Isnin, Oktober 04, 2004

Jangan cuba melawan arus!



Lata Kinjang, Perak


MELAWAN ARUS

Kata orang jangan kau cuba melawan arus
Pecah bahtera kau kecundang karam terjerumus
Tapi jika terpaksa pergi kau mesti pergi
Di balik gunung di kaki pelangi engkau cari
Mimpi perangsang hidup dan kau di beri tawaran
Tak bisa ditolak...

Minta bebas
Bebas dari sangkar maya ini
Minta terbang
Lepas dari sarang buana ini
Minta bebas
Bebas dari sangkar maya ini
Minta terbang
Lepas dari sarang buana ini

Kata orang ada racun dalam kecantikan
Itu terang membuat engkau mabuk cendawan
Tapi jika terpaksa milik kau mesti milik
Biar di cerca dihina dan engkau diherdik
Kerna dia engkau menjadi lelaki
Di beri pilihan antara hidup dan mati

Minta bebas
Bebas dari sangkar maya ini
Minta terbang
Lepas dari sarang buana ini
Minta bebas
Bebas dari sangkar maya ini
Minta terbang
Lepas dari sarang buana ini

LAGU: M.NASIR
LIRIK: M.NASIR

Lagu di atas adalah nyanyian dan ciptaan M Nasir, yang terkandung dalam album beliau bertajuk Phoenix Bangkit yang diterbitkan dalam tahun 2002. Tidak dinyatakan pula apa dan siapa yang beliau maksudkan dengan melawan arus. Namun, peminat dan pendengar dapat membuat telahan sendiri dan ramai juga yang mengaitkan lagu ini dengan suasana politik semasa waktu itu.

Sejarah peradaban manusia telah melahirkan banyak tokoh yang melawan arus. Tokoh yang tidak mahu memilih jalan selamat, dan mahu melakar jalan sendiri. Jalan mudah dengan mengikut pandangan ramai yamg popular tidak menarik perhatian mereka. Mereka ini telah memilih jalan yang sukar dan penuh onak berdiri. Ada yang berjaya dan ada yang kandas. Ada yang hidup senang dan bahagia di kemudian hari, dan ada juga yang hidup merempat hingga ke akhir hayat. Mereka hidup dan berjuang atas prinsip yang mereka dokong. Walaupun pendapat dan idea mereka tidak dapat di terima di masa dan ketika itu, mereka terus berjuang.

Dalam sejarah negara, telah ramai tokoh yang melawan arus. Walaupun orang Melayu terkenal dengan sifat HangTuah yang taat setia tidak berbelah bahagi, namun dalam sejarah akan timbul juga watak Hang Jebat yang akan menentang ketidakadilan yang wujud dalam masyarakat. Dato' Onn Jaafar telah melawan arus bila mencadangkan UMNO dibuka pada semua kaum. Tokoh PKMM telah melawan arus bila membawa slogan yang sangat asing pada masa itu, iaitu `Merdeka' di kala masih ramai orang Melayu yang ragu-ragu akan kemampuan anak Melayu memerintah watan. Dr Mahathir juga pernah melawan arus dengan Malay Dilemma nya yang menuntut kemarahan Tunku Abdul Rahman, sehingga disingkir dari parti. Begitu juga dengan Anwar Ibrahim yang melawan arus semasa pelajar dan juga setelah jadi orang bergelar.

Saya sangat menghormati tokoh yang berani melawan arus. Jangan salah faham, bukan ideologi mereka yang saya kagum, tetapi keberanian, kesungguhan, keyakinan, ketahanan mental dan fizikal dalam memperjuangkan hak dan kebenaran yang mereka pegang. Saya kagum akan daya tahan mereka yang tinggi dalam menghadapi tentangan dan kemungkinan akan kehilangan segala-gala yang berharga dalam hidup. Saya rasa takjub bila melihat sorang tokoh itu dapat menyakinkan pengikutnya lantas menggerakkan kekuatan pendokong dan penyokong dalam menyokong ideologi dan pegangan mereka.

Kadang-kadang masyarakat kita perlu ada tokoh yang melawan arus, yang boleh mengejutkan kita dari mimpi yang panjang, yang boleh mencetuskan pemikiran di luar kerangka dan melakukan sesuatu yang tidak terjangkau oleh pemikiran dangkal kita.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

antara interpretasi yang terang tentang lagu ni. saya kagum dengan terjemahan minda saudara.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails