAH DITETAPKAN
TETAPLAH SUDAH….
TAK ADA YANG BISA MERUBAH
DAN TAKKAN BISA BERUBAH


RELAKANLAH SAJA INI
BAHWA SEMUA YANG TERBAIK
TERBAIK UNTUK KITA SEMUA
MENYERAHLAH UNTUK MENANG


DEWA
Album Laskar Cinta
Lagu Ciptaan Ahmad Dhani


Alangkah baiknya jika kita boleh menghadapi segala cabaran dan dugaan hidup dengan senyuman. Selamat dunia. tak payah bertekak, tak payah bertegang urat, tak payah `argue for the sake of arguing'.

Yang jadi masalah, kita selalu mau menang dalam segala keadaan. Kata pensyarah saya di kelas International Business minggu lepas, frasa `Win-win' itu sekadar mainan bibir semata, kerana jauh di sudut hati semua pihak mahu menang, atau `win-lose', cuma sebanyak mana kita `win' yang jadi perkiraan.


Walau apapun yang mendatang, singa atau rimau, akan saya hadapi dengan senyuman... :)

Isnin, Mac 07, 2005

Bila Rumi Menari

.





BILA RUMI MENARI

Kita menari bukan sebarang tarian
Asalnya dari tanah orang-orang pilihan
Bila terdengar masnawi ciptaan maulan
Ku bunuh nafsu lebur rantainya dari badan

Hingga hilang bangga diri
Berani hidup berani mati
Bagai musafir bertemu janji
Ini Darwis sudah gila berahi

Kita tak rindu pada siasah dunia
Perangkapnya membuat manusia hampa
Untuk bertemu impian bukan percuma
Mengorbankan yang tersangat kita cinta

Bagai Yunus di makan paus
Ibrahim tak makan api
Bertemu kekasih di malam kudus
Luka di badan tak terasa lagi

Pukullah rebana jantungku
Bersyairlah maulana
Aku mabuk hakiki
Mendengar suaramu...

Sayang........
Pada mereka yang tak mengerti
Sayang........
Pada hati tertutup mati
Bagai sangkar tanpa penghuni
Burung berharga terlepas lari

Rindu...
Kembali bertemu
Hatiku merindukan pemiliknya
Rindu...
Kembali bersatu
Kembali bersatu dengan yang di kasihi
Rindu...
Kembali bertemu
Hatiku merindukan pemiliknya
Rindu...
Kembali bersatu
Kembali bersatu dengan kekasih....

Lagu dan Lirik : M.Nasir
Album : Phoenix Bangkit
© 2001 Luncai Emas Sdn. Bhd.



Petang semalam sempat menonton M Nasir Destinasi Dunia yang membawa M Nasir ke Istanbul, Turki. Walaupun tidak ke Konya mencari Rumi, saya tetap teringat kepada lagu ciptaan M Nasir yang sangat saya minati iaitu Bila Rumi Menari.

Bila M Nasir melagukan lagu Bila Rumi Menari beliau bukan maksudkan tulisan Rumi menari, ataupun Rumi menari untuk menambat hati Juli. Rumi yang dimaksudkan dalam lagu ini ialah tokoh besar Jalaluddin Rumi (1207-1273), seorang sufi hebat yang sangat terkenal dengan puisi-puisi cintanya yang memukau. M Nasir sering mengungkapkan falsafah cinta universal dalam lagu-lagu beliau, bagai mendapat inspirasi dari Rumi.

Jalaludin Rumi asalnya, adalah seorang ulama yang terkenal dan mempunyai murid yang ramai di bandar Konya. Kehidupannya berubah bila beliau berjumpa seorang pengembara sufi bernama Syams dari Tabriz. Rumi mula kagum, lalu menghabiskan masa berbincang dan berdebat dengan Syams mengenai agama dan kesufian, sehingga Rumi sering meninggalkan kerja mengajarnya. Ini menimbulkan kekecewaan anak murid Rumi lalu menuduh Syams sebagai punca angkara. Syams lalu membawa diri dan meninggalkan bandar Konya.

Pemergian Syams telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada Rumi. Rumi telah menjadi sufi, hasil dari pertemuan, persahabatan, ketulusan, dan perpisahan dengan Tabriz. Kesedihannya berpisah dan kerinduannya untuk berjumpa lagi dengan gurunya itu telah melahirkan Jalaludin Rumis sebagai seorang penyair agung yang sukar ditandingi. Rumi mulai menuliskan puisi-puisi cinta sebagai ungkapan dari penemuan-penemuan mistiknya bersama Syams. Kumpulan puisi-puisi cinta ini dibukukan sebagai Diwan Syams-I Tabriz untuk mengenang dan menghormati sahabatnya itu.

Rumi kemudian mendapat sahabat dan sumber inspirasi baru, Syekh Hisamuddin Hasan. Selama 15 tahun terakhir hayatnya, Rumi berjaya menghasilkan himpunan puisi yang besar dan mengagumkan yang diberi nama Mathnawi. Rumi juga telah mengembangkan tarekat Maulawiyah. Tarekat ini dikenali dengan nama The Whirling Dervishes ataupun Darwis yang Berputar-putar. Nama itu muncul karena para penganut tarekat ini melakukan tarian berputar-putar dalam zikir mereka.

Kini Rumi dikenali sebagai penyair sufi yang terkenal di seluruh pelosok dunia. Karya beliau dikatakan setanding dengan Shakespeare dan Dante dan telah diterjemahkan ke berpuluh bahasa dunia. Peminat karya beliau melangkaui batasan usia dan agama, bangsa dan bahasa yang menghayati dan merindui puisi-puisi Rumi yang bercerita mengenai kecintaan kepada Tuhan dan ciptaannya.

Isnin, Februari 07, 2005

Halim Yazid dan Dikirnya..

.


Halim Yazid
Paradigma Lain
kompilasi klip video dikirfikir terbaik
Amalini Production 2004

Siapakah Halim Yazid? Nama itu mungkin tidak dikenali tetapi Halim Yazid sangat terkenal di pantai timur. Halim Yazid adalah seorang penyanyi. Penyanyi? Kenapa tak pernah dengar nama tu? Beliau tidak dikenali kerana genre muzik yang dipilihnya tak glamor.

Muzik dikir barat.

Album pertama Halim Yazid saya jumpa di Kota Bharu beberapa tahun lepas. Angin tajuknya. Saya terpaut dengan lagu Diri Ambo. Sungguh menyentuh perasaan. Hampir menitik air mata lelaki ini bila Halim mengisahkan kemiskinan hidupnya dalam menuntut ilmu. Tak ada duit untuk bayar yuran sekolah. Kisah ayahnya menjual tanah untuk biaya beliau menyambung pelajaran ke Universiti. Ya, Halim lulusan UM.

Begitulah uniknya lagu dikir barat moden nyanyian Halim Yazid. Kekuatan lagu terletak pada lirik loghat Kelantan, juga melodi yang selalunya diambil dari lagu popular sedia ada. Di samping itu juga menarik jika didengar lagu Oh Carol & Winds of Change dinyanyikan secara dikir barat.

Sewaktu ke Kota Bahru, 2 bulan lepas, sempat saya membeli satu VCD Halim Yazid, bertajuk Paradigma Lain. Produk ini adalah VCD pertama Halim Yazid. Di cover bahagian dalam VCD ini tertulis kerisauan Halim Yazid mengeluarkan VCD kerana katanya;

“kerja membuat video klip adalah sangat berbeza dengan menghasilkan dikir fikir kerana ia memerlukan ilmu asas, kepakaran, penghayatan, serta sentuhan dan aliran pemikiran yang berlainan. Kerja memindahkan makna dari lirik dikir kepada bahasa visual tidak semudah memacakkan kamera dan menyanyi sewenang-wenang di hadapannya. Ia memerlukan daya fikir dan proses penataan seni yang tinggi supaya makna dan rasional dari kedua-dua seni dikir dan cinematografi dapat diangkat dan digembeling secara kreatif dan berasas.”

Sayang tiada lagu Diri Ambo dalm VCD ini, namun kesemua lapan lagu dalam VCD ini tidak kurang menarik. Video klipnya juga sangat sederhana sesuai dengan kos perbelanjaan dan pasaran album ini. Halim Yazid sedar akan batasan geografi dan populariti yang membatasi pengedaran album beliau keluar dari Kelantan.

Hadirnya Halim Yazid adalah penting kerana beliau cuba lari dari dikir barat yang berbaur lucah. Lirik lagu dikir Halim Yazid kesemuanya membawa unsur kehidupan dan nasihat yang sesuai dan serasi dengan budaya timur.


Jumaat, Januari 14, 2005

Kembara M Nasir Mencari Flamenco

.



Akhirnya penantian menunggu bermulanya M. Nasir Destinasi...Dunia, berakhir apabila rancangan itu mula disiarkan di Astro Ria setiap hari Khamis pukul 9.30 malam. Penantian itu memang berbaloi kerana rancangan setengah jam yang diacarakan oleh M Nasir itu lain dari rancangan hiburan lain. Ia merupakan sebuah travelog mengenai muzik yang menarik dan informatif. Rancangan ini cuba melihat seni muzik lebih dari sekadar hiburan biasa. M Nasir memberi ulasan tentang seni muzik lebih sebagai manifestasi budaya dan peradaban sesuatu bangsa.

Episod 1 & 2 telah membawa kita ke London, melihat penyanyi jalanan juga mengenang tempat lahirnya Beatles.

Episod semalam, kita telah dibawa oleh M Nasir ke Madrid, Sepanyol. Kembara mencari muzik Sepanyol, terutamanya muzik flamenco. Kembara M Nasir kali ini singgah di Madrid melihat seni pembuatan gitar flamenco. Kayu disimpan selama 25 tahun untuk dibuat gitar yang dijual dengan harga puluhan ribu ringgit. Kita dibawa singgah di toko pembuat gitar terkemuka Sepanyol,Jose Romero yang juga membuat gitar untuk pemain gitar flamenco tersohor dunia, Paco de Lucia.

Paco De Lucia terkenal sebagai orang yang bertanggungjawab memberikan wajah baru kepada muzik flamenco. Eksperimen beliau dengan Cameron de La Isla telah mempopularkan muzik flamenco di serata dunia, dengan nama New Flamenco yang lebih segar tetapi masih asli. Genre muzik ini telah dipopularkan kemudiannya oleh Gipsy Kings dari Perancis, dan diberi sentuhan pop oleh pemuzik terkemudian seperti Armik, Ottmar Liebert dan lain-lain.

Mendengar petikan gitar flamenco mendatangkan satu rasa yang lain. Rasa bagai mendengar satu genre muzik yang hampir dengan kita. Ada jiwa dan rasa muzik timur tengah. Kalau diteliti, muzik dan lagu flamenco mirip lagu ghazal dan seperti bunyi orang meratib dan merintih. Adakah itu rintihan umat Islam di Andalus yang telah diperlakukan dengan kejam oleh pemerintahan kejam Kristian Ortodoks di Andalus?

Tak sabar menunggu episod seterusnya. Mungkinkah M Nasir akan membawa kita ke Alhambra, yang ditinggalkan dengan tangisan oleh Boabdil, raja terakhir kerajaan Islam Andalus?



Isnin, Oktober 18, 2004

M Nasir: Destinasi... Dunia.





M Nasir: Destinasi... Dunia.

M Nasir, penyanyi tersohor Malaysia telah memulakan jelajah dunia dengan terbang ke Istanbul, Turki, pada 1 Oktober yang lepas. Kembara jelajah dunia selama 46 hari itu adalah dalam proses untuk menerbitkan dokumentari berunsur muzikal yang diberi nama M Nasir: Destinasi... Dunia. Perjalanan beliau ini akan menjelajahi negara yang kaya dengan kepelbagaian bunyi dan alat muzik. Rancangan dokumentari muzikal itu bertujuan untuk mendidik dan menghiburkan penonton mengenai kepelbagaian bunyi dan suara, melihat fungsi budaya dalam muzik dan mempromosikan muzik tanah air ke segenap pelosok dunia.

Artikel di Berita Harian 11 Oktober, 2004 melaporkan yang beliau akan ke Turki, Sepanyol, India, England, Nepal, Thailand dan Indonesia.

Saya tertarik dengan pilihan negara yang akan beliau lawati. Saya dapat merasakan, yang perjalanan beliau kali ini adalah satu pencarian untuk mencari asal-usul dan susur galur keperibadian Melayu dan Islam. Sedikit sebanyak muzik Melayu banyak dipengaruhi oleh muzik dari negara-negara tersebut.

M Nasir akan memulakan jelajahnya dengan melawat Turki dan dua tempat telah disenaraikan akan dilawati iaitu Konya dan Cappadocia. Konya adalah bandar Maulana Jalaludin Rumi, pengasas aliran sufi Mevlevi yang terkenal dengan `Whirling dervishes’ ataupun Derwis Menari. M Nasir pernah mencipta lagu bertajuk Bila Rumi Menari yang menceritakan tentang Maulana Rumi yang mabuk cinta dengan Penciptanya. Maulana Jalaluddin ar Rumi dilahirkan pada 1207 Masihi dan meninggal dunia pada 1273 Masihi. Rumi terkenal dengan sajak Cinta Antara Tuhan dan Makhluknya, terkenal dengan kitab Mathnawi dan Diwan nya yang sangat puitis.


M Nasir juga akan melawat bandar Cappadocia, di mana terletaknya pekan Hacibektas, yang terkenal sebagai sebuah pusat satu lagi aliran sufi iaitu Alevi-Bektasi. Aliran sufi ini diasaskan oleh Hacı Bektaş Veli yang dikatakan dari keturunan Ali. Pada bulan Ogos setiap tahun, pengikut aliran sufi Alevi-Bektasi ini akan berhimpun dan akan menarikan tarian sufi atau semah dari daerah yang berlainan.

Selain Turki, M Nasir juga akan ke Sepanyol, iaitu Madrid, Marbella dan sudah tentulah selatan Sepanyol ataupun Andalusia. Ingat lagi lagu Andalusia nyanyian M Nasir? Andalusia pernah menjadi negara yang aman makmur di mana penduduk Islam, Kristian dan Yahudi telah duduk dengan aman di bawah pemerintahan Islam. M Nasir dijadualkan akan ke Cordobar di mana terletaknya Masjid Qurtubah yang sangat cantik. Masjid ini telah telah ditukar kepada Gereja Kristian bila kerajaan Islam ditumbangkan oleh Fernando III pada tahun 1236.

Harapan saya M Nasir akan membuat kajian tentang irama flamenco yang terkenal di Andalusia terutama di Bandar Seville. Flamenco adalah irama yang kuat unsur Moorish atau Islam nya.

Apabila Granada iaitu kota terakhir Islam di Sepanyol berpindah tangan kepada Kristian pada thun 1492, berpuluh ribu orang Islam telah dipaksa untuk menukar agama mereka. Sesiapa yang engkar akan dibunuh. Ramai penganut Islam yang telah menukar agama dalam terpaksa dan mereka ini digelar Moriscos .

Moriscos terkenal dengan muzik dan tariannya yang sangat menarik. Mereka melahirkan kedukaan mereka dalam lagu-lagu dan tarian flamenco. Irama Flamenco jika dihalusi banyak mempunyai banyak unsur-unsur, gypsy, Arab dan Afrika Utara yang datangnya dari Islam.

Harapan saya, rancangan yang dihoskan oleh M Nasir dan akan disiarkan di Astro Ria ini akan menjadi rancangan yang menarik, bukan sekadar menghiburkan, malah sarat dengan ilmu pengetahuan yang boleh mendidik penontonnya nanti. Besarlah harapan agar ianya akan setanding dengan rancangan Jejak Rasul atau setidak-tidaknya lebih baik dari rancangan seperti Melodi atau Parti Cit Cat.

Isnin, Oktober 04, 2004

Jangan cuba melawan arus!



Lata Kinjang, Perak


MELAWAN ARUS

Kata orang jangan kau cuba melawan arus
Pecah bahtera kau kecundang karam terjerumus
Tapi jika terpaksa pergi kau mesti pergi
Di balik gunung di kaki pelangi engkau cari
Mimpi perangsang hidup dan kau di beri tawaran
Tak bisa ditolak...

Minta bebas
Bebas dari sangkar maya ini
Minta terbang
Lepas dari sarang buana ini
Minta bebas
Bebas dari sangkar maya ini
Minta terbang
Lepas dari sarang buana ini

Kata orang ada racun dalam kecantikan
Itu terang membuat engkau mabuk cendawan
Tapi jika terpaksa milik kau mesti milik
Biar di cerca dihina dan engkau diherdik
Kerna dia engkau menjadi lelaki
Di beri pilihan antara hidup dan mati

Minta bebas
Bebas dari sangkar maya ini
Minta terbang
Lepas dari sarang buana ini
Minta bebas
Bebas dari sangkar maya ini
Minta terbang
Lepas dari sarang buana ini

LAGU: M.NASIR
LIRIK: M.NASIR

Lagu di atas adalah nyanyian dan ciptaan M Nasir, yang terkandung dalam album beliau bertajuk Phoenix Bangkit yang diterbitkan dalam tahun 2002. Tidak dinyatakan pula apa dan siapa yang beliau maksudkan dengan melawan arus. Namun, peminat dan pendengar dapat membuat telahan sendiri dan ramai juga yang mengaitkan lagu ini dengan suasana politik semasa waktu itu.

Sejarah peradaban manusia telah melahirkan banyak tokoh yang melawan arus. Tokoh yang tidak mahu memilih jalan selamat, dan mahu melakar jalan sendiri. Jalan mudah dengan mengikut pandangan ramai yamg popular tidak menarik perhatian mereka. Mereka ini telah memilih jalan yang sukar dan penuh onak berdiri. Ada yang berjaya dan ada yang kandas. Ada yang hidup senang dan bahagia di kemudian hari, dan ada juga yang hidup merempat hingga ke akhir hayat. Mereka hidup dan berjuang atas prinsip yang mereka dokong. Walaupun pendapat dan idea mereka tidak dapat di terima di masa dan ketika itu, mereka terus berjuang.

Dalam sejarah negara, telah ramai tokoh yang melawan arus. Walaupun orang Melayu terkenal dengan sifat HangTuah yang taat setia tidak berbelah bahagi, namun dalam sejarah akan timbul juga watak Hang Jebat yang akan menentang ketidakadilan yang wujud dalam masyarakat. Dato' Onn Jaafar telah melawan arus bila mencadangkan UMNO dibuka pada semua kaum. Tokoh PKMM telah melawan arus bila membawa slogan yang sangat asing pada masa itu, iaitu `Merdeka' di kala masih ramai orang Melayu yang ragu-ragu akan kemampuan anak Melayu memerintah watan. Dr Mahathir juga pernah melawan arus dengan Malay Dilemma nya yang menuntut kemarahan Tunku Abdul Rahman, sehingga disingkir dari parti. Begitu juga dengan Anwar Ibrahim yang melawan arus semasa pelajar dan juga setelah jadi orang bergelar.

Saya sangat menghormati tokoh yang berani melawan arus. Jangan salah faham, bukan ideologi mereka yang saya kagum, tetapi keberanian, kesungguhan, keyakinan, ketahanan mental dan fizikal dalam memperjuangkan hak dan kebenaran yang mereka pegang. Saya kagum akan daya tahan mereka yang tinggi dalam menghadapi tentangan dan kemungkinan akan kehilangan segala-gala yang berharga dalam hidup. Saya rasa takjub bila melihat sorang tokoh itu dapat menyakinkan pengikutnya lantas menggerakkan kekuatan pendokong dan penyokong dalam menyokong ideologi dan pegangan mereka.

Kadang-kadang masyarakat kita perlu ada tokoh yang melawan arus, yang boleh mengejutkan kita dari mimpi yang panjang, yang boleh mencetuskan pemikiran di luar kerangka dan melakukan sesuatu yang tidak terjangkau oleh pemikiran dangkal kita.

Ahad, Ogos 01, 2004

Alhamdulillah dari Too Phat


Too Phat


Alangkah baiknya jika lebih ramai penggiat seni, lebih-lebih lagi penulis lirik mencipta lirik seperti lagu bertajuk Alhamdulillah yang dinyanyikan oleh Too Phat ini. Too Phat dianggotai oleh dua anak muda berbakat, Joe Flizzow dan Malique. Too Phat bukan kumpulan nasyid. Tapi Too Phat berjaya membawa mesej dakwah dengan caranya yang tersendiri, yang mungkin boleh mengalahkan lirik sesetengah lagu nasyid. Walaupun bunyinya agak janggal kerana dinyanyikan dalam bentuk rap, liriknya terkandung maksud yang jelas dan sarat dengan pesanan yang baik untuk diikuti.

Sebagai insan yang ghairah mengejar cita dan mencari kejayaan di dunia ini, kita harus sedar diri, ke mana arah dan destinasi. Sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan. Awas dengan cobaan dunia.

Jadilah seperti layang-layang, melayang-layang di awan, tapi jangan sampai putus talinya. Setiap insan ada tugas, walau sekecil manapun sumbangan kita, sudah pasti akan dibalas Nya juga.

Hayatilah lirik lagu ini;

Alhamdulillah

Too Phat bersama Yassin, Ahli Fiqir & Dian Sastrowardoyo
-

saat waktu berhenti kosong
dimensi membutakan mata memekakkan telinga
lalu diri menjadi hampa
saat paradigma dunia tak lagi digunakan untuk menerka sadarku akan hadirmu
mematahkan sendi sendi yang biasanya tegak berdiri

Ult li albi bissaraha (Aku membuka hatiku dengan kejujuran)
Hayya nab'idil karaha (Hindarilah kebencian dan dendam)
Syakkireena a' kulli na'ma (Marilah kekalkan syukur dgn apa yg kita ada)
Ba' ideena anil fattana (Hindarilah segala penipuan dan dosa²)

merenungi luar jendela

mengagungi kebesaran yang Maha Esa
kumenilai kehidupan dari sudut berbeza
tak memadai hanya kecapi rasa selesa
mahukan harta yang mampu beli satu semesta

berpesta ke pagi botol bergelimpangan
kekasih muda bukan takat berpegang tangan
harta dan jamuan nafsu tidak berkekalan
bila menjelang tua bukan itu jadi bekalan
dan jangan puisi ini disalah tafsir pula
bukan berkhutbah cuma betul diri jua
ingin hidup sempurna aset nilai berjuta

saling tukar wanita senyum dan mati tua bakat
dikurnia jangan disalah guna
jangan kufur nikmat yg diberi percuma
guna kelebihan utuk hikmah bersama
jagalah nama hidup penuh pementasan dan drama
ada berisi ada yang kurus
ada melencong ada yang lurus
bukan semuanya tulus ada sempuran ada kurang upaya
ada yang jadi buta hanya bila sudah kaya
sebesar rumah bermula dengan sekecil bata
boleh hilang dalam sekelip mata
ucaplah Alhamdulillah
bukannya sukar kerana
semana kaya atau besar tetap Allahuakbar

jadikanlah tentera ku fisabilillah
yang tertera di kalimah harap memanduilah kita
apabila persimpangan tiba hidup penuh dengan rintangan
harus kuhadapinya
harap ku tidak lupa diri gembira
dan cuma mula mencari Kau bila di saat hiba
ku cuma manusia penuh dengan kesilapan
tapi bisa membezakan cahaya dan kegelapan
tabah bila dikalangan duri onak dan
cobaan teguh bila dicobakan
pengaruh kuasa dan perempuan ahh
sentiasa legar di minda dikejar dan diminta
dari zaman bermula hingga ke akhirnya
ku mengerti siapaku tanpa Mu disisi
dan apa guna posesi juga posisi
sementara ini cuma hanya puisi nukilan tulisan
dan bisikan isi hati mencari keterangan
menjiwai peranan menepati pesanan janji juga saranan

Alhamdulillah atas kurniaan rezeki
moga tidak leka dalam perjalanan ini

aku yang memandang di dalam lubuk hati
mencari-cari zat rahsia yang katanya tersembunyi
aku yang melihat alam meliputi
wujud menyertai lalu ku pindakan alam
ke dalam mata hati
aku hakiki aku mengerti
segala yang terjadi di langit dan di bumi
gunanya tiada fantasi pelik dan benar
qada’ dan qadar
kau berilah ku kekuatan
agar dapat ku hindarkan segala kesesatan
usah kau biarkan nafsu ku terliur dari pandangan majazi ini
aku yang hodoh lagi hina
amat benar merindui
moga cahaya lailatu
tak membutakan mataku
semoga segala puji tak ku meninggi diri
moga segala janji dapat juga ku penuhi
moga dapat ku hadang tikaman dari belakang
lidah setajam pisau
ku tidak akan risau
dengan dugaan cabaran sepanjang perjalanan
ku pasrah ku akur
786 Alhamdulillah syukur!

sujudku
pun takkan memuaskan inginku
untuk hamburkan sembah segala kalbu
adapun ku sembahkan syukur pada Mu ya Allah
Untuk nama harta dan keluarga yg mencinta
dan perjalanan yg sejauh ini terhampar
Alhamdulillah pilihan dan kesempatan
yang membuat hamba mengerti lebih baik
tentang makna diri
semua lebih bererti apabila dihayati
Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah



Selasa, Julai 20, 2004

Phoenix Bangkit Dari Abu




    Phoenix Bangkit Posted by Hello

    Kulit album Phoenix Bangkit yang saya jumpa ketika melayari web saudagar rindu 
     

    Phoenix Bangkit Dari Abu
     
    Bina jambatan menuju ke seberang
    Melangkah jurang lebar dan dalam
    Dengan darah dan keringat
    Dengan airmata berpegang pada taliNya
     
    Rapatkan saf semangatmu jangan goyah
    Kota yang telah roboh harus dibina semula
    Atas dasar kebenaran demi kita demi waris
    Semua serangan yang datang kita tangkis
     
    Jangan kau gentar pada bayang-bayang sendiri
    Di sebalik pahit getir kemenangan menanti
    Bagaikan burung Phoenix bangkit dari abu
    Bangkit membina (semula) satu keindahan (baru)
    Phoenix bangkit
     
    Bina jambatan menuju keseberang
    Dengan darah keringat dan airmata oh...
    Melangkah ke seberang ke tanah yang dijanjikan
    Dirindukan
    Demi cinta tiada lain demi cinta

    Lagu dan Lirik oleh M. Nasir
    © 2001 Luncai Emas Sdn. Bhd. 
     



    M Nasir adalah salah seorang penyanyi yang sangat saya minati. Minat saya bukan hanya kerana lagunya yang merdu tetapi liriknya yang bermutu tinggi dan meruntun perasaan. Album Phoenix Bangkit adalah album beliau yang saya rasakan terbaik pernah dihasilkan. Malah, bagi saya, Phoenix Bangkit adalah album Melayu terbaik yang pernah saya miliki.
     
    Bayangkan dalam album ini, M Nasir telah berbicara mengenai nasib  Masirah  di Palestine, lalu bercerita mengenai Rumi dan Mawlawinya, bercerita tentang Wak Dogo, bercerita tentang Ashabul-Kahfi dalam Sahabat Gua dan seperti biasa tak akan lupa menyelitkan lagu keroncong. 
    Saya dapat merasakan yang M Nasir banyak membawa pengaruh penyair Rumi dalam lagu-lagu beliau. Kebanyakan lagunya membawa  mesej Cinta yang universal.
     
    Album ini sarat dengan nasihat, sindiran, teguran dan pengamatan yang tajam. Saya rasa album ini cukup kuat jiwa Melayu nya dan ini adalah cubaan berani M Nasir untuk menjejak susur galur dan kekuatan diri umat melayu.  

    Lagu Phoenix Bangkit Dari Abu sangat berbekas pada saya.  Jiwa ini rasa tersentuh setiap kali mendengar lagu ini. Umat ini harus bangkit seperti legenda burung phoenix yang bangkit dari kematian yang panjang. Bangkitnya phoenix  dari abu dengan membina kekuatan baru.
    Saya akan terimbau tentang kegemilangan Melayu Melaka dan kegemilangan umat Islam di Adalusia bila mendengar lagu ini.
     
    Ya, kita pernah gemilang dan terbilang dulunya, dan tak mustahil kita kan kembali gemilang
    jika kita punya jiwa yang kuat dan bangkit bagai burung phoenix. dengan darah keringat dan airmata....







    LinkWithin

    Related Posts with Thumbnails